Dalam tamadun India purba, terdapat dua buah epik masyhur yang masih dihargai oleh jutaan penganut Hindu sehingga ke hari ini – Mahabharata dan Ramayana.

Kedua-duanya signifikan kerana dianggap sebagai naskhah Itihasa Hindu (hikayat sejarah Hindu), persis Shiji bagi tamadun China, Kojiki bagi tamadun Jepun, Theogony bagi tamadun Yunani, dan Popol Vuh bagi tamadun Maya.

Untuk sesebuah naskhah diterima sebagai Itihasa, terdapat dua ciri penting yang digariskan. Pertama, pengarangnya perlu menyaksikan sendiri peristiwa yang diceritakan. Kedua, setiap kisah perlu disulami dengan ajaran-ajaran Hindu supaya naskhah berkenaan kekal relevan pada setiap zaman.

Bagaimanapun sebagai sebuah hikayat, Ramayana tidak lekang daripada unsur legenda, mitos, dan pertem.puran-pertem.puran yang di luar akal munasabah dengan kesemua 24,000 ayat yang tercantum di dalamnya memerihalkan perjalanan hidup Putera Rama yang dipercayai sebagai inkarnasi Vishnu yang ketujuh.

Valmiki, pengarang Ramayana dan guru kepada dua putera Rama

Penulisan Ramayana selalunya dikaitkan dengan seorang tokoh bernama Valmiki. Tarikh penulisannya ditetapkan sekitar kurun ke-5 Sebelum Masehi – yakni kurun sama dengan Homer (penulis Illiad dan Odyssey, 484-425 SM) dan Confucius (penulis Hikayat Musim Bunga dan Musim Luruh, 551-479 SM).

Epik ini sebenarnya merupakan catatan semula Valmiki terhadap jawapan Narada ke atas soalannya tentang siapakah gerangan manusia yang berperibadi paling luhur, paling berbudi, dan paling bijaksana di muka bumi. Bagi Narada, sosok peribadi tersebut tidak lain ialah Rama justeru lahirlah karya Ramayana.

RINGKASAN KETUJUH-TUJUH JILID RAMAYANA

Jilid pertama Ramayana disebut sebagai Bala Kanda (Jilid Kanak-Kanak). Jilid ini bermula dengan lampiran isi perbualan antara Narada dan Valmiki, serta pernyataan Valmiki yang beliau mendapat bimbingan daripada TUHAN untuk mengarang epik berkenaan – suatu hal yang lazim bagi sesebuah epik klasik.

Kemudian, penulisan berpindah kepada penceritaan seputar kelahiran Rama dan adik-beradiknya, iaitu Lakshmana, Bharata, dan Shatrughna. Masing-masing merupakan putera kepada Raja Dasharatha dan tiga orang ratunya, iaitu Kaushalya, Sumitra, dan Kaikeyi. Kerajaannya dikenali sebagai Kerajaan Kosala dan berpusat di Ayodhya, Uttar Pradesh.

Jilid pertama ini turut mencantumkan kisah perguruan Rama dan adiknya, Lakshmana. Di bawah tunjuk ajar Vishwamitra, mereka berdua mendalami seni pertem.puran, hikmah falsafah, dan legenda budaya.

Ilustrasi bagi babak Rama dan Lakshmana berguru dengan Vishwamitra dan melindungi api yagna dari rakshasa

Pada usia remaja, Rama dan Lakshmana memasuki hutan belantara bagi melindungi Vishwamitra dan api-api yagna dari gangguan dua ekor rakshasa (syaitan) bernama Tataka dan Subahu. Yagna, sebagai makluman, merupakan sejenis ritual api yang dinyalakan selama tujuh hari tujuh malam sebagai doa selamat atas kesejahteraan alam sejagat.

Setelah berlalu kisah tersebut, Bala Kanda ditamatkan dengan babak perkahwinan antara Rama dan Sita, puteri Kerajaan Videha.

Ilustrasi menggambarkan majlis perkahwinan Rama dan Sita

Jilid kedua pula disebut sebagai Ayodhya Kanda (Jilid Ayodhya). Jilid ini dimulakan dengan Raja Dasharatha menamakan Rama sebagai pewaris takhta. Penamaan tersebut dipersetujui oleh seluruh isi kerajaannya. Takdir bagaimanapun mempunyai percaturan berbeza.

Manthara, dayang kepada Ratu Kaikeyi, tidak menyenangi penamaan tersebut. Fikirnya, kedudukan Bharata sebagai putera Ratu Kaikeyi akan tergu.gat andai Rama dinaikkan memandangkan Rama adalah putera kepada ratu pertama Dasharatha, iaitu Kaushalya. Maka, kegusaran Manthara itu pun disampaikan kepada Ratu Kaikeyi.

Dalam masa yang sama, beliau turut mengingatkan Kaikeyi tentang janji lama Dasharatha untuk menunaikan dua hajat ratunya itu – walau apapun hajatnya. Lantas, Kaikeyi pun menagih janji.

Beliau meminta supaya puteranya Bharata ditabalkan sebagai Putera Mahkota menggantikan Rama. Hajat kedua, Rama diminta supaya diu.sir ke hutan selama 14 tahun. Tujuannya tidak lain adalah supaya kedudukan Bharata kelak bebas dari sebarang an.caman.

Atas hasutan dayang Manthara, Ratu Kaikeyi meminta Raja Dasharatha supaya mengu.sir Rama ke hutan selama 14 tahun dan menabalkan Bharata sebagai putera mahkota

Permintaan tersebut diakuri oleh Dasharatha dan Rama. Dengan ditemani adiknya Lakshmana dan menterinya Sumantra, Rama pun memulakan lembaran baru dalam hidupnya – hidup terasing di dalam hutan. Sita pun ikut sama. Itu pun setelah gagal dipujuk supaya tinggal di Ayodhya.

Babak di Hutan Dandaka kebanyakannya berkisar tentang Rama berguru dengan beberapa orang pendeta. Antaranya seperti Atri, Sharabhanga, Sutiksna, dan Agastya. Begitu juga dengan babak pertem.bungan antara Rama dan syaitan Viradha yang cuba mencu.lik Sita.

Intisarinya, Ayodhya Kanda sarat dengan nilai berpegang pada janji. Yakni, janji Dasharatha untuk melunaskan hajat Kaikeyi; janji Rama untuk hidup dalam bu.angan selama 14 tahun walaupun berkali-kali dipujuk oleh Bharata dan Shatrughna untuk kembali; dan janji Bharata untuk memerintah Kosala sebagai pemangku Rama dan bukannya raja mutlak (beliau malah bersumpah untuk membu.nuh diri jika Rama tidak pulang selepas habis tempoh 14 tahun).

Setelah lama berada di Hutan Dandaka, Rama berpindah ke Panchavati. Jilid ketiga yang berjudul Aranya Kanda (Jilid Hutan) bermula dengan babak perpindahan tersebut. Ketika di Panchavati, Rama bertem.bung dengan antagonis utama iaitu seekor raja syaitan bernama Ravana.

Peta perjalanan Rama dari Hutan Dandaka ke Kishkinda lalu ke Lanka

Penolakan cinta menjadi punca kon.flik antara mereka berdua. Dikisahkan, Surpanakha si adik Ravana jatuh cinta kepada Rama. Namun, cintanya ditolak. Dek kerana malu dan kecewa, Surpanakha lantas mengadu kepada tiga ekor abangnya yang bernama Kher, Dusana, dan Trisira.

Tiga malaun ini pun menye.rang Rama, namun te.was dan ma.ti. Ravana kehilangan tiga beradik, membuatkan berangnya naik bukan alang-kepalang. Untuk membalas den.dam, Ravana mendapatkan bantuan Mericha yang juga seekor rakshasa.

Rancangan mereka berdua adalah mencu.lik Sita, dengan Mericha menyamar sebagai seekor rusa emas. Sebaik melihat kecantikan rusa tersebut, Sita meminta Rama supaya mendapatkannya. Rama akur lalu menitipkan Sita kepada Lakshmana. Seperti biasa, Rama tidak mengalami kesukaran untuk mendapatkan bu.ruannya itu.

Konflik antara Rama dan Sita bermula apabila Sita dicu.lik oleh Ravana ketika Rama membu.ru rusa emas

Cuma atas permainan sakti Mericha, suara erangan rusa tersebut kedengaran di telinga Sita sebagai suara Rama. Justeru, beliau meminta Lakshmana supaya segera membantu Rama. Lakshmana akur dan dengan berat hati bergegas keluar meninggalkan Sita bersendirian di dalam teratak. Beliau bagaimanapun sempat membuat pendinding di sekeliling Sita sebagai perlindungan.

Namun, Ravana yang sedari tadi menanti peluang lantas menjelma sebagai seorang pertapa yang daif. Sita yang tidak mengesyaki sebarang niat jahat pun bertindak keluar dari pendinding untuk menghulurkan bantuan, hanya untuk dicu.lik.

Ketika melarikan diri, Ravana terserempak dengan Jatayu si menakan Garuda yang bersumpah setia kepada Rama. Perta.rungan antara keduanya pun tercetus, dengan Jatayu terkor.ban. Sita dilarikan oleh Ravana ke Sri Lanka lalu menamatkan jilid ketiga Ramayana.

Jilid keempat yang disebut sebagai Kishkinda Kanda (Jilid Kishkinda) disambung dengan penceritaan tentang Kishkinda, kerajaan monyet yang kemudiannya menjalinkan hubungan mesra dengan Rama.

Dalam Ramayana, perkataan yang digunakan untuk merujuk rakyat kerajaan ini ialah vanara. Secara harfiah, vanara bermaksud manusia hutan manakala monyet dalam Bahasa Sanskrit pula ialah kapi. Justeru, wujud pandangan yang menyatakan bahawa Kishkinda bukanlah kerajaan monyet sebaliknya sebuah kerajaan terpencil di hutan.

Kishkinda Kanda dimulakan dengan Sugriva si raja Kishkinda diusir oleh abangnya, Vali. Beliau kemudian didatangi oleh Rama yang ditunjuki oleh seorang pendeta bernama Shabari. Menurut ramalan Shabari, raja vanara akan membantu Rama mencari Sita.

Ilustrasi menggambarkan pakatan antara Rama dan Sugriva, raja vanara

Justeru seusai berkongsi latar belakang, mereka berdua pun bersumpah setia untuk saling membantu – Rama membantu Sugriva mene.waskan Vali, dan Sugriva pula membantu Rama menyelamatkan Sati.

Setelah takhta Kishkinda berjaya dikembalikan kepada Sugriva, vanara-vanara di serata pelusuk dunia pun diseru untuk berhimpun. Sejumlah pasukan kemudian dibentuk. Setiap satunya dihantar ke segenap penjuru benua bagi mencari keberadaan Sita.

Hanuman, si pembantu kepercayaan Sugriva, ditugaskan ke selatan. Atas bantuan saudara Jatayu yang bernama Sampati, Hanuman berhasil mengenal pasti lokasi Sita. Dengan itu, bermulalah perjalanan dan pengembaraan Hanuman di Sri Lanka yang dimuatkan ke dalam jilid kelima, berjudul Sundara Kanda.

Sundara dalam Bahasa Sanskrit membawa maksud jelita atau mulia. Namun di sini, ia merujuk kepada panggilan terhadap Hanuman. Dalam bab kelima ini, beliau merupakan watak utama sebagai satu-satunya vanara yang boleh merentasi laut dan menjejakkan kaki di Sri Lanka.

Selepas mengenal pasti lokasi Sita di Lanka, Hanuman menebarkan keka.cauan dengan memba.kar seluruh kerajaan Ravana

Sebaik sahaja Hanuman menemui Sita di istana Ravana, beliau pun mengirimkan cincin titipan Rama sebagai bukti yang beliau datang mewakilinya dan bertujuan menjemput Sita pulang. Namun, Sita enggan kerana baginya, Rama sendiri yang patut datang membalas den.dam ke atas Ravana. Sita kemudian menitipkan barang kemasnya kepada Hanuman bagi membuktikan yang mereka berdua berhasil bertemu empat mata.

Masa terus bergulir. Sepanjang berada di Lanka, Hanuman sempat membuat keka.cauan. Aksaya, si putera Ravana sendiri terbu.nuh. Hanuman kemudian tertang.kap dan dibawa menghadap Ravana. Sebagai hu.kuman, ekornya diba.kar.

Hanuman bagaimanapun punyai rancangan tersendiri. Dengan menyeru nama Rama berulang kali, ekornya tumbuh panjang. Justeru, kain berminyak yang membalutinya terpaksa ditambah – makin lama makin banyak. Kemudian sebaik sahaja api dinyalakan, Hanuman mengubah bentuknya menjadi gergasi sekali gus merebakkan keba.karan ke seluruh Lanka.

Usai membuat kacau, Hanuman lantas terjun ke dalam laut dan pulang mendapatkan pasukannya yang menanti di pantai selatan India. Mereka kemudian pulang ke Kishkinda membawa khabar gembira buat Sugriva dan Rama. Bala ten.tera lantas dihimpunkan dan diberangkatkan ke Lanka, menamatkan penceritaan Jilid Sundara.

Kisah disambung dalam jilid keenam yang berjudul Yuddha Kanda (Jilid Peperangan). Penceritaannya dimulai oleh kisah pembinaan jambatan yang menghubungkan antara India dan Sri Lanka. Umum mengenalinya sebagai Jambatan Adam.

Pertem.puran antara Rama dan Ravana sebagai kemuncak epik Ramayana

Sebaik jambatan selesai dibina, pertem.puran akhir antara Rama dan Ravana pun bermula. Babak-babaknya agak berjela, dengan satu demi satu rakshasa utama tampil menghadapi Rama, Lakshmana, dan Hanuman.

Sepanjang 13 hari suntuk, keputusan pepe.rangan bersilih-ganti antara pihak Rama dan Ravana. Tentu sekali, Rama yang memenanginya.  Juga sepertimana yang boleh dijangka, Rama kembali ke Kishkinda dan ditabalkan sebagai raja sekaligus mengakhiri jilid keenam Ramayana.

Jilid ketujuh dan terakhir Ramayana bertajuk Uttara Kanda. Ia secara umum disifatkan sebagai kisah tambahan dan bukannya karya asli Valmiki. Jilid ini bercerita tentang pengu.siran Sita ke hutan akibat toh.mahan masyarakat awam. Sepanjang tempoh bu.angan tersebut, beliau dijaga oleh Valmiki yang turut bertanggungjawab melatih dua orang puteranya yang masing-masing dilahirkan di hutan, iaitu Luv dan Kush.

Dalam masa yang sama, Rama mengadakan kempen perluasan kuasa menerusi Ashwamedha Yagna (suatu tradisi di mana raja akan melepaskan segerombolan kuda ke wilayah jiran. Pemerintah tempatan kemudian diberi pilihan sama ada menambat atau membiarkan kuda tersebut. Jika kuda ditambat, ia bermakna mereka memilih pepe.rangan dan jika kuda dibiarkan, ia bermaksud damai).

Takdir menentukan yang kuda-kuda tersebut tertambat di hutan tempat Luv dan Kush menetap. Hanuman kemudian dihantar ke sana, disusuli oleh adik-beradik Rama. Namun, masing-masing ditahan oleh kedua-dua putera tersebut, membuatkan Rama sendiri turun padang.

Ilustrasi menggambarkan dua orang putera Rama, iaitu Luv dan Kush berguru dengan Valmiki

Dek kagum dengan keterampilan Luv dan Kush, Rama lantas menjemput keduanya ke sebuah keraian di Ayodhya tanpa mengetahui identiti sebenar mereka. Setiba di sana, Luv dan Kush pun mendendangkan bait-bait puisi Ramayana yang diajarkan oleh Valmiki.

Sesampai pada bait yang menceritakan perihal pengu.siran Sita, Rama dirundung duka dan rindu. Saat itu juga, Valmiki membawa Sita ke penghadapan Rama sekali gus menyatukan semula empat beranak yang telah lama terpisah. Kishkinda akhirnya dimeriahkan semula dengan sebuah keluarga diraja yang lengkap sekali gus menamatkan epik puisi yang berusia 2,500 tahun itu.

PENGARUH RAMAYANA DI ASIA TENGGARA DAN SAMBUTANNYA PADA HARI INI

Kemasyhuran epik Ramayana bukan sekadar terhad dalam lingkungan masyarakat di India, akan tetapi ia turut tersebar hampir ke seluruh Asia Tenggara sehingga tahun 1,500 Masehi menerusi mubaligh-mubaligh Buddha dan Hindu. Patung dan prasasti berkaitan Ramayana boleh dijumpai di beberapa buah negara seperti Kemboja, Myanmar, Thailand, Malaysia, dan Indonesia.

Persembahan teater, tari-menari, dan wayang kulit yang diamalkan di Asia Tenggara juga banyak mengadaptasi kisah-kisah dari epik ini. Masyarakat Jawa misalnya membumikan Ramayana sebagai Kakawin Ramayana sementara suku Thai pula mengenalinya dengan nama Ramakien.

Di India, sambutan berasaskan Ramayana memenuhi kalendar tahunan mereka. Pada bulan Mac misalnya, sembilan hari dikhususkan untuk merayakan kelahiran Rama. Sepanjang tempoh tersebut, penganut Hindu akan berpuasa dan membacakan epik Ramayana berulang kali.

Memasuki bulan September atau Oktober, kerayaan Dussehra pula disambut sebagai meraikan kemenangan Rama. Keraian ini dihiasi dengan pembacaan Ramlila (ringkasan Ramayana), jamuan makan, persembahan wayang kulit, dan persembahan teater. Pada hari kesembilan, mereka akan berpuasa manakala pada hari ke-10, mereka akan memba.kar patung Ravana.

Pada hari kesepuluh sambutan Dussehra, patung Ravana akan dibakar sebagai simbolik kemenangan rohani

Dalam keraian tersebut, patung Ravana digambarkan mempunyai 10 kepala sebagai simbol peribadi buruk yang wujud dalam diri manusia; iaitu syahwat (kama vasana), amarah (krodha), khayal (moha), tamak (lobha), megah diri (mada), hasad (matsara), pentingkan diri (swartha), benci (durmati), bengis (amanavta), dan sombong (ahankara).

Selepas berlalu dua puluh hari, keraian Dussehra akan disusuli oleh pesta cahaya atau Diwali. Pesta ini adalah simbolik kepada kemenangan rohaniah, merujuk kepada kepulangan Rama ke Ayodhya setelah mene.waskan Ravana.

Tempat-tempat yang dikunjungi oleh Rama sepanjang tempoh pengusirannya ke hutan juga dijadikan sebagai tempat pemujaan yang masyhur bagi kebanyakan penganut Hindu. Begitu juga dengan kota Ayodhya, tanah kelahiran Rama. Ia tidak lekang dari kunjungan manusia sekali gus membuktikan betapa pengaruh Ramayana masih tertanam subur dalam jati diri mereka.

RUJUKAN

Singh, Brinda. (30 Ogos 2020). Ramayana: The Grand Epic of Ancient India. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/myths-legends-asia/ramayana-0014190

Teacher, Universal. (n.d.). Bala Kanda.
https://universalteacher.com/1/bala-kanda/

Teacher, Universal. (n.d.). Ayodhya Kanda.
https://universalteacher.com/1/ayodhya-kanda/

Teacher, Universal. (n.d.). Aranya Kanda.
https://universalteacher.com/1/aranya-kanda-aranya-kandam/

Vyasanonline. (n.d.). Kishkinda Kanda.
https://www.vyasaonline.com/kishkindha-kanda/

Teacher, Universal. (n.d.). Sundara Kanda.
https://universalteacher.com/1/sundara-kanda/

Vyasaonline. (n.d.). Yuddha Kanda.
https://www.vyasaonline.com/yuddha-kanda/

Teacher, Universal. (n.d.). Uttara Kanda – Valmiki Ramayana Story.
https://universalteacher.com/1/uttara-kanda-valmiki-ramayana-story/

 

 


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Pencinta bahasa ibunda dan sejarah dunia. Amir Zayyanid merupakan seorang penulis dan penterjemah bebas yang menyimpan impian mahu menabur bakti kepada anak pertiwi menerusi pendokumentasian sebanyak mungkin bahan bacaan, sama ada fiksi mahupun bukan-fiksi.

Comments are closed.