NASA telah umumkan bahawa kapal angkasa bernama Parker Solar Probe berjaya ‘menyentuh permukaan Matahari’ sejak April tahun ini. Jika berita ini sudah cukup mengujakan peminat angkasa lepas, ada lagi kejutan dari NASA!
Penemuan kedua selepas kejayaan probe NASA ini ialah probe ini telah menangkap video permandangan angkasa dari Matahari ketika masuk ke korona. Rakaman ini juga menjadi bukti kejayaan manusia tiba di Matahari.
Rakaman ini sebenarnya tangkapan foto dari probe NASA antara 8 dan 12 Ogos tahun ini ketika kedudukan probe sangat hampir ke permukaan Matahari. Walaupun rakaman selama 12 saat ini diganggu oleh kerdipan cahaya yang sebenarnya elektron yang menyeberang dalam korona, kita dapat lihat beberapa planet dan galaksi Bima Sakti berada di ‘langit’ Matahari. Lihat rakaman ini:
Planet-planet yang dirakam ini telah diteliti oleh ahli astrofizik dari Harvard & Smithsonian Center for Astrophysics, bernama Grant Tremblay dengan bantuan saintis komputer iaitu Karl Batttams dan Andrew Phillips. Keputusannya mereka menemui planet Marikh, Utarid, Zuhrah, Zuhal, Bumi dan Musytari yang bergandingan, dan Bima Sakti.
Dari kiri: Zuhrah, Utarid, dan Marikh.
Dari kiri: Bima Sakti (berkemungkinan bahagian pusat galaksi), Zuhrah.
Walaupun tempoh rakaman ‘langit’ Matahari hanyalah beberapa saat, namun probe NASA ini telah banyak menangkap foto selama 5 hari sehingga terhasil rakaman sebegini. Tambahan pula, kelajuan probe ini mencecah 147 kilometer per saat. Pada waktu ini probe NASA amat laju mengelilingi Matahari.
Tugas Parker Solar Probe ialah mengkaji keadaan Matahari yang manusia tidak mampu capai. Kini kapal angkasa ini hanya mempunyai 15 perihelion (titik terdekat kepada Matahari) yang tinggal. Jadi, NASA perlukan 4 tahun lagi untuk mendapatkan data untuk dianalisis.
Siapa sangka, kita sebagai manusia telah mencapai pencapaian yang mengujakan dalam dunia sains angkasa sejak tamadun dahulu mengasaskan ilmu astronomi.
RUJUKAN:
MacDonald, Fiona. 17 December 2021. This Footage From The First-Ever Probe to Touch The Sun Will Leave You Speechless. Science Alert.




No comments yet