Seorang rakyat Malaysia pegang satu domain internet. Dua huruf sahaja. AI.com. Tapi bila dunia tiba-tiba obses dengan kecerdasan buatan, domain itu bertukar daripada alamat web biasa kepada harta digital paling panas di planet ini. Akhirnya, ia dijual pada harga USD70 juta, lebih kurang RM276 juta.
Pemilik asal domain itu ialah Arsyan Ismail. Orang lama dalam dunia tech. Dia memang duduk dalam internet sejak zaman orang Malaysia baru kenal modem lagi.
Kalau nak faham kenapa cerita AI.com ni masuk akal, kena faham siapa Arsyan ni sebenarnya.
Umur belasan tahun lagi, sekitar akhir 1990-an, masa remaja lain sibuk main game cybercafe, Arsyan dah tulis skrip mIRC sendiri. Skrip yang dia buat iaitu orenscript jadi antara skrip mIRC paling popular pada zaman tu dengan dimuat turun puluhan ribu kali.
Zaman tu belum ada GitHub, belum ada Stack Overflow. Semua belajar sendiri, trial and error dalam komuniti underground internet.
Masuk awal 2000-an, bila media sosial belum wujud sebagai industri, Arsyan dah cuba bina Kawanster, rangkaian sosial tempatan yang diilhamkan oleh Friendster. Walaupun akhirnya kalah dari segi skala, eksperimen itu letak dia betul-betul di tengah gelombang Web 2.0 yang baru bermula. Lepas tu dia masuk dunia pengiklanan digital melalui Advertlets dan Nuffnang, dua nama yang bagi blogger Malaysia zaman awal memang tak asing langsung.
Dia tak kekal di satu tempat. Pernah masuk Ruumz, cuba bina rangkaian sosial khusus untuk pasaran tempatan. Pernah kerja dengan syarikat telco besar seperti YTL. Pernah direkrut oleh MyTeksi sebelum ia jadi Grab ketika ia masih startup kecil yang belum tentu hidup mati. Lepas keluar dari beberapa startup dan syarikat besar, Arsyan mula terlibat dengan pembangunan sistem untuk platform crowdfunding dan startup yang lebih teknikal. Ada projek yang berkembang, dan ada juga yang tidak diteruskan kerana perbezaan hala tuju dan fasa pasaran.
Masuk umur 30-an, Arsyan Ismail menubuhkan syarikat sendiri, 1337 Tech. Pada fasa inilah beliau mula mendalami Bitcoin dan teknologi blockchain ketika kripto masih dianggap niche dan belum diterima arus perdana.
Sejak itu, fokus kerjayanya banyak tertumpu kepada pembangunan sistem dan produk berkaitan blockchain di peringkat antarabangsa.
Dalam konteks inilah domain AI.com masuk. Menariknya, “AI” itu juga datang daripada nama Arsyan Ismail sendiri. Bukan nak kata benda ni dirancang dari awal, tapi kebetulan ini memang selari dengan perjalanan hidup dia yang lama berpusing dalam dunia teknologi.
Sekitar 2023 ke atas, kecerdasan buatan meletup. Semua syarikat besar nak “own AI”. Bila semua berlumba masuk kategori yang sama, nama paling ringkas dan paling obvious jadi rebutan. Dalam dunia digital, siapa pegang nama, dia pegang persepsi. AI.com terus naik dari cuma domain rare kepada alamat paling strategik di internet.
Di sinilah masuk pembeli.
Domain itu dibeli oleh Kris Marszalek, CEO kepada Crypto.com. Crypto.com memang ada rancangan besar untuk lancarkan entiti baharu berasaskan “AI agent” atau pembantu AI peribadi yang boleh urus mesej, aplikasi, kewangan dan dagangan digital. Untuk projek sebesar itu, mereka perlukan satu benda yang tak boleh ditiru pesaing.
Alamat paling kuat di internet.
Harga yang dipersetujui ialah USD70 juta dibayar sepenuhnya dalam mata wang kripto. Broker domain yang menguruskan urus niaga ini mengesahkan ia antara penjualan domain termahal yang pernah didedahkan secara terbuka. Tanpa sidang media besar, seorang rakyat Malaysia memecahkan rekod dunia dalam hartanah digital.
Bagi pihak pembeli, harga itu sebenarnya masuk akal. Kris Marszalek sendiri pernah jelaskan yang dalam dunia digital, kalau jenama tak pegang pintu masuk paling asas, jenama itu mudah tenggelam antara ratusan produk lain. AI.com terus melekat dalam kepala. Orang taip, terus sampai. Kelebihan macam ni tak boleh dibina dengan iklan atau kempen marketing semata-mata.




No comments yet