Pada abad ke-16 Masihi, seorang pemeta bernama Alonso de Santa Cruz telah memeta Teluk Mexico yang terletak di tengah benua Amerika pada tahun 1539. Yang menariknya, beliau petakan sebuah pulau kecil yang terdiri dari tanah merah.
Maka, pulau itu dipanggil dengan nama ‘bermejo’ dari bahasa Sepanyol, yang bermasuk kemerahan. Pada tahun seterusnya (1540), Alonso telah memetakan secara tepat lokasi Pulau Bermeja itu, terletak sejauh 100 kilometer (km) dari pantai Semenanjung Yucatan dengan kordinasi latitude 22° 33′ N dan longitud 91° 22′ W.
Kehadiran pulau kecil ini menarik ramai perhatian para pelayar Eropah kerana ia menjadi petunjuk utama untuk memahami lebih mendalam di Teluk Mexico yang masih tidak diteroka lagi waktu itu.
Bertahun-tahun lamanya, rekod pemetaan Alonso masih lagi relevan dengan kehadiran pulau itu sehinggalah masuk abad ke-20 Masihi, di mana kerajaan Mexico memulakan ekspedisi pencarian Pulau Bermeja.
Pada tahun 1997, ekspedisi pencarian yang diusahakan kerajaan Mexico telah bermula namun gagal untuk menemui pulau tersebut, walaupun dengan bantuan pihak tentera laut.
Pencarian diteruskan pada tahun 2009 oleh pasukan pengkaji dari National Autonomous University of Mexico, namun masih menemui jawapan yang sama, senasib dengan kerajaan Mexico.
Kegagalan pencarian ini membuatkan mereka garu kepala, apatah lagi syarikat carigali minyak tempatan bernama PEMEX kerana ada sumber dari tahun 1971 menyatakan bahawa Pulau Bermeja mempunyai sumber minyak yang tersembunyi di bawah tanah.
Kalau cakap pasal minyak, negara jiran pertama yang mula sibuk ialah Amerika Syarikat (AS). Maka, kedua-dua kerajaan ini berebut tentang pemilikan Pulau Bermeja jika ia benar wujud. Kalau wujud pun, pulau itu terletak di dalam zon Exclusive Economic Zone (EEZ) milik Mexico. Jadi, Mexico ada hujah kukuh untuk jadikan Pulau Bermeja sebagai hak miliknya.
Dengan kegagalan demi kegagalan, ramai pihak mula berspekulasi, adakah pulau itu pernah wujud, kemudian tenggelam ditelan ombak? Ataupun, Alonso saja menipu seluruh dunia agar ramai penjelajah tertarik, kemudian dapat meneroka Teluk Mexico?
Terdapat banyak teori untuk menjelaskan kewujudan Pulau Bermeja. Pertama, pulau ini sebenarnya tak wujud. Ini berdasarkan kesalahan memeta Teluk Mexico semasa era penjelajahan Eropah.
Telah banyak peta pada abad ke-16 Masihi yang mempunyai banyak kesalahan navigasi jika dibandingkan dengan peta moden. Kesalahan akibat mendapat informasi palsu dan imaginasi pemeta memungkinkan kewujudan Pulau Bermeja yang Alonso sendiri percaya.
Teori kedua ialah perubahan alam semula jadi menyebabkan Pulau Bermeja lenyap di muka bumi. Teori ini agak munasabah walaupun tiada bukti untuk mengukuhkannya. Biasanya jika pulau kecil wujud, fenomena seperti hakisan dari ombak lautan dan kenaikan paras air laut mampu tenggelamkan pulau tersebut.
Menurut pemeta Mexico-Perancis bernama Michael Antochiw Kolpa, beliau temui peta tahun 1844 dari British yang memetakan Pulau Bermeja dengan ketinggian 110 meter dari paras air laut. Jika berdasarkan peta British ini, mungkin teori kedua ada benarnya.
Walaupun bagaimanapun, Mexico telah buktikan bahawa Pulau Bermeja sememangnya tidak wujud dan tidak ada saki-baki kehadirannya di tengah Teluk Mexico. Maka, Pulau Bermeja hanyalah mitos rekaan para pemeta Eropah yang taksub meneroka benua Amerika.




No comments yet