Kalau balik kampung, cuba tengok almari buku datuk nenek. Cari naskhah al-Quran dan cuba tengok halaman depannya. Selalunya mesti akan tertulis al-Quranul Majid (القران المجيد), bukannya al-Quranul Karim (القران الكريم). Kemudian, cuba buka al-Quran tersebut untuk tengok isi dalam. Selalunya, al-Quran Majid ni kertas dia warna kuning purba, khat tulisannya tebal (bold), susunannya rapat dan ‘font’ nya berlainan dari al-Quran Karim kita sekarang.
Alamak !!!
Datuk Nenek kita guna kitab mazhab apa ni? Relex, meh baca penerangannya.
Zaman dahulu, orang Arab lebih suka menghafaz berbanding menulis. Kekuatan hafazan adalah simbol kehebatan seseorang. Mereka menghafaz syair, nasab keturunan dan lain-lain. Orang pertama yang mengajar kaum Quraisy Mekah untuk menulis ialah Harb bin Umayyah. Beliaulah yang memperkenalkan tulisan 28 huruf Arab yang disebut sebagai Khat Hijaiyah. Khat inilah dipakai untuk menulis surat, mengarang syair dan sebagainya walaupun tidak meluas kerana tak ramai yang suka menulis. Bahasa mudah sekarang, Khat tu macam Font dalam Microsoft Word lah.
Malaikat Jibril menurunkan al-Quran kepada Rasulullah dalam satu Harf. Kemudian, Malaikat Jibril ulangi lagi bacaan sehingga menjadi tujuh Harf. Ulama berbeza pandangan tentang maksud Harf disini, namun sebahagian para ulama menafsirkan Harf sebagai Lahjah (Dialek/Loghat). Kemudian, bacaan-bacaan ini dihafaz oleh Rasulullah dan dibacakan kepada para sahabat. Para sahabat juga menghafaznya. Rasulullah mengarahkan sebahagian para sahabat menulis bacaan yang telah dihafaz tersebut. Maka diambillah segala tulang, kulit, batu, kayu, daun dan lain-lain benda yang boleh ditulis di atasnya.
Apabila Rasulullah wafat, berlaku peperangan Jihad di zaman Khalifah Abu Bakar yang menyebabkan para huffaz syahid. Oleh itu Saiyidina Umar meminta agar dibukukan al-Quran. Khalifah Abu Bakar bersetuju setelah mendengar nasihat dan hujah Saiyidina Umar walaupun pada mulanya Khalifah Abu Bakar bimbang untuk lakukannya kerana ia tidak pernah dibuat oleh Rasulullah. Oleh itu, dikumpullah segala catatan al-Quran untuk dibukukan.
Selepas Khalifah Abu Bakar meninggal, al-Quran tersebut diwarisi oleh Khalifah Umar. Di zaman Khalifah Umar, empayar Islam telah tersebar luas ke luar jazirah Arab merangkumi Afrika Utara, bekas jajahan Byzantine, Parsi hinggalah ke Asia Tengah. Beliau mementingkan pendidikan al-Quran di seluruh empayar Islam. Selepas khalifah Umar syahid, al-Quran diserahkan kepada puterinya Hafsah untuk disimpan.
Pada zaman Khalifah Uthman, beliau melihat bacaan al-Quran dari kaum Muslimin dalam empayarnya sudah pelbagai. Hal itu menyebabkan berlakunya salah faham dan perbalahan. Oleh itu, beliau mula membukukan al-Quran yang mencakupi Lahjah Quraisy dan pelbagai Wajah Qiraat bacaan yang lain. Hanya ayat-ayat yang diriwayatkan secara mutawatir sahaja yang ditulis. Dan mereka juga menapis ayat-ayat yang telah dinasakh-mansukhkan. Susunan Ayat dan susunan Surah diseragamkan.
Himpunan al-Quran ini disemak oleh hafazan para sahabat. Ribuan sahabat sepakat mengakui perkara ini secara ijma. Pembukuan al-Quran ini ditulis menjadi beberapa salinan. Khalifah Uthman menghapuskan salinan-salinan lain demi menjaga kesatuan ummah. Maka ketika itu barulah al-Quran terdapat dalam bentuk Mushaf yang menggunakan Resm Uthmani (Uthmanic Codex).
“Resm” adalah kaedah penulisan Khat yang membentuk kalimat atau dalam bahasa mudahnya adalah “sistem ejaan”. Sebagai contoh Resm UK (colour, meter) vs Resm US (color, metre). Ejaan Resm Uthmani adalah ejaan yang diseragamkan dengan kaedah tersendiri. Ada beberapa contoh perkataan yang sama tetapi berbeza resm/corak ejaannya seperti :-
(الصلاة/الصلوة)
(ابرهــم/ابراهيم)
(واتقوا الله/واتقو الله)
(القرءان/القرآن)
Mushaf Al-Quran Resm Uthmani ini kemudiannya diedarkan ke beberapa wilayah besar Empayar Islam beserta beberapa orang Qari yang diutuskan oleh Khalifah Uthman untuk mengajar penduduk di sana. Madinah, Mekah, Syam, Basrah dan Kufah diajarkan al-Quran mengikut bacaan Qiraat para Sahabat yang tertentu dengan menggunakan Mushaf Resm Uthmani. Seterusnya dilebarkan lagi riwayat bacaan pada zaman Tabiin sehingga terbentuknya pelbagai jenis Qiraat. Namun, perbezaan Qiraat ini tidak merubah makna kerana semuanya datang dari Rasulullah.
Sehingga kini, melalui Mushaf Resm Uthmani ini, terdapat 7 Qiraat Mutawatir dan 3 Qiraat Masyhur yang boleh dibaca dalam solat. Ada 4 Qiraat Syadz yang haram dibaca dalam solat. Setiap Qiraat, mempunyai sekurang-kurangnya dua Riwayat. Dan setiap riwayat mempunyai sekurang-kurangnya dua Toriq. Terkadang, satu Qiraat boleh mencapai 20 Toriq bacaan.
Walaubagaimanapun, tulisan al-Quran zaman Khalifah Uhman masih lagi seperti tulisan Arab lama iaitu tiada sebarang titik mahupun tanda baca. Huruf ب ت ث tiada beza kerana ditulis tanpa titik atau baris. Perletakan tanda-tanda baca ini berlaku dalam beberapa fasa pada masa kemudian.
Fasa pertama, al-Quran mula diletakkan “Titik Arab” oleh Abu al-Aswad ad-Duali atas perintah Khalifah Marwan bin Hakam.
Fasa kedua, al-Quran mula diletakkan “Titik Ajam” oleh Yahya bin Ya’mar dan Nasr bin ‘Asim al-Laisy atas perintah al-Hajjaj Yusuf at-Thaqafi.
Fasa ketiga, al-Quran mula diletakkan baris oleh al-Khalil bin Ahmad al-Farahidi.
Fasa keempat, al-Quran mula ditambah tanda waqaf, tanda-tanda lain serta pelbagai hiasan. Al-Quran pertama kali dicetak di Jerman dengan menggunakan Khat Nasakh. Seterusnya, percetakkan al-Quran terus berkembang di negara Islam setelah teknologi tiba.
Orang Ajam (non Arab) akan mengalami sedikit kesukaran dalam mempelajari al-Quran kerana ianya memiliki tanda baca yang complicated. Oleh itu, terdapat beberapa negara yang menggunakan kaedah penulisan Imla’i agar mudah dipelajari oleh orang Ajam. Penulisan Imla’i ni dieja mengikut sebutan perkataan (dictation). Penulisan Imla’i inilah yang digunakan dalam al-Quran Majid. Negara Asia Selatan (India-Pakistan-Bangladesh) banyak mencetak al-Quran Majid lalu dipelajari oleh nenek moyang kita di Tanah Melayu pada zaman 70-an dahulu.
Namun kini, masyarakat Malaysia sudah celik Mushaf al-Quran al-Karim setelah beberapa tahun mempelajari silibusnya. Quran Majid pun sudah tidak dibenarkan untuk dicetak dan diedar di Malaysia. Kini, orang kita lebih mahir membaca Quran Karim berbanding Quran Majid. Kita di Malaysia kini menggunakan Mushaf al-Quran al-Karim Resm Uthmani Qiraat Imam ‘Asim al-Kufi melalui riwayat Imam Hafs al-Kufi dengan Toriq Imam Syatibi. Ini adalah cara bacaan majoriti (95%) umat Islam kini.
Kedua-dua Quran Majid dan Quran Karim asalnya Resm Uthmani jua, cuma berbeza pada tanda baca sahaja. Tanda baca dalam Quran Majid kurang tepat berbanding Quran Karim sehingga memungkinkan seseorang itu baca al-Quran dengan tajwid yang salah. Quran Majid ni hanya betul jika dibaca dalam satu Wajah (cara bacaan) yang lazim sahaja. Jika nak baca dalam cara lain, jadi tak betul tanda barisnya. Berbeza dengan Quran Karim yang boleh digunakan untuk membaca walau dalam apa jenis wajah dan qiraat sekalipun.
Orang dulu kalau nak baca Quran Majid, mereka akan belajar Muqaddam dulu. Kita sekarang sebelum baca Quran Karim, akan belajar Qiraati atau Iqra 1-6. Ini kerana kedua-dua silibus ini (Muqaddam-Quran Majid vs Qiraati/Iqra-Quran Karim) memiliki standard font dan baris tanda baca yang sedikit berbeza. Oleh kerana sekarang masyarakat telah menggunakan Quran Karim sepenuhnya, maka sebab itulah Muqaddam sudah tidak lagi digunakan sebagai pengajian awal untuk mempelajari al-Quran.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih