Ahad, 25 Oktober 202625 Okt 2026
Kronikel Dunia

Republik Ezo: Sebuah Negara Yang Hilang

Etnik Ainu dan Hokkaido

Beberapa hari lepas, terbaca mengenai satu berita
tentang etnik Ainu yang tinggal di utara pulau Hokkaido di Jepun. Hari ini,
kita kenali Hokkaido sebagai kawasan pelancongan yang amat terkenal. Sebagai
contoh, Tasik Biru muda di Biei yang sungguh indah, taman lavendar di ladang
Tomita dan bandar Sapporo adalah antara tarikan yang ada.

Di Hokkaido, mengikut sejarah, masyarakat Ainu adalah
penduduk asal berbanding penduduk Jepun yang digelar Yamato.

Menariknya, berita tersebut menyatakan bahawa buat
pertama kalinya setelah beratus-ratus tahun, Jepun akhirnya akan meluluskan
satu rang undang-undang yang mengiktiraf masyarakat Ainu sebagai orang asli
(indigenous) di Jepun.

Hal ini kerana, masyarakat Ainu yang sememangnya
terkenal dengan kekayaan budaya, tradisi dan adat tempatan yang unik, telah
dibelenggu masalah diskriminasi akibat daripada polisi asimilisasi paksa yang diamalkan
kerajaan Jepun sejak dahulu lagi.

Apa yang penting kita kena faham di sini adalah,
masyarakat Ainu dan orang Jepun itu sendiri berbeza dari segi budaya, agama dan
nilai kesenian yang diamalkan. Malah, bahasa pun lain. Namun begitu,
nilai-nilai ini semakin hilang terhakis dek kerana ditelan zaman.

Satu tinjauan pada 2017 menunjukkan ada lebih kurang
12000 penduduk etnik Ainu di Jepun. Berdasarkan sebuah jurnal pula pada tahun
2011, tidak lebih 15 orang Ainu sahaja yang mampu untuk bertutur fasih menggunakan
bahasa ini dan lebih kurang 300 orang sahaja yang boleh faham. Sayang sekali,
sungguh kecil jumlah mereka yang tahu bahasa Ainu ini.

Maka, rang undang-undang pelindungan
masyarakat asli Ainu ini penting untuk “melindungi kehormatan, maruah dan kemuliaan
masyarakat Ainu” serta “mengingatkan kepada generasi Ainu yang akan datang,
bahawa perlunya untuk mereka merealisasikan sebuah masyarakat yang berwarna-warni
dengan nilai-nilai yang pelbagai”, bak kata Yoshihide Suga, jurucakap kerajaan
pimpinan Liberal Democratic Party (LDP) di Jepun.

(Rujukan: https://www.channelnewsasia.com/news/asia/japan-to-recognise-indigenous-ainu-people-for-first-time-11245724)

Jadi, masyarakat Ainu ini mengingatkan penulis tentang
sebuah insiden yang pernah berlaku di Hokkaido suatu masa dahulu. Dan di
Hokkaido inilah, sebuah negara yang bernama Republik Ezo ataupun Ezochi pernah
wujud.

Perang Saudara Boshin: Imperial vs Shogun

Semuanya
bermula begini. Pada tahun 1868, Perang Boshin (戊辰戦争) ataupun Boshin
Sensō
telah tercetus menyaksikan pertempuran saudara antara golongan yang
pro-Maharaja dan golongan yang pro-Shogun. Era ini dikenali sebagai era
Bakumatsu.

Hal ini berlaku gara-gara
kemarahan rakyat tempatan yang bangun menentang orang gasar dari negara Barat
tidak dapat dibendung lagi. Mereka ini ialah golongan pro-Maharaja.

Mereka mahu
Keshogunan Tokugawa digulingkan dan diganti dengan pemerintahan penuh de facto
oleh Maharaja Jepun. Hal ini kerana, awal-awal lagi bermula dengan ugutan
Commodore Perry, Keshogunan Tokugawa akhirnya akur tunduk dengan menandatangani
beberapa perjanjian berat sebelah (unequal treaties) dengan kuasa Barat.

Ini dilihat sebagai
satu penghinaan kepada maruah Jepun kerana pengaruh Barat ditakuti akan
menghancurkan tradisi masyarakat tempatan itu sendiri selain daripada monopoli
yang diamalkan pedagang Barat menyebabkan kerugian kepada pedagang Jepun. Agama
Kristian juga semakin mudah disebarkan.

Maka, mereka sudah hilang kepercayaan dengan keupayaan Keshogunan Tokugawa untuk menjaga maruah bangsa dan negara. Masa untuk perubahan sudah tiba. Slogan sonnō jōi pula semakin kerap kedengaran di serata tempat yang bermaksud, “Hormati Tuanku Maharaja, Halau Orang Gasar Keluar!” (Rever the Emperor, Expel the Barbarians). Orang Gasar dari Barat ini juga dibenci kerana perangai mereka yang angkuh dan riak.

Maharaja Mutsuhito (Meiji) ketika muda

Mereka ini dipimpin
oleh Maharaja Mutsuhito (kemudiannya dikenali sebagai Meiji). Pada tahun 1868,
Maharaja Mutsuhito baru setahun menaiki takhta Jepun (1867). Ketika itu,
baginda tuanku hanya berumur 16 tahun.

Tentera Imperial pula dipimpin sendiri oleh Putera Komatsu Akihito dengan penyertaan puak-puak penentang dari kawasan Barat Jepun yang berpengaruh seperti Satsuma dan Choshu. Puak-puak ini sememangnya sudah lama berdendam dengan Tokugawa selepas Pertempuran Agung Sekigahara pada tahun 1600. Ketika itu, Maharaja cumalah seorang pemerintah hiasan saja, tiada kuasa eksekutif seperti yang dimiliki Shogun. Mere figurehead.

Umum mengetahui
bahawa Jepun diperintah oleh seorang ketua pemerintah tentera yang digelar
Sei-i Taishōgun ataupun Shogun. Segala samurai yang ada di tanah ini tunduk
dibawah kekuasaan puak Tokugawa yang mentadbir sebagai Keshogunan Tokugawa
sejak 1600-an lagi. Mereka yang tetap setia mempertahankan hegemoni Tokugawa
ini ialah golongan pro-Shogun.

Mereka ini berpegang
teguh kepada kod Bushido Samurai yang menekankan kesetiaan kepada puak Tokugawa
memandangkan nenek moyang mereka pun mula-mula bernaung dan berkhidmat untuk
Tokugawa. Skuad Shinsengumi yang terkenal tu merupakan salah satu pengikut golongan
pro-Shogun.

Shogun terakhir, Tokugawa Yoshinobu

Ironinya, puak Samurai sendiri yang terpaksa akur melayan kehendak dan nafsu pendatang Barat walaupun merekalah yang mula-mula dilihat paling pantang bila melibatkan kemasukan orang luar ini. Ini sebenarnya tanda kelemahan pentadbiran Tokugawa. Maklumlah, hampir 300 tahun Jepun aman damai dibawah pentadbiran mereka. Good times create weak men after all.

Puak-puak samurai
yang berada di belah Timur Jepun umumnya menyokong Shogun manakala bagi puak-puak
samurai di bahagian Barat, majoriti menyokong pihak Imperial.

Jadi, teknologi
baratpun semakin diguna pakai oleh kedua-dua pihak. Kapal-kapal perang besi
(ironclad) diperkenalkan. Ada yang dibeli dan ada yang dibina khas untuk
pertempuran. Pihak Imperial (Maharaja) mendapat sokongan dan khidmat nasihat
dari Britain dan Amerika Syarikat manakala pihak Shogun pula disokong oleh
Perancis.

Masing-masing tidak
mahu ketinggalan dalam mendapatkan kepakaran asing. Bukan setakat senjata, gaya
pakaian uniform pun sudah ditiru. Kuasa Barat pula memanglah seronok sebab
dapat kaut keuntungan dari konflik ini. Bagi mereka, lagi lama perang, lagi
bagus.

Beberapa orang pengikut golongan Imperial sedang mengatur strategi

Pertempuran demi
pertempuran tercetus. Angka korban terus mencanak naik. Apa yang menarik ialah,
gabungan seni perang tradisional iaitu gaya samurai dan seni perang Barat dapat
dilihat. Senjata api dan katana diguna bersama. Busur Yumi dan laras senapang
turut mengambil tempat masing-masing.

Tunggu sekejap.
Bukankah ini mengingatkan kita kepada kerajaan Melaka dulu?

Keris dan istinggar.
Tombak dan pemuras. Bedil dan pelantak. Semuanya diadun bersama, sesedap rasa.
Cuma bezanya di sini, kualiti senjata api buatan Melaka tidak sedikit pun
rendah kalau dibandingkan dengan kualiti senjata api buatan Eropah seperti
Prussia yang sezaman dengannya. Kalau nak banding meriam kayu buatan Jepun
dengan meriam buatan Britain dalam era Bakumatsu ni, jawabnya memang beza macam
langit dengan bumi.

Sedang asyik mereka
bermain dengan teknologi asing, pihak pro-Shogun nampaknya mulai longlai.
Kekalahan demi kekalahan menyelubungi mereka. Kemahiran pihak Imperial
nampaknya lebih terserlah walaupun sebenarnya, tentera Shogun lebih ramai.
Pengunduran demi pengunduran terpaksa dibuat sehinggalah tiba di Edo.

Shogun Tokugawa
Yoshinobu akhirnya menyerah diri di Edo. Namun, masih ramai yang berdegil tidak
mahu menyerah kalah kepada pihak Maharaja yang dilihat sebagai ancaman kepada
kemandirian golongan samurai.

Sukar sedikit hendak dijelaskan kerana nak kata golongan Imperial sebagai anti-Samurai, itu salah kerana penyokong kuat mereka seperti Satsuma dan Choshu juga merupakan asal dari puak samurai tersohor iaitu Shimazu dan Mori.

Nak kata mereka ini anti-Barat pun, juga salah kerana merekalah yang akan mempercepatkan lagi proses pembaratan (westernisation) yang akan berlaku di Jepun. Dalam konflik ini, tiada pihak yang baik, dan tiada pula yang jahat.

Lahirnya Republik Ezo

Perjalanan armada Shogun dibawah pimpinan Laksamana Enomoto

Baik, selepas Shogun
Yoshinobu menyerah kalah di Edo, penentangan tetap diteruskan. Laksamana
Enomoto Takeaki yang memimpin armada laut Shogun antaranya, telah berundur ke
Hakodate, Ezo. Ketika ini, belum wujud lagi nama Hokkaido.

Pada Januari 1869,
bersama-sama saki baki tentera laut Shogun yang berjumlah 3000 tentera dan 8
kapal perang berkuasa wap/stim (Kaiten, Banryū, Chiyodagata, Chōgei, Kaiyō
Maru, Kanrin Maru, Mikaho dan Shinsoku), Enomoto tiba di Hakodate.

Di sisinya ialah
beberapa orang penasihat tentera dari Perancis. Dengan harapan, pengunduran ini
dapatlah melancarkan serangan balas ke atas pihak Maharaja. Baginya, mungkin
masih ada Daimyo (pemerintah wilayah dan puak) di kawasan Utara sana, yang mahu
turut serta menentang pihak Imperial.

Pada zaman konflik Boshin ini dan zaman sebelumnya, Ezo tidak berada di bawah pentadbiran Jepun. Ezo dianggap sebagai tanah di luar bidang pengaruh kerajaan Jepun. Etnik Ainulah yang merupakan penduduk asal Ezo. Semuanya berubah selepas Perang Boshin ini.

Selepas
tiba di Hakodate, Enomoto telah menulis sepucuk surat kepada Maharaja Mutsuhito
(Meiji) meminta izin baginda untuk membangunkan wilayah Ezo dan membenarkan
mereka meneruskan cara hidup tradisional Samurai di pulau itu tanpa sebarang
gangguan dari arus pemodenan yang rancak berlaku dalam era Meiji ini.
Kesinambungan cara hidup Samurai mesti diteruskan, walaupun terpaksa diamalkan
secara terpencil di Ezo sahaja.

Kandungan
surat itu berbunyi,

“The farmers and merchants are unmolested, and live without fear, going their own way, and sympathising with us; so that already we have been able to bring some land into cultivation. We pray that this portion of the Empire may be conferred upon our late lord, Tokugawa Kamenosuke; and in that case, we shall repay your beneficence by our faithful guardianship of the northern gate.”

Jadi
dapat kita lihat, Enomoto juga mahu menjadikan wilayah Ezo ini sebagai benteng
pertahanan bahagian utara Jepun. Enomoto tidak mahu menentang pihak Maharaja,
cuma kalau boleh, diberikan peluang kepada puak Tokugawa untuk mentadbir Ezo. Malangnya,
Maharaja menolak hasratnya itu.

Bendera yang didakwa sebagai bendera Republik Ezo 

Buntu, Enomoto akhirnya menubuhkan Republik Ezo yang merdeka pada tanggal 27 Januari, 1869 sebagai ultimatum kepada Maharaja Meiji, manifestasi kepada tekad mereka untuk memperjuangkan maruah pihak Shogun Tokugawa.

Republik
Ezo dirangka berdasarkan model negara Amerika Syarikat. Kemudian, satu pilihan
raya, proses demokrasi pertama dikatakan yang pernah diadakan dalam sejarah
Jepun, dilaksanakan. Enomoto dipilih sebagai Presiden Republik Ezo yang
pertama. Matsudaira Tarō pula dilantik sebagai Naib Presiden.

Pilihan
raya tersebut dijalankan atas prinsip ‘hak memilih sejagat’ (universal
suffrage) tetapi khusus bagi golongan Samurai sahaja. Enomoto seterusnya
membina sebuah kubu pertahanan ampuh bernama Goryokaku yang berbentuk seperti
bintang. Diadaptasi dari gaya kubu Victorian Eropah.

Kubu
ini dibiayai penuh olehnya kerana sebelum berundur ke Ezo, Enomoto telah
mengambil lebih kurang 180000 Ryo wang emas dari Istana Osaka untuk pembiayaan
perang. 1 Ryo bersamaan lebih kurang 180000 yen dan 180000 yen bersamaan lebih
kurang RM6600.

Kubu
Goryokaku sangat perlu untuk menguatkan pertahanan Ezo. Bala tenteranya juga
diperkuatkan. Di samping itu, kepimpinan tentera diletakkan dibawah kelolaan
pegawai Jepun dan Perancis. Komander tentera ialah Otori Keisuke dan dibantu
oleh Jules Brunet.

Pegawai
Perancis dan juga penasihat ketenteraan Shogun yang paling menyerlah ialah
Jules Brunet. Pada mulanya, dia diutus oleh Maharaja Napoleon III ke Jepun
untuk menasihati Shogun dalam hal ehwal ketenteraan, namun dipanggil pulang ke
tanah air kerana kekalahan pihak Shogun.

Brunet
enggan meninggalkan Jepun dan sebaliknya, meletakkan jawatannya dalam tentera
Perancis. Brunet mengambil kedudukan sebagai pegawai pemerintah kedua tertinggi
dalam tentera Republik Ezo.

Kapal Induk Imperial, Kōtetsu dalam Pertempuran Teluk Miyako

Tidak lama kemudian, pada Mac 1869, pertempuran di Teluk Miyako antara kapal-kapal perang besi (ironclad) berkuasa wap tercetus. Armada Ezo yang lebih kecil mengalami kekalahan. Pertempuran seterusnya di daratan memperlihatkan penggunaan mesingan Gattling. 7000 tentera Imperial mendarat di Hakodate.

Pertempuran
Hakodate terus memperlihatkan kedua-dua pihak saling bercarkaran. Kubu
Goryokaku dikepung rapi. Kawasan sekeliling Hakodate ditakluki serta-merta
tetapi pertahanan Goryokaku tetap gah bertahan. Jangan main-main dengan reka
bentuk bintang kubu itu yang sangat efektif.

Seorang
figura terkenal iaitu Naib Komander Shinsengumi, Hijikata Toshizō yang juga
digelar ‘Naib Komander Iblis’ (Demon Vice-Commander) telah terkorban dalam
pertempuran tersebut. Hijikata ditembak di belakang badan ketika sedang
mengarahkan pasukannya sambil menunggang kuda. Puisi Kematian (death poem)
Hijikata berbunyi,

“Walaupun badanku mereput di pulau Ezo, semangatku akan terus melindungi Tuanku (Shogun) di Timur (Edo).”

Enomoto
kemudiannya melancarkan serangan habis-habisan dengan kapal perang Republik Ezo
dengan tujuan meleraikan pengepungan di Goryokaku. Walaupun bilangan kapal
perangnya lebih banyak berbanding armada Imperial, Enomoto ditewaskan hasil
dari kebijaksanaan Laksamana Heihachiro Togo. Heihachiro inilah yang akan
memainkan peranan yang sangat penting dalam Perang Russo-Jepun, mengalahkan
armada Russia di Pelabuhan Arthur dengan penuh bergaya.

Goryokaku
akhirnya tumpas dan Enomoto menyerah diri. Jules Brunet dihantar pulang ke
Perancis. Beberapa tahun kemudian, Jules Brunet dinaikkan pangkat ke Jeneral
dan dilantik sebagai Ketua Staf kepada Menteri Peperangan Perancis.

Enomoto
pula dibawa ke Tokyo dan dihukum penjara selama dua tahun atas tuduhan
penderhakaan. Kemudiannya, Enomoto berkhidmat dalam kerajaan dan berjaya
memegang beberapa jawatan dan pangkat yang agak penting seperti Laksamana
Madya, Viscount dan Menteri Tentera Laut. Beliau juga dilantik sebagai Menteri
Komunikasi yang pertama. Seterusnya, Menteri Pertanian dan Perdagangan, Menteri
Pendidikan dan Menteri Luar.

Ezo
kini secara rasminya diperintah kerajaan Imperial dan dinamakan sebagai,
Hokkaido. Tamatlah riwayat Republik Ezo pada tanggal 27 Jun 1869.

Pegawai Republik Ezo dan Figura Penting

Enomoto Takeaki – Presiden

Ōtori Keisuke – Komander Utama Tentera & Menteri Tentera Darat

Arai Ikunosuke – Menteri Tentera Laut

Hijikata Toshizō – Timbalan Menteri Tentera Darat dan Naib Komander Shinsengumi

Nagai Naoyuki – Majistret Hakodate

Jules Brunet – Naib Komander Tentera Republik Ezo

Barisan pemimpin Republik Ezo

Kesimpulan

Republik
Ezo menjadi pemangkin kepada peluasan wilayah Jepun terhadap kepulauan Ezo yang
kini dikenali sebagai Hokkaido. Jika tiada Republik Ezo, mungkin lama lagi masa
diperlukan untuk Jepun meluaskan kuasanya ke atas Ezo. Kesannya, masyarakat
Ainu turut menjadi sebahagian daripada rakyat Jepun hari ini.

Republik
Ezo juga menjadi entiti pertama yang mengamalkan sistem demokrasi di Jepun
selain kepimpinannya, dikuasai sepenuhnya oleh golongan tentera bersenjata dan
beruniform ala Barat.

Bayangkan,
apakah keadaannya jika ditakdirkan, Republik Ezo masih wujud hari ini? Menarik
bukan?

Rujukan

Japan to recognise indigenous Ainu people for first time Read more at https://www.channelnewsasia.com/news/asia/japan-to-recognise-indigenous-ainu-people-for-first-time-11245724. (2019, February 15).

Nozomi, K. (2014, March 24). Republic of Ezo (Japan). Retrieved February 24, 2019, from https://fotw.info/flags/jp-ezorp.html

Republic of Ezo. (n.d.). Retrieved February 24, 2019, from https://wikivisually.com/wiki/Republic_of_Ezo

Yamatosaxon. (2013, March 4). THE REPUBLIC OF EZO: JAPANESE SEPARATISM OR EXPANSIONISM? Retrieved February 24, 2019, from https://thedailybeagle.net/2013/03/04/the-republic-of-ezo-japanese-separatism-or-expansionism/

Perhatian sebentar.

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami. Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM5.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM5 / RM10 / RM50

Kongsi

No comments yet