Nostradamus (1503-1566) sememangnya seorang penulis yang masyhur dengan ramalan tentang masa depan, antaranya melibatkan Revolusi Perancis, penghasilan bom atom, kemunculan Adolf Hitler, dan serangan ke atas Pusat Dagangan Dunia pada tanggal 11 September. Namun kira-kira 400 tahun sebelum hayat beliau, hadir Jayabaya, seorang raja Hindu di Tanah Jawa yang turut masyhur dengan ramalan tentang masa hadapan, khususnya berkenaan Jawa.
Sama seperti Nostradamus, ramalan-ramalan yang dilakukan oleh Jayabaya masih meninggalkan pengaruh yang cukup besar dalam kebanyakan rakyat Indonesia kerana dipercayai kebanyakannya menjadi kenyataan.
RAJA YANG MENCINTAI ILMU
Raja Jayabaya (atau Joyoboyo) memerintah Kerajaan Kediri pada 1135 hingga 1157 Masihi dan namanya masyhur dalam kalangan orang Jawa sehingga ke hari ini, terutama kerana ia diabadikan di dalam Babad Tanah Jawi (Hikayat Jawa) dan Serat Aji Pamasa.
Sama seperti kebanyakan raja yang memerintah pada zaman itu, beliau mengaitkan dirinya dengan dewa sebagai cara untuk mengabsahkan lagi pemerintahannya. Sebahagian sumber menyebutkan bahawa beliau adalah cicit kepada Brahma si dewa kebijaksanaan, sementara sumber lain pula agak berlebihan dalam mendakwa beliau sebagai jelmaan Vishnu.
Ayahandanya yang bernama Gendrayana kononnya adalah keturunan daripada Arjuna yang merupakan salah seorang daripada Lima Pandava Bersaudara sebagaimana yang dikisahkan dalam Mahabharata. Arjuna itu sendiri merupakan putera kepada dewa Indra. Oleh kerana itu, hikayat menceritakan betapa Jayabaya memiliki keupayaan luar biasa yang membolehkannya melihat jauh ke masa silam dan masa hadapan.
Jayabaya juga disifatkan sebagai seorang yang bijak dan gemar belajar. Di bawah pemerintahannya, Kerajaan Kediri mencapai puncak kegemilangan, khususnya dalam bidang kesusasteraan. Beliau menaungi ramai penyair yang masyhur pada masa itu, antaranya seperti Empu Bersaudara, iaitu Sedah dan Empu Panuluh yang mengarang Kitab Bharatayudha, sebuah pengkisahan semula Mahabharata dalam bahasa Jawa pada tahun 1157.
Prolog buku berkenaan mencatatkan nama Raja Jayabaya sebagai penaung kedua-dua penyair itu. Sememangnya, era Kerajaan Kediri dianggap sebagai zaman keemasan bagi kesusasteraan Hindu di Tanah Jawa. Raja Jayabaya sendiri mengarang kitab-kitab ramalannya yang tersendiri, seperti Serat Jayabaya, Serat Pranitiwakya dan beberapa lagi yang lain.
Ketika usia lanjutnya, Jayabaya turun takhta demi menjalani kehidupan sederhana sebagai seorang pertapa di kampung Menang. Sehingga hari ini, kampung itu masih dianggap sebagai tempat keramat untuk dikunjungi oleh masyarakat Jawat. Sukarno dan Suharto, iaitu presiden Indonesia yang pertama dan kedua, masing-masing dikatakan pernah berkhalwat di kampung itu sebelum menempa nama.
ANTARA RAMALAN JAYABAYA
Sewaktu ianya diwartakan kepada umum, ramalan-ramalan Nostradamus menerima reaksi yang bercampur-baur. Sebilangan pihak langsung memandang Nostradamus sebagai pemuja syaitan atau orang gila. Ramai juga golongan elit yang mengentengkan tulisan-tulisannya sebagai ilham dari alam ghaib yang penuh merapu. Bagi Jayabaya, kedudukannya sebagai raja dan imejnya sebagai keturunan dewa memudahkan rakyat jelata untuk menerima ramalan-ramalannya.
Salah satu ramalan Jayabaya yang paling masyhur adalah tentang kehadiran lelaki berkulit putih yang datang membawa senjata yang berupaya membunuh manusia dari jarak jauh. Beliau meramalkan bahawa lelaki berkulit putih ini akan men4kluk Jawa buat tempoh masa yang cukup lama. Katanya lagi, mereka ini kemudiannya akan ditewaskan oleh lelaki berkulit kuning dari utara. Namun, kumpulan yang kedua ini hanya akan menguasai Jawa separas usia tanaman jagung sahaja.
Ramalan ini menjadi kenyataan apabila Indonesia dijajah selama 300 tahun oleh Belanda. Kekalahan Belanda di tangan Jepun pada tahun 1942 juga dilihat sebagai realisasi terhadap ramalan Jayabaya itu, memandangkan Jepun hanya menguasai Indonesia sehingga tahun 1945 (tiga tahun setengah) sebelum Indonesia meraih kemerdekaan pada bulan Ogos 1945.
Jayabaya juga meramalkan tentang kepimpinan Indonesia moden menerusi kalimat Notonegoro (yang secara harfiah bermaksud ‘pentadbir negara’). Memandangkan tiada sebarang penjelasan tentang mengapa beliau menggunakan perkataan ini secara khusus, maka wujud pelbagai macam tafsiran. Tafsiran yang paling ringkas mengandaikan bahawa sesiapa sahaja yang menjadi pemimpin Indonesia moden tidak akan memiliki kuasa mutlak seperti seorang ‘raja’, sebaliknya dia hanya berperanan sebagai seorang ‘pentadbir’ yang memenuhi kebajikan rakyat negaranya. Namun, terdapat juga tafsiran lain yang lebih panjang.
Satu teori mengandaikan bahawa ramalan ini melibatkan suku kata terakhir pada nama presiden-presiden Indonesia. Pun begitu, teori ini tidaklah begitu tepat memandangkan hanya dua orang presiden awal sahaja yang namanya menepati ramalan, iaitu SoekarNo dan SoeharTo. Presiden ketiga dan keempat, iaitu BJ Habibie dan Abdurrahman Wahid masing-masing tidak menepati suku kata NE dan GO di akhir nama mereka. Keadaan ini seterusnya mendorong kepada lahirnya tafsiran yang kedua. Teori kedua mengandaikan bahawa kononnya, hanya presiden ‘terhebat’ sahaja yang menepati suku kata dalam perkataan ramalan tersebut,
Tafsiran yang lebih panjang lebar menyebutkan bahawa memandangkan suku kata NE tidak terkandung dalan nama BJ Habibie, maka suku kata ini ditafsirkan sebagai merujuk kepada asal-usul presiden yang bukan kelahiran Jawa. Suku kata GORO pula kononnya diambil daripada perkataan goro-goro yang bermaksud konflik dan kekacauan, dan hal ini merujuk kepada zaman pentadbiran Abdurrahman Wahid dan Megawati Soekarnoputri. Presiden keenam, iaitu YodhoyoNo, disifatkan sebagai pengulangan kitaran bagi ramalan berkenaan.
KEMUNCULAN PEMIMPIN ULUNG DAN KEMBALINYA ZAMAN KEEMASAN
Ramalan Jayabaya yang paling dinanti-nantikan adalah tentang ketibaan Ratu Adil sebagai pemimpin baru Indonesia. Jayabaya menyifatkan insan insan ini mempunyai darah kerabat Majapahit dan bakal menjadi pemimpin Jawa dan dunia yang terulung. Menurutnya lagi, Ratu (atau Raja) Adil ini akan muncul “apabila pedati-pedati besi boleh ditunggangi tanpa kuda dan kapal boleh berlayar di udara” (merujuk kepada kereta dan kapal terbang).
Awal kehidupan pemimpin yang dinantikan ini kononnya akan dipenuhi dengan kesukaran, penghinaan, dan kemiskinan. Namun, dia akan berjaya mengharunginya berkat keikhlasan dan kejituan hatinya. Kemudian, dia akan hadir di tengah-tengah masyarakat yang kacau-bilau dan mengembalikan keamanan, keharmonian, dan keadilan di dunia.
Ramalan ini secara tidak langsung mewakili kepercayaan masyarakat Jawa itu sendiri, di mana mereka percaya terhadap kitaran kehidupan – yakni tempoh kesenangan akan disusuli oleh masa-masa sukar dan masa-masa sukar akan digantikan semula oleh masa-masa senang. Kebanyakan masyarakat Jawa percaya bahawa kini mereka berada dalam pertengahan Jaman Edan (zaman kegelapan). Justeru, waktu kemunculan Ratu Adil diandaikan kian hampir bagi membawa mereka ke zaman keemasan yang baru.
TERJEMAHAN:
Martinif. (8 April 2016). Jayabaya – The Seer King of Java who Predicted the Dutch and Japanese Occupation of Indonesia. Ancient Origins. https://www.ancient-origins.net/artifacts-ancient-writings/jayabaya-seer-king-java-who-predicted-dutch-and-japanese-occupation-020803
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih