Teleskop angkasa lepas seperti Hubble banyak membantu ahli-ahli astronomi untuk mengkaji alam semesta dengan lebih meluas. Ini termasuk melihat mana-mana sistem suria yang berhampiran dengan sistem suria bumi. Dan mengikut satu laporan dalam jurnal Science, satu planet di sebuah sistem suria berhampiran dilihat kunci kepada pembentukan planet Utarid.
Planet baru ini dikatakan mempunyai jarak 31 tahun cahaya dari bumi. Walaupun ia tidak dapat dilihat secara terus melalui teleskop, saintis dapat menganggarkan saiz dan berat planet itu dengan memerhatikan kesannya terhadap bintang yang dikelilinginya. Dapatan mereka mendapati hampir keseluruhan planet terdiri daripada besi sama seperti Utarid.
Planet yang dikenali sebagai GJ 367 b itu mengelilingi bintang kerdil berwarna merah pada jarak yang terlalu hampir. Disebabkan jarak berkenaan, GJ 367 b mampu mengelilingi bintang tersebut dalam tempoh lapan jam. Suhu permukaan planet boleh mencecah 1,500°C – berupaya mencairkan besi.
Kristine Lam dari Pusat Penyelidikan Planet, Pusat Aeroangkasa Jerman di Berlin berpandangan planet GJ 367 b ini mempunyai beberapa persamaan dengan Utarid termasuk isipadu yang tebal dan dalaman yang sama dengan planet itu. Lam juga berspekulasi planet tersebut turut mempunyai lava dan tidak mempunyai atmosfera tetapi ia masih lagi teori yang memerlukan bukti kukuh.
Satu cara yang dapat membuktikan teori ini ialah melalui pelancaran Teleskop Angkasa Lepas James Webb. Teleskop ini dijangka akan dilancarkan pada 22 Disember ini selepas ia berdepan masalah teknikal pada bulan lepas. Ini menyebabkan tarikh pelancaran terpaksa diubah daripada 18 Disember kepada 22 Disember.
Sekiranya benar GJ 367 b dilitupi dengan magma dan terapung pada permukaannya, ini bermakna saiz bintang kerdil merah yang diorbit planet itu berkemungkinan 30 kali ganda lebih besar daripada matahari jika dilihat dari langit bumi. Ini menjadikan planet itu lain dari yang lain berbanding 5,000 buah planet yang ditemui saintis dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini.
Menurut Joshua Winn, seorang ahli astronomi dari Universiti Princeton, amat jarang menemui planet yang beredar kurang daripada 24 jam. Jika ada sekalipun, ia bersaiz kecil dan diliputi dengan daratan. Planet-planet ini digelar sebagai bumi versi panas dan dianggap pelik oleh komuniti saintifik. Tetapi ia turut mengandungi pelbagai maklumat penting yang dapat memberi pencerahan tentang alam semesta yang kita ketahui hari ini.
Satu persoalan yang timbul ialah bagaimana planet yang berhampiran dengan bintang mempunyai persekitaran panas boleh disatukan dan mempunyai isipadu tebal seperti Utarid. Tambah Winn, kandungan besi di planet itu jauh lebih tinggi berbanding Zuhrah, bumi dan Marikh.
Satu teori tentang pembentukan Utarid ialah ia mengalami pelanggaran sehingga memu.sn.ahkan lapisan luar planet tersebut semasa ia mula terbentuk. Apabila itu berlaku, ia menjadikan Utarid seperti teras besi gergasi tanpa sebarang batu-batuan. Begitupun, saintis meragui teori ini kerana tiada bukti menunjukkan ia berlaku. Selain itu, jika mereka menemui planet-planet lain yang mempunyai deposit besi yang tinggi seperti Utarid, teori tersebut dianggap tidak relevan.
RUJUKAN
Greenfieldboyce, N. (2021, 2 Disember). Astronomers find a new planet that’s mostly made of iron. NPR.
Sumber gambar: Patricia Klein/Reuters.




No comments yet