Menurut  sejarawan Rom bernama Livy, oleh sebab bapa kepada bayi kembar ini ialah dewa pe.rang, Mars, mereka sentiasa berada di bawah perlindungan tuhan. Pada ketika itu, mungkin kerana hujan yang lebat telah menyebabkan Sungai Tiber melimpah melintasi tebing. Belum sempat bayi kembar ini terus dihanyutkan ke laut, bakul mereka telah tersangkut pada tebing sungai berhampiran kawasan Bukit Palatine. Tangisan kembar berkenaan yang dalam kelaparan dan dahagakan susu telah didengari oleh seekor binatang buas iaitu serigala betina yang sedang merayau di kawasan berkenaan.

Serigala berkenaan baru sahaja kehilangan anak-anaknya kerana dibu.nuh oleh pemburu kejam. Jadi, apabila melihat bayi kembar ini, naluri buas serigala ini bertukar kepada naluri keibuan. Dia menyusui mereka yang sedang kehausan dan memandang bayi kembar ini tidak ubah seperti anak-anaknya sendiri. Turut membantu ialah seekor burung yang memberi buah beri-beri segar untuk dimakan.

Begitulah nyawa mereka diselamatkan dan dijaga oleh serigala betina di tebing sungai sehingga datang seorang penggembala melalui kawasan tersebut. Setelah terdengar bunyi aneh, beliau mendekati bunyi tersebut dan terkejut melihat bayi kembar bersama serigala. Penggembala yang bernama Faustulus itu mengambil bayi berkenaan dan membawa pulang kepada isterinya, Laurentia yang sanggup menjaga kembar ini walaupun pasangan tersebut sudah mempunyai 12 orang anak.

Arca gangsa yang dikenali sebagai Serigala Capitoline, dibuat oleh kaum Etruscan pada awal abad kelima SM. Kembar Romulus dan Remus ditambah sekitar 2000 tahun kemudian

Romulus dan Remus

Pasangan kembar yang kemudian diberi nama Romulus dan Remus ini membesar dalam kalangan penggembala di sebelah Bukit Palatine. Sifat Romulus dan Remus yang berani dan gagah telah membuka ruang untuk mereka menjadi pemimpin dalam kumpulan penggembala yang tinggal di situ.

Hubungan yang telah lama terputus bersambung kembali apabila berlaku satu kejadian yang telah membawa Romulus dan Remus kepada pertemuan dengan Numitor, datuk mereka. Ia berpunca daripada pertelingkahan yang berlaku antara kumpulan penggembala saudara kembar ini dengan penggembala yang bekerja di bawah Numitor. Pergaduhan tercetus dan akibat kekurangan orang berbanding pihak lawan, mereka telah ditawan dan dibawa untuk berdepan dengan Numitor.

Oleh sebab rupa paras Romulus dan Remus yang mirip dengan keluarga diraja Alba Longa, ia telah menimbulkan tanda tanya kepada Numitor. Selepas pelbagai persoalan dibangkitkan, akhirnya mereka dapat mengetahui asal usul mereka yang berdarah diraja. Secara ringkasnya, kehidupan mereka berubah apabila ditakdirkan bertemu semula dengan Numitor yang hidup dalam buangan sejak disingkirkan daripada kuasa oleh adiknya sendiri.

Setelah Romulus dan Remus diberitahu kisah pergolakan keluarga dan perebutan takhta, mereka merancang untuk mengembalikan semula kuasa pemerintahan Alba Longa kepada Numitor. Selepas itu, perancangan untuk merampas kembali takhta berjaya dilaksanakan dengan mudah. Amulius dibu.nuh secara mengejut apabila Romulus dan Remus serta orang-orang mereka menyerbu masuk ke dalam kota. Numitor sekali lagi diangkat sebagai raja yang lebih berhak ke atas takhta tersebut.

Pengasasan Rom

Bagi Romulus dan Remus, kehidupan di Alba Longa tidak sesuai dengan mereka yang lebih gemarkan cabaran dan sesuatu yang baharu walaupun mengetahui mereka mempunyai kedudukan yang lebih baik sebagai keluarga diraja. Mereka memutuskan untuk meninggalkan Alba Longa dan sudah tiba masanya untuk mencari dan mendirikan sebuah kota dan kerajaan sendiri.

Romulus dan Remus telah membuat keputusan untuk mendiami di bahagian tebing Sungai Tiber di mana tujuh bukit berdiri mengelilingi dataran di bawahnya. Geografi kawasan ini sangat sesuai kerana kewujudan bukit-bukau yang menjadi benteng semula jadi untuk membina sebuah kota yang baharu. Tambahan pula, kawasan ini tidak asing bagi mereka kerana dibesarkan dan hidup dalam komuniti penggembala yang mendiami kaki Bukit Palatine yang turut termasuk dalam tujuh bukit berkenaan iaitu Capitoline, Aventine, Caelian, Esquiline, Viminal dan Quirinal.

Pada saat inilah perselisihan berlaku antara Romulus dan Remus yang berakhir dengan tragedi. Persefahaman antara mereka gagal dicapai kerana kembar berkenaan saling bertengkar untuk memutuskan lokasi kota yang akan didirikan. Beberapa bukit yang terdapat berdekatan menjadi pilihan masing-masing untuk membentuk sebagai pusat penempatan baharu. Bukit Palatine menjadi pilihan Romulus, manakala Remus pula lebih mengemari Bukit Aventine.

Ketegangan semakin memuncak apabila Remus yang tidak berpuas hati cuba memprovokasi Romulus dengan menceroboh tembok pertahanan yang dibangunkan daripada kayu di Bukit Palatine. Tindakan tersebut mencetuskan kemarahan Romulus. Banyak cabaran yang telah mereka lalui bersama sebelum ini tetapi isu pemilihan tapak kota telah menyebabkan hubungan persaudaraan terputus. Akhirnya, konflik antara mereka berakhir apabila Romulus bertindak balas dengan membu.nuh saudaranya itu.

Perbalahan antara dua saudara ini seolah-olah diwarisi daripada konflik antara datuk mereka terdahulu, Numitor dan Amulius. Malah, ia berlanjutan sehingga ke generasi-generasi pemerintah Rom seterusnya dan konflik dalaman keluarga bertukar kepada pe.rang saudara yang sudah menjadi tidak asing lagi dengan gelora politik Rom ibarat satu sumpahan.

Setelah kema.tian Remus, tiada lagi pencabar yang mampu menggugat kedudukan Romulus sebagai pemerintah tunggal yang berpusat di Palatine. Jadi, begitulah kota Rom kuno yang masih lagi primitif diasaskan dengan mengambil nama sempena raja pertama mereka, Romulus.[1] Livy dalam penulisannya, “Kemudian raja berkenaan menjerit, ‘Musnahlah sesiapa yang berkeinginan melanggar tembokku.’” Maka, bermulalah perjalanan kota Rom yang masih lagi mentah dan berusaha bergelut dalam mengekalkan kelangsungannya di bawah pemerintahan Romulus selama 37 tahun.

NOTA KAKI:

[1] Menurut tradisi, Rom didirikan pada 21 April 753 SM. Hari kelahiran negara mereka tersebut diingati oleh penduduk Rom kuno mahupun Rom pada hari ini. Pasa masa kini, orang Itali menyambutnya sebagai hari cuti kebangsaan.

Anda sebenarnya sedang membaca salah satu daripada petikan buku terbaru kami, KITAB TAMADUN ROM. Kalau berminat nak membeli, jom berbuat demikian diwebstore kami di: bit.ly/pratempahktmktr

 


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Moving forward as one.

Comments are closed.