Sabtu, 31 Oktober 202631 Okt 2026
Kriminologi

Rasuah Punca Kenapa Lebuhraya MEX II Tak Pernah Siap!

Kalau kau pernah lalu Lebuhraya ELITE dekat kawasan Dengkil, mungkin kau pernah nampak satu flyover besar tergantung macam projek separuh jalan. Tak bersambung ke mana-mana.

Ramai orang tak tahu, itulah sebenarnya “mayat hidup” kepada satu projek mega negara yang sepatutnya memudahkan hidup rakyat iaitu Lebuhraya MEX II.

Satu projek sepanjang 18 kilometer sahaja. Dari Putrajaya terus ke KLIA. Pendek, strategik dan kalau siap boleh jimat masa perjalanan ribuan orang setiap hari.

Tapi masalahnya, projek ni jadi simbol kepada satu penyakit lama negara iaitu rasuah, penyelewengan dan sistem yang bocor dari dalam.

Projek MEX II ni mula dibina pada tahun 2016. Waktu tu semua nampak cantik atas kertas. Siap target nak siap hujung 2019. Logiknya, tiga tahun dah cukup untuk siapkan laluan sepanjang tu. Tapi sekarang dah 2026, jalan tu masih tak siap. Duit dah keluar, masa dah berlalu, tapi hasilnya? Kosong.

Lagi panas, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dah panggil sekurang-kurangnya 61 saksi untuk siasatan kes ni. Ketua SPRM sendiri, Tan Sri Azam Baki kata siasatan dijangka selesai dalam masa dua bulan.

Apa yang buat orang lagi terkejut, pada 29 Mei, SPRM serbu rumah seorang individu bergelar Tan Sri yang ada kaitan dengan projek ni. Apa yang mereka jumpa bukan biasa-biasa. Kereta mewah, barang kemas, beg berjenama, jam tangan berpuluh unit dan wang tunai. Semua sekali dianggarkan bernilai RM32 juta.

Macam mana projek highway tak siap, tapi harta peribadi boleh melimpah macam tu?

Jawapannya mula nampak bila siasatan dedahkan perkara sebenar. Antara dakwaan utama ialah penyelewengan dana sukuk yang sepatutnya digunakan untuk bina lebuhraya. Duit yang sepatutnya jadi jalan untuk rakyat, didakwa “hilang arah”.

Bukan itu saja, ada juga dakwaan tuntutan palsu mencecah lebih RM360 juta. Maksudnya, kerja tak buat, tapi claim duit jalan. Ini sistem yang dimanipulasi.

Kes jadi lagi berat bila pengarah syarikat pembinaan terlibat, Tan Sri Abu Sahid Mohamed didakwa di mahkamah atas empat pertuduhan pecah amanah berjumlah lebih RM300 juta dan 13 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan lebih RM100 juta. Jumlah keseluruhan? Lebih RM450 juta.

Semua ni ada kaitan terus dengan projek MEX II.

Dalam mahkamah, dia mengaku tak bersalah. Itu hak dia. Tapi fakta kes tetap berdiri, duit keluar masuk melalui akaun bank, transaksi berlaku antara 2016 hingga 2019 iaitu tempoh sama projek ni sepatutnya berjalan dan siap.

Sebab tu dari tahun 2020 lagi, isu MEX II ni dah jadi bahan soal dalam media dan Parlimen. Orang dah mula pelik, kenapa projek yang patut dah siap, masih terbengkalai? Kenapa kos naik? Kenapa kerja berhenti tanpa penjelasan jelas? Dan kenapa ada kaitan dengan nama-nama besar dalam politik dan korporat?

Kerajaan sendiri melalui Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi mengaku projek ni memang bermasalah. Tapi dalam masa sama, kerajaan kata mereka sedang cuba selesaikan. Kementerian Kewangan, KKR dan JKR semua terlibat cari jalan keluar.

Masalahnya sekarang bukan sekadar nak sambung bina. Tapi nak betulkan sistem yang dah rosak dari dalam.

Pemaju pula dilaporkan sedang cuba cari sumber pembiayaan baru. Ironinya, duit asal dah ratus juta, tapi sekarang kena cari duit lain untuk sambung projek yang sama. Ini macam bayar dua kali untuk satu benda.

Kalau fikir balik, projek ni sebenarnya sangat penting. Ia sepatutnya jadi laluan alternatif dari Putrajaya ke KLIA. Kurangkan kesesakan. Mudahkan pergerakan. Bantu ekonomi. Tapi sekarang, ia jadi simbol kegagalan.

Simbol macam mana projek mega boleh jadi mangsa ketirisan.

Simbol macam mana sistem boleh bocor kalau orang dalam sendiri tak amanah.

Dan paling penting, simbol macam mana rakyat selalu jadi mangsa terakhir.

Sebab akhirnya, siapa yang rugi?

Bukan Tan Sri yang ada koleksi jam RM5 juta. Bukan orang yang ada beg berjenama puluh-puluh unit. Tapi rakyat biasa yang kena hadap jalan jem, tol mahal dan projek tak siap-siap.

Perhatian sebentar.

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami. Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM5.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM5 / RM10 / RM50

Kongsi

No comments yet