Jumaat, 23 Oktober 202623 Okt 2026
Ikon Negara

Profesor Diraja Ungku Aziz – Cendekiawan Ulung Melayu Moden

sebagai
antara cendekiawan yang tersohor di negara ini. Bukan sedikit buah fikirannya
disumbangkan atas kepentingan negara terutama orang Melayu. Walaupun sudah
berusia 96 tahun, idea-ideanya terus relevan dengan perkembangan hari ini. Maka,
kita harus selusuri sejarah figura ilmuan hebat ini sebagai inspirasi kepada
generasi yang mendatang.

Lahir pada 28 Januari 1922 di London, beliau mempunyai darah kerabat diraja Johor menerusinya bapanya Leftenan Ungku Abdul Hamid Ungku Abdul Majid yang pernah berkhidmat bersama Pasukan Askar Timbalan Setia Negeri Johor (ATSNJ/JMF) sementara bondanya Hamidah Abdullah berdarah Turki.

Bagaimanapun, hasrat Ungku Aziz bermanja dengan bonda tercinta tidak kesampaian apabila Hamidah kembali ke rahmatullah pada tahun 1924 semasa beliau berusia dua tahun. Beliau mewarisi kebijaksanaan ayahandanya yang pernah menuntut di Universiti Cambridge dan boleh menguasai tiga bahasa iaitu Arab, Parsi dan Sanskrit.

Dari segi hubungan kekeluargaan, beliau merupakan sepupu kepada Al-Attas bersaudara (Syed Hussein, Syed Muhammad Naquib dan Syed Zedal) dan Sultan Ibrahim ibni Sultan Abu Bakar dari sebelah bapanya. Isterinya ialah budayawan terkenal Allahyarhamah Azah Aziz di mana hasil perkahwinan mereka mengurniakan seorang cahaya mata iaitu Tan Sri Zeti Akhtar Aziz. Tan Sri Zeti pernah berkhidmat sebagai Gabenor Bank Negara (2000-2016) dan kini mengisi jawatan Pengerusi Kumpulan Permodalan Nasional Berhad (PNB).

Kebanyakan masa kecilnya dihabiskan di Batu Pahat dan Johor Bahru. Beliau boleh saja dibesarkan di London tetapi ayahandanya mahukan Ungku Aziz membesar dalam persekitaran dan kehidupan sebagai seorang Melayu. Pada tahun 1934, Ungku Aziz menyelesaikan pendidikan rendahnya dan selepas itu, beliau menyambung pendidikan menengah di Maktab Sultan Abu Bakar, Johor Bahru dan Kolej Raffles, Singapura.

Pendidikannya bagaimanapun tertangguh seketika berikutan peristiwa pendudukan Jepun di Tanah Melayu semasa Perang Dunia Kedua. Selepas tamat perang, beliau menyambung pengajian di Universiti Malaya, Singapura dan memperoleh ijazah dalam bidang ekonomi. Ungku Aziz turut memperoleh ijazah Doktor Falsafah di Universiti Waseda, Jepun dalam bidang ekonomi sekaligus menjadikannya anak Melayu pertama yang melanjutkan pelajaran di situ.

Selepas
tamat pengajian dari Universiti Malaya di Singapura, Ungku Aziz menyertai
Perkhidmatan Awam Johor (JCS) pada tahun 1951. Bagaimanapun, tempoh
perkhidmatannya tidak bertahan lama apabila beliau dilamar alma maternya
sebagai pensyarah ekonomi dari tahun 1952 hingga 1961. Pada tahun 1961, Ungku
Aziz kembali ke Tanah Melayu dan berkhidmat sebagai Profesor dan Dekan Fakulti
Ekonomi di Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Pada Oktober 1968, beliau dilantik
sebagai Naib Cancelor Universiti Malaya menggantikan Dr J.H.E Griffiths dan
berkhidmat selama 20 tahun.

Tabung Haji

Salah
satu masalah yang menarik perhatian beliau ialah masalah kemiskinan dan ini
banyak ditekankan dalam pelbagai rencana dan pembentangan. Malah, tidaklah
mengejutkan sekiranya Ungku Aziz dianggap ahli ekonomi pertama negara ini yang
menyimpulkan punca utama masalah kemiskinan ialah eksploitasi dan pengabaian
yang menjejaskan pembangunan individu dan masyarakat. Sebelum beliau, pentadbir
era kolonial dan orientalis Barat sentiasa menyalahkan sikap malas bangsa
Melayu dan kuatnya pegangan agama Islam sebagai punca kemiskinan.

Dan
mitos tersebut diteruskan oleh sesetengah orang sehingga hari ini walaupun
sudah dibuktikan sebaliknya bukan saja oleh Ungku Aziz tetapi juga oleh filsuf
ulung Melayu dan sepupunya sendiri, Prof Syed Muhammad Naquib al-Attas. Menurut
beliau, masalah ini berlaku disebabkan oleh pengabaian bersifat sistematik oleh
pentadbiran British yang diteruskan pentadbiran pasca-kemerdekaan dan
eksploitasi orang tengah serta peminjam wang. Situasi sebegini nyata memberi
kesan bukan saja pada taraf hidup tetapi juga kekuatan ekonomi kelompok miskin
luar bandar.

Hasil
daripada pendedahan ini, Ungku Aziz berusaha mencari jalan menamatkan bentuk
penganiayaan dan pengabaian yang memberi kesan buruk kepada taraf ekonomi orang
Melayu dan Islam. Salah satu idea beliau ialah penubuhan Tabung Haji hasil dari
cadangannya kepada pihak kerajaan pada tahun 1959 melalui Pelan Penambahbaikan
Ekonomi Jemaah Haji Muslim. Pelan tersebut bertujuan membantu menambahbaik
taraf ekonomi orang Melayu Islam dengan menubuhkan sebuah syarikat. Menurut
Ungku Aziz, idea di sebalik Tabung Haji ialah membantu taraf ekonomi bakal
jemaah yang menyimpan wang untuk belanja haji di mana kebanyakan mereka terdiri
daripada kelompok miskin luar bandar.

Idea
ini timbul hasil kajian yang dilakukan di beberapa tempat di Malaysia dan ianya
dibentangkan di bawah tajuk ‘The Mobilisation of Domestic Savings in South East
Asia’ di Bangkok pada tahun 1951. Menerusi kajian ini, Ungku Aziz mahu melihat
bagaimana orang Melayu menyimpan wang dan mengapa mereka berbuat demikian.
Hasil kajiannya mendapati orang Melayu takut menyimpan wang di bank ketika itu
kerana bimbang wang tersebut bercampur dengan hasil riba. Selain itu, beliau
turut mendapati tujuan utama orang Melayu menyimpan wang sebagai duit belanja
semasa perjalanan haji dan umrah. Selain menyimpan wang, mereka turut
menggunakan wang tersebut untuk membeli binatang ternakan. Binatang-binatang
ini kemudiannya dijual bila sudah tiba masa untuk melakukan perjalanan ke
Baitullah.

Dan
jika mereka merasakan wang simpanan dan penjualan binatang masih belum
mencukupi untuk membiayai urusan haji, orang Melayu juga tidak keberatan
menjual tanah mereka. Menurut Ungku Aziz, tindakan sebegini menyebabkan mereka
menjadi lebih miskin sekembalinya dari perjalanan haji dan secara tidak
langsung, menjejaskan ekonomi orang Melayu. Untuk mengelakkan budaya buruk ini
berterusan dan menggalakkan orang Melayu belajar menyimpan demi masa hadapan
mereka, maka ini yang membawa kepada penubuhan Tabung Haji.

Penubuhan
Tabung Haji dianggap antara yang pertama seumpamanya di dunia dari segi
pemikiran ekonomi dan institusi agama Islam. Namun bagi orang Islam, sistem
sama sudah wujud yang dikenali sebagai sistem sheikh tetapi dalam bentuk skala
kecil. Idea Tabung Haji ini bukan saja mengubah waktu perjalanan dan tempoh
penginapan para jemaah yang berangkat ke Baitullah tetapi juga memberi peluang
kepada lebih ramai orang Islam mengerjakan dalam tempoh 60 tahun dari Malaysia.
Selain itu, pengenalan institusi ini juga menggalakkan budaya menyimpan wang
dalam kalangan orang Melayu Islam.

Walaupun
Tabung Haji masih belum memenuhi sebahagian mandat asal Ungku Aziz tetapi dari
segi nilai ekonomi, ia merupakan entiti korporat bernilai berbilion ringgit dan
menguruskan pelbagai pelaburan mengikut prinsip syarak. Ini menyebabkan banyak
negara Islam mengagumi kejayaan Tabung Haji terutama dalam soal pengurusan
jemaah haji dan mahu mempelajari bagaimana Malaysia dapat mewujudkan sebuah
sistem pengurusan dana jemaah haji yang baik. Malah, ramai pakar ekonomi Muslim
menganggap Tabung Haji salah satu kejayaan entiti korporat terhebat di dunia.

Tetapi
selepas 20 tahun penubuhannya, Ungku Aziz merasakan masih ada ruang yang boleh
ditambahbaik. Pertama, beliau merasakan cadangan asalnya untuk menggerakkan
simpanan membabitkan warga luar bandar masih belum direalisasikan. Kedua, Ungku
Aziz merasakan Tabung Haji seharusnya menggalakkan umat Islam menyimpan bagi
kegunaan lain yang bermanfaat seperti pendidikan dan tidak menamatkan simpanan
selepas mereka selesai menunaikan haji.

Ketiga,
beliau juga mencadangkan keuntungan modal yang diraih dari pelaburan-pelaburan
yang dibuat harus diagih-agihkan kepada para penyimpan dengan tujuan dapat
merancakkan lagi ekonomi ummah dan bukan setakat meraih keuntungan bagi pihak
Tabung Haji semata-mata. Menurut beliau, sekiranya semua ini dapat
direalisasikan, ia sebenarnya dapat memenuhi tuntutan fardu kifayah dalam soal
kemiskinan. Ini kerana bila kemiskinan dapat dibanteras, ia memberi peluang
kepada orang Islam membangunkan diri mereka dalam pelbagai aspek kehidupan
sekaligus mewujudkan keadilan dari segi sosioekonomi.

Malah,
hasrat beliau ini bersesuaian dengan hadis Nabi s.a.w yang diriwayatkan oleh
Abu Said al-Khudri r.a: Pada suatu hari, Rasulullah telah memasuki masjid
(baginda) dan mendapati seorang lelaki Ansar yang dipanggil Abu Umamah.
Rasulullah bertanya, “Wahai Abu Umamah, kenapa aku tak ada nampak pun engkau
duduk-duduk di masjid semasa waktu solat?””Abu Umamah menjawab, “Kerisauan dan hutang-hutang memaksaku demikian,
Ya Rasulullah.”

Baginda
kemudiannya bertanya, “Adakah engkau mahu jika aku ingin mengajarmu kata-kata
yang apabila engkau menyebutnya Allah akan membawa pergi kerisauanmu dan
melunaskan hutangmu? Abu Umamah menjawab, “Sudah tentu, Ya Rasulullah!” Rasulullah s.a.w kemudian bersabda, “Ucapkanlah ketika pagi dan
petang: Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung dari-Mu daripada kerisauan, kesedihan, rasa
lemah-lemah (badan) dan sifat malas, juga daripada sifat penakut dan kedekut,
serta dari belenggu hutang dan penganiayaan (perlakuan keras/kasar) manusia
terhadapku.””Abu Umamah berkata, “Justeru aku telah mengamalkannya, maka
Allah telah menghilangkan kerisauanku dan terlunas semua hutang-hutangku.” Ini
menunjukkan betapa tegasnya Nabi s.a.w terhadap isu kemiskinan kerana ia
berpotensi merosakkan potensi manusia bukan saja pada peringkat individu tetapi
juga pada peringkat masyarakat dan negara.

Pendidikan

Isu
pendidikan amat dititikberatkan Ungku Aziz terutama di peringkat universiti
kerana dilihat dapat membantu pembangunan orang Melayu pada peringkat individu
dan masyarakat. Maka tidak hairanlah sepanjang tempohnya sebagai Naib Cancelor
Universiti Malaya (UM) selama 20 tahun, misi pendidikannya bukan saja
menghasilkan graduan tetapi graduan yang boleh membantu menyelesaikan masalah
budaya, ekonomi dan sosial yang dihadapi negara.

Sesuatu
yang disedari Ungku Aziz ialah orang Melayu tidak berapa cemerlang dalam banyak
bidang berbanding bangsa-bangsa lain dalam soal ekonomi moden. Salah satu
puncanya ialah kekurangan peluang pendidikan dan satu-satunya universiti yang
dimasuki orang Melayu mengajar kebanyakan jurusannya dalam Bahasa Inggeris. Ini
bermakna pelajar yang datang dari sekolah Melayu akan berhadapan kesukaran
memasuki universiti atau belajar dengan baik. Masalah ini membawa kepada
penubuhan Pusat Pengajian Asas Sains (Centre for Foundation Studies in Science)
bagi membantu para pelajar yang datang dari keluarga miskin.

Berdasarkan pengalamannya pada tahun 1970-an, hanya lima pelajar Melayu yang mendaftar dengan fakulti perubatan dan jika bernasib baik, dua atau tiga sahaja yang tamat pengajian sebagai doktor. Untuk mengatasi masalah berkenaan, UM turut mengorak langkah dengan menubuhkan pusat matrikulasi dan merekrut pelajar-pelajar luar bandar yang berminat mempelajari bidang kritikal seperti perubatan, sains dan kejuruteraan.

Ungku Aziz menambah, “Pada ketika itu, pelajar bandar akan pergi ke London untuk menyambung pengajian perubatan. Tetapi dalam fakulti, pensyarahnya mengajar dalam Bahasa Inggeris sementara anak-anak Melayu yang terpilih berfikir secara Melayu. Terma bukan satu masalah tetapi mindanya yang berfikir secara Melayu. Atas sebab itu, kami mencari guru-guru yang boleh mengajar perubatan dan bidang berkaitan dalam Bahasa Melayu.”

Selepas
tiga atau empat tahun persediaan, anak-anak Melayu ini dapat menguasai jurusan
mereka dan ini memotivasikan mereka untuk memperbaiki kemahiran Bahasa Inggeris
mereka. Sejak ditubuhkan pada tahun 1977, Pusat Matrikulasi UM sudah melahirkan
lebih 2,000 doktor, 800 doktor gigi dan 2,600 jurutera. Sementara 7,000 hingga
8,000 graduan dilahirkan Pusat Pengajian Asas Sains di mana sesetengah
daripadanya menjadi pakar dalam bidang masing-masing dan semakin menghampiri
usia persaraan.

Bagaimanapun,
itu tidak bermakna Ungku Aziz melupakan pembangunan rohani orang Melayu
terutama berkenaan nilai moral dan etika. Antara kebimbangan beliau ialah
kehilangan jati diri bangsa sesetengah anak-anak Melayu yang terpengaruh dengan
pelbagai falsafah dari Timur dan Barat. Kebimbangan anak jati London ini ada
asasnya kerana beliau sedar perubahan yang dibawa negara-negara Barat dalam
mengejar kemajuan dengan mengetepikan nilai moral dan etika kononnya atas nama
pembangunan dan kemajuan. Beliau bimbang pandangan sempit masyarakat yang
menyamakan kejayaan dengan nilai material sebenarnya merosakkan rohani dan jati
diri bangsa Melayu itu sendiri.

Dan
melihat kepada pembangunan yang berlaku hari ini, walaupun Melayu semakin maju
dari segi ekonomi dan materialnya tetapi dari segi nilai moral dan etika, ia
merupakan satu tragedi. Ungku Aziz melihat pembangunan seharusnya seiring bukan
saja dengan kemajuan material tetapi juga dengan penambahbaikan jati diri dan
rohani bangsa Melayu itu sendiri. Dan menurut beliau, orang Melayu seharusnya
berusaha berpegang kepada tiga nilai yang membentuk sebuah masyarakat yang
hebat iaitu jujur, ikhlas dan telus.

Kenyataan
Ungku Aziz ini dilihat jauh ke hadapan berbanding teori-teori ekonomi yang
dibawa pemikir-pemikir Barat yang dilihat kosong dari segi moral dan agama.
Malah ideanya turut mendapat sokongan Pemenang Hadiah Nobel Amartya Sen yang
melihat ekonomi tanpa etika merosakkan ekonomi kebajikan. Sen menambah ekonomi
akan menjadi lebih produktif dengan memberi lebih banyak tumpuan kepada
pertimbangan etika yang membentuk tingkah laku dan pertimbangan manusia.

Sejarah dan warisan bangsa

Sejak
tahun 1980-an, Ungku Aziz aktif mempromosikan kajian sastera dan warisan
intelektual orang Melayu. Menerusi satu temubualnya dengan akhbar New Straits
Times beliau berkata, “Kajian sastera dan warisan manusia tidak seharusnya
dilupakan walaupun ketika Malaysia sedang bergerak menuju ke arah masyarakat
saintifik dan progresif pada abad seterusnya. Ini kerana manusia tidak boleh
hidup dengan sains sahaja kerana ia memerlukan tambahan budaya dalam mindanya.
Terdapat banyak contoh negara-negara maju di mana pencapaian saintifiknya
diseimbangkan dengan sistem pendidikannya yang menggalakkan penuntutnya
menghargai mahakarya dulu dan sekarang serta mengenali hasil kerja dan usaha
manusiawi sepanjang zaman dan merentasi negara-negara.”

Misalnya,
Ungku Aziz menggalakkan orang Melayu mempelajari pemikiran orang Melayu pada
masa silam kerana asas pemikiran mereka ini boleh diceduk, diadaptasi dan
disesuaikan mengikut situasi dihadapi orang Melayu hari ini. Kenyataan ini
sebenarnya menunjukkan persetujuannya dengan kenyataan sepupunya sendiri, Syed
Muhammad Naquib. Ini kerana filsuf agung Melayu itu merasakan pemikiran orang
Melayu zaman silam masih relevan dalam menyelesaikan masalah moden.

Antara
sebab orang Melayu merasa jauh dengan budaya dan warisan intelektual silam
disebabkan faktor penjajahan. Berdasarkan kajian peribadinya berkenaan pantun
dan rekod sejarah orang Melayu, bangsa Melayu sudah dikenali sebagai pedagang
yang hebat dan dapat bersaing di peringkat antarabangsa. Ungku Aziz menambah,
“Pedagang Melayu masuk ke belantara dan mengutip hasil untuk ditukar dengan
pedagang China, India dan negara-negara lain. Mereka sudah berlayar sekitar
perairan Nusantara dan mempunyai kompas tersendiri dipanggil pedoman. Ini
menunjukkan Timur itu sudah bertamadun dan kita sudah ada pedagang-pedagang
Melayu jauh sebelum kedatangan Barat di Nusantara.”

Bersesuaian
dengan pendiriannya yang menekankan warisan kesusasteraan Melayu, Ungku Aziz
menyokong penggunaan Bahasa Melayu sebagai alat pengajaran dalam sistem
pendidikan kebangsaan atas sebab perpaduan nasional. Beliau juga
bertanggungjawab dalam pembentukan Universiti Malaya, di mana amat penting bagi
sebuah negara berbilang bangsa seperti Malaysia untuk mencapai perpaduan
sebenar tanpa mengabaikan Bahasa Inggeris sebagai bahasa perdagangan dalam
dunia tanpa sempadan. Dalam satu temubualnya bersama NST pada tahun 2008,
beliau berkata, “Bahasa Melayu itu merupakan satu-satunya cara untuk mencapai
perpaduan kebangsaan sebenar.

Pada
masa sama, Bahasa Inggeris perlu dikuasai bagi mendapatkan faedah sepenuhnya
globalisasi.” Atas sebab itu, beliau mencadangkan penggunaan dua bahasa dalam
pengajaran dan pembelajaran untuk sistem pendidikan kebangsaan serta patut
dimulakan di bangku sekolah lagi. Bagi memastikan penguasaan sepenuhnya kedua-dua
bahasa berkenaan, Ungku Aziz mencadangkan ia patut dipelajari dan dikuasai
dalam tempoh 11 tahun pembelajaran dan jika boleh, tahun pertama pengajian
universiti. Beliau menambah bahasa seharusnya dipandang serius kerana ia
merupakan alat perpaduan dan patut diajar sekurang-kurangnya dua tempoh dalam
seminggu.

Satu
lagi kebimbangan Ungku Aziz berkenaan orang Melayu ialah pemahaman agama dalam
kalangan masyarakat. Ini kerana menurutnya, orang Melayu tidak menerima
sepenuhnya agama berikutan perubahan sosial dalam masyarakat. Beliau menambah,
“Mereka tahu tentang rukun-rukun tetapi mereka tidak mempunyai masa
membangunkan kestabilan dan belajar untuk diaplikasikan dalam kehidupan
seharian.” Bagi mempromosikan idea menambah kefahaman agama, Ungku Aziz selalu
mempromosikan idea dari Tamadun Islam. Ini diperlihatkan menerusi penubuhan
Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya di mana pada awalnya, beliau
dihubungi oleh wakil Yayasan Pengajian Tinggi Islam Kelantan. Menerusi hubungan
tersebut, mereka mahu menggabungkan atau mencampurkan institusi berkenaan
dengan UM bagi membolehkan pelajar-pelajarnya mendapat kelulusan universiti.

Pada
tahun 1975, idea tersebut diterima Perdana Menteri kedua Allahyarham Tun Abdul
Razak Hussein. Selepas ia dibentangkan di hadapan Majlis Senat Universiti, ia
mendapat persetujuan pihak majlis. Dalam kertas tersebut, beliau turut
mencadangkan para pelajar diterapkan semangat berdikari dan melihat kepentingan
pembangunan negara. Bagi mencapai agenda berkenaan, beliau mencadangkan satu
konsep baru bagi akademi di mana kampus mempunyai sebuah ladang bagi
membolehkan pelajar menanam sayur-sayuran, menternak haiwan dan ikan air tawar.
Hasil ladang boleh menjadi sumber bekalan makanan penduduk kampus dan ia boleh
menjadi tempat bagi para pelajar bersenam dan bermeditasi. Idea radikal ini
diinspirasikan dari pembacaan Ungku Aziz berkenaan sistem madrasah yang
digunakan Tamadun Islam zaman silam.

Pada tahun 1985, Ungku Aziz juga bertanggungjawab memperkenalkan kursus Tamadun Islam sebagai kursus pilihan yang ditawarkan kepada semua pelajar sama ada beragama Islam atau bukan beragama Islam. Beliau menekankan kursus tersebut bukan menjurus kepada proses Islamisasi tetapi sebaliknya memberi peluang kepada pelajar bukan beragama Islam mempunyai pemahaman lebih mendalam terhadap Islam terutama dari segi tamadun.

Kursus tersebut seharusnya tidak patut diendahkan kerana minat terhadap Islam di dunia sudah tidak boleh diendahkan. Ini juga menunjukkan kesungguhan Ungku Aziz bahawa Tamadun Islam turut menyumbang kepada kemajuan dunia. Sepanjang tempoh beliau selama 20 tahun sebagai Naib Cancelor, Ungku Aziz banyak meluluskan program pendidikan bertaraf kebangsaan dan antarabangsa yang berkait dengan Tamadun Islam.

Selain Tamadun Islam, beliau mempunyai minat mendalam terhadap kesenian Islam dan warisan kesusasteraannya. Ungku Aziz merasakan ia dapat mengisi kekosongan dalam kesenian Melayu dan seharusnya diperkenalkan pada peringkat sekolah dan universiti. Beliau turut merasakan Islam seharusnya ditonjolkan keindahannya melalui seni dan kesusateraan terutama seni kaligrafi kerana ia menyedarkan orang ramai terutama umat Islam sendiri bahawasanya Tamadun Islam juga kaya dengan warisan seni dan kesusasteraannya.

Atas sebab itu semasa berada di UM, pelbagai pameran membabitkan seni dan kesusasteraan Islam dianjurkan di situ bagi mencetuskan kesedaran dalam kalangan orang ramai. Selain itu, Ungku Aziz merasakan Melayu yang mendabik diri mereka sebagai intelektual seharusnya boleh mengenali abjad-abjad Jawi dalam buku-buku sastera abad ke-18 dan ke-19 atau sekurang-kurangnya, tulisan Arab yang berbeza. Ini sebenarnya merupakan amalan biasa yang dilakukan kelompok cendekiawan Islam silam.

Dasar Ekonomi Baru

Isu
perbezaan taraf ekonomi dan kemiskinan tegar bukan satu isu baru yang dihadapi
mana-mana negara termasuk Malaysia. Dan bagi Ungku Aziz, isu ini amat dekat
dengan hatinya dan mendorongnya membuat pelbagai kajian mengatasi kemiskinan.
Melalui penyelidikannya itu, beliau mewujudkan formula Indeks Sarong sebagai
cara mengukur tahap kemiskinan dan mengadakan teori pengabaian sebagai punca
kemiskinan luar bandar. Tiga punca kemiskinan luar bandar ialah produktiviti
yang rendah, diskriminasi dan halangan institusi kerajaan. Menurut beliau,
sekiranya isu ini tidak ditangani dengan segera, ia boleh mengakibatkan orang
Melayu terus ketinggalan.

Dan
laporan insiden 13 Mei 1969 turut merumuskan perkara sama yang dibangkitkan
Ungku Aziz dan Pendeta Za’ba sejak beberapa tahun sebelumnya. Atas sebab
itulah, Dasar Ekonomi Baru diperkenalkan oleh Perdana Menteri kedua Tun Abdul
Razak Hussein pada tahun 1971 di mana dasar-dasar ini mendapat input
pakar-pakar ekonomi ketika itu seperti Tan Sri Dr Just Faaland dan Ungku Aziz
sendiri. Hasilnya, kadar kemiskinan dilihat mengalami pengurangan daripada
49.3% dalam tahun 1970 kepada 29.2% dalam tahun 1980. Anggaran jumlah isi rumah
miskin juga mengalami penurunan daripada kira-kira 791,800 orang dalam tahun
1970 kepada 666,100 orang dalam tahun 1980.

Sementara
tingkat pendapatan penduduk dalam kumpulan 40% terendah dalam agihan raiz
pendapatan di Semenanjung Malaysia yang merupakan sebahagian besar daripada
penduduk miskin bertambah baik. Purata pendapatan bulanan isi rumah dalam
kumpulan ini bertambah daripada RM75.90 (1970) kepada RM142.19 (1976).
Menjelang tahun 1979, pendapatan ini meningkat kepada RM186.19, kira-kira 145%
lebih tinggi daripada tahun 1970. Pertambahan ini menunjukkan kedudukan
pendapatan yang lebih baik bagi kumpulan miskin yang ditentukan.

Dari
segi agihan pendapatan dalam kalangan kaum, bahagian pendapatan purata kaum
Melayu daripada pendapatan purata negara meningkat daripada 65.2% (1970) kepada
67.3% (1979). Pendapatan purata kaum Cina masih melebihi pendapatan purata
negara, tetapi pendapatan purata kaum Cina berkurangan daripada 149% (1970)
kepada 144% (1979). Bahagian Pendapatan purata kaum India daripada pendapatan
purata negara berkurangan daripada 115% dalam tahun 1970 kepada 102% dalam
tahun 1979. Perbezaan pendapatan antara luar bandar dan bandar didapati
berkurangan dalam tempoh yang sama.

Melihat
kepada statistik inilah, DEB terus diperjuangkan dan teras dasarnya terus
bertahan menerusi pelbagai dasar ekonomi yang wujud hari ini. Kejayaan DEB ini
juga turut menjustifikasikan kenyataan Ungku Aziz bahawa DEB membantu orang
Melayu terus bersaing dan yakin membina pencapaian mereka. Beliau juga menolak
sistem meritokrasi dan menganggap ia masih belum sesuai dilaksanakan atas
alasan jurang pendapatan antara golongan bandar dengan golongan luar bandar
masih jauh.

Anugerah

Atas
jasa yang tidak ternilai harganya kepada dunia akademik dan negara, Ungku Aziz
menerima pelbagai anugerah di dalam dan luar negara. Pada tahun 1978, beliau
dianugerahkan gelaran Profesor Diraja Ekonomi oleh DYMM Yang di-Pertuan Agong
dalam bidang Pembangunan Luar Bandar. Selain itu, Ungku Aziz turut menerima
anugerah Tokoh Maal Hijrah 1997, Japan Foundation Award (1981), Tokoh Koperasi
Negara (2002) dan Anugerah Akademik Negara (2006). Beberapa tempat turut
mengabadikan namanya seperti Sekolah Menengah Kebangsaan Ungku Aziz, Sabak
Bernam dan dua fasiliti Universiti Malaya iaitu Dewan Ungku Aziz dan Kolej
Kediaman Ungku Aziz.

RUJUKAN:

1.
Saat, Ishak, Ariffin, Khairi dan Mamat, Mohamad Asrol Arpidi. (2014). Impak
Dasar Ekonomi Baru ke atas Peningkatan Ekonomi Bumiputera Selepas Tragedi 13
Mei 1969. Jurnal Perspektif Jil. 6 Bil. 3 Universiti Pendidikan Sultan Idris. http://ir.upsi.edu.my/2297/1/Impak%20Dasar%20Ekonomi%20Baru%20ke%20atas%20peningkatan%20ekonomi%20bumiputera%20selepas%20tragedi%2013%20Mei%201969.pdf

2.
The Merdeka Award. Royal Professor Ungku Abdul Aziz Bin Ungku Abdul Hamid. http://www.merdekaaward.my/Recipients/By-Category/Education-Community/Royal-Professor-Ungku-Abdul-Aziz-Bin-Ungku-Abdul-H.aspx

Perhatian sebentar.

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami. Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM5.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM5 / RM10 / RM50

Kongsi

No comments yet