Perihal yang saya kira ajaib adalah di celah-celah myriad manuskrip-manuskrip klasik Arab terdapat banyak rekod tersembunyi yang menceritakan situasi dan panorama masyarakat Melayu-Jawi dan ketinggian identitinya pada masa lampau. Hal yang saya kira ajaib ini bisa kita temui dengan banyak jika pencermatan dilakukan ke atas pelbagai segmental penulisan sastera Arab era Bani Abbas sekitar zaman keemasannya pada abad ke-8 masihi.

“Risalah Mufakharatus Sudan ‘alal Bidan”

Adalah nama karya Al-Jahiz(776-869 masihi). Terjemahannya adalah “Risalah Kelebihan Bangsa Kulit Hitam keatas Bangsa Kulit Putih” adalah satu penulisan sains sosial yang sangat menarik memperjuangkan konsep kesamarataan ras dan etnik pada zaman pemerintah berbangsa Arab yang dilihat sebagai kelompok unggul atas bonus rupa paras mereka yang elok dan berkulit cerah.

Al-Jahiz sendiri ialah seorang cendekiawan berkulit gelap meskipun dari garis nasab beliau adalah seorang Arab Kinani(dari Bani Kinanah).

Kitab tersebut merupakan kompilasi tradisi-tradisi Arab-Islam sejak zaman Jahiliyyah meliputi pelbagai hadith, syarah ulama’, syair-syair dan riwayat-riwayat Arab dengan tujuan menjadi hujah dan dalil kemuliaan dan kehebatan bangsa berkulit hitam. Al-Jahiz mula menulis pada ketika itu atas tuntutan pihak pemerintah dengan objektif meredakan sentimen anti-Arab dalam komuniti hamba-hamba kulit hitam yang menduduki Selatan Iraq. Kitab itu sesudah siapnya bakal menjadi gula-gula sementara memujuk komuniti yang bangkit menentang penindasan dan penghinaan dengan memuji-muji kelebihan mereka. Namun ibarat panadol yang tidak menyembuhkan dan berkesan sementara, penyakit tersebut muncul sebagai pemusnah yang tidak dapat dihalang dengan sekadar goresan mata pena.

Setahun selepas kematian Al-Jahiz pada tahun 869 tercetuslah konflik sivil yang paling berdarah dalam sejarah Bani Abbas yang dikenali sebagai Pemberontakan Zanji. Kebangkitan masyarakat ‘kulit hitam’.

Jika kita berbalik kepada cebisan-cebisan nukilan Al-Jahiz mengenai bangsa Melayu-Jawi yang pada waktu tu sinonim sebagai “Zabaj”, “Zabag” atau jamaknya “Sayabija”, yakni kognat kepada nama yang kita kenali sebagai Jawa, Javaka, Sabak atau Srivijaya, saya kira ia sebenarnya adalah himpunan kisah-kisah yang dibawa pulang oleh pelayar-pelayar Arab yang ke Timur atau pelayar-pelayar Timur yang ke Arab, yang dihimpunkan dalam suasana keragaman metropolitan kota pelabuhan Basrah. Bahkan selatan Iraq dihuni oleh mereka seawal zaman Empayar Sasan dan memasuki era pengislaman sejak zaman Sayyidina Umar al-Khattab, dan jika kita menerima keabsahan Hikayat Merong Mahawangsa maka ia sepatutnya sudah berlaku sejak kurun-kurun sebelum masihi.

Kitab Mufakharat ini antaranya meriwayatkan hujah tokoh-tokoh kulit hitam Timur Tengah yang meletakkan bangsa mereka sebagai pendominasi umat manusia serta sebagai penduduk dunia yang paling ramai dan menariknya bangsa-bangsa negeri Melayu-Jawi digolongkan sekali sebagai sebahagian daripada mereka.

“Mereka berkata: Orang berkulit hitam lebih ramai berbanding mereka yang berkulit putih. Kebanyakan orang berkulit putih terdiri daripada bangsa Parsi, Jibal, Khurasan, Greek, Slavs, Franks dan Avars, dan lain-lain, jumlah mereka tidak ramai; Orang berkulit hitam termasuklah orang Zanj, Ethiopian, Fazzan, Berbers, Copts, Nubians, Zaghawa, Marw, Sind dan India, Qamar dan Dabila, China dan Masin…pulau-pulau di lautan antara China dan Afrika penuh dengan orang berkulit hitam, seperti Ceylon, Kalah, Amal, pulau Zabij, India, China, Kabul dan lain-lain.”

Nama Kedah dan Zabaj muncul di situ!

Lagi bebelan menurut tradisi Zanji kulit hitam,

“Orang Zanj juga berkata: Jika kita lebih ramai kerana Zabaj sahaja, kita masih lebih unggul berbanding dengan kamu disebabkan oleh merit kita. Jika raja Zabaj mempunyai masalah dengan rakyatnya, dan jika mereka tidak membayar cukai, dia akan hantar sebuah angkatan tentera seramai seribu orang bukan dengan arahan untuk memukul atau bergaduh. Dia akan memberi arahan kepada askar-askarnya untuk menyelesaikan masalah tersebut di antara mereka sehingga mereka akan bayar cukai mereka. Askar-askar dia akan mengacau mereka dengan buruk iaitu dengan merampas makanan dan pakaian daripada mereka supaya ianya lebih mudah untuk menjelaskan cukai. Jika mereka masih tidak menjelaskan cukai mereka, dia akan menghantar lagi ramai rejimen. Para pemerintah tempatan selalu akan mendapati diri mereka menjelaskan cukai dengan cepat kerana takut bahawa mereka dan rakyat mereka akan dimusnahkan oleh tenteranya.”

Petikan tradisi ini saya kira sangat menyeramkan kerana siapa sangka terdapat pendetailan amalan dan polisi pemerintah Zabaj yang sedemikian jika penulisan ini tidak wujud? Ia juga pada saya amat melucukan kerana kita sudah maklum akan tabiat polisi psiko pemerintah Melayu yang nampak beleh tapi kesannya ‘makan’ cukup dalam. “Gentleman of The East” kata kolonial British.

Al-Jahiz kemudian menghikayatkan kisah yang saya pasti kita semua tak pernah dengar bahkan tak dijumpaipun rekod sedemikian setakat ini di alam kita! Allah!

Hikayat Raja Zabaj dan Buaya:

“Satu hari, Raja Zabaj telah datang ke satu muara sungai yang berukuran beberapa prasangs panjang dan beberapa prasangs lebar. Semasa dalam khemahannya dia terdengar seorang wanita menangis. Dia telah berhenti makan untuk keluar berjumpa wanita tersebut dan bertanya apa yang telah berlaku. Dia telah diberitahu bahawa anak lelaki wanita tadi telah dibaham oleh seekor buaya yang tinggal di dalam paya tersebut.

Raja tersebut menjadi murka sebab makhluk sebegitu telah membaham salah seorang rakyatnya. Raja tersebut kemudian menyelam ke dalam air paya tersebut dan askar-askarnya mengikutnya. Mereka telah membunuh setiap satu buaya di kawasan tersebut dengan menggunakan tangan mereka sahaja.
Jumlah rakyat Zabaj pada masa itu terdiri daripada separuh populasi dunia!

Di hujung dunia yang berpenghuni semuanya adalah orang berkulit hitam. Populasi di kawasan hujung dunia ini lebih ramai berbanding dengan di kawasan pertengahan, seperti lilitan sebuah kincir angin di dalam angin yang lebih besar berbanding dengan pivot kincir angina tersebut, ianya seperti balkoni rumah, ianya sempit tetapi apabila ia mengelilingi rumah jumlah kawasannya lebih besar berbanding rumah itu sendiri. Selepas tanah Zabag, tidak ada lagi orang berkulit putih kerana kita telah sampai ke pinggir dunia di mana semua rakyat di kawasan itu berkulit hitam. Inilah bukti bahawa kita lebih ramai berbanding mereka yang berkulit putih dan kita ada hak untuk berbangga dengannya.”

Riwayat ini ringkasnya adalah satu tradisi yang telah lama menyepi dan kini muncul kembali mengkisahkan kepada anak cucu mereka legenda seorang raja kerajaan Zabaj yang adil, begitu menyelami kesusahan rakyatnya, bertindak dengan kadar segera bagi meyelamatkan keadaan meskipun yang terjejas hanyalah seorang wanita yang kematian anak. Siapakah beliau dan di manakah kerajaan Zabaj baginda itu berpusat daripada hakikat jajahannya menurut catatan yang lain adalah sehingga sejauh pantai Afrika Timur. Dalam peristiwa di atas beliau mungkin mendirikan camp dalam rangka royal entourage ke salah satu jajahannya yang konon dikatakan mengambil masa bertahun-tahun lamanya untuk dijelajahi satu-persatu. Muara berpaya seluas beberapa parsakh, dan berbuaya di mana agaknya ya?

Apapun kisah ini menjadi sebahagian daripada seragaman pemerintah-pemerintah adil pada zaman Islam. Misalnya, tuntutan jihad menyerbu perbatasan Byzantine segera dipenuhi Khalifah al-Mu’tasim setelah seorang muslimah yang diaibkan berteriak-teriak menyeru nama Amirul Mukminin agar dia dan maruahnya diselamatkan.

1000 tahun lampau Arabi sama Sudani bergaduh, Melayu juga yang dapat nama.

Allahua’lam.

~Tuan Merbok II

The Legend of Bujang and Rejang

Gambar hiasan: “Bujang Senang, Sarawak Legendary of White Crocodile”, (Robinsonmike.blogspot.com.my)


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Nabil Nadri atau nama penanya Tuan Merbok merupakan pencinta sejarah, arkeologi dan budaya. Penulisannya yang banyak datang dalam bentuk artikel atau posting ringkas menyentuh pelbagai subjek menarik terutamanya berkaitan Alam Melayu dan Dunia Islam. Pencarian nasab dan salasilah diri menjadi obsesi yang mewarnai aktiviti beliau kebelakangan ini disamping usaha beliau menjejak ratusan artifak Batu Aceh yang terdapat di Tanah Melayu. Nabil Nadri merupakan graduan Sarjana Muda dari Jabatan Sejarah dan Ketamadunan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (2014-2016) dan kini sedang dalam peringkat melanjutkan pengajian Sarjana dalam bidang Sejarah di universiti yang sama

Comments are closed.