Sabtu, 24 Oktober 202624 Okt 2026
Kronikel Dunia

Romulus Dan Remus: Mitologi Berdirinya Tamadun Rom

Lihat pada logo
kelab bola sepak AS Roma. Ada rahsia pada kelab bola sepak yang berpangkalan di
Itali itu. Dari mana datangnya lambang seekor serigala bersama dengan dua orang
bayi kecil yang sedang menyusu dirinya? Tentunya, ia dapat dijejak sehingga
2700 tahun yang lalu, tentang legenda sepasang kembar yang dibuang oleh seorang
raja kejam yang bernama Amulius. Tarikh yang lebih tepat adalah sekitar 770 SM,
sebuah legenda pasangan kembar dibesarkan serigala yang mengasaskan salah
sebuah tamadun paling agung dalam sejarah.

Logo kelab AS ROMA.

Amulius merupakan
seorang raja yang menaiki takhta selepas menggulingkan Nimitor daripada takhta
sebuah negara kota bernama Alba Longa. Selepas berjaya melaksanakannya, Amulius
telah menghapuskan keturunan lelaki Nimitor bagi mengelakkan sebarang usaha
untuk menjatuhkannya, manakala anak gadis Nimitor yang masih dara dihantar
menjadi Perawan Vestal, seorang pendeta wanita untuk penyembahan Dewi Vista dan
bertanggungjawab memastikan api suci dikuil Vista masih lagi bernyala. Namun,
syarat utama untuk menjadi Vesta Virgins, seperti namanya juga, harus
mengangkat sumpah untuk tidak terlibat dengan perkahwinan atau hubungan seks.

Namun, dipendekkan
cerita anak gadis Nimitor iaitu Rhea
Silvia telah didapati mengandung. Ada pelbagai kisah disebalik mengandungnya
puteri raja ini. Antaranya ialah kisah bagaimana dia dirogol oleh orang asing,
atau bagaimana dia ditiduri oleh Dewa Perang rom bernama Mars, atau juga Dewa
Hercules yang telah membuntingkannya. Anak yang sedang hidup dalam perut ibu
baru itu rupa-rupanya pasangan kembar yang akan diberi nama Romulus dan Remus.
Khabar angin mengenai nyawa baru yang sedang hidup dalam rahim Rhea Silvia ini
telah mengundang murka Amulius.

Romulus dan Remus
yang masih menyusu susu badan ibunya itu diarahkan untuk dilontarkan ke dalam
Sungai Tiberius sebelum diselamatkan oleh serigala jadian. Kembar bayi ini
sempat disusukan manakala diberi makanan oleh seekor Burung Raja Udang.
Akhirnya, mereka berdua ditemui oleh pasangan pengembala kambing, Faustulus dan
isterinya Acca Larentia, yang kemudiannya membesarkan pasangan kembar itu
sehingga dewasa. Pekerjaan Romulus dan Remus adalah bermula sebagai seorang
pengembala kambing, mewarisi pekerjaan ayah angkat mereka.  

Diceritakan pada
suatu hari, ketika mereka sedang kusyuk menjaga kambing-kambing mereka, mereka
tersempak dengan para pengembala Raja Amulius. Pergaduhan tercetus antara
mereka yang berhasil dengan Remus ditangkap dan dibawa menghadap Raja Amulius.
Raja zalim ini tidak mengetahui bahawa Remus dan Romulus ialah anak Rhea Silvia
yang telah dijatuhkan hukuman mati di Sungai Tiberius suatu masa dahulu. Dalam
kepalanya, pasangan kembar itu sudah lama mati. Romulus pula telah mengumpulkan
rakan-rakan pengembalanya yang lain, lalu mengetuai misi menyelamatkan adik
lelakinya yang juga berakhir dengan kematian Raja Amulius. Pada waktu itu,
penduduk Alba Longa telah menjemput Romulius dan Remus menjadi raja baru
mereka, namun permintaan itu ditolak oleh pasangan kembar ini. Sebaliknya,
mereka telah menabalkan Nimitor semula menjadi raja.

Pasangan kembar ini
sebenarnya memasang impian untuk membina kota mereka tersendiri. Lokasi sasaran
mereka ialah tempat mereka ditemukan oleh serigala jadian pada ketika mereka
masih bayi. Disinilah pasangan kembar ini mula bertengkar antara mereka tentang
lokasi yang paling sesuai untuk membuka kota mereka. Romulus mengimpikan untuk
membina kota di atas puncak Bukit Palatine manakala Remus pula memilih Bukit
Aventine. Persengketaan mereka berakhir dengan Romulus telah membunuh Remus.
Kematian Remus telah disusuli dengan tertubuhnya Kota Rom pada sekitar 753 SM.

Untuk menarik orang
menjadi sebahagian daripada populasi, Rom telah menjadi tempat kepada para
buangan untuk tinggal dan membangunkan kota baru itu bersama-sama. Namun,
selepas beberapa ketika penubuhan Kota Rom, mereka mendapati bahawa Rom
kekurangan wargakota wanita. Untuk mengisi kekosongan itu, wanita di kota yang
berhampiran mereka iaitu Sabine menjadi sasaran utama. Namun, permintaan Rom
kepada perempuan Sabine ini ditolak mentah-mentah, memaksa Rom merencanakan
sebuah rancangan licik.

Romulus telah mengadakan
pesta jamuan di Rom. Yang dijemputnya ketika itu ialah seluruh penduduk Sabine
untuk bergembira dengan tarian, arak dan makanan. Pada ketika laki-laki Sabine
sedang ralit bergembira dengan pesta, pada ketika itulah wanita-wanita Sabine
diculik oleh lelaki Rom, lantas dirogol dengan rakusnya. Peristiwa ini digelar
sebagai Perogolan Beramai-Ramai Wanita Sabine. Apa yang berlaku telah
membuatkan para lelaki Sabine pula marah, lantas tercetusnya perang antara dua
negara kota ini, dengan Romulus sendiri memimpin angkatan tentera. Kemenangan
Romulus ini dicatatkan sebagai kemenangan pertama diantara kejayaan demi
kejayaan yang agung dalam peperangan yang bakal dicapai oleh Rom pada masa
hadapan.

Walaupun kalah pada
pertempuran pertama, raja Sabine iaitu Titus Tatius tidak terus menyerah kalah.
Baginda telah mengerahkan tentera Sabine mengepung kota rom di atas Bukit
Capitoline, salah satu daripada 7 buah bukit dalam Rom sendiri. Disinilah kisah
pengkhianat pertama Rom yang pertama terukir. Seorang Perawan Vestal yang
merupakan anak salah seorang komander terkenal Rom telah menawarkan untuk
membuka sendiri pintu ke dalam kota Rom untuk ditukarkan dengan “apa yang
dipakai oleh tentera Sabine di tangan kiri mereka.” Apa yang dimaksudkan oleh
Tarpeia ialah gelang-gelang emas yang disarungkan, namun tentera Sabine telah
melemparkan Tarpeia dengan perisai yang dibawa oleh tangan kiri mereka sehingga
mengundang kematian si gadis itu. Tubuh pengkhianat itu ditolak dari tebing
tinggi di Bukit Capitoline, yang kemudian akan menjadi tradisi untuk mana-mana penjenayah
Rom dihukum bunuh di tempat yang dinamakan Tarpeian Rock. Tarpeia kemudian akan
sinonim dengan gelaran untuk mana-mana pengkhianat Rom.

Dalam masa yang sama, Rom hampir kalah kerana pengkhianatan Tarpeia ini, sehinggalah diselamatkan oleh Dewi Jupiter yang telah mendatangkan air panah yang mendidih lalu dituangkan ke atas bala tentera Sabine. Kegagalan Sabine untuk menakluk Rom telah membawa kepada perjanjian keamanan yang termeterai antara Rom dan Sabine, sambil kedua-dua rajanya memerintah bersama Rom dan Sabine. Sepanjang lima tahun pemerintahan itu, kedua-dua tamadun ini berkongsi antara mereka kebudayaan, kekayaan sehinggalah ke pengetahuan seperti strategi dan taktikal ketenteraan berbeza yang dimiliki oleh mereka berdua.

Namun, kerjasama ini
tamat kerana perbuatan Titus sendiri yang ditangkap memberikan perlindungan
kepada musuh yang telah menjarah negara kota sekutu mereka. Titus telah dibunuh
oleh Romulus, sekaligus membuatkan Romulus menjadi satu-satunya raja Rom.
Romulus dikatakan menghembuskan nafasnya yang terakhir sekitar 717 SM pada usia
53 tahun, dipercayai kerana dibunuh oleh para senator Rom yang tidak berpuas
hati dengan pemerintahannya. Ada pula yang mendakwa bahawa Romulus
menghilangkan dirinya dengan naik ke syurga, lalu menabalkan dirinya sebagai
salah seorang dewa Rom. Mungkin sebab itu terdapat maharaja Rom yang membina
kuil khas untuk Romulus dalam sejarah.

Rujukan:

Garcia, B. (2018). Romulus and Remus. Ancient History Encyclopedia.

Moore, M. (2007). The Legend Of Romulus And Remus. The Telegraph.

Morford, M, Lenardon, R. (1999). Classical Mythology. Oxford University

PressSanders, H. (1904). Roman Historical Sources And Institutions. Macmillan.

Perhatian sebentar.

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami. Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM5.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM5 / RM10 / RM50

Kongsi

No comments yet