Selasa, 20 Oktober 202620 Okt 2026
Ikon Negara

Rogayah Hanim, Ibu Tokoh-Tokoh Ternama Melayu?

Pemergian sarjana besar negara, Profesor Diraja Tan Sri Syed Muhammad Naquib al-Attas pada 8 Mac 2026 baru-baru ini membuka kembali satu kisah lama yang jarang dibincangkan iaitu hubungan istimewa antara Johor pada zaman Sultan Abu Bakar dengan Empayar Uthmaniyah di Istanbul.

Di tengah-tengah kisah ini berdiri seorang wanita yang namanya mungkin kurang dikenali orang ramai, tetapi jejak keturunannya sangat besar dalam sejarah negara.

Namanya Ruqayyah Hanum, yang juga dikenali sebagai Rukiye Hanim atau Rogayah Hanim.

Kalau diteliti betul-betul, ramai tokoh besar Melayu sebenarnya berkait dengan wanita ini.

Pada akhir abad ke-19, Johor muncul sebagai antara negeri Melayu paling aktif menjalin hubungan dengan dunia Islam luar khususnya Empayar Uthmaniyah. Hubungan ini bukan hanya melalui utusan diplomatik atau hadiah istiadat. Ia juga diperkukuh melalui perkahwinan istana.

Antara peristiwa penting ialah apabila Sultan Abu Bakar berkahwin dengan seorang wanita dari Istanbul bernama Khadijah Hanum atau Hatice Hanim.

Pada 22 September 1893, perkahwinan mereka berlangsung di Istanbul sebelum beliau kemudian dimasyhurkan sebagai Sultanah Johor di Istana Zaharah pada 28 Februari 1894.

Khadijah Hanum dikatakan datang dari lingkungan harem istana khalifah Uthmaniyyah dan memiliki pengalaman mengurus kehidupan istana. Latar belakangnya berasal dari keturunan Caucasus iaitu wilayah di utara Turki yang kini meliputi kawasan Georgia dan Rusia.

Namun kisah yang lebih menarik sebenarnya berkait dengan seorang lagi wanita yang datang bersama jaringan hubungan ini iaitu adik kepada Khadijah Hanum sendiri, Ruqayyah Hanum.

Jika Khadijah Hanum menjadi Sultanah Johor, Ruqayyah Hanum pula menjadi simpul penting yang menghubungkan dunia Istanbul dengan salasilah bangsawan dan tokoh Melayu.

Perkahwinan pertama Ruqayyah Hanum ialah dengan Engku Abdul Majid, adinda kepada Sultan Abu Bakar. Daripada perkahwinan ini lahirlah seorang anak bernama Ungku Abdul Hamid.

Ungku Abdul Hamid kemudian menjadi ayah kepada seorang tokoh besar negara iaitu Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz.

Nama Ungku Abdul Aziz tidak perlu diperkenalkan lagi dalam sejarah Malaysia. Beliau merupakan tokoh ekonomi yang sangat berpengaruh, bekas Naib Canselor Universiti Malaya serta pengasas Tabung Haji yang mengubah landskap pengurusan kewangan umat Islam di negara ini.

Keturunan ini tidak berhenti di situ. Anak kepada Ungku Abdul Aziz pula ialah Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz, wanita pertama yang pernah menjadi Gabenor Bank Negara Malaysia.

Daripada seorang wanita bernama Ruqayyah Hanum, lahirlah satu garis keturunan yang memainkan peranan besar dalam ekonomi negara.

Selepas kematian Engku Abdul Majid pada tahun 1889, kehidupan Ruqayyah Hanum berubah lagi apabila beliau berkahwin buat kali kedua.

Kali ini dengan Syed Abdullah Syed Mohsin al-Attas, seorang pedagang Arab Hadhrami yang berasal dari Hadramawt di Yaman dan terkenal sebagai tokoh agama serta saudagar berjaya di Singapura dan Johor. Beliau juga dikenali sebagai Wali Empang.

Daripada perkahwinan ini lahirlah Syed Ali al-Attas.

Daripada Syed Ali inilah kemudian muncul dua tokoh sarjana besar tanah air iaitu Syed Hussein Alatas dan Syed Muhammad Naquib al-Attas.

Syed Hussein Alatas dikenali sebagai ahli sosiologi terkenal yang menulis tentang fenomena “mentaliti tertawan” dalam masyarakat pascakolonial.

Manakala adiknya, Syed Muhammad Naquib al-Attas pula dikenali di seluruh dunia Islam sebagai pemikir besar dalam bidang falsafah Islam dan pengasas Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa (ISTAC).

Generasi selepas mereka juga terus aktif dalam dunia akademik. Antaranya ialah Syed Farid Alatas dan Syed Ali Tawfik al-Attas yang meneruskan tradisi intelektual keluarga ini di peringkat antarabangsa.

Namun kisah Ruqayyah Hanum belum berakhir.

Selepas perkahwinan kedua itu berakhir, beliau berkahwin pula kali ketiga dengan seorang tokoh penting dalam pentadbiran Johor iaitu Dato’ Jaafar Haji Mohamad.

Dato’ Jaafar merupakan Menteri Besar Johor yang pertama dan antara tokoh penting dalam pentadbiran negeri tersebut pada akhir abad ke-19.

Daripada perkahwinan ini lahirlah tujuh orang anak. Salah seorang daripadanya ialah Dato’ Onn Jaafar.

Nama Dato’ Onn sangat besar dalam sejarah politik Malaysia. Beliau merupakan pengasas UMNO dan antara tokoh utama yang memperjuangkan kemerdekaan Tanah Melayu.

Legasi politik ini kemudian diteruskan oleh anaknya, Tun Hussein Onn, Perdana Menteri Malaysia yang ketiga yang dikenali sebagai Bapa Perpaduan.

Generasi selepas itu pula termasuklah Dato’ Seri Hishammuddin Hussein yang pernah menjadi Menteri Pertahanan dan Menteri Luar Malaysia.

Dan keturunan ini juga melahirkan Dato’ Onn Hafiz Ghazi yang kini menjadi Menteri Besar Johor.

Kalau dilihat secara ringkas, daripada seorang wanita bernama Ruqayyah Hanum lahir tokoh-tokoh besar dari pelbagai bidang.

Dalam bidang ekonomi, muncul Ungku Abdul Aziz dan Zeti Akhtar Aziz.

Dalam bidang politik, muncul Dato’ Onn Jaafar, Tun Hussein Onn dan pemimpin politik generasi seterusnya.

Dalam bidang keilmuan dan pemikiran pula muncul Syed Hussein Alatas dan Syed Muhammad Naquib al-Attas.

Menariknya, dua daripada tokoh ini iaitu Ungku Abdul Aziz dan Syed Muhammad Naquib al-Attas pernah dianugerahkan gelaran Profesor Diraja, satu pengiktirafan akademik tertinggi di Malaysia yang sangat jarang diberikan.

Semua ini berakar daripada seorang wanita yang datang dari dunia yang jauh, dari wilayah Caucasus berhampiran Georgia sebelum akhirnya menjadi sebahagian daripada sejarah Johor dan Tanah Melayu.

Walau bagaimanapun, ada satu perkara menarik yang sering disalah faham tentang Ruqayyah Hanum.

Ada yang menganggap beliau merupakan kerabat diraja Uthmaniyah. Namun menurut kajian oleh Prof. Dr. Syed Farid Alatas, tidak terdapat bukti kukuh yang menunjukkan beliau berasal daripada keluarga diraja.

Sebaliknya, gelaran “Hanum” atau “Hanim” pada masa itu sebenarnya lebih kepada gelaran sosial, seumpama panggilan “puan” bagi wanita bangsawan atau wanita yang berada dalam lingkungan istana.

Pada zaman tersebut juga, sebahagian wanita dari lingkungan harem istana boleh dihantar ke istana lain atau dikahwinkan dengan keluarga bangsawan di wilayah lain sebagai sebahagian daripada hubungan diplomatik.

Inilah yang kemungkinan berlaku dalam hubungan antara Istanbul dan Johor pada akhir abad ke-19.

Namun tanpa mengira latar asal usulnya, kesan kehadiran Ruqayyah Hanum di Johor jelas sangat besar.

Melalui perkahwinan dan keturunannya, jaringan Istanbul–Johor yang pada asalnya bermula sebagai hubungan diplomatik akhirnya berkembang menjadi jaringan keluarga yang melahirkan pemimpin politik, sarjana besar dan tokoh ekonomi negara.

Bayangkan seorang nenek yang cucu-cucunya menjadi Perdana Menteri, pengasas parti politik terbesar negara, pengasas Tabung Haji, Gabenor Bank Negara, serta dua Profesor Diraja.

Semua itu bermula dari seorang wanita bernama Ruqayyah Hanum.

Kadang-kadang sejarah tidak hanya dibentuk oleh raja atau peperangan.

Kadang-kadang, ia bermula dari seorang ibu.

Perhatian sebentar.

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami. Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM5.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM5 / RM10 / RM50

Kongsi

No comments yet