Kepada para gadis dan kakak-kakak yang membaca tajuk artikel ini, sukanya saya ingatkan bahawa sesungguhnya Raden Wijaya dan watak dalam drama TV pukul tujuh yang pernah ditayangkan di TV 3 yang bernama Raden Amzar adalah orang yang berbeza. Kalau dalam drama TV itu Raden Amzar mempunyai isteri luar biasa bernama Dewi Yusra, Raden Wijaya yang saya mahu ceritakan ini mempunyai yang isteri yang jauh lebih luar biasa bernama Dara Petak yang sudah saya lipurkan untuk tatapan kalian.
Rasanya sudah cukuplah saya berbasa-basi dalam pendahuluan artikel ini. Moleknya kita terus melompat kepada kisah yang ramai antara kita penghuni Kepulauan Melayu ini tidak mengetahuinya. Kalau sebelum ini belajar tentang bagaimana raja sebuah kerajaan Melayu yang terletak di benua IndoChina pernah menahan gempuran daripada bala Dinasti Yuan dengan kerjasama sebuah kerajaan lagi iaitu kerajaan Dai-Viet.
Kali ini kita belajar pula bagaimana Raden Wijaya memainkan peranannya dalam sejarah di Kepulauan Melayu ini, dan bagaimana liciknya Raden Wijaya berjaya menumbangkan bala Monggol yang sedang menghampiri Pulau Jawa untuk membalas dendam ke atas apa yang dilakukan pada utusannya. Kalau sesiapa yang belum mengetahui tentang kisah ini, sukanya saya mulakan dengan kisah bagaimana Monggol yang melalui Dinasti Yuan dan Kublai Khan mengutuskan utusan kepada ayahnya Raden Wijaya dan mengarahkan supaya kerajaan yang diperintah oleh ayahnya Raden Wijaya iaitu Kertanegara untuk tunduk pada kekuasaan Dinasti Yuan Monggol yang ketika itu sudahpun menjajah seluruh China.
Namun, seluruh dunia gempar ketika itu apabila perintah Yuan pada Singhasari dibalas dengan tuba. Telinga si utusan tadi yang bernama Meng Ki telah dipotong telinga. 1289 Masihi ialah detik yang menyaksikan bagaimana konflik bakal bermula antara orang-orang Jawa dan juga Monggol. Dan Singhasari antara kerajaan-kerajaan di dunia yang memilih untuk mendongak dan tidak mahu jadi bangsa murahan di bawah penguasaan Monggol. Singhasari mengikut jejak sebuah kerajaan Melayu yang lain seperti Champa yang memilih untuk melawan Monggol, begitu juga dengan Jepun dan Burma.
Maka pastinya khabar berita itu membuatkan Kublai Khan tidak senang duduk. Dia pun menyediakan armada-armada askar yang dia fikir bakal meranapkan dan membumi hanguskan Pulau Jawa macam yang selalu dilakukan oleh sepupu dan adik beradik serta nenek moyangnya dulu.
Kertanegara pula sudah menjangkakan bahawa serangan daripada Monggol itu akan datang ke atas kerajaannya. Maka, untuk menghalang serangan daripada Kublai Khan, maka Kertanegara pun memasang impian untuk menjajah beberapa tempat strategik di Nusantara ini yang bakal digunakannya untuk memantau penggerakan bala Monggol dari China yang dihantar oleh Kublai Khan nanti.Antara yang menjadi mangsa ialah Pahang dan Borneo.
Manakala kerajaan-kerajaan dan raja-raja Melayu di Sumatera pula ditundukkan dengan pelbagai cara dan antaranya ialah mengambil anak perempuan mereka untuk diperisterikan sambil menggerakkan bala askar. Ini adalah penting untuk strategi Kertanegara nanti kerana dia perlu memastikan tiada seorang pun raja-raja di Nusantara yang akan berpaling pada bala Monggol nanti. Kertanegara juga mengahwinkan anak perempuannya dengan putera kerajaan Melayu Champa yang sememangnya dicatat dalam sejarah Nusantara pernah bermusuhan dengan Kublai Khan dan Dinasti Yuan Monggol.
Namun, siapa tahu bahawa hayat Kertanegara tidaklah lama apabila sebuah pemberontakan yang digerakkan oleh Jayakatwang, iaitu sepupunya sendiri telah meragut nyawa Kertanegara. Ketika Kertanegara menggerakkan askarnya ke Tanah Melayu untuk menanti kedatangan Monggol, maka Jayakatwang telah mengumpulkan askarnya untuk menyerang istana Singahasari yang agak kurang kekuatan militarinya.
Ini membuatkan Singahasari digulingkan oleh Jayakatwang dan kerajaan Kendiri yang digulingkan oleh Singahasari ketika itu berdiri untuk seketika di Pulau Jawa.
Namun, apa yang terjadi pada raja Kertanegara amatlah didendami oleh salah seorang anak saudaranya yang bernama Raden Wijaya. Tetapi Raden Wijaya ialah seorang panglima perang yang sangat bijaksana. Dia tidak membiarkan dendamnya itu mengambil alih dirinya secara terburu-buru sebaliknya dia merancang beberapa helah yang selepas ini akan dikenang sebagai antara strategi peperangan paling licik dalam sejarah Nusantara.
Untuk membeli kepercayaan Jayakatwang, maka Raden Wijaya pun berpura-pura untuk mendapatkan keampunan Jayakatwang. Jayakatwang yang memerlukan taat setia Raden Wijaya demi mendapatkan pengikut yang banyak di Pulau Jawa bersetuju untuk menerima keampunan Raden Wijaya. Tetapi hakikatnya… Raden Wijaya bukanlah mahu terus berkhidmat di bawah Jayakatwang sebaliknya dia sedang menunggu bala Monggol datang ke Pulau Jawa.
Dalam masa yang sama, Raden Wijaya turut berpakat dengan Arya Wiraraja yang merupakan gabenor Sumenep. Pelbagai janji yang manis-manis ditaburkan pada Arya Wiraraja demi membeli kepercayaan. Maka Arya Wirarajalah yang menyampaikan pada Jayakatwang yang Raden Wijaya mahu menyerah kalah. Dicatatkan lagi bahawa ketika Raden Wijaya menyatakan penyerahannya, dia meminta Hutan Tarik untuk dijadikan tempat pemburuan dan Raden Wijaya mengatakan dia mahu menghabiskan hidupnya di situ.
Tanpa rasa curiga, Jayakatwang pun mengabulkan permintaan Raden Wijaya ini. Ketika itu, Arya Wiraraja pun mengirimkan orang-orangnya untuk membantu Raden Wijaya. Ketika inilah legenda bagaimana kerajaan bernama Majapahit berdiri. Hutan tersebut dikatakan terdapat banyak buah Maja yang sememangnya berasa pahit. Raden Wijaya pula membuka penempatan pertamanya di situ. Maka, dari situ nama Majapahit pun berasal.
Dicatatkan bahawa bala Monggol datang dengan dipimpin oleh tiga orang jeneral perang yang bernama Shih Pi (Monggol), Ike Mese (Ughyur) dan juga Kan Hsing (Cina). Jeneral perang ini memimpin 20,000 orang askar berserta dengan 100 buah kapal dengan bekalan makanan yang mencukupi untuk dimakan untuk setahun dan tidak lupa juga pada 40,000 longgok wang perak untuk dirasuah nanti pada pegawal-pegawal dan askar Jawa agar berpaling tadah.
Mendengarkan kedatangan bala askar yang dari China itu, maka Raden Wijaya pun menyiapkan taktik untuk membeli kepercayaan bala askar Monggol itu. Maka dihantarnya perdana menteri kepercayaannya berserta 14 orang pembesar untuk memujuk bala Monggol itu.
Raden Wijaya menjanjikan pada mereka sekiranya Jayakatwang berjaya ditundukkan dan Kediri dijatuhkan, maka kata Raden Wijaya gadis-gadis dan puteri Jawa yang cantik-cantik itu akan menjadi santapan nafsu mereka.
Mendengarkan tawaran yang boleh diibaratkan seperti “Orang Mengantuk Disorong Bantal”, maka askar Monggol pun menerima tawaran Raden Wijaya yang konon-kononnya menyebelahi puak Monggol.
Maka direkodkan dalam sejarah bahawa Jayakatwang menyediakan 100 000 orang askar untuk berdepan dengan bala Monggol yang dipimpin oleh tiga orang jeneral berbilang bangsa ini. Diceritakan bahawa Raden Wijaya menyerahkan sebuah peta tentang negeri bernama Kalang yang dibawah pemerintahan Jayakatwang. Dan dalam perang ini, Jayakatwang telah kalah perang dan Monggol berjaya memenangi perang walau askar yang dibawa oleh Jayakatwang berjumlah 100 000 orang banyaknya.
Maka untuk meraihkan kemenangan itu, sebuah pesta dibuat oleh tentera-tentera Monggol dari Dinasti Yuan. Dan dalam masa yang sama, askar Monggol tadi meminta janji yang ditawarkan oleh Raden Wijaya tadi seandainya berjaya menang perang ke atas Jayakatwang. Pesta itu dibuat di negeri Raden Wijaya yang dinamakan Majapahit itu. Bahkan Raden Wijaya sendiri yang menjamu askar-askar Monggol itu. Maka disinilah helah ketiga Raden Wijaya berjalan.
Raden Wijaya ketika itu meminta izin untuk kembali ke kota istananya untuk menyediakan persembahan untuk tentera-tentera Monggol. Perawan-perawan Jawa yang sangat jelita seperti mana yang dijanjikan. Oleh kerana layanan baik yang diberikan oleh Raden Wijaya pada mereka, maka mereka pun tidak memasang syak wasangka.
Lalu diceritakan ketika askar-askar Monggol yang dikirimkan untuk mengiringi Raden Wijaya masuk ke dalam kota, maka mereka dihujani dengan serangan mengejut. Maka ketika itu, Raden Wijaya terus memacu kuda lalu memimpin bala askarnya menyerang bala Monggol yang sedang kusyuk berpesta dengan arak-arak dan makanan serta tarian itu. Sejarah mencatatkan serangan Raden Wijaya pada malam itu mengorbankan lebih 10 000 orang nyawa askar Monggol. Ada yang mati ketika serangan dan ada yang mati ketika melarikan diri sebelum diserang demam Malaria.
Selepas itu, Raden Wijaya pun mendirikan kerajaan Majapahit yang pada masa hadapan nanti bakal mencatat sejarah sebagai antara empayar terluas di Asia Tenggara, di samping Empayar Melayu Srivijaya, Empayar Melayu Brunei, Empayar Melayu Funan, Kesultanan Acheh dan Kesultanan Melayu Melaka. Semuanya bermula daripada kebijaksanaan Raden Wijaya merancang helah dan strategi sehingga berjaya menyelamatkan seluruh Nusantara!
Kemudian, dari keturunan Raden Wijaya ini lahirnya pemerintah Majapahit iaitu Jayanegara, anak Raden Wijaya dengan seorang puteri Melayu bernama Dara Petak.
Rujukan:
1. Tokoh-Tokoh Melayu Yang Agung Dalam Sejarah oleh Raja Mohd Affandi. Dewan Bahasa Dan Pustaka
2. Menjadi Indonesia, Volume 1 oleh Parakitri Tahi Simbolon.
3. Worshiping Siva and Buddha: The Temple Art of East Java oleh Ann R. Kinney, Marijke J. Klokke, Lydia Kieven
4. Menuju Puncak Kemegahan: Sejarah Kerajaan Majapahit oleh Slamet Muljana. LKS Yogyakarta
5. Tafsir Sejarah Negarakertagama oleh Dr Slamet Muljana. LKS Yogyakarta. November 2006
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih