Tatkala kapal-kapal milik Malaysia sudah mula diberi laluan merentasi Selat Hormuz dengan selamat, kita masih tak dengar berita baik daripada Indonesia.
Dua kapal tangki Indonesia, Pertamina Pride dan Gamsunoro masih disekat daripada lalu Selat Hormuz.
Negara lain macam China, Rusia, Malaysia, India, Iraq dan Pakistan masih boleh lalu. Tapi Indonesia? Tiba-tiba kena “hold”.
Kenapa Indonesia kena sekat?
Beberapa penganalisis mula kaitkan benda ni dengan langkah Presiden Indonesia, Prabowo Subianto yang baru-baru ni sertai satu inisiatif tajaan Donald Trump yang dipanggil “Board of Peace”.
Tapi realitinya, ramai kritik benda ni sebab dilihat terlalu condong kepada kepentingan Amerika Syarikat dan sekutu Barat terutama dalam konflik Timur Tengah.
Masalahnya, dalam dunia geopolitik hari ini, persepsi lagi penting daripada niat.
Bila Indonesia join Board of Peace, Iran mungkin nampak itu sebagai tanda Indonesia dah mula “condong” ke arah blok Barat dan Israel. Tambah pula dengan perjanjian perdagangan antara Indonesia dan Amerika Syarikat lagi menguatkan persepsi tu.
Bhima Yudhistira, seorang ahli ekonomi dari Center of Economic and Law Studies (CELIOS) sendiri berpandangan bahawa keputusan Iran mungkin ada kaitan dengan langkah Indonesia mendekati Amerika Syarikat.
Pada masa sama, pakar undang-undang antarabangsa dari Universiti Indonesia, Hikmahanto Juwana cuba tenangkan keadaan. Beliau tak tolak kemungkinan faktor politik main peranan, tapi dalam masa sama berharap isu ini sebenarnya berpunca daripada masalah teknikal atau operasi, bukan semata-mata sebab Indonesia dilihat berpihak kepada Amerika Syarikat dan Israel.
Lebih menarik, kerajaan Indonesia sendiri nampak sedar benda ni makin serius. Menteri Tenaga mereka, Bahlil Lahadalia sahkan rundingan dengan Iran masih berjalan. Jurucakap Kementerian Luar, Yvonne Mawengkang pula kata ada “perkembangan positif”, tapi masih di peringkat teknikal.
Maknanya? Masih belum selesai.
Dan masa terus berjalan.
Dalam dunia sebenar, setiap hari kapal tak bergerak, kos akan naik. Harga minyak boleh naik. Rakyat akhirnya yang terasa kesan.
Lebih besar daripada itu, ini sebenarnya ujian kepada dasar luar Indonesia sendiri, dasar “bebas dan aktif” yang selama ini jadi kebanggaan mereka.
Selama berpuluh tahun, Indonesia cuba kekalkan posisi neutral. Berkawan dengan semua, tak terlalu rapat dengan mana-mana. Tapi dunia hari ini dah berubah. Neutral tak lagi cukup kalau orang lain mula tafsir kau sebagai “berpihak”.
Itulah dilema yang Indonesia tengah hadap sekarang.
Nak jadi pemain global, tapi dalam masa sama kena jaga keseimbangan.
Kalau tersilap langkah, kesannya bukan hanya diplomatik. Ia terus kena pada minyak, ekonomi, harga barang dan akhirnya kehidupan rakyat biasa.




No comments yet