Apabila berlakunya suatu musibah, manusia akan bertindak balas dalam apa saja cara yang termampu dan sesuai mengikut apa yang dipercayai. Salah satu darinya adalah dengan membuat ramalan peristiwa – melalui petunjuk yang menandakan sesuatu diramal akan berlaku.

Tak banyak ramalan yang berunsur tuah atau kegembiraan dapat kita dengar dari kisah-kisah lampau, tetapi, zaman dahulu manusia yang mendapat ramalan buruk sekurang-kurangnya akan menenangkan mereka kerana dengan ramalan tersebut (walaupun tidak semuanya tepat secara logik) seseorang boleh bersedia dan menerima bahawa tragedi buruk tak dapat dielakkan, dan mereka menganggap ia berlaku sebagai sebahagian daripada perancangan yang lebih besar.

Sebahagian hasil jualan akan disumbangkan kepada tabung bantuan pandemik Covid-19. Jom beli: shopee.com.my/thepatriotsasia

Di sepanjang perjalanan sejarah peradaban manusia, terdapat pelbagai tokoh-tokoh peramal. Dalam Islam, Nabi Muhammad S.a.w. sebagai utusan Allah adalah seorang rasul yang memberikan petunjuk-petunjuk tertentu tentang masa depan umat baginda di akhir zaman, kebanyakannya melalui hadis. Walau bagaimanapun, setelah berlakunya beberapa tragedi moden yang sinonim, satu nama ini (bukan Nabi) menjadi sebutan, bahkan lebih terkenal berbanding yang lain, iaitu Nostradamus.

Nostradamus diberi kredit atas ramalan yang kononnya telah dibuat olehbeliau terhadap puluhan episod-episod penting dalam sejarah permulaan era moden ini, antaranya ialah pendaratan manusia di bulan, kebangkitan A.dolf H, pembunu.han John F. Kennedy dan se.ran.gan 9/11 yang meru.ntuhkan menara World Trade Center di New York.

Di Internet dan media sosial, para pengikut Nostradamus, pentaksub teori konspirasi, dan politikus yang menunggang sejarah sering kali mengutip dan mengumpulkan setiap tafsiran terperinci tentang karya-karya atau petikan kata-kata tokoh tertentu yang dicampur aduk dengan sebahagian petikan yang lain lalu disebarkan agar ia diterima sebagai kebenaran walaupun hakikatnya ia adalah penipuan. Nostradamus juga tidak ketinggalan ditunggangi oleh golongan ini.

Jadi, kita akan membedah tentang siapakah sebenarnya Nostradamus dan apa yang dilakukannya. Kita juga akan melihat kembali sejauh manakah tepatnya kontroversi-kontroversi yang sedang menyelebungi di sekeliling Nostradamus yang sudah pun lama tiada di dunia ini. Ini termasuklah ramalannya mengenai se.ran.gan 11 September ke atas Amerika Syarikat.

Michel de Nostredame

Nostradamus adalah nama sebutan Latin untuk nama sebenarnya, Michel de Nostredame, seorang ahli perubatan dan peramal yang tinggal di Perancis pada abad ke-16. Maklumat tentang kehidupan peribadinya tidak sentiasa jelas, dan sentiasa menjadi perbahasan di kalangan pengikut dan pengkritik Nostradamus moden.

Penyelidik dan sejarawan sepakat bersetuju dengan teori yang mencadangkan bahawa Nostradamus dilahirkan pada tahun 1503 dalam sebuah keluarga pedagang bijirin yang berpendidikan dan kaya. Ini menunjukkan, dia mungkin telah menerima pendidikan dalam berbagai mata pelajaran akademik pada usia kanak-kanak lagi, termasuklah sains tradisional, matematik, bahasa (Latin, Yunani dan Ibrani) dan astrologi.

Nostradamus juga mendapat pendidikan agama yang luas. Keluarga bapanya adalah keturunan Yahudi tetapi telah memeluk agama Katolik Rom, mungkin semasa Nostradamus masih muda atau ketika sebelum dia dilahirkan. Oleh itu, dar.ah keturunan yang ada pada dirinya mendorong Nostradamus untuk mengkaji teks dari kitab-kitab Yahudi dan teks Perjanjian Baru. Sepanjang hidupnya, menurut legenda, Nostradamus tertarik pada ramalan apokaliptik (ilmu akhir zaman versi Yahudi) dalam Kitab Wahyu, serta Kabbalah, sebuah cabang mistik Yahudi.

Nostradamus keluar dari kampung halamannya pada tahun 1522 untuk mempelajari ilmu perubatan di Montpellier. Setelah menamatkan pendidikan, dia bekerja sementara sebagai profesor perubatan, sebelum secara praktikalnya bekerja sebagai doktor di seluruh selatan Perancis. Selama bertahun-tahun, dia menjadi terkenal berikutan inisiatif rawatannya terhadap pesakit wa.bak bubonic.

Edisi pertama berbahasa Inggetis yang diterbitkan pada tahun 1672

Semasa dilanda wa.bak, Nostradamus menggalakkan cara penjagaan kebersihan yang betul dan membangunkan ubat-ubatan yang inovatif, dia berjaya menyembuhkan beberapa pes.akit yang sedang te.nat walaupun dia sendiri kehilangan anak-anak dan isterinya yang pertama semasa wa.bak pada tahun 1538.

Pada akhir 1540-an, Nostradamus berkahwin lagi dan berpindah ke Salon, sebuah bandar Perancis berhampiran pantai Mediterranean.  Selama beberapa dekad berikutnya, dia lebih menumpukan perhatiannya untuk melakukan rumusan terhadap ramalan, terutamanya mengenai peristiwa pe.ran.g dan benc.ana pada tahun-tahun mendatang. Peringatan tentang tra.gedi sebegini membuatkan Nostradamus kian terkenal di seluruh Eropah.

Karya tentang ramalan yang paling terkenal dihasilkan Nostradamus, kini dikenali sebagai “Centuries: The Prophecies of Nostradamus”  diterbitkan secara bersiri selama beberapa tahun. Karya ini merangkumi sekitar ribuan kuatrin, atau dalam bentuk susunan teks empat baris ayat yang dikumpulkan dalam aturan kumpulan seratus.  Judul Centuries: The Prophecies of Nostradamus lebih cenderung merujuk kepada rangka struktur karya tersebut, bukan pada situasi kontemporari, jadi ia mungkin telah ditokok ditambah selepas zaman Nostradamus. Judul asalnya dalam bahasa Perancis adalah “Les Prophéties de M. Michel Nostradamvs”.

Nostradamus mengatakan bahawa dia boleh meramalkan masa depan melalui gabungan kajian ilmu astrologi dan petunjuk dari Tuhan. Dia sudah lama mengkaji hubungan yang mungkin ada antara ‘pergerakan syurgawi’ dengan kejadian-kejadian duniawi, dan dia mendakwa semangat yang berbentuk seperti malaikat membantunya memahami bagaimana elemen-elemen ini akan menampakkan diri.

Tugu peringatan Nostradamus yang dibangunkan di Salon.

Dia mendapat petunjuk melalui berbagai kaedah dan meditasi, yang secara umumnya memusatkan perhatian pada unsur api atau air, mungkin ketika berada di bawah pengaruh halusinogen ringan, seperti seseorang yang mengambil bahan dari buah pala. Semasa bermeditasi pada tengah malam, Nostradamus mendakwa, dia boleh melihat dan memahami peristiwa yang akan berlaku dalam masa terdekat dan jauh beberapa dekad mendatang

Setiap kuatrin ditulis terutamanya dalam bahasa Perancis, dengan sedikit bahasa Latin, Yunani dan Itali. Ia meramalkan peristiwa atau era tertentu. Namun catatan ini tak dinafikan agak mengelirukan, ia penuh dengan istilah-istilah dalam ayat yang berbentuk metafora dan anagram esoterik yang merangkumi beberapa tarikh atau rujukan geografi tertentu dan tulisannya tidak disusun mengikut turutan secara kronologi yang betul.

Menurut kata pengantar karya itu, sepucuk surat dari Nostradamus kepada anaknya Cesar (anak dari perkahwinan keduanya), rangkap-rangkap ayat tersebut disengajakan berbentuk mistik dan misteri. Nostradamus mengatakan bahawa dia bimbang akan dijadikan sasaran penindasan dan hasil kerjanya akan dimus.nahkan jika pihak berkuasa pada zaman itu boleh memahami ramalannya.

Menurutnya, ramalan yang diberikan kod-kod tersirat secara metafora itu hanya akan lebih difahami, atau boleh ‘dekode’ oleh manusia yang lebih maju dalam ilmu pengetahuan di masa hadapan.

Ramai orang hari ini yang percaya bahawa merekalah orang yang memiliki pengetahuan seperti itu. Mereka mengatakan bahawa jika seseorang mentafsirkan baris ayat kuatrin itu dengan betul, maka ia jelaslah bahawa beberapa ramalan Nostradamus sebenarnya telah menjadi kenyataan. Jadi, kita akan melihat bagaimana para pengkritik Nostradamus menyanggah dakwaan ini

Mungkin selepas ini kita boleh gunakan nama Hister sebagai ganti nama asal orang ini supaya tidak disekat oleh Facebook

Selama bertahun-tahun, pengikut Nostradamus telah mencatatkan ratusan kejadian di mana ia dianggap bertepatan dengan kejadian moden melalui apa yang telah digambarkannya di dalam Centuries: The Prophecies of Nostradamus. Salah satu peristiwa yang paling terkenal adalah ramalan Nostradamus mengenai kebangkitqn rejim Na.zi di bawah kuasa Si Misai Kontot (Adolf H).

Kuatrin yang menyebut tentangnya dalam terjemahan bahasa Melayu adalah seperti berikut.

(Century 2, Quatrain 24):

“Binatang buas yang kelaparan akan menyeberangi sungai,

 Sebahagian besar pertem.puran adalah menentang Hister.

 Ke dalam kandang besi juga yang teragung akan ditarik,

 Apabila anak-anak Jerman tidak menemui apa-apa.”

Pengikut Nostradamus mendakwa bahawa nama “Hister” adalah rujukan langsung kepada Adolf H. Manakaka kuatrin yang lain merujuk kepada para pemimpin zalim yang dilahirkan di Eropah Barat oleh ibu bapa yang miskin (seperti H), dan yang lain merujuk kepada konflik Hister dengan Asia dan Afrika.

Namun, ciri-ciri skeptikal yang jelas telah mencabar ketepatan ramalan dari kuatrin ini (dan yang lain-lain) dengan merujuk kepada dua faktor utama, iaitu terdapat masalah dengan terjemahan dari bahasa Yunani lama kepada bahasa Inggeris moden, serta faktor kebetulan yang biasa.

Pada dasarnya, kebanyakan ramalan yang dicatatkan oleh Nostradamus adalah merangkumi istilah-istilah berbahasa Perancis dari abad ke-16 yang tidak jelas dan sukar difahami dengan tepat bagi kebanyakan penterjemah dan pentafsir moden. Perkataan-perkataan tertentu telah ditafsirkan dalam pelbagai cara, dan ia boleh diselewengkan dengan mudah agar kelihatan sesuai dengan peristiwa semasa.

Pada zaman Nostradamus, misalnya, “Hister” merujuk kepada wilayah geografi berhampiran sungai Danube. Para pengkritik berpendapat, Nostradamus hanyalah merujuk sama ada kepada geografi mahu pun pemerintah tetapi menggunakan nama kawasan tersebut, bukan kepada seseorang. Tetapi oleh kerana Adolph H sebenarnya dilahirkan berhampiran dengan geografi sungai Danube, ia semakin menguatkan lagi kepercayaan para pengikut Nostradamus terhadap ramalannya.

Hujah paling kuat menentang Nostradamus adalah bahawa ramalannya yang paling terkenal ini jelas adalah hasil dari kejadian kebetulan yang berlaku secara rawak dan tafsiran secara kreatif. Terdapat kira-kira seribu kuatrin yang kebanyakannya mengandungi lebih daripada satu ramalan dan semuanya (kecuali beberapa kuatrin) adalah dijelaskan dalam istilah yang amat kabur, sukar difahami dan tidak jelas.

Semua ini sudah berlaku beratus-ratus tahun yang lalu, dan ada puluhan peristiwa-peristiwa yang sama seperti kebangkitan Adolf H telah berlaku seumpamanya, maka ada kemungkinan bahawa beberapa peristiwa boleh saja disesuaikan dengan beberapa ramalan, namun ia tetap hanya berlaku secara kebetulan.

Bahkan, boleh juga kita membuat spekulasi bahawa Nostradamus mungkin telah menyatakan ramalannya hanya semata-mata kerana dia suatu perkara itu sekadar terlintas melalui fikirannya. Sebahagian besar kuatrin Nostradamus adalah merujuk kepada hal-hal kem.atian, per.ang atau benca.na alam, peristiwa yang sudah tentu pasti akan berlaku berulang kali di sepanjang sejarah manusia, dan Nostradamus amat menyedari hakikat itu.

Rumah yang didakwa sebagai tempat kelahiran Nostradamus di rue Hoche, St-Rémy-de Provence, Perancis

Ianya sama seperti bagaimana seorang penulis novel seperti Helmi Effendy yang sedang berusaha mencari ilham untuk mengarang plot fiksyen untuk bab terbaru di dalam novel penulisannya, bezanya adalah seorang penulis novel memerlukan sedikit keunikan yang boleh difahami pembacanya tetapi perlulah ada ‘wow factor’ untuk menarik minat pembaca, manakala Nostradamus tak perlukan elemen-elemen unik, cukup hanya dengan meninggal seribu persoalan dengan menyusun baris ayat secara metafora yang memeningkan kepala.

Gaya penulisan Nostradamus yang penuh dengan gaya esoterik (gaya penulisan berkod yang penuh misteri) juga meningkatkan kemungkinan ia menjadi begitu terkenal. Susunan ayatnya yang banyak berkias hanyalah menonjolkan hubungan dan konflik secara umum, bukannya menjelaskan suatu peristiwa khusus dengan maklumat terperinci.

Manusia, atau suatu bangsa (mungkin negara) biasanya digambarkan menggunakan nama-nama haiwan, dan tokoh-tokoh terkenal pula disebut mengikut sifat yang ada pada dirinya. Contohnya, kuatrin tentang Adolf H di atas merujuk kepada “binatang buas yang kelaparan,” “yang teragung”, dan “kandang besi”, semua ini adalah istilah umum dengan unsur-unsur metafora.

Maka, penggunaan bahasa-bahasa kiasan yang tidak tepat ini secara tidak langsung boleh diadaptasikan bersama dengan tafsiran subjektif kerana apabila suatu perkara itu tidak memberikan makna yang tepat dan jelas, maka ia menjadi semakin mudah bagi seseorang untuk mengaitkan pengalaman sesiapa saja dalam ayat tertentu hingga dia merasakan seolah-olah dirinya telah mencapai tahap yang kononnya telah ‘merungkai’ dan memahami suatu ramalan tertentu.

Konsepnya sama seperti permainan horoskop moden. Horoskop biasanya menjelaskan ramalan tentang perkara yang sebenarnya memang akan dialami oleh semua orang secara berkala, contohnya seperti “konflik di tempat kerja,” “kebahagiaan dalam hubungan” atau “perubahan dalam hidup” , dan sebagainya.

Sebenarnya terdapat banyak kemungkinan besar bahawa segala ‘ramalan’ ini akan menjadi sesuai dengan kehidupan harian anda, sekurang-kurangnya satu kebetulan itu pasti ada.

Seterusnya, kita akan mengkaji tentang kontroversi yang lebih terkini di era moden mengenai ramalan Nostradamus, iaitu hujah-hujah mengenai kemungkinan adakah ramalannya mengenai se.ran.gan 11 September terhadap Amerika Syarikat itu adalah benar mahu pun satu kebetulan juga.

Selepas berlakunya se.ran.gan pengga.na.s terhadap Amerika Syarikat pada 11 September 2001, yang memus.nahkan menara World Trade Centre di New York, tiba-tiba timbul fenomena dan minat yang baru terhadap Nostradamus dan ramalannya.

Kebanyakan fenomena ini didorong melalui mesej-mesej bersiri yang disebarkan melalui e-mel. Satu mesej tanpa nama pengirim, yang tersebar secara meluas di seluruh Amerika Syarikat, mendakwa bahawa Nostradamus meramalkan se.ran.gan itu secara terperinci. Mesej itu turut melampirkan bersama petikan kuatrin tersebut:

“Di Kota Tuhan akan munculnya guruh yang kuat,

Dua Beradik akan dipecah belahkan oleh Kekacauan,

Ketika kubu sedang bertahan, pemimpin yang hebat akan mengalah.

Pe.ran.g besar ketiga akan bermula setelah kota agung dibakar.”

Se.rang.an terhadap WTC pada 9/11/2001

Nampaknya, “dua beradik” itu merujuk kepada menara berkembar WTC, “kubu” mungkin merujuk kepada Pentagon, “pemimpin hebat” merujuk kepada Presiden Bush dan “kota agung” merujuk kepada bandaraya New York. Nampak terlalu jelas ciri-ciri persamaannya kan? Adakah Nostradamus benar-benar telah meramalkan peristiwa 9/11?

Malangnya, hakikatnya yang sebenar adalah, sebahagian besar rangkap yang disebarkan itu bukanlah hasil kerja Nostradamus yang asli, ianya adalah penyalinan dan tokok tambah hingga ia menjadi rangkap ayat palsu yang lengkap.

Menurut Snopes, sebuah laman web yang menyediakan maklumat tentang perkara mistik dan ‘urban legend’, tiga baris pertama diambil dari sebuah karangan esei yang ditulis pada beberapa tahun yang lalu oleh Neil Marshall yang ketika itu adalah seorang pelajar di Universiti Brock di Kanada.

Neil Marshall menulis ayat tersebut pada tahun 1997 ketika dia masih lagi seorang pelajar sekolah menengah, dia menulis untuk sebuah laman web yang bertujuan untuk menjelaskan bagaimana tulisan-tulisan mistik abad ke-16 ini dapat diputarbelitkan. Menurut Marshall sendiri, hanya empat rangkap pertama yang merupakan miliknya sendiri. Manakala rangkap kelima mungkin direka oleh orang lain untuk menjadikan frasa tersebut semakin ‘dark’ dan hampir tepat dengan peristiwa 9/11.

Perkara yang hampir sama dilakukan terhadap tokoh pahlawan Melayu, Laksamana Hang Tuah, di mana, kata-katanya yang menjadi simbolik identitinya iaitu “tak akan Melayu hilang di dunia” telah ditokok tambah dengan ayat “selagi berpegang teguh kepada Islam”. Niat si pelakunya mungkin hendak menaikkan martabat bangsa dan agama tetapi matlamat tetap tidak menghalalkan cara kerana ia telah menimbulkan fitnah terhadap Hang Tuah sendiri dan membenarkan kebiasaan orang kita untuk menerima sesuatu perkara dengan bulat-bulat walaupun jelas ianya satu pembohongan.

Ramalan tentang dunia akan dilanda wa.bak Covid juga adalah palsu

Setakat ini, laman web Snopes telah membongkarkan sekurang-kurangnya sebanyak 30 mitos-mitos palsu yang dikaitkan dengan peristiwa 11 September.

Beberapa lagi mesej berantai melalui e-mel berkaitan Nostradamus terus disebarkan. Salah satunya adalah yang menggambarkan “burung logam” yang melanggar “dua patung tugu yang tinggi”. Penulis sendiri tertawa selepas membaca rangkap ini kerana ia tidak pernah muncul di mana-mana bab dalam Centuries: The Prophecies of Nostradamus mahupun salinan asal.

Yang lain pula ada yang menyebut “kota York,” ia adalah penemuan lain yang direka untuk kelihatan seperti ia ditulis oleh Nostradamus. mesej yang tersebar itu merangkumi frasa berikut:

“Pada tahun abad baru dan bulan sembilan,

Dari langit akan muncul Raja Kega.na.san yang hebat.

Langit akan terbakar pada suhu empat puluh lima darjah.

Api mendekati bandar baru yang agung.”

Walaupun kuatrin ini bukan karya asli Nostradamus, ia turut menyelitkan beberapa patah ayatnya. Ia menjadi satu ayat yang dimanipulasi dan disesuaikan dari dua kuatrin yang berbeza:

(Century 10, Quatrain 72):

“Tahun 1999 bulan ke-tujuh,

Dari langit akan muncul Raja Kega.na.san yang hebat.

Untuk membangkitkan kembali raja Mongol yang agung,

Sebelum dan selepasnya, Mars memerintah dengan tuah.”

Century 6, Quatrain 97:

“Pada suhu empat puluh lima darjah langit akan terbakar,

Api sedang menghampiri bandar baru yang hebat:

Sekelip mata api yang merebak akan membesar,

Bila seseorang ingin menuntut bukti dari orang Norman.”

Ramai pengikut Nostradamus yang percaya bahawa kedua-dua kuatrin ini merujuk kepada se.ran.gan terhadap World Trade Center. Rujukan mengenai kebakaran dan kega.na.san dari langit sesuai dengan se.ran.gan udara, dan mereka berpendapat tahap suhu di bandar New York adalah sekitar 40 ° 5 ‘N latitud (kaitan paling dekat dengan “empat puluh lima” darjah). Tarikhnya juga tidak jauh berbeza.

Selain itu, beberapa kuatrin lain merujuk kepada tokoh Anti-Christ yang dikenali sebagai “Mabus”  yang kononnya akan memulakan pe.ran.g dunia. Abjad-abjad dalam perkataan Mabus boleh diubah susunannya untuk membentuk ejaan menjadi satu perkataan “Usam B”, ini menyebabkan sesetengah orang percaya yang Nostradamus telah meramalkan kemunculan Osama ben Laden.

Yang mana satu Mabus sebenarnya?

Kajian sifat skeptikal menunjukkan bahawa seseorang yang taksub hanya akan percaya dan hanya akan memetik mana-mana baris ayat yang sesuai dengan kehendaknya, tetapi mengabaikan bahagian-bahagian yang tidak diperlukan dirinya, misalnya “raja besar Mongol”.

Selain itu, mereka berpendapat bahawa “kota baru yang hebat” adalah terjemahan yang menyimpang jauh dari frasa asli Nostradamus. Dalam bahasa Perancis asli, Nostradamus merujuk kepada “Villeneuve,” yang secara harfiahnya bermaksud “kota baru”, tetapi ia juga merupakan nama bagi sebuah kota di luar Paris.

Para pengkritik menilai persamaan Mabus dan Osama bin Laden secara kebetulan, juga terdapat banyak laporan yang menunjukkan bahawa sehingga ke hari ini pun masih ramai para pengikut (atau pentaksub) Nostradamus mendakwa bahawa Mabus yang dimaksudkan sebenarnya adalah Saddam Hussein (Mabus dieja terbalik menjadi Subam).

Likes page baru kami: The Patriots 2.0 (https://www.facebook.com/thepatriots2.0asia/)

Walaupun begitu, semakin banyak hujah-hujah yang lebih munasabah dikeluarkan oleh para pengkritik ini, Nostradamus menjadi semakin popular daripada sebelum ini. Dalam sekelip mata selepas se.ran.gan 11 September, buku-buku Nostradamus menaiki ke puncak senarai jualan di Amazon.com, dan memenuhi rak-rak kedai buku di seluruh negara.

Penulis sendiri bukanlah seorang yang tidak mempercayai ilmu ghaib, ilmu fitan, atau ramalan tentang akhir zaman, penulis hanya menolak sikap ketaksuban yang sering mendorong umat Islam untuk melakukan penipuan sebagai justifikasi untuk menegakkan syiar agama Islam, sedangkan sebagai umat Islam yang beriman, perlulah mengikut sunnah yang dianjurkan oleh junjungan yang mulia Nabi Muhammad S.a.w. dan melipat gandakan amal ibadat di dunia.

Kemenangan Donald Trump dalam pemilihan presiden A.S. 2016 turut dikaitkan sebagai ramalan Nostradamus, namun frasa yang disebarkan hanyalah sekadar tokok tambah propaganda musuh politiknya sahaja

Tidak ada bukti yang menunjukkan kita perlu berpegang secara wajib terhadap suatu hadis yang meramalkan perkara tertentu, kerana hadis merupakan salah satu cabang ilmu Islam, dan Islam menuntut kita agar menuntut ilmu dengan cara yang betul, dari sumber yang tepat, dan jangan sampai termasuk ke dalam dunia ketaksuban.

Ada banyak kes-kes penipuan yang dilakukan oleh pihak tertentu dengan menunggang nama Nabi demi mendapatkan kepentingan tertentu sama ada secara peribadi ataupun organisasi, dan kebanyakannya sentiasa berlaku di dalam ruang lingkup politik semasa, semata-mata kerana mahu mewujudkan satu justifikasi yang boleh mengekalkan kuasa mereka di dunia.

Kita sedar, Nostradamus bukan siapa-siapa, dia tidak dikurniakan kelebihan mukjizat seperti Nabi kita, tetapi sebelum menerima suatu berita, tetaplah perlu dikaji dahulu akan kesahihannya walaupun ianya merupakan hadis Nabi, kerana kita semua sudah tentu tidak mahu memfitnah utusan Allah yang kita sayangi itu.

RUJUKAN:

Karr, Rick. (27 Sept 2001). Ter.ro.rist Urban Legends: Internet Sites Spread, Debunk Myths After Te.r.ror Atta.c.ks. Snopes.

 


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

•MALAY• •MUSLIM• •TERENGGANU• •NATIONALIST• •CONSERVATIVE•

Comments are closed.