Kalau kita sebut nama Saddam Hussein, ramai orang terus terbayang seorang diktator Arab yang kejam, garang, anti-Amerika dan berani mencabar Barat.
Imej dia memang begitu.
Dia berdiri atas pentas dengan pakaian tentera. Dia bercakap dengan nada keras. Dia guna bahasa nasionalisme Arab. Dia kutuk Amerika. Dia kutuk Isbiol. Dia mahu dilihat sebagai pemimpin Arab yang tidak tunduk kepada sesiapa.
Tapi bila kita tengok balik sejarah ni dari awal, kisah Saddam ni jauh lebih rumit daripada sekadar “pemimpin Arab lawan Amerika”.
Saddam sebenarnya contoh klasik bagaimana seorang diktator boleh menjadi bidak catur dalam percaturan kuasa besar, kemudian dibuang apabila bidak itu mula bergerak terlalu jauh daripada petak yang dibenarkan.
Inilah game buffer zone.
Dalam geopolitik, buffer zone maksudnya kawasan atau negara penampan. Ia berfungsi sebagai dinding antara dua kuasa yang saling curiga.
Kadang-kadang buffer zone ini berbentuk negara kecil. Kadang-kadang ia berbentuk rejim diktator yang dibiarkan kuat sekadar cukup untuk menghalang musuh, tapi jangan terlalu kuat sampai mencabar tuannya sendiri.
Saddam berada dalam kategori kedua.
Dia bukan boneka Amerika dalam makna mudah macam wayang kulit yang ditarik tali setiap masa. Kalau kita tulis begitu, orang boleh tembak sebab Iraq zaman Saddam juga ada hubungan lama dengan Soviet, beli banyak senjata Soviet dan bergerak dengan agenda Baath sendiri.
Tapi Saddam pernah menjadi alat yang sangat berguna kepada Amerika dan negara Teluk untuk satu tujuan besar.
Menghalang Iran.
Untuk faham benda ni, kita kena balik kepada tahun 1979.
Sebelum 1979, Iran di bawah Shah Mohammad Reza Pahlavi ialah sekutu kuat Amerika. Iran waktu itu berfungsi sebagai salah satu tiang keselamatan Amerika di Teluk Parsi.
Washington boleh tidur lebih lena sebab Iran pro-Barat, kaya minyak dan menjadi pengimbang kepada Iraq serta pengaruh Soviet di rantau itu.
Tiba-tiba Revolusi Iran berlaku.
Shah tumbang. Ayatollah Khomeini naik. Kedutaan Amerika di Tehran diserbu. Hubungan Iran-Amerika hancur.
Iran yang dulu menjadi tiang Amerika bertukar menjadi musuh ideologi yang sangat lantang melaungkan anti-Amerika dan anti-Isbiol.
Di sinilah peta kuasa berubah.
Amerika kehilangan satu tiang besar di Teluk. Negara-negara Arab Teluk pula mula panik.
Mereka takut revolusi Iran merebak ke wilayah mereka, terutama kerana Iran membawa mesej Revolusi Islam versi Syiah yang boleh menggoncang monarki Arab.
Waktu itu Saddam nampak peluang.
Dia baru menjadi Presiden Iraq secara rasmi pada 1979, walaupun pengaruhnya dalam rejim Baath sudah lama terbina sebelum itu.
Dia mahu tampil sebagai pemimpin besar Arab. Dia mahu menundukkan Iran yang baru lepas revolusi dan kelihatan sedang kacau-bilau.
Dia juga mahu kawal pertikaian lama di Shatt al-Arab, laluan air penting yang menjadi nadi akses Iraq ke Teluk Parsi.
Pada tahun 1980, Iraq menyerang Iran.
Saddam sangka perang ini akan cepat. Dia fikir Iran yang baru keluar daripada revolusi tidak stabil, tenteranya lemah, kepimpinannya berpecah dan rakyatnya boleh ditekan.
Sekali, perang itu berlarutan sampai lapan tahun.
Inilah antara perang paling berdarah dalam sejarah moden Timur Tengah. Ratusan ribu manusia mati. Bandar musnah. Ekonomi dua negara hancur.
Generasi muda Iran dan Iraq dikorbankan dalam perang parit, serangan peluru berpandu, penggunaan senjata kimia oleh Iraq dan serangan berulang yang mengingatkan orang kepada Perang Dunia Pertama.
Tapi dari sudut Amerika dan sebahagian negara Teluk, perang itu ada fungsi strategik.
Iran dan Iraq saling melemahkan antara satu sama lain.
Dua negara besar di Teluk Parsi berdarah sesama sendiri. Perang itu mengehadkan ruang Iran untuk menumpukan seluruh sumbernya kepada eksport revolusi dengan lebih agresif.
Iraq pula tersekat dalam perang yang memakan duit, tenaga dan nyawa. Negara Teluk pula boleh terus menjual minyak, membeli senjata dan bergantung kepada payung keselamatan Amerika.
Nampak tak game dia?
Saddam mungkin fikir dia sedang bermain sebagai raja di papan catur Arab. Tapi bagi kuasa besar, dia lebih mirip buah catur yang diletakkan di hadapan Iran supaya Iran tidak mara terlalu jauh.
Pada awal perang, Amerika secara rasmi tidak mahu dilihat masuk sebelah secara terang-terang.
Tapi apabila Iran mula bangkit dan Iraq nampak boleh tumbang, Washington mula berubah arah. Amerika tidak mahu Iran keluar sebagai pemenang besar.
Kalau Iran berjaya menumbangkan Saddam, seluruh imbangan kuasa Teluk boleh pecah.
Sebab itu Amerika mula “tilt” ke arah Iraq.
Maksudnya, Amerika tidak semestinya menghantar askar untuk berperang bersama Saddam.
Tapi mereka membuka ruang kepada beberapa saluran sokongan strategik, termasuk hubungan diplomatik, maklumat risikan, kredit dan eksport dwiguna yang akhirnya menguntungkan Baghdad.
Dwiguna ini maksudnya teknologi yang boleh nampak awam di atas kertas, tapi boleh digunakan untuk tujuan ketenteraan atau industri strategik.
Dalam politik kuasa, benda macam ini memang selalu jadi ruang kelabu.
Negara-negara Teluk pula bantu dari segi duit. Iraq berperang dengan Iran, tapi banyak kosnya ditampung melalui pinjaman dan sokongan Arab Teluk.
Mereka nampak Saddam sebagai benteng kasar yang menghalang Iran daripada menggoncang istana-istana mereka.
Sebab itu kita jangan mudah tertipu dengan imej Saddam sebagai jaguh Arab yang berdiri seorang diri melawan Barat.
Hakikatnya, pada era 1980-an, kewujudan Saddam memberi manfaat kepada banyak pihak. Amerika mahu Iran disekat. Negara Teluk mahu revolusi Iran dihentikan. Saddam mahu jadi pemimpin Arab yang besar.
Semua pihak ada kepentingan masing-masing.
Masalah bermula apabila perang Iran-Iraq tamat pada 1988.
Iraq keluar dari perang dalam keadaan letih, berhutang dan rosak. Saddam pula tidak mahu mengaku dia sudah kalah secara strategik.
Dia mahu rakyat melihat perang itu sebagai kemenangan. Dia mahu muncul sebagai pelindung bangsa Arab daripada Iran.
Tapi kemenangan propaganda tidak boleh membayar hutang.
Iraq berhutang besar kepada negara Teluk, termasuk Kuwait. Saddam rasa dia sudah berperang bagi pihak Arab, jadi negara Teluk patut bantu hapuskan hutang itu.
Dari sudut Saddam, Iraq sudah menjadi perisai untuk semua orang. Takkan selepas perang, perisai yang retak itu ditinggalkan begitu saja.
Kuwait pula ada kiraan sendiri. Mereka negara kecil yang kaya minyak. Mereka tidak mahu tunduk kepada tekanan Saddam.
Pada masa yang sama, Saddam menuduh Kuwait mengeluarkan minyak berlebihan sehingga harga minyak jatuh dan menuduh Kuwait mencuri minyak dari medan Rumaila yang terletak berhampiran sempadan.
Di sinilah bidak catur mula bergerak sendiri.
Pada 2 Ogos 1990, Iraq menyerang Kuwait.
Dalam kepala Saddam, mungkin dia fikir dunia Arab akan terpaksa menerima realiti baru. Mungkin dia fikir Amerika tidak akan pergi terlalu jauh.
Mungkin dia fikir Kuwait kecil saja dan Iraq yang baru lepas perang dengan Iran masih dianggap terlalu penting sebagai penampan kepada Tehran.
Tapi Saddam tersilap baca peta kuasa.
Kuwait ialah negara kecil kaya minyak dan pada masa yang sama pintu kepada keselamatan Teluk.
Kalau Saddam menguasai Kuwait, Iraq akan menguasai lebih banyak rizab minyak, memiliki kedudukan strategik lebih kuat di Teluk dan boleh mengugut Saudi dengan lebih berani.
Itu tidak boleh diterima oleh Amerika.
Amerika mungkin boleh bertolak ansur dengan Saddam selagi dia menahan Iran. Tapi apabila Saddam menelan Kuwait, dia tidak lagi berfungsi sebagai buffer yang berguna.
Dia berubah menjadi ancaman kepada seluruh susunan minyak dan keselamatan Teluk.
Dalam bahasa mudah, Saddam sudah keluar dari petak.
Maka, Amerika kumpulkan gabungan antarabangsa. Negara Arab seperti Saudi, Mesir dan Syria turut bersama dalam gabungan menentang Iraq.
Ini penting kerana Amerika tidak mahu perang itu nampak seperti Barat melawan Arab. Mereka perlukan legitimasi Arab supaya operasi itu tidak membakar seluruh rantau.
Perang Teluk 1991 pun berlaku.
Tentera Iraq yang kelihatan gagah di atas kertas dihancurkan dengan sangat cepat oleh mesin perang Amerika dan sekutunya.
Kuwait dibebaskan. Saddam kalah. Tapi menariknya, Saddam tidak dijatuhkan waktu itu.
Kenapa?
Kalau Amerika betul-betul mahu hapuskan kejahatan, kenapa mereka tidak terus masuk Baghdad dan tumbangkan Saddam pada 1991?
Jawapannya, sebab matlamat perang waktu itu ialah keluarkan Iraq dari Kuwait, bukan bina Iraq baru dari kosong.
Mandat PBB ketika itu juga tertumpu kepada mengeluarkan Iraq dari Kuwait, bukan memberi lesen terbuka kepada Amerika untuk menakluk Baghdad dan membina kerajaan baharu.
Lebih penting lagi, Amerika dan sekutunya takut kalau Saddam jatuh secara mengejut, Iraq akan pecah, Iran akan mendapat ruang lebih besar dan perang dalaman boleh meletup tanpa kawalan.
Maksudnya, walaupun Saddam sudah jadi masalah, kewujudannya masih ada fungsi.
Dia cukup lemah untuk dikawal, tapi cukup kuat untuk menghalang Iraq daripada terus runtuh dan mungkin jatuh ke orbit Iran.
Inilah logik kuasa besar yang orang awam selalu terlepas pandang.
Mereka tidak semestinya mahu pemimpin yang baik. Mereka mahu susunan yang boleh dikawal.
Kadang-kadang diktator yang kejam lebih disukai berbanding demokrasi yang boleh melahirkan keputusan yang tidak memihak kepada Washington.
Sebab diktator mudah dibaca. Dia mahu kekal kuasa. Dia mahu wang. Dia mahu keselamatan rejim.
Kalau semua itu boleh ditekan, dia boleh dikawal.
Rakyat?
Itu biasanya datang kemudian.
Selepas 1991, Iraq menjadi negara yang dikurung.
Sekatan ekonomi dikenakan. Pemeriksaan senjata dilakukan. Zon larangan terbang diwujudkan di utara dan selatan Iraq selepas Saddam menekan pemberontakan Kurdi dan Syiah.
Terutamanya Amerika dan Britain berlegar di langit Iraq bertahun-tahun, memastikan Saddam tidak terlalu bebas.
Saddam masih duduk di istana. Tapi Iraq sudah tidak benar-benar bebas seperti dulu.
Dia menjadi diktator yang hidup dalam sangkar geopolitik.
Korang bayangkan ironinya.
Masa Saddam berguna untuk melawan Iran, dia dibiarkan membesar. Bila dia menelan Kuwait, dia dipukul.
Bila dia sudah lemah, dia tidak terus dibuang sebab kewujudannya masih dianggap berguna untuk menghalang Iraq daripada runtuh atau jatuh terlalu kuat ke tangan Iran.
Inilah yang saya maksudkan dengan game buffer zone.
Kuasa besar tidak bermain berdasarkan moral yang mereka ucapkan di podium. Mereka bermain berdasarkan imbangan kuasa, minyak, laluan laut, keselamatan sekutu dan kos peperangan.
Kemudian datang tahun 2003.
Kali ini Amerika di bawah George W. Bush masuk Iraq dan benar-benar menumbangkan Saddam.
Alasan besarnya ialah senjata pemusnah besar-besaran dan kaitan dengan keganasan. Selepas Iraq ditakluk, alasan senjata pemusnah besar-besaran itu runtuh satu demi satu.
Saddam jatuh.
Tapi apa yang berlaku selepas itu?
Iraq tidak berubah menjadi demokrasi indah seperti poster propaganda. Negara itu terjerumus ke dalam huru-hara, perang mazhab, insurgensi, serangan bom, perebutan kuasa dan kerosakan institusi yang sangat parah.
Lebih menarik, antara kuasa yang paling banyak mendapat manfaat strategik selepas Saddam jatuh ialah Iran.
Kan pelik?
Amerika masuk Iraq untuk membuang musuh. Tapi dengan membuang Saddam, mereka juga membuang salah satu penghalang terbesar kepada pengaruh Iran di dunia Arab.
Iraq yang dulu menjadi benteng terhadap Iran kini berubah menjadi salah satu medan pengaruh Iran melalui parti politik, militia dan jaringan keagamaan.
Inilah akibat apabila kuasa besar terlalu yakin mereka boleh mengubah peta orang lain dengan kereta kebal.
Mereka nampak Saddam sebagai masalah. Mereka lupa Saddam juga sebahagian daripada struktur imbangan kuasa yang mereka sendiri pernah gunakan.
Bila struktur itu dipecahkan, benda yang keluar dari bawah runtuhan itu jauh lebih rumit daripada apa yang dirancang di Washington.
Sebab itu kita kena berhati-hati bila dengar kuasa besar bercakap tentang demokrasi, kebebasan dan keselamatan.
Kadang-kadang mereka memang melawan diktator. Tapi persoalan sebenar ialah kenapa diktator itu dilawan pada waktu tertentu, selepas bertahun-tahun dibiarkan?
Kenapa ada diktator yang dihukum?
Kenapa ada diktator yang dipeluk?
Kenapa ada negara yang diserang atas nama hak asasi, sedangkan sekutu lain yang lebih zalim terus dijual senjata?
Jawapannya terletak pada fungsi.
Kalau diktator itu menjaga kepentingan kuasa besar, dia dipanggil rakan strategik.
Kalau diktator itu mengganggu susunan kuasa besar, dia dipanggil ancaman.
Kalau diktator itu boleh digunakan untuk melawan musuh yang lebih besar, dosa-dosanya akan dikecilkan dalam laporan diplomatik.
Kalau diktator itu sudah tidak berguna, fail lama akan dibuka semula. Tiba-tiba dunia diberitahu yang dia zalim, bahaya dan mesti dihentikan demi kemanusiaan.
Saddam ialah contoh paling jelas.
Dia memang diktator zalim. Dia menindas rakyat sendiri. Dia menyerang Iran. Dia menggunakan kekerasan terhadap Kurdi dan Syiah. Dia menyerang Kuwait.
Tidak perlu romantikkan dia sebagai hero umat Arab atau pejuang Islam.
Tapi pada masa yang sama, sejarah Saddam juga menunjukkan bagaimana kuasa besar tidak pernah benar-benar bergerak atas nama moral semata-mata.
Mereka boleh mengecam kezaliman hari ini, walaupun semalam mereka sendiri mendapat manfaat daripada kezaliman yang sama.
Bila kita faham ini, kita akan lebih berhati-hati membaca politik Timur Tengah.
Iran hari ini dilabel ancaman. Dulu Saddam digunakan untuk menahan Iran.
Kemudian Saddam dihancurkan dan Iran pula menjadi lebih kuat di Iraq. Selepas itu Amerika dan Isbiol panik dengan pengaruh Iran yang membesar.
Pusing-pusing, rantau itu terus terbakar.
Yang mati rakyat biasa. Yang sering mendapat manfaat pula ialah syarikat senjata, kontraktor perang, elit politik, pemerintah minyak dan jaringan keselamatan yang hidup daripada ketakutan.
Sebab itu diktator Arab selalu jadi bidak catur yang menyedihkan.
Mereka ingat mereka sedang bermain kuasa besar. Mereka ingat dengan membeli senjata, membina istana, mengawal tentera dan menekan rakyat, mereka sudah cukup kebal.
Padahal dalam papan catur empayar, bidak yang paling berguna pun boleh dikorbankan bila permainan masuk fasa baru.
Saddam pernah digunakan sebagai penampan terhadap Iran.
Kemudian dia dipukul kerana mengancam Kuwait dan minyak Teluk.
Selepas itu dia dibiarkan hidup dalam sangkar kerana kejatuhannya terlalu berisiko.
Akhirnya dia dijatuhkan juga apabila Washington berubah fikiran selepas 9/11 dan neokonservatif Amerika yakin mereka boleh membina Timur Tengah baru dengan perang.
Hasilnya?
Iraq hancur. Iran menguat. Rantau makin tidak stabil. Amerika pula menanggung kos politik, kewangan dan reputasi yang sangat besar. Tapi industri perang tetap kenyang.
Itulah tragedi Timur Tengah moden.
Ramai pemimpin keras berlagak seperti singa. Tapi bila kita buka peta, tengok aliran minyak, sempadan, mazhab, pangkalan tentera dan kepentingan kuasa besar, rupa-rupanya banyak singa itu pun sedang berjalan dalam kandang yang dibina orang lain.
Saddam mungkin sudah lama pergi.
Tapi game yang menjadikan pemimpin seperti Saddam sebagai buffer zone masih hidup sampai hari ini.
Cuma nama bidaknya saja berubah.
Bidak itu boleh datang dalam bentuk diktator, kerajaan boneka atau negara yang dijual kepada dunia sebagai “rakan strategik”.
Dan paling menyedihkan, setiap kali bidak itu digerakkan, rakyat biasa yang menjadi papan caturnya.




No comments yet