Karavanserai Orbelian (sebelum ini dikenali sebagai Karavanserai Selim) merupakan sebuah karavanserai yang terletak di Vayots Dzor, sebuah wilayah di tenggara Armenia. Menurut sebuah inskripsi berbahasa Armenia, karavanserai ini dibangunkan pada kurun ke-14 Masihi oleh seorang putera dari wangsa Orbelian.
Seiring peredaran masa, karavanserai ini tidak lagi digunakan sekali gus ia ditinggalkan secara bertahap. Pada kurun ke-20, usaha-usaha pembaikpulihan mula dijalankan ke atas bahagian-bahagian struktur yang rosak dan monumen bersejarah ini dianggap sebagai karavanserai paling terpelihara di negara berkenaan.
LOKASI KARAVANSERAI ORBELIAN
Fungsi utama sebuah karavanserai adalah untuk memberikan tempat teduhan buat manusia, haiwan, dan barang dagangan. Karavanserai Orbelian terletak di sebelah selatan Laluan Pergunungan Vardenyats yang berdiri setinggi 2410 meter (7906 kaki) dari paras laut. Laluan pergunungan ini dahulunya dipanggil sebagai Laluan Pergunungan Selim, namun diubah namanya pada tahun 2014 oleh Edgar Ghazarian, gabenor Vayots Dzor.
Pengubahan nama ini dilakukan kerana Selim dikatakan sebagai “seorang gasar dari tanah asing… terkenal dengan kekejaman dan kehancuran yang lazim dilakukannya,” justeru gabenor enggan kawasan tersebut dikaitkan dengan figura sejarah itu.
Pada masa yang sama, nama karavanserai diubah daripada Karavanserai Selim kepada Karavanserai Orbelian. Apapun, sebagai maklumat tambahan, laluan pergunungan ini membawa kepada Pergunungan Vardenis dan menerusi laluan inilah seseorang dapat mengakses Tasik Sevan, salah sebuah tasik air tawar yang paling besar di Eurasia.
SEJARAH PEMBINAAN KARAVANSERAI ORBELIAN
Sebuah inskripsi berbahasa Armenia yang terdapat di bahagian timur tembok, betul-betul di sebalik gerbang masuk, menyatakan bahawa karavanserai ini dibina oleh wangsa Orbelian, atau secara khusus, Putera Chesar, isterinya Khorishah, dan adik-beradiknya, iaitu Smbat dan Elikom pada tahun 1332 Masihi.
Inskripsi turut menyatakan bahawa karavanserai itu dibina “dengan dana kami sendiri bagi menyelamatkan jiwa kami dan jiwa ibu bapa serta adik-beradik kami yang kekal dalam Kristian. Begitu juga dengan saudara serta anak kami, Sargis, Hovhannnes si paderi, Kurd, dan Vardan.” Kandungan inskripsi ini malah turut meminta orang-orang yang lalu-lalang di hadapan karavanserai ini supaya mengingati mereka sebagai penganut Kristian.
Walaupun Putera Chesar dan keluarganya menjayakan projek ini dengan tujuan untuk memelihara tuntuan kerohanian masing-masing, mereka juga tidak luput daripada melengkapkan karavanserai dengan keperluan materi buat sesiapa yang berhenti dan berteduh di situ.
Pada Zaman Pertengahan, Armenia merupakan sebahagian daripada Empayar Monggol. Inskripsi yang terdapat di karavanserai ini menyatakan bahawa pada masa pembinaannya, kawasan tersebut diperintah oleh Busaid Khan dari Ilkhanate. Sebagai sebahagian daripada Empayar Monggol, Armenia secara efektif berfungsi sebagai antara titik henti dalam Laluan Sutera. Justeru, seperti kawasan-kawasan lain yang turut menganggotai rangkaian perdagangan ini, sejumlah karavanserai dibina di negara berkenaan.
Kebanyakan karavanserai yang dibangunkan itu dicirikan oleh tembok berbentuk petak atau segi empat tepat, dengan sebuah pintu yang cukup lebar untuk membolehkan haiwan memasukinya. Begitu juga sebuah perkarangan terbuka. Di bahagian dalam karavanserai, terdapat sejumlah ruang yang disediakan untuk menempatkan para pengembara, haiwan, dan barang dagangan.
Sama seperti karavanserai-karavanserai yang lain, Karavanserai Orbelian hanya mempunyai sebuah pintu masuk. Namun, struktur ini dilengkapi dengan sebuah dewan besar dan dewan itu dibahagikan kepada tiga lorong oleh dua deretan tiang; empat belas tiang secara keseluruhan.
Ruangan yang dikhususkan untuk haiwan ini berbumbung dan terdapat lubang-lubang kecil pada bumbung tersebut bagi membenarkan udara dan cahaya masuk. Pada penghujung timur dewan ini terdapat sebuah biara yang sejak sekian lama telah runtuh. Di bahagian barat pula terdapat bilik-bilik kecil untuk dihuni oleh para pengembara.
SENI UKIRAN PADA KARAVANSERAI ORBELIAN
Walaupun Karavanserai Orbelian tidaklah begitu mewah, ia memiliki beberapa ukiran yang menggamit perhatian. Misalnya pada pintu masuk, terdapat ukiran indah di sekliling lintel separa-bulat. Di atas lintel itu pula terdapat dua relif; haiwan bersayap di sebelah kiri dan kerbau di sebelah kanan. Selain itu, lubang-lubang yang terdapat pada bumbung juga diperhias dengan seni ukiran yang unik.
Sebagai susulan daripada aktiviti perdagangan yang semakin berkurangan akibat merudumnya penggunaan Laluan Sutera, Karavanserai Orbelian tidak lagi memainkan fungsinya sebagai pusat hentian justeru ia tidak lagi digunakan. Kerja-kerja pembaikpulihan karavanserai ini hanya dilakukan pada kurun ke-20, tepatnya antara 1956 dan 1959. Semenjak itu, tapak ini dijadikan sebagai destinasi pelancongan.
TERJEMAHAN:
Wu Mingren. (12 Mac 2019). Orbelian’s Caravanserai: A Lasting Sanctuary for Travelers Along the Silk Road. Ancient Origins. https://www.ancient-origins.net/ancient-places-asia/orbelians-caravanserai-0011607
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih