Gajah adalah mamalia daratan terbesar pada hari ini. Namun, ia sering digambar sebagai haiwan yang takutkan tikus. Gambaran tersebut sebetulnya adalah mitos sahaja – dimulakan oleh Pliny the Elder pada 77 M. Ikutkan, gajah bukanlah penakut. Tetapi ia mudah terkejut apabila ada haiwan-haiwan kecil bergerak pantas di sekitarnya.
Sifat mudah terkejut ini antara lain berpunca dari upaya penglihatannya yang terhad. Bayangkan, gajah hanya berupaya melihat sejauh 20 meter sahaja. Sedangkan, manusia mampu sehingga 3 batu jauh. Jadi, gajah amat sensitif terhadap radius terdekat. Tambahan pula, ia memiliki kapasiti kognitif yang hampir setanding manusia. Ini membuatkan gajah pintar pada sudut sosial – sekaligus sangat berempati dan beremosi.
Dapatan begini ikutkan sudah diketahui lama. Yakni sejak sedekad lalu. Namun, ia hanya terpakai buat gajah Afrika sahaja (Loxodonta Africana). Bagi gajah Asia (elephas maximus), saintis sekadar berura-ura tanpa berupaya mengesahkannya secara saintifik.
Ini kerana ruang untuk melakukan kajian amat terbatas. Iyalah, gajah Asia kan berhabitat di hutan tebal. Tidak seperti gajah Afrika yang hidup di savannah. Jadi, sukar untuk saintis mengakses dan membuat pemerhatian. Kalau dapat akses sekali pun, kadang masa dan situasi pula tidak seperti yang diharapkan.
Contohnya, saintis mahu kaji tentang reaksi tanatologikal gajah Asia. Yakni, kelakuan ‘meratap’ oleh gajah bila ada kalangan mereka yang mati. Tapi bila saintis masuk ke dalam hutan, keadaan sedang baik-baik saja. Semua sihat tanpa ada yang mati. Bila begitu, kan jadi sia-sia dan buang masa. Penat dah satu hal. Kosnya lagi. Lepas itu kena pula cari lokasi baru. Gajah bukannya duduk setempat dan beralamat. Sebab itu, kajian terhadap gajah Asia amat terhad.
Sampailah baru-baru ini, sepasukan saintis dari India beralih ke satu kaedah moden. Iaitu dengan menonton video di YouTube. Sekali dengar memang macam kelakar. Tapi inilah yang menjelaskan mengapa mereka bergelar pakar.
Betapa daripada platform hiburan, mereka mampu gali manfaat dan jalankan kajian. Kajian ini pula tanpa mengorbankan lunas-lunas disiplin yang diwajibkan. Daripada sini, lahir satu metod pemerhatian yang disebut sebagai iEcology.
iEcology ini ringkas kata, adalah satu kaedah pemerhatian saintifik yang menggunakan sumber-sumber terbuka atas talian (online open sources). Salah satunya adalah YouTube. Dalam kaedah ini, YouTube disikapi seumpama sebuah arkib – yang di dalamnya termuat jutaan data. Data ini lantas dicari, diakumulasi, diperhati, dan dikaji.
Contohnya macam kajian tentang reaksi tanatologikal gajah Asia ini. Di mana, Dr. Sanjeet Pokharel (dari Pusat Sains Ekologi di Institusi Sains India) menggunakan kata kunci seperti ‘Asian elephant death’ dan ‘elephant response to death’ untuk mengumpulkan 39 buah video yang merakamkan 24 contoh reaksi gajah Asia bila ada kalangan mereka yang mati. Salah satunya video di bawah.
Dalam video tersebut, kita dapat lihat bagaimana ‘patahnya hati’ sang ibu gajah bila melihat anaknya mati. Sampai digerakkan habis tubuh yang terkulai itu dengan belalai. Kemudian, datang pula beberapa ekor gajah dewasa lain menghampiri dan mengusap badan ibu gajah – seakan cuba menenteramkannya.
Ikutkan, memang betul keagresifan manusia dalam video tersebut boleh mempengaruhi kelakuan alami (natural behaviour) sang gajah. Tapi menurut Dr. Pokharel, respon yang diperhatikan dalam video tersebut konsisten dengan video-video lain.
Di mana dalam 5 video, beliau mendapati gajah dewasa cuba mengangkat anaknya yang terkulai dengan belalai… lalu membawanya masuk ke ceruk hutan. Reaksi ‘mengguncang badan’ pula terpamer dalam 10 contoh. Begitu juga reaksi ‘meratap di sekeliling jasad’ yang dapat dilihat dalam 22 contoh.
Pemerhatian sebegini justeru membuktisaintifikkan sesuatu yang sebelum ini sekadar desas-desus sahaja dalam kalangan saintis – iaitu betapa gajah Asia turut berkongsi reaksi ratapan sama seperti gajah Afrika.
Kalau ditanya, memang betul penemuan ini tidak memberi faedah segera kepada kita yang bukan saintis. Tambah pula, kita jarang-jarang berinteraksi dengan gajah – tidak seperti di India yang setiap tahun membunuh sampai 80 ekor.
Apapun tetap juga, masih ada satu-dua ibrah yang boleh kita ambil daripada penemuan ini. Pertama, untuk lebih menjadi manusiawi. Supaya tidak malu kepada gajah yang lebih tahu menghargai anak sendiri. Kedua, untuk lebih berbakti. Yakni walaupun kita ini bukan saintis, sebenarnya ruang untuk menyumbang kepada penemuan baru sentiasa terbuka buat semua – lebih-lebih dengan lahirnya metod kajian seperti iEcology.
RUJUKAN
Kuta, Sarah. (2022, 1 June). Scientists Are Using YouTube to Understand How Elephants Mourn Their Dead. Smithsonian Magazine.
Pappas, Stephanie. (2022, 21 May). Asian elephant mom carries dead calf for weeks, new eye-opening videos reveal. Live Science.
Tamisiea, Jack. (2022, 17 May). YouTube videos reveal Asian elephants may mourn their dead. Science.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih