Dalam sejarah, terdapat 36 orang Pemerintah atau Sultan Uthmaniyyah yang memerintah sepanjang kewujudan empayar Turki tersebut, dan setiap seorang dari mereka adalah keturunan terus melalui susur galur pengasas Dinasti Osmanlı merangkap pemerintah pertama Empayar Uthmaniyyah iaitu Osman Bin Ertugrul atau dengan nama-nama gelarannya, Osman Bey dan Osman Gazi.

Setelah Sultan yang terakhir, Mehmet VI, diturunkan dari takhta secara rasmi pada tahun 1922, dinasti ini sudah tidak mempunyai pengaruh dan sokongan lagi, sekaligus membawa kepada pembubaran Kesultanan disusuli pembubaran yang berikutnya iaitu Kekhalifahan Uthmaniyyah pada tahun 1924, semenjak itu seluruh anggota keluarga dinasti diasingkan ke seluruh pelusuk dunia.


Sultan Abdulhamid II & Sultan Sir Abu Bakar

Rata-rata keturunan mereka hari ini tinggal di beberapa buah negara yang berbeza-beza di seluruh Eropah, di Amerika Syarikat, Timur Tengah, di Asia, bahkan di Malaysia juga dikatakan masih ada keturunan mereka tetapi bukan yang lahir hasil dari hidup dalam buangan kerana Sultan Abdulhamid II pernah menjalinkan hubungan diplomatik dengan Kesultanan Johor melalui perkahwinan dua anak saudara perempuannya yang berketurunan Circassian.

Anak saudara Abdülhamid II, Hatice (Khatijah) dan Rukiye (Rokiah) Hanim dikahwini ahli kerabat Johor bagi mengukuhkan hubungan antara Istanbul dan Johor. Sudah tentu dua wanita ini telah meninggalkan warisan yang berkekalan di Malaysia moden walaupun bukan mewakili keturunan dari nasab bapa yang berhubung terus dengan dinasti Uthmaniyyah. Tapi tidak pasti pula masih ada atau tidak anak cucu dua wanita ini di dalam Kesultanan Johor, penulis belum meneliti perkara tersebut.

Bagi keturunan Dinasti Uthmaniyyah yang dibuang negara selepas Per4ng Kemerdekaan Turki diisytiharkan oleh Mustafa Kemal Ataturk, ada di antara mereka yang hidup dalam keadaan yang daif, ada yang meneruskan kehidupan dengan sederhana, bahkan Khalifah terakhir Uthmaniyyah, Sehazade Abdulmecid II (kemudian hanya dikenali sebagai Abdulmecid Effendi) hanya tinggal di sebuah pangsapuri yang disewa di kejiranan Nice, Riviera, Perancis.

Sebahagian anggota keluarga dinasti Uthmaniyyah yang telah kembali ke Istabul

Berbeza dengan hari ini, oleh kerana keturunan diraja ini sekarang telah diizinkan untuk kembali ke tanah air mereka, ramai sekarang yang juga tinggal di Turki, bahkan ada yang enggan pulang lagi kerana telah terbiasa hidup di negeri orang.

Undang-undang Nama Keluarga

Semenjak jatuhnya pemerintahan selama 600 tahun Uthmaniyyah dan seluruh ahli keluarga dinasti itu hidup dalam buangan, kesemua anggota keluarga tersebut diwajibkan menggunakan nama keluarga Osmanoğlu, yang bermaksud “anak Osman”, bersempena nama pengasasnya merangkap nenek moyang langsung semua anggota keluarga mereka.

Ini berdasarkan undang-undang nama keluarga yang diwajibkan dalam perlembagaan Republik Turki 1934, namun ia bukan dikhaskan untuk keturunan Osman Gazi sahaja yang diwajibkan walaupun hidup dalam pengasingan, tetapi seluruh rakyat diwajibkan menggunakan nama keluarga, ini merupakan salah satu langkah kerajaan Republik Turki untuk merealisasikan agenda Turkinisasi dan mengelakkan perpecahan akibat perbezaan etnik dan agama.

Undang-undang Nama Keluarga (Soyadı Kanunu) Turki secara khusus melarang penggunaan nama keluarga tertentu yang mengandungi bunyi dan ejaan konotasi mengikut budaya, bangsa, suku, dan agama asing.

 

Rekod daftar nama rakyat Turki yang lama

Nama keluarga baru mesti diambil dari bahasa Turki. Nama keluarga boleh digunakan dengan akhiran ‑oğlu, dan dilarang menggunakan akhiran mengikut nama akhiran beunsur budaya Armenia seperti ‑ian atau ‑yan, atau akhiran budaya Slavik seperti ‑of (atau ‑ov), ‑vich, ‑ic, akhiran budaya Yunani seperti –is, ‑dis, ‑pulos, ‑aki, akhiran Parsi seperti ‑zade, dan akhiran Arab seperti ‑mahdumu, ‑veled, dan ‑bin.

Artikel dari Soyadı Kanunu menetapkan bahawa:

  • Setiap rakyat Turki mesti mempunyai nama keluarga selepas nama mereka yang sebenar.
  • Nama keluarga mesti mengikut nama yang sesuai untuk tanda tangan, pengucapan dan penulisan.
  • Nama tidak boleh ada kaitan dengan sebarang pangkat tentera dan pejawat awam; dengan suku, bangsa atau etnik asing;  juga tidak menyinggung perasaan atau tidak masuk akal. Penggunaan “nama Turki yang bersejarah” tanpa bukti salasilah keturunan yang tepat juga dilarang. (termasuk Osmanoglu, kecuali jika mereka ada bukti sahih).

Pendek kata, larangan ini tertakluk kepada nama yang “merujuk kepada etnik lain atau diambil dari bahasa lain.”  Contohnya, nama seperti Arnavutoğlu (anak Albania) atau Kürtoğlu (anak Kurdis), tidak boleh digunakan. Nama klan atau suku tidak boleh digunakan, atau digunakan kembali.

Selain itu, di dalam sebuah daerah tidak boleh ada penduduk yang memiliki nama yang serupa, jika ada kes seperti itu, pihak yang terawal membuat tuntutan dan terawal mendaftar namanya dikira berhak mengekalkan namanya.

Kesan dari ketetapan undang-undang ini, ramai penduduk minoriti Turki yang berasal dari etnik Yunani, Bulgaria, Albania, Bosnia, Yahudi, Arab, Armenia, Assyria, Georgia dan Kurdis terpaksa menggunakan nama akhir yang berasaskan perkataan yang lebih ‘Ke-Turki-an. Adakalanya mereka menterjemahkan terus nama keluarga asal mereka, ataupun ada yang hanya menggantikan  penanda nama, contohnya etnik Yunani Pontus menggantikan penanda nama “‑ides” (anak lelaki) kepada istilah yang sama tetapi dalam bahasa Turki iaitu “‑oğlu” (Kazantzoglou, Mitroglou, Mouratoglou, dan lain-lain).

Ramai umat ​​Islam semasa era Empayar Uthmaniyyah membawa gelaran seperti “Pasha“, “Hodja“, “Bey“, “Hanım“, “Efendi“. Gelaran-gelaran ini sama ada meggambarkan atau mewakili status sosial mahu pun jawatan formal mereka (seperti Pasha, Hodja). Bagi gelaran status tidak rasmi mereka dalam kelas masyarakat lazimnya akan membawa gelaran Bey, Hanım dan, Efendi.

Bekas Menteri Per4ng Uthmaniyyah, Enver Pasha

 

Perdana menteri Uthmaniyyah adalah seorang Sadrazam / Vezir-î Azam, dalam bahasa Melayu kita teejemahkan mereka sebagai Wazir Agung, para menteri dikenali sebagai Nazir / Vezir atau kita kenali sebagai Wazir, manakala seorang gabenor dipanggil Vali atau Emir, penjawat awam, panglima tentera, pegawai-pegawai istana, laksamana, dan lain-lain akan membawa gelaran Pasha. Mereka yang berpangkat tinggi tetapi sudah bersara akan terus memegang gelaran ini dalam kehidupan seharian (seorang “Pasha” tidak akan menjadi “Bey” setelah bersara dari perkhidmatan tentera atau politik yang aktif.)

Undang-undang Nama Keluarga atau Soyadı Kanunu Republik Turki dikuatkuasakan pada 21 Jun 1934. Undang-undang ini  mewajibkan kesemua warganegara Turki termasuklah anggota kerabat dinasti Uthmaniyyah yang hidup dalam pengasingan menggunakan nama keluarga keturunan secara kekal. Keluarga Turki di pusat-pusat bandar utama mempunyai nama yang mereka kenali secara tempatan (sering diakhiri dengan akhiran –zade, –oğlu atau -gil, dan dirujuk/disebut dengan sebutan yang serupa dengan nama keluarga.)

Undang-undang Nama Keluarga tahun 1934 tidak hanya menguatkuasakan penggunaan nama keluarga rasmi tetapi juga menetapkan peraturan melarang penggunaan nama yang berunsur budaya asing. Tanpa mengira sejarah latarbelakang seseorang, setiap warganegara Republik Turki secara automatik dikira sebagai berbangsa Turki dan wajib memilih nama yang berdasarkan elemen budaya dan bahasa Turki.


 Dokumen pengenalan diri Mustafa Kemal Ataturk

Undang-undang ini masih terpakai namun kewajiban memilih nama mengikut syarat tertentu telah dibatalkan pada tahun 2013. Di Turki, tradisi patriarki diterima meluas dan menjadi satu kebiasaan jika seorang lelaki yang paling tua dianggap sebagai ketua keluarga, maka undang-undang nama keluarga yang baharu di Turki melantik ketua keluarga untuk memilih nama keluarga. Akan tetapi sekiranya tidak ada ketua keluarga dari kalangan lelaki, kem4tian, atau ketidakupayaan mental, maka si isteri boleh melakukannya.

Hari ini, terdapat 77 keluarga dinasti Uthmaniyyah yang tinggal. Seramai 25 orang daripadanya mempunyai gelaran ‘şehzade’ (putera), 16 orang pemegang gelaran ‘sultan’, 23 orang ‘sultanzade’ dan 13 orang ‘hanım sultan’.  Mereka tinggal di seluruh geografi yang meluas dari Amerika ke England, Mesir dan Jordan dan mereka semua bertutur dalam pelbagai bahasa. Bahkan ada yang langsung tidak tahu berbahasa Turki.

Satu-satunya nama gelaran yang dibenarkan untuk diguna sejak dahulu hingga sekarang adalah gelaran ‘Efendi’, ia kerana gelaran itu semenjak era imperialis Uthmaniyyah hingga sekarang, tidak pernah mewakili mana-mana status yang tinggi seperti gelaran Pasha, ia tidak lebih dari sekadar kata ganti nama seperti “tuan/encik”. Di Malaysia dan beberapa negara lain, kita menggunakannya sebagai nama kelahiran kita.

RUJUKAN:

Türköz, Meltem (2018). Generating Surnames in Theory and Practice: Surnames Booklets and Registry Documents. Naming and Nation-building in Turkey. Palgrave Macmillan US.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

•MALAY• •MUSLIM• •TERENGGANU• •NATIONALIST• •CONSERVATIVE•

Comments are closed.