Tabiat mengumpul ini boleh jadi macam-macam. Dari seringkas buku dan tupperware hingga ke sesendu figurin, meme, dan sticker Whatsapp. Ikutkan, mahu kumpul apa pun raikan saja. Selagi tidak membebani, membazir, dan berlampau sampai jadi satu disorder. Juga asalkan bukan kumpul dosa, barang terlarang, dan ‘orang kedua’.

Cuma itulah, manusia ini rencamnya pelbagai. Dalam ramai-ramai, pasti ada segelintir yang buat perkara di luar jangka. Contoh macam Richard Gibson yang kumpul keratan kuku sendiri selama 36 tahun. Begitu juga Shaun Boundy yang buat koleksi tengkorak manusia yang mujur, bukan sampai tahap bina bukit tengkorak macam Timurlane.

Di Jepun pula, ada seorang saintis yang mengumpul kulit manusia. Atau lebih tepat, kulit bertatu orang yang telah meninggal dunia. Memang lain macam minat saintis seorang ini. Biasanya, orang kumpul kulit ayam goreng untuk dimakan kemudian. Tapi ini kumpul kulit manusia.

Lebih nadir (rare), beliau merupakan satu-satunya individu yang berbuat demikian secara profesional. Maksud profesional di sini adalah, ia sah di sisi undang-undang, bertujuan kajian, dan mendapat persetujuan daripada empunya badan.

Dr. Masaichi bersama salah satu koleksinya

Memperkenalkan, Dr. Fukushi Masaichi (1878-1956) – seorang doktor, ahli patologi, dan profesor emeritus di Universiti Perubatan Nippon. Beliau yang berkelahiran Yamaguchi ini memulakan pengajian di Universiti Perubatan Diraja Tokyo, sebelum menuntut ke Jerman.

Kemudian sepulang dari Jerman pada 1914, beliau menubuhkan sekali gus mempengerusikan Japanese Pathological Society. Pertubuhan ini bertujuan mengkaji kaitan sifilis dengan penyakit tiroid dan aortitis.

Menerusi kajian tersebut, minat beliau terhadap kulit bertatu mula berputik. Ini bertitik-tolak daripada pemerhatiannya tentang bagaimana dakwat tatu kekal berinteraksi dan ‘membaiki’ kulit yang rosak akibat sifilis – walaupun ironi, sifilis juga boleh tersebar dengan membuat tatu.

Kulit bertatu penuh

Semenjak itu, Dr. Masaichi semakin meminati tatu badan penuh. Sampaikan, beliau bukan saja menjalin kerjasama dengan Mitsui Memorial Hospital untuk memperoleh akses terus kepada pesakit yang memiliki tatu penuh.

Tetapi turut menubuhkan Liga Tatu Jepun. Di mana, para pemakai tatu penuh dikumpulkan dalam satu persatuan. Sekali gus, memudahkan pertemuan diatur secara berkala di rumah mandi awam bagi memperagakan tatu masing-masing. Ini termasuklah kalangan Yakuza, pekerja pembinaan, dan buruh paksaan. Bayangkan, yakuza bekerjasama dengan saintis demi mengimarahkan penyelidikan saintifik. Memang nadir habis.

Masuk sini, sabun jatuh jangan kutip

Apapun, semua ini mungkin takkan terjadi kalau Dr. Masaichi sendiri tidak berkepala gila. Tahap gilanya sampai beliau sanggup membayar sejumlah wang kepada mana-mana pemakai tatu penuh yang sudi menyumbang kulit mereka selepas mati. Lebih daripada itu, beliau juga sanggup membiayai kos membuat tatu bagi sesiapa yang bersetuju.

Dengan inisiatif begitu, Dr. Masaichi pada suatu ketika berhasil mengumpulkan sekitar 2,000 kulit manusia. Makna kata, ada 2,000 orang yang menyumbang untuk kajiannya. Cuma sayang, kebanyakan koleksi tersebut hilang atau musnah semasa Tokyo dibom dengan teruk oleh Amerika Syarikat pada 1945. Ada juga yang hilang akibat dicuri semasa beliau melawat Chicago.

Terlalu banyak yang hilang sampaikan dari 2,000 koleksi, habis tinggal 105 sahaja yang ada dalam simpanan Dr. Masaichi. Kesemua ini kemudian diserahkan kepada Medical Pathology Museum of Tokyo University sebagai bahan pameran tertutup.

The Patriots berada di PBAKL 2022 bermula 3 June sehingga 12 June. Jumpa di sana!

Bila kata tertutup, memang bukan orang sembarangan sajalah yang boleh masuk dan lihat. Salah seorang yang berpeluang ialah Don Ed Hardy, pembuat tatu dari California yang dijemput sendiri oleh anak merangkap penerus Dr. Masaichi, iaitu Katsunari.

Bagi kita yang bukan sesiapa ini, takat tatap gambar sajalah sambil berteka-teki; “Berapa juta yen lah yang dibelanjakan untuk ‘beli’ semua kulit tatu ini?”

 

RUJUKAN

Ann, Liberty. (2021, 30 January). Collecting Tattoos From the Dead. History of Yesterday.

Dyck, Jon Van. (2021, 12 March). Fukushi Masaichi the skin collector. All Things Tattoo.

Yamato Magazine. (2020, 14 September). The Bodysuit Collector: Doctor Fukushi Masaichi and the Art of Preserving Tattooed Skin.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Pencinta bahasa ibunda dan sejarah dunia. Amir Zayyanid merupakan seorang penulis dan penterjemah bebas yang menyimpan impian mahu menabur bakti kepada anak pertiwi menerusi pendokumentasian sebanyak mungkin bahan bacaan, sama ada fiksi mahupun bukan-fiksi.

Leave A Reply