Kedatangan lima orang putera Bugis bersaudara yang terkenal dari Sulawesi dan peranan mereka dalam menghangatkan iklim politik kerajaan-kerajaan Melayu di sekitar Semenanjung Tanah Melayu,Sumatera dan Kalimantan sekitar kurun ke 18 Masihi dahulu sememangnya adalah satu babak dalam sejarah tamadun Melayu yang sangat masyhur dan tidak mungkin boleh dilupakan begitu sahaja.
Perkahwinan opu-opu Bugis lima bersaudara tersebut dengan puteri-puteri tempatan telah melahirkan zuriat yang ramai di mana zuriat-zuriat dari benih campuran Melayu dan Bugis inilah yang kemudiannya menyambung semula legasi kekuasaan politik lima opu-opu Bugis bersaudara tersebut di Alam Melayu.
Di Semenanjung Tanah Melayu atau lebih tepat lagi di dalam Kesultanan Johor,jawatan Yang Dipertuan Muda disandang oleh keturunan putera-putera Bugis tersebut sehingga menjadi jawatan eksklusif untuk keturunan mereka sahaja di dalam politik kerajaan Johor ketika itu, sebagai membalas jasa putera-putera Bugis tersebut yang dahulunya menolong Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah (1722 – 1760) mendapatkan takhta Johor daripada Raja Kechil dari Siak.
Salah seorang Yang Dipertuan Muda Johor-Riau berketurunan Bugis yang cukup terkenal dalam sejarah ialah tak lain tak bukan ialah Raja Haji bin Opu Daeng Chelak (Yang Dipertuan Muda Johor-Riau IV). Beliau lebih terkenal dan dekat dalam sanubari orang Melayu sebagai salah seorang tokoh pahlawan berjiwa besar yang gugur syahid fisabilillah dalam mempertahankan maruah dan kedaulatan tamadun Melayu daripada diinjak-injak oleh penjajah Belanda ketika itu.
Nama beliau sebaris dengan beberapa orang tokoh syuhada Alam Melayu terkenal yang lain seperti Tunku Muhammad Saad, Syeikh Abdussamad al Falembani dan Tok Janggut. Dalam penulisan mengenai Raja Haji karya almarhum Ustaz Wan Mohd Shaghir Abdullah yang dimuatkan dalam koleksi penulisan beliau mengenai ulama-ulama Nusantara, menobatkan Raja Haji bin Opu Daeng Chelak sebagai “pahlawan dunia Melayu yang terbesar atau teragung dan terhebat sesudah Laksamana Hang Tuah.”
Ayahanda kepada Raja Haji
Sebelum kita bersama-sama menyelusuri kehidupan dan perjuangan Raja Haji, mari kita kenal dulu akan bapanya dahulu iatu Opu Daeng Chelak bin Opu Daeng Rilaga. Opu Daeng Chelak (turut dikenali dengan nama Opu Daeng Pali) ialah anak keempat daripada lima Opu Bugis bersaudara tersebut. Selepas abangnya iatu Opu Daeng Marewah (Kelana Jaya Putera) mangkat pada 7 Ogos 1722, beliau terus dilantik menggantikan abangnya sebagai Yang Dipertuan Muda Johor-Riau yang kedua.
Beliau terlibat mengetuai tentera Johor-Riau dalam Perang Pinang Sekayuk pada tahun 1728 Masihi dalam membantu adik beradiknya,Opu Daeng Menambun (pemerintah kerajaan Mempawah) dan Opu Daeng Kemasi (penguasa jajahan takluk kerajaan Sambas) menentang tentera Pangeran Dipati di Kalimantan ketika itu. Beliau juga terlibat dalam mempertahankan ibu negeri Johor di Kepulauan Riau daripada serangan tentera Siak serta dalam perang saudara di negeri Perak yang berlaku sekitar tahun 1740 hingga 1745 Masihi.
Opu Daeng Chelak akhirnya mangkat pada 19 Mei 1745 Masihi (17 Rabiulakhir 1158 Hijri). Beliau mangkat meninggalkan dua orang anak perempuan gahara dengan isterinya yang bernama Tengku Mandak iatu Tengku Putih dan Tengku Hitam. Beliau juga meninggalkan dua orang anak lelaki yang bernama Raja Lumu dan Raja Haji,di mana kedua dua anak lelaki ini serta keturunan dan anak cucu mereka bakal mewarisi dan menyambung legasi politik yang ditinggalkan oleh bapa mereka di bumi Melayu ini.
Raja Haji sebagai anak lelaki kepada Opu Daeng Chelak masih terlalu muda untuk menggantikan almarhum ayahandanya sebagai Yang Dipertuan Muda ketika itu maka Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah melantik sepupu Raja Haji sendiri yang lebih tua iatu Opu Daeng Kemboja bin Opu Daeng Parani sebagai Yang Dipertuan Muda Johor-Riau yang ketiga. Opu Daeng Kemboja pula kemudiannya melantik Raja Haji sebagai timbalan dan wakil kepada Yang Dipertuan Muda atau ketika itu digelar sebagai “Engku Kelana”.
Raja Haji Sebagai Engku Kelana
Pada masa Raja Haji menjawat jawatan Engku Kelana pada awalnya, beliau dikatakan telah mempunyai konflik dengan sultan Terengganu yang juga merupakan sepupu Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah sendiri iatu Sultan Mansur Riayat Shah I (1733 – 1794 M) atau digelar sebagai Tun Dalam di Riau ketika itu. Raja Terengganu yang berjiwa muda tersebut tidak senang dengan penguasaan orang Bugis yang dilihat terlalu besar dalam politik kerajaan Johor ketika itu.
Baginda dikatakan telah mendalangi beberapa kes kekacauan di Riau dan menimbulkan api permusuhan dan perpecahan antara orang Melayu tempatan dengan orang Bugis. Keadaan di dalam Riau dilihat tidak aman dan penuh kacau bilau oleh Opu Daeng Kemboja yang bimbang akan perpecahan dan kekacauan yang berlaku mungkin boleh melanggar sumpah setia yang pernah dibuat di antara Melayu dan Bugis dahulu.
Raja Haji ditugaskan oleh Yang Dipertuan Muda Opu Daeng Kemboja untuk menjaga dan memantau keadaan di dalam negeri Riau buat sementara waktu apabila beliau ingin berlayar menuju ke Linggi (kini terletak di Negeri Sembilan).
Apabila Tun Dalam berpakat dengan sebuah kapal Belanda untuk membawa keluar Raja Haji dari Riau, Raja Haji sendiri sangat marah apabila beliau mengetahui rancangan sultan Terengganu itu lalu mengumpulkan tenteranya untuk bertarung dengan tentera Tun Dalam. Mujur tindakan kedua-dua pihak ini berjaya dihentikan oleh baginda Sultan Sulaiman sendiri dan putera baginda, Raja di Baruh Tengku Abdul Jalil.
Tun Dalam masih tidak berpuas hati lalu cuba meminta bantuan Belanda di Melaka untuk menangkap Raja Haji serta menyerang Opu Daeng Kemboja di Linggi. Raja Haji yang ketika itu sedang berada di Tanjung Keling sempat diselamatkan oleh abangnya, Raja Lumu yang berkayuh perahu dari Selangor selepas diarahkan oleh Opu Daeng Kemboja yang mengetahui rancangan Tun Dalam itu.
Tidak lama kemudian iatu pada tarikh 23 Julai 1756 Masihi, dua puluh buah kapal perang Belanda dari Melaka (ada sumber mengatakan sebanyak tujuh buah kapal Belanda) datang menyerang Linggi. Opu Daeng Kemboja kalah teruk dan terpaksa berundur ke Rembau manakala Raja Haji pula cedera di lutut terkena sangkar senapang dalam satu pertempuran dengan tentera Belanda sehingga tidak mampu berdiri dan akhirnya diusung keluar dari medan perang.
Dari Rembau, Opu Daeng Kemboja dan tentera Bugisnya mengumpul kekuatan dan mendapat bantuan daripada Selangor serta Batu Bahara (terletak di Sumatera Timur) lalu melancarkan serangan balas ke atas Melaka melalui pedalaman bermula pada tarikh 2 November 1756 Masihi. Kubu-kubu dibina di Kelebang manakala serangan bertali arus dikatakan dibuat oleh tentera Opu Daeng Kemboja ke atas Tengkera, Peringgit, Bukit Cina (Bukit Gedung) hingga Semabuk. Sebelum Yang Dipertuan Muda Opu Daeng Kemboja memulakan serangan kedua ke atas Peringgit, Belanda meminta perdamaian maka serangan pun dihentikan menjelang tahun 1758.
Opu Daeng Kemboja kemudiannya menetap di Pedas dan di sana, beliau mengahwinkan Raja Haji dengan anak perempuannya yang bernama Raja Perak. Dari perkahwinan antara Raja Haji dengan Raja Perak binti Opu Daeng Kemboja ini melahirkan seorang puteri gahara bernama Raja Hamidah atau lebih dikenali dengan nama Engku Puteri Raja Hamidah dalam sejarah. Raja Haji selepas itu berlayar ke Asahan dan membeli sebuah kapal selub di sana. Kapal itu ditutuhkan lalu ditukarkan menjadi sebuah penjajab perang yang cantik diukir yang beliau namakan sebagai “Bulang Linggi”.
Ketika Raja Haji berlayar ke Riau dengan kapal Bulang Linggi itu, Tun Dalam (Sultan Mansur Riayat Shah I) serta para pengikut baginda sudah lama berlayar keluar dari Riau dan kembali semula ke negeri Terengganu,setelah empat belas tahun raja Terengganu tersebut bersemayam di Riau dari tahun 1745 hingga tahun 1759. Setelah tiba di Riau, Raja Haji bersama sama dengan Raja Lumu dan Raja di Baruh Tengku Abdul Jalil dititahkan oleh baginda Sultan Sulaiman supaya pergi menjemput Opu Daeng Kemboja supaya balik semula ke Riau.
Kepahlawanan Raja Haji di serata Alam Melayu
Berbeza dengan pahlawan-pahlawan alam Melayu yang lain dalam sejarah, kisah perjuangan dan kepahlawanan Raja Haji bukan sekadar terbatas di sekitar wilayah Empayar Johor-Riau sahaja,malah beliau juga telah menunjukkan kepahlawanan beliau di banyak tempat dan kerajaan di serata alam Melayu ketika itu. Pengembaraan Raja Haji pernah mencecah sehingga ke utara Semenanjung, Sumatera dan Kalimantan. Ingin penulis sendiri menceritakan dengan terperinci kisah perjuangan Raja Haji di banyak tempat di sekitar kepulauan Melayu dalam artikel ini tetapi penulis hanya menceritakan secara ringkas sahaja. Mungkin penceritaan yang lebih terperinci akan dimuatkan dalam penulisan yang lain pada masa akan datang.
Di samping pernah terlibat dalam percubaan mempertahankan Linggi dari serangan tentera Belanda pada tahun 1756 Masihi, beliau juga terlibat dalam serangan ke atas Kesultanan Kedah di utara semenanjung sekitar tahun 1770, sehinggakan Sultan Muhammad Jiwa II sendiri dikatakan terpaksa meninggalkan Alor Setar dan berundur ke Kota Kayang (Perlis kini). Raja Haji juga dikatakan pernah mengembara sehingga ke Sumatera di mana beliau dikahwinkan dengan seorang puteri sultan Jambi yang bernama Ratu Mas Deva serta dikurniakan gelaran “Pangeran Suta Wijaya” oleh kesultanan Jambi ketika itu.
Beliau kemudiannya terlibat dalam perang di bumi Kalimantan dengan membantu Pangeran Syarif Abdul Rahman al-Qadrie menentang kerajaan Sanggau bermula dari tarikh 24 Februari 1778 (26 Muharram 1192 H) sehinggalah Sanggau tewas pada tarikh 11 Mac 1778 (11 Safar 1192 H). Raja Haji selepas perang tersebut menabalkan Pangeran Syarif Abdul Rahman al Qadrie sebagai pemerintah pertama Kesultanan Pontianak pada tarikh 1 September 1778 (8 Syaaban 1192 H). Dalam peristiwa ini,Raja Haji bertindak menolong dan membantu Syarif Abdul Rahman al Qadrie ialah atas sebab hubungan kekeluargaan di mana Syarif Abdul Rahman al Qadrie berkahwin dengan Utin Candera Midi binti Opu Daeng Menambun yang juga merupakan sepupu kepada Raja Haji sendiri.
Raja Haji Menjadi Yang Dipertuan Muda
Raja Haji dilantik sebagai Yang Dipertuan Muda Empayar Johor-Riau yang keempat selepas Opu Daeng Kemboja mangkat sekitar tahun 1777 Masihi ketika berusia sekitar 80 tahun (dan kemudiannya masyhur digelar sebagai Marhum Janggut selepas ketiadaannya).
Pada tahun-tahun awal pemerintahan Raja Haji sebagai Yang Dipertuan Muda, pelabuhan Riau semakin makmur dikunjungi oleh para pedagang dari China, Siam, Timur Tengah dan tempat lain di serata Kepulauan Melayu terutamanya dari pulau Jawa.
Pada masa itu, telah berkuasa dua orang putera Opu Daeng Chelak di dua negeri Melayu yang berbeza iatu Raja Haji menjadi Yang Dipertuan Muda Empayar Johor-Riau manakala Raja Lumu pula mengasaskan kesultanan Selangor dan menjadi Sultan Selangor yang pertama dengan memakai gelaran Sultan Salihuddin Shah (1742–1778 M).
Namun keadaan aman ini tidak lama apabila pada tahun 1782, Raja Haji dan tentera Riau berperang dengan penjajah Belanda di Melaka. Dikatakan perang tercetus apabila Belanda menyerang dan merampas kapal Betsy milik pedagang Inggeris yang membawa hasil muatan candu di perairan Riau berdekatan dengan Pulau Bayan.
Sebelum ini, Raja Haji dikatakan telah membuat perjanjian dengan Belanda di mana Riau tidak akan memberi kebenaran kepada kapal Inggeris untuk berlabuh di Riau dan mana-mana kapal milik musuh Belanda yang dirampas maka sebahagian daripada hasil rampasan itu turut diberi kepada Raja Haji sendiri, di saat Belanda ketika itu sedang bermusuh dengan Great Britain.
Kapal Betsy tersebut dirampas oleh tentera Belanda di perairan Riau namun Belanda tidak memberi sebahagian daripada hasil rampasan tersebut kepada Raja Haji menjadikan putera Bugis tersebut murka dengan tindakan Belanda itu. Kedua-dua pihak gagal mencapai kata sepakat sehingga akhirnya gabenor Belanda di Melaka ketika itu iatu Pieter Gerardus de Bruijn (1775 – 1788) memutuskan untuk menyerang Riau dan menghalang kapal-kapal dagang dari masuk ke pelabuhannya.
Pada tahun 1783, maka berlakulah perang di antara tentera Riau yang berkubu di Tanjung Pinang, Teluk Keriting dan Pulau Penyengat menentang tentera Belanda yang datang dari Melaka menyerang Riau itu. Dalam perang tersebut dikatakan bahawa Raja Haji sendiri berkayuh perahu untuk menyerang kapal ghurab Snelheld milik Belanda pada tanggal 23 Jun 1783.
Perang berlangsung sehingga akhir bulan Januari 1874 Masihi apabila gabenor de Bruijn sendiri memanggil pulang armadanya di Riau untuk balik semula ke Melaka.
Namun serangan Belanda ke atas Riau ini memberi dorongan kepada anak saudara kepada Raja Haji sendiri iatu Sultan Ibrahim Shah (1778–1826 M), Sultan Selangor yang kedua untuk menyerang Belanda di Melaka melalui jalan darat. Penceritaan lanjut mengenai Sultan Ibrahim Shah dan perjuangan baginda dan tentera Selangor menentang penjajahan Belanda akan diceritakan dalam artikel yang akan datang, in sha Allah.
Tentera Selangor mendapat bantuan daripada penduduk Rembau dan Pedas dan kemudiannya pada tanggal 14 Januari 1784 Masihi, mereka bergerak membuat kubu di Batang Tiga (kini terletak dalam negeri Melaka, berdekatan dengan Tanjung Keling dan Klebang Besar).
Raja Haji demi mengharapkan pahala jihad fisabilillah menentang Belanda, kemudiannya tekad menyertai perang tersebut dengan mengetuai tenteranya sendiri ke Melaka lalu membina kubu di Teluk Ketapang (kini dikenali sebagai Telok Mas di Melaka) pada 13 Februari 1784 Masihi.
Perang besar pun terjadi dengan Sultan Ibrahim Shah dan tentera Melayu Selangor menyerang Melaka melalui kubu mereka di Batang Tiga manakala Raja Haji dan tentera Bugis dari Riau pula menyerang Melaka melalui kubu beliau di Teluk Ketapang. Pertempuran yang sengit terjadi di antara tentera Melayu-Bugis dan tentera Belanda di bumi Melaka pada tahun 1784 tersebut.
Perang ini sangat berjaya sehinggakan Raja Haji dan pasukan tentera beliau berjaya menawan banyak tempat di sekeliling kota Melaka menjadikan kedudukan Belanda terkepung di kota Melaka ibarat telur di hujung tanduk. Gabenor Pieter Gerardus de Bruijn yang gelisah dengan kepungan kuasa Melayu-Bugis ke atas Melaka dari dua arah yang berlainan itu cuba meminta bantuan daripada kerajaan-kerajaan Melayu lain seperti Kedah, Perak, Terengganu dan Siak namun gagal.
Gugurnya Seorang Pahlawan yang Agung
“Maka di dalam hal itu tiada juga mensia-siakan wiridnya dan tiadalah ia berhenti membaca selawat Dala’il al Khayrat dan tiadalah lepas daripada tangannya di dalam hal itu. Maka pada malam Jumaat tiada juga ia berhenti maulud al Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wassalam sebagaimana kedudukan orang yang tiada di dalam kesusahan demikian adanya.”
Pada satu malam nan hening pada pertengahan tahun 1784 di Teluk Ketapang berhampiran Melaka, Raja Haji di kubu tentera milik beliau sedang khusyuk sekali membaca selawat-selawat dan doa-doa khas dari dalam kitab Dala’il al Khayrat, yang merupakan sebuah kitab memuatkan himpunan selawat dan doa khas dan dikarang oleh seorang ulama’ Sufi dari Maghribi iatu Imam Muhammad Sulaiman al-Jazuli (meninggal dunia pada tahun 1465). Ditakdirkan Allah pada masa itu juga, satu pasukan tentera Belanda menyusup masuk dan menyerang kubu beliau di Teluk Ketapang.
Tentera Belanda pada masa itu menjadi lebih bersemangat untuk memperhebatkan serangan selepas tibanya pasukan bantuan daripada Gabenor Jeneral Belanda di Betawi iatu enam buah kapal besar yang diketuai oleh Jacob Pieter van Braam pada akhir bulan Mei. Jacob Pieter van Braam kemudiannya mengarahkan pasukan tentera dan armada kapal Belanda yang baru sampai dari Betawi itu untuk menyerang dan membedil kubu Raja Haji di Teluk Ketapang pada awal bulan Jun pada tahun yang sama.
Menurut Tuhfat al Nafis, ketika tentera Belanda telah memulakan serangan serta mengepung kubu milik Raja Haji di situ, tentera Bugis mempamerkan semangat keberanian dan kesungguhan mereka melawan dan mempertahankan kubu tersebut walaupun ramai di kalangan mereka akhirnya gugur. Arung Lenga yang merupakan salah seorang menantu Raja Haji pergi menyerang tentera Belanda tersebut dengan menunggang kuda namun akhirnya turut terbunuh diikuti oleh beberapa panglima Bugis yang lain seperti Daeng Saliking dan Haji Ahmad.
Kejadian berdarah yang berlaku pada tanggal 18 Jun 1784 Masihi ini berakhir apabila dalam suasana kelam kabut itu, dada Raja Haji terkena tembakan peluru senapang laras Belanda lalu rebah dan gugur syahid di situ juga. Diceritakan saat-saat terakhir hidup pahlawan agung ini dalam Tuhfat al Nafis seperti berikut ;
“Maka Yang Dipertuan Muda Raja Haji pun bangkit menghunuskan badiknya sebelah tangan memegang kitab Dala’il al Khayrat. Maka dipeluk oleh beberapa orang maka di dalam tengah tengah hal yang demikian itu maka Yang Dipertuan Muda Raja Haji pun kenalah peluru baris senapang. Maka baginda pun rebahlah lalu mangkat syahidlah ia qalu inalillahi waina ilaihi rajiun…”
Pada keesokan harinya, berita terbunuhnya Raja Haji disambut dengan gembira oleh gabenor Belanda di Melaka,Pieter Gerardus de Bruijn yang mengarahkan orang bawahannya pergi ke Teluk Ketapang untuk mengucapkan tahniah kepada Pieter Jacob van Braam yang dianggap berjaya menghapuskan penentangan Raja Haji itu.
Gabenor tersebut turut mengarahkan untuk melepaskan tembakan meriam-meriam di sekeliling kota Melaka sebanyak 21 das tembakan selepas matahari terbit bagi meraikan kemenangan mereka itu. Jenazah Raja Haji dikatakan dibawa ke Melaka dan diuruskan oleh orang-orang Melayu di Melaka yang turut bersedih dengan pemergian pahlawan Melayu-Bugis berjiwa besar itu lalu dikebumikan di kaki bukit St.Paul di Melaka.
Jenazah almarhum Raja Haji tidak lama dikebumikan di Melaka sebelum akhirnya jenazah tersebut dituntut oleh waris-waris almarhum untuk dibawa pulang ke Riau lalu dimakamkan dengan penuh adat istiadat di Pulau Penyengat Indera Sakti di Riau sehingga kini. Makam beliau di sana kekal dikunjungi dan diziarahi oleh orang ramai samada dari Riau sendiri atau dari segenap pelusuk alam Melayu termasuklah juga dari Malaysia. Beliau kemudiannya masyhur dengan gelaran “Marhum Mangkat di Teluk Ketapang” oleh generasi selepasnya.
Kematian Raja Haji menambahkan lagi dendam orang Melayu-Bugis terhadap Belanda, yang kemudiannya menyerang Selangor untuk membalas dendam atas tindakan Sultan Ibrahim yang menyerang Melaka sebelum itu. Jasa beliau sebagai seorang negarawan agung yang membangunkan Riau menjadi pusat perdagangan terkenal, pahlawan gagah berani yang menjelajah hampir seluruh Alam Melayu dan menentang Belanda tidak akan dilupai dengan sebegitu mudah.
Selepas pembentukan negara-negara moden di Alam Melayu seperti Indonesia, Malaysia dan Brunei Darussalam, jasa beliau dalam menentang penjajahan Belanda masih dihargai dan diceritakan keberanian almarhum sebagai iktibar dan pendorong semangat kepada generasi anak bangsa di saat zaman perkembangan pesat teknologi yang penuh dengan cabaran ini.
Almarhum Raja Haji asy-Syahid Fisabilillah Marhum Teluk Ketapang ibni Opu Daeng Chelak dinobatkan sebagai salah seorang daripada Pahlawan Nasional Indonesia oleh kerajaan Republik Indonesia berkuatkuasa pada tarikh 11 Ogos 1997.
Nama beliau turut diabadikan menjadi nama lapangan terbang (bandar udara dalam bahasa Indonesia) utama di Tanjung Pinang, pulau Riau dengan nama Bandar Udara Internasional Raja Haji Fisabilillah. Malah di Malaysia juga, sebuah masjid utama di bandar Cyberjaya yang bercirikan seni bina moden futuristik dinamakan sebagai Masjid Raja Haji Fisabilillah. Masjid tersebut menjadi mercu tanda utama dan daya penarik pengunjung ke Cyberjaya sejak tahun 2015 lagi, selain menjadi pusat perkembangan syiar Islam di bandar moden tersebut.
Al Fatihah, semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh almarhum Raja Haji Fisabilillah dan menempatkan beliau ke dalam golongan syuhada yang berbakti di jalanNya. Amin.
RUJUKAN:
1. Raja Ali Haji (dikaji oleh Virginia Matheson Hooker), Tuhfat Al Nafis,Yayasan Karyawan dan Dewan Bahasa dan Pustaka, 1998
2. Raja Ali Haji ibn Ahmad (translation by Virginia Matheson and Barbara Watson Andaya), The Precious Gift (Tuhfat al Nafis), Oxford University Press Kuala Lumpur, 1982.
3. Journal of the Straits Branch of the Royal Asiatic Society (JSBRAS) No.22 December 1890 m.s 178 – 224
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih