Orang KL mesti tahu Jalan Raja Laut, situlah ada SOGO dan Bangunan DBKL.
Tapi pernah tak kita tertanya-tanya, siapa sebenarnya Raja Laut?
Nama penuhnya Raja Laut ibni al-Marhum Sultan Muhammad Shah ibni Sultan Ibrahim Shah ibni Sultan Salahuddin Shah @ Raja Lumu ibni Raja Chellak.
Beliau merupakan putera kedua Sultan Selangor ke-3, Sultan Muhammad Shah. Ibunya pula disebut sebagai Raja Asiah atau Raja Sia yang mempunyai hubungan dengan jaringan diraja Bugis Riau.
Raja Laut dilahirkan sekitar tahun 1850. Ada catatan yang menyebut beliau diputerakan di Istana Kuala Selangor, manakala riwayat lain pula mengaitkan gelaran “Laut” dengan kisah bahawa beliau dilahirkan ketika bondanya berada di perairan sekitar Lukut. Nama itu kedengaran tenang, seolah-olah ada bayangan ombak dan angin laut. Tetapi zaman yang beliau lalui jauh daripada tenang.
Selangor pada abad ke-19 penuh dengan bijih timah, perebutan kuasa, campur tangan British, persaingan pembesar Melayu, konflik pelombong Cina dan perang saudara yang kemudian dikenali sebagai Perang Klang.
Ketika Perang Klang, Raja Laut muncul sebagai watak penting.
Menurut Buyong Adil dalam Sejarah Selangor, ketika konflik antara pihak Raja Mahadi dan Tengku Kudin semakin panas, Raja Laut berada di pihak yang menentang pihak Tengku Kudin dan Kapitan Yap Ah Loy.
Pada satu tahap, Raja Asal yang sebelumnya pernah berada di pihak Yap Ah Loy akhirnya berpaling tadah. Selepas itu, Raja Asal bergabung dengan Raja Laut. Mereka mula mengumpulkan orang untuk menentang pihak Tengku Kudin dan Yap Ah Loy. Dari sinilah peranan Raja Laut dalam Perang Klang menjadi semakin jelas.
Pada tahun 1872, Raja Asal dan Raja Laut bergerak ke Kajang untuk mengumpulkan kekuatan sebelum bersedia mara ke Kuala Lumpur. Pada awal Mei 1872, angkatan Raja Asal dan Raja Laut yang dianggarkan sekitar 2,000 orang, kebanyakannya orang Melayu bergerak dari Kajang menuju Kuala Lumpur. Mereka tidak terus masuk Kuala Lumpur. Mereka berkubu dahulu di Petaling Batu kira-kira tiga batu dari Kuala Lumpur.
Pihak Yap Ah Loy dan Tengku Kudin tidak duduk diam. Satu pasukan yang diketuai oleh van Hagen cuba menyerang kubu Raja Asal di Petaling Batu. Tetapi serangan itu tidak berjalan seperti yang diharapkan. Pertempuran berlaku selama tiga hari. Akhirnya pasukan van Hagen kalah teruk. Buyong Adil mencatatkan sekitar 730 orang daripada pasukan van Hagen terbunuh dalam pertempuran itu.
Selepas itu, kedudukan Kuala Lumpur semakin genting. Saiyid Mashhor datang dari Ulu Selangor dan bergabung dengan angkatan Raja Asal serta Raja Laut. Gabungan ini menjadikan kepungan terhadap Kuala Lumpur semakin kuat. Sutan Puasa juga dikatakan menyebelahi pihak Raja Asal, sebahagiannya kerana orang-orangnya sudah berada dalam pasukan Saiyid Mashhor dan hubungannya dengan Raja Asal lebih rapat berbanding dengan Yap Ah Loy.
Pada Julai 1872, Raja Mahadi, Raja Mahmud, Raja Laut dan beberapa pembesar Selangor yang menyebelahi mereka datang ke Kuala Lumpur untuk memperkuat serangan. Pada 17 Julai 1872, Raja Mahmud bersama Raja Laut, Raja Berkat, Raja Endut dan seorang ketua Cina bernama Teo Ah Chong membawa sekitar 300 orang askar yang dikumpulkan dari Lukut dan Langat. Mereka menyerang kawasan Batu dan Gombak. Dalam serangan itu, dua kampung dibakar, empat orang Cina terbunuh dan 18 orang lagi cedera.
Inilah bahagian yang jarang orang sebut apabila nama Raja Laut dibincangkan. Biasanya kita hanya dengar beliau sebagai nama jalan. Tetapi sebelum semua itu, Raja Laut pernah berada dalam babak perang paling berdarah dalam sejarah awal Kuala Lumpur.
Malah selepas Yap Ah Loy berundur dari Kuala Lumpur, pasukan Saiyid Mashhor dan Raja Laut dikatakan mengejar rombongan itu. Dalam catatan Buyong Adil, ramai pengikut Yap Ah Loy terbunuh berhampiran Damansara. Angka yang disebut juga sangat besar.
Selepas debu perang mula reda dan British semakin kukuh dalam pentadbiran Selangor, Raja Laut tidak hilang daripada sejarah. Sebaliknya, beliau muncul semula sebagai salah seorang tokoh Melayu paling penting di Kuala Lumpur.
Pada era 1880-an, Raja Laut dikenali sebagai ketua masyarakat Melayu di Kuala Lumpur. Beliau tinggal di Kampung Rawa, sebuah penempatan Melayu penting pada waktu itu. Masyarakat Melayu Kuala Lumpur ketika itu bukan kelompok yang seragam. Mereka terdiri daripada orang Sumatera, Rawa, Mandailing, Melayu Pahang dan pelbagai komuniti Melayu lain yang datang mencari rezeki di bandar lombong yang sedang berkembang.
Kuala Lumpur pada waktu itu majoritinya penduduk dalam sektor perlombongan ialah orang Cina. Ada peniaga, pelombong, buruh, kongsi, pembesar Melayu, pedagang dan pelbagai kumpulan yang hidup dalam ruang yang sama tetapi dengan bahasa, budaya dan kepentingan berbeza. Dalam keadaan begini, masyarakat Melayu memerlukan seorang pemimpin yang boleh menjadi tempat rujukan. Dan Raja Laut memainkan peranan itu.
Beliau pernah dilantik sebagai Ahli Majlis Negeri Selangor. Beliau juga bertindak sebagai penghulu dan magistrate di Kuala Lumpur. Beliau menyelesaikan pertikaian dalam kalangan orang Melayu, menjadi penghubung antara masyarakat dengan pentadbiran negeri dan menjaga kedudukan orang Melayu dalam sebuah bandar yang semakin pantas berubah.
Lebih menarik, pada tahun 1886, nama Raja Laut terlibat dalam pembukaan Selangor Railway. Dalam laporan Straits Times Weekly Issue, disebut bahawa Rajah Laut of Kwala Lumpur menyampaikan ucapan berbahasa Melayu kepada Sir Frederick Weld, Gabenor Negeri-Negeri Selat. Ucapan itu memuji keamanan, perdagangan, jalan raya dan kereta api selepas pentadbiran Residen British diperkenalkan di Selangor.
Namun perkara ini tidak wajar dibaca seolah-olah Raja Laut sejak awal ialah penyokong British sepenuhnya. Dalam Perang Klang, beliau pernah berada dalam kelompok yang menentang pihak Tengku Kudin dan Yap Ah Loy. Jadi kemunculan beliau dalam majlis rasmi kolonial pada tahun 1886 lebih sesuai difahami sebagai perubahan keadaan selepas perang. Apabila British semakin kukuh dalam pentadbiran Selangor, pembesar tempatan seperti Raja Laut perlu bergerak dalam sistem baharu itu untuk terus berpengaruh khususnya dalam masyarakat Melayu Kuala Lumpur.
Pada masa yang sama, Kuala Lumpur juga sedang berubah. Daripada bandar lombong yang kasar, kotor dan tidak teratur, ia mula disusun menjadi pusat pentadbiran dan perdagangan. Tetapi perubahan itu tidak berlaku secara ajaib. Bandar yang semakin padat memerlukan sistem. Masalah kebersihan, kesihatan, jalan, bangunan, pasar, penyakit dan keselamatan awam perlu diurus.
Sebab itu penubuhan Kuala Lumpur Sanitary Board pada tahun 1890 menjadi titik penting. Badan ini boleh dianggap sebagai salah satu asas awal pentadbiran bandar Kuala Lumpur. Menurut J. M. Gullick dalam A History of Selangor, Sanitary Board menjadi badan perbandaran awal yang mengurus perkara seperti kebersihan, peraturan bangunan, trafik, polis bandar dan penyelenggaraan jalan dan Raja Laut merupakan salah seorang tokoh yang terlibat dengan Kuala Lumpur Sanitary Board.
Namun sumbangan Raja Laut yang paling menarik untuk dikenang ialah pendidikan.
Raja Laut bertanggungjawab menubuhkan Sekolah Melayu pertama di Kuala Lumpur. Lebih menarik, beliau sendiri menghantar putera tunggalnya, Raja Alang ke sekolah tersebut.
Hari ini, tindakan menghantar anak ke sekolah mungkin nampak biasa. Tetapi pada akhir abad ke-19, dalam konteks masyarakat Melayu Kuala Lumpur, tindakan itu besar maknanya.
Sebab waktu itu, orang Melayu sudah mempunyai sistem pendidikan tradisional sendiri. Anak-anak Melayu belajar al-Quran di rumah guru, rumah imam atau tempat pengajian kecil. Mereka belajar mengenal huruf, membaca muqaddam, mengaji al-Quran, belajar adab, akhlak dan asas agama. Pendidikan seperti ini bukan bermaksud orang Melayu “tiada sistem”. Ia cuma sistem yang berbeza daripada sekolah moden British.
Apabila sekolah Melayu vernakular diperkenalkan oleh pihak British, ramai ibu bapa Melayu tidak terus menerimanya. Mereka bimbang anak-anak tidak mendapat pendidikan agama. Mereka takut sekolah kerajaan hanya mengajar membaca, menulis dan mengira tanpa memberi tempat yang cukup kepada al-Quran dan Islam. Bagi masyarakat Melayu waktu itu, pendidikan bukan sekadar pandai kira atau pandai tulis nama. Pendidikan mesti membentuk akhlak, agama dan jati diri.
Sebab itu sambutan awal terhadap sekolah Melayu vernakular di Kuala Lumpur tidak begitu memberangsangkan. Ada catatan yang menunjukkan sekitar tahun 1886, hanya 47 orang pelajar hadir. Tahun 1887 pula sekitar 36 orang dan tahun 1888 sekitar 41 orang. Angka ini kecil jika dibandingkan dengan cita-cita pentadbiran British untuk menarik lebih ramai anak Melayu ke sekolah.
Tetapi kita kena faham puncanya. Orang Melayu bukan menolak ilmu. Mereka menolak sistem yang mereka rasa tidak lengkap. Mereka mahu anak mereka belajar agama. Mereka mahu anak mereka tidak tercabut daripada akar Islam dan adat Melayu.
Jadi apabila Raja Laut menghantar anaknya sendiri, Raja Alang, ke sekolah Melayu pertama itu, beliau sebenarnya sedang memberi isyarat bahawa pendidikan baharu boleh diterima, asalkan orang Melayu tidak meninggalkan akar sendiri.
Tetapi peranan Raja Laut dalam pembangunan masyarakat Melayu Kuala Lumpur tidak berhenti setakat sekolah. Raja Laut turut disebut sebagai Chairman Kampung Bahru Agricultural Settlement pada tahun 1902.
Kampung Baru merupakan penempatan Melayu bandar yang sangat penting dalam sejarah Kuala Lumpur. Pada awal abad ke-20, British menyediakan kawasan tanah yang luas untuk orang Melayu di Kuala Lumpur dengan tujuan mewujudkan penempatan yang membolehkan mereka tinggal, bercucuk tanam dan mengekalkan identiti Melayu di tengah bandar yang semakin berkembang.
Kawasan Kampung Baru melibatkan tanah sekitar 224 ekar. Di situ, orang Melayu diberikan ruang untuk membina rumah, menanam padi dan tanaman lain serta mempelajari kemahiran tertentu. Sebuah masjid dan sekolah Melayu turut dibina untuk keperluan penduduk..
Pada tahun 1898, Raja Muda Sulaiman dimasyhurkan sebagai Sultan Selangor ke-5 dengan gelaran Sultan Alaeddin Sulaiman Shah. Selepas baginda naik takhta, soal pelantikan Raja Muda Selangor menjadi perkara penting kerana jawatan itu berkait dengan kedudukan pewaris takhta negeri.
Pada 1 November 1899, Sultan Alaeddin Sulaiman Shah telah mengangkat Raja Laut ibni almarhum Sultan Muhammad sebagai Raja Muda Selangor. Tetapi pelantikan ini tidak dibuat melalui adat istiadat keramaian seperti yang lazim berlaku dalam istana. Ia hanya ditulis dalam warta kerajaan Selangor. Dalam masa yang sama, pelantikan itu turut dipersetujui oleh pegawai-pegawai British yang berada di Selangor.
Di sinilah kisah Raja Laut menjadi lebih rumit. Pada peringkat awal, pelantikan itu tidak benar-benar diumumkan secara terbuka kepada orang ramai. Tetapi apabila masuk tahun 1903, timbul desakan supaya jawatan Raja Muda Selangor yang telah diberikan kepada Raja Laut itu disahkan secara rasmi dan terbuka. Apabila hal pelantikan itu semakin diketahui, ramai orang besar kanan di Selangor tidak bersetuju. Mereka menentang pelantikan tersebut.
Akhirnya, pelantikan Raja Laut sebagai Raja Muda Selangor dibatalkan. Ini menunjukkan kedudukan Raja Laut dalam istana Selangor bukan cerita mudah. Beliau memang putera Sultan Selangor. Beliau juga tokoh penting di Kuala Lumpur. Tetapi apabila masuk soal takhta, perkara itu tidak hanya bergantung kepada darah keturunan dan jasa seseorang. Dalam dunia istana Melayu, adat, penerimaan pembesar, cara pelantikan dibuat dan kedudukan politik semasa turut memainkan peranan besar.
Selepas itu, jawatan Raja Muda Selangor tidak terus diisi semula. Hanya pada tahun 1920, Tengku Musauddin, putera sulung Sultan Alaeddin Sulaiman Shah dilantik sebagai Raja Muda Selangor. Ini memperlihatkan bagaimana adat istana, pengaruh British dan pandangan orang besar negeri bertembung dalam menentukan pewaris takhta Selangor pada awal abad ke-20.
Walaupun pelantikannya sebagai Raja Muda akhirnya dibatalkan, nama Raja Laut tetap tidak hilang daripada sejarah Kuala Lumpur. Beliau masih dikenang sebagai pembesar Selangor yang pernah memainkan peranan penting dalam Perang Klang, menjadi ketua masyarakat Melayu Kuala Lumpur, terlibat dalam pentadbiran bandar, dan dikaitkan dengan penubuhan Sekolah Melayu pertama di Kuala Lumpur.
Raja Laut berkahwin dengan Raja Daing Chahaya dan dikurniakan seorang putera, Raja Alang. Keluarga diraja ini pernah tinggal di kawasan Batu Road iaitu kawasan yang kini dikenali sebagai Jalan Tuanku Abdul Rahman. Pada hujung abad ke-19, kawasan sekitar Batu Road mula menjadi antara kawasan penting di luar pusat komersial Kuala Lumpur. Di sinilah wujud kelompok bandar yang bercampur antara pembesar Melayu, peniaga dan pegawai pentadbiran.
Raja Laut mangkat pada 9 Jun 1913 di Kuala Lumpur. Beliau dimakamkan di Tanah Perkuburan Kampong Gonggang yang kini dikenali sebagai Tanah Perkuburan Jalan Ampang.
Sebab itu nama Raja Laut diabadikan sebagai nama sebatang jalan di Kuala Lumpur yang bersambung dengan Jalan Tuanku Abdul Rahman. Ia penghormatan kepada seorang tokoh yang pernah melalui fasa penting sejarah Selangor dan Kuala Lumpur, daripada zaman perang, zaman pentadbiran bandar sehinggalah zaman awal pendidikan Melayu di ibu kota.




No comments yet