Walaupun kini sistem monarki Jepun bersifat patriarki, namun Jepun juga pernah mempunyai beberapa pemimpin negara yang terdiri daripada wanita dalam sejarah.
Antaranya ialah Ratu Himiko dan Ratu Iyo. Berdasarkan catatan Wei Chih (Sejarah Wei, 297 M), Ratu Himiko merupakan pemimpin Kerajaan Yamatai beserta keseluruhan wilayah Wa (Jepun kuno). Dipercayai baginda hidup pada zaman peralihan antara era Yayoi dan era Kofun/Yamato.
1. Kewujudan Himiko dalam Catatan Sejarah
Yang menariknya, walaupun catatan-catatan sejarah Cina mengiktiraf kewujudan ratu tersebut, tiada satu pun catatan sejarah Jepun seperti Kojiki (712 M) dan Nihongi (720 M) yang berbuat demikian. Hal ini kerana semasa Jepun banyak dipengaruhi oleh budaya Cina, Jepun turut mengadaptasi sistem pemerintahan monarki Cina yang bersifat patriarki.
Tambahan pula, ajaran Buddhisme dan Confucianisme juga tidak memandang kepada keperluan untuk mengangkat martabat wanita dalam masyarakat. Oleh itu, sejarah kewujudan Kerajaan Yamatai dan Ratu Himiko telah dilupakan oleh orang ramai sehinggalah pada fasa Edo Akhir (1600-1868 M).
2. Keagungan Kerajaan Yamatai
Menurut Han Shu (Sejarah Han), kepulauan Jepun dulunya dirujuk oleh orang Cina sebagai wilayah ‘Wa’ yang bermaksud wilayah yang dihuni oleh orang-orang kerdil. Jepun pada masa itu mempunyai ratusan kerajaan kecil yang sering menghantar delegasi ke China untuk mempersembahkan ufti kepada Maharaja Cina melalui pangkalan Cina di Lo-Lang, Korea.
Menurut Wei Chih (Sejarah Wei, 297 M) pula, Kerajaan Wei pernah menghantar delegasinya ke Kerajaan Hsieh-ma-t’ai yang dikatakan sebagai kerajaan yang terkuat di wilayah Wa ketika itu. Dalam kalangan penduduk wilayah Wa, Kerajaan Hsieh-ma-t’ai lebih dikenali sebagai Kerajaan Yamatai. Semasa kedatangan delegasi tersebut, Kerajaan Yamatai telah diperintah oleh seorang ratu bomoh yang masih perawan bernama Himiko.
Ratu Himiko dikatakan telah berjaya memperoleh wilayah kekuasaan yang luas melalui siri-siri peperangan dan juga melalui amalan sihir serta jampi serapah untuk mempengaruhi orang ramai. Namun begitu, baginda hanya memantau kerajaannya daripada dalam istananya sahaja. Dalam istana tersebut, baginda sentiasa dipertahankan oleh 100 orang tentera pengawal, dilayan oleh 1000 dayang-dayang dan seorang pembantu lelaki.
Melalui pembantu lelaki tersebut, Ratu Himiko telah gunakan sebagai kaedah untuk berhubung dan berkomunikasi dengan dunia luar. Tidak seperti pemimpin-pemimpin lain sezamannya, baginda hanya berurusan dalam hal ehwal kerohanian dan spiritual sahaja, manakala segala urusan pentadbiran negeri pula diserahkan kepada adik lelakinya sepenuhnya.
Pada masa itu, wilayah Wa dipenuhi dengan kekacauan dan pergolakan politik. Pergolakan yang tidak berkesudahan ini telah menyebabkan semua pemimpin puak dan kerajaan bersepakat untuk menabalkan Ratu Himiko sebagai pemerintah keseluruhan wilayah Wa. Hasilnya, Ratu Himiko telah berjaya mengembalikan keamanan dan keharmonian ke seluruh pelosok wilayah tersebut.
3. Persembahan Ufti kepada Maharaja Cina
Pada 238 M, Ratu Himiko telah menghantar sebuah delegasi kepada Maharaja Cina bagi mempersembahkan ufti yang berupa hamba-hamba abdi, kain dan cinnabar. Hasil daripada persembahan ufti tersebt, Maharaja Cina telah mengiktiraf kedaulatan dan kekuasaan Ratu Himiko selaku pemerintah keseluruhan wilayah Wa. Sebagai pertukaran kepada ufti tersebut, Maharaja Cina juga telah mengurniakan hadiah-hadiah berupa pakaian, batu permata dan cermin kepada Ratu Himiko.
Pada masa itu, cermin dikira sebagai simbol kekayaan dan status tinggi dalam kalangan masyarakat. Tidak ramai orang Asia kuno yang mampu memiliki cermin. Disebabkan itu, Maharaja Cina telah mengurniakan ratusan cermin kepada Ratu Himiko sebagai bentuk pengiktirafan kedaulatan Kerajaan Yamatai.
4. Kemangkatan Ratu Himiko
Akhirnya, pada tahun 248 M, Ratu Himiko mangkat ketika berusia 65 tahun. Rentetan itu, terdapat pula percubaan untuk mengambil alih takhta kerajaan Yamatai oleh seorang lelaki (tidak dapat dikenalpasti). Namun, keseluruhan rakyat wilayah Wa enggan untuk mengiktiraf keabsahan pemerintahan lelaki tersebut.
Dalam kekalutan tersebut, salah seorang kerabat wanita Ratu Himiko yang baru berusia 13 tahun telah berjaya mengambil alih takhta tersebut secara sah. Baginda dikenali sebagai Ratu Iyo dan juga telah berjaya mengikuti jejak langkah Ratu Himiko dalam mengekalkan Kerajaan Yamatai sebagai kuasa terulung di wilayah Wa.
Kini, lokasi tepat terletaknya pusat pemerintahan Kerajaan Yamatai masih menjadi perdebatan antara sejarawan-sejarawan Jepun. Ada dua pendapat yang paling mendapat tempat dalam kalangan mereka iaitu, Lembangan Nara (pusat pemerintahan Kerajaan Yamato) dan Utara Pulau Kyushu
Sumber:
i. Henshall, K. G. (2004). 1.4 New Beginnings: The Yayoi Period (ca 400 BC–ca AD 250). In A HISTORY OF JAPAN FROM STONE AGE TO SUPERPOWER, 2nd edition (2nd ed., pp. 12-15). New York, N. Y.: Palgrave Macmillan
ii. Queen Himiko: Badass Women in Japanese History
https://www.tofugu.com/japan/queen-himiko/
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih