“Buat para pendengar, yang menghubungkan kita di antara Potterwatch, kami tidak tahu bila waktunya kami dapat bersiaran semula, tetapi kami pasti akan kembali. Teruskan melayari saluran kami, kata kunci seterusnya adalah “Mad-Eye”. Salinglah melindungi di antara satu sama lain, dan tetaplah percaya. Selamat Malam.”
– Siaran Potterwatch 1998.
Semasa era Perang Ahli Sihir Ke-2, Lord Voldemort, Death-Eaters dan pengikut-pengikut mereka yang lain telah berjaya menyerap masuk ke dalam Ministry of Magic dan mengawalnya dari dalam. Semua media dunia ahli sihir telah ditapis secara tegas. Media-media arus perdana seperti The Daily Prophet dan Wizarding Wireless Network News, kini berperanan memfitnah Harry Potter sebagai “Undesirable No. 1,” yang membangkitkan prasangka terhadap Muggles, dan menyampaikan propaganda Voldemort.
Tetapi di dalam kekalutan dan kebenaran yang bermaharajalela, satu program rangkaian tanpa wayar ahli sihir dilancarkan oleh sekumpulan pemuda dan berjaya menyiarkan kebenaran tentang usaha heroik Harry dan tentang apa yang sebenarnya berlaku di dunia ahli sihir dan dunia Muggle. Siaran itu adalah Potterwatch.
Potterwatch adalah program radio rahsia yang dihoskan oleh beberapa pelajar Hogwarts School of Witchcraft and Wizardry yang menyertai pemberontakan. Fred Weasley, Remus Lupine dan Kingsley Shacklebolt adalah antara hos yang pernah bersiaran di Potterwatch. Potterwatch telah menjadi satu agen penyampai maklumat yang penting semasa era peperangan ahli sihir memandangkan media arus perdana kini telah menjadi berat sebelah dan tidak telus.
Melayari Siaran
Untuk mengelakkan siaran dikesan oleh Voldemort, Death-Eaters, atau Ministry of Magic, Potterwatch tidak bersiaran pada setiap malam dan disiarkan dari lokasi yang berbeza setiap kali penyiaran. Kata laluan diperlukan untuk melayari setiap siaran.
Hanya dengan mengetuk tongkat dan menyebut kata laluan, ahli sihir boleh mengakses siaran Potterwatch dari mana-mana lokasi di dalam dunia ahli sihir. Kata laluan baru akan diumumkan pada akhir setiap siaran.
Semua kata laluan yang diketahui adalah nama ahli Order of Phoenix. Setiap penyiar menggunakan nama kod semasa di udara untuk melindungi identiti mereka, tetapi mereka yang mengetahui individu secara individu semestinya mengenali siapa yang bercakap.
Setiap nama kod yang diketahui bermula dengan huruf ‘R’, iaitu River (Lee Jordan) Royal (Kingsley Shacklebolt) Romulus (Remus Lupin) dan Rodent (Fred Weasley). Manakala di dalam Harry Potter and the Deathly Hallows: Part 2, apabila Harry tiba di Hogwarts, Nigel telah melaporkan di Potterwatch dengan menyiarkan “Lightning has struck” yang menjelaskan bahawa Harry telah diberi nama kod “Lightning”, yang melambangkan bentuk parut pada dahinya.
Intisari Siaran
“Ini adalah masa-masa yang kejam, sememangnya. Dan bukan hanya Hogwarts yang menderita. Gerakan ahli sihir terbaharu ini juga menjejaskan dunia Muggle.. dengan teruk.”
– Siaran Potterwatch
Kandungan program penyiaran Potterwatch pada Mac, 1998 yang disiarkan sebelum Harry, Ron, dan Hermione ditawan dan ditahan di ruang bawah tanah rumah Malfoy adalah seperti berikut:
- Komen pengenalan dan pengumuman berita oleh “River”
- Saat berdiam diri bagi mengumumkan kematian yang tidak dilaporkan oleh media arus perdana Daily Prophet atau Wizarding Wireless Network News.
- Maklumat mengenai kesan “Gerakan Ahli Sihir” baharu di dunia Muggle, yang disampaikan oleh “Royal“
- Segmen biasa yang popular “Pals of Potter,” yang dihoskan oleh “Romulus”
- Berita tentang Lord Voldemort, yang dilaporkan oleh koresponden baru dan penyanyi “Rapier”.
Pemangkin Semangat
“Kita terus-menerus mendengar cerita yang benar-benar inspiratif tentang bagaimana para ahli sihir yang mempertaruhkan nyawa mereka sendiri untuk melindungi rakan-rakan dan jiran Muggle, seringkali tanpa pengetahuan Muggles tersebut. Saya menyeru kepada semua pendengar kami untuk menjadikan mereka sebagai contoh, mungkin dengan memberikan sihir perlindungan ke atas mana-mana tempat tinggal Muggle di kawasan anda. Banyak nyawa yang dapat diselamatkan jika langkah-langkah sederhana seperti itu diambil. “
– Royal di dalam siaran Potterwatch.
Potterwatch juga berperanan membekalkan maklumat kepada komuniti ahli sihir tentang peristiwa-peristiwa terbaharu yang tidak dilaporkan oleh media arus perdana dunia sihir, iaitu Wizard Wireless Network dan Daily Prophet kerana keduanya telah jatuh di bawah pengaruh Ministry of Magic yang kini berada di bawah pengaruh Lord Voldemort.
Siaran-siaran di Potterwatch bertindak sebagai pemangkin semangat para pejuang dalam pergerakan anti-Voldemort dengan menyiarkan mesej sokongan kepada Harry Potter juga kepada semua orang yang menentang Death-Eaters – para kultus Lord Voldemort.
Potterwatch telah mencontohi siaran radio ‘underground’ yang telah digunakan secara meluas ketika Perang Dunia ke-2 di dunia Muggle. Siaran-siaran ini telah memberikan inspirasi dan semangat kepada para pejuang yang tidak bersetuju dengan agenda Lord Voldemort yang melakukan penghapusan berdasarkan jalur keturunan darah seseorang.
Propaganda Arus Perdana
“Para pendengar kita akan tahu, kecuali jika mereka sedang berlindung di dasar kolam. Bahawa strategi Anda-Tahu-Siapa yang berada di sebalik tabir adalah mewujudkan keadaan panik yang teruk! Saya ingatkan, jika semua penangkapan yang dikatakan (oleh media) adalah benar, sepatutnya ada sembilan belas Anda-Tahu-Siapa yang sedang berkeliaran!”
– Rapier
Para penyiar Potterwatch juga cuba untuk menghalang suasana panik yang cuba dimainkan oleh kerajaan dengan menyebarkan kebenaran dan menjelaskan setiap khabar angin serta propaganda-propaganda yang bersifat half-truth dan cuba untuk menakut-nakutkan rakyat. Seperti khabar angin bahawa Voldemort mampu membunuh orang dengan hanya merenung sebetulnya terjadi kerana basilisk – ular belaan Voldemort.
Mereka mendedahkan bahawa kes-kes yang melibatkan kematian ahli sihir adalah dilakukan oleh pengikut-pengikut Voldemort iaitu Death-Eaters dan juga para penjenayah yang turut membantu dalam menjayakan agenda hitam Lord Voldemort. Potterwatch turut menggalakkan para ahli sihir berjuang membantu mempertahankan kejiranan Muggle yang tidak berkuasa dari serangan Death Eater.
Media Massa Sebagai Senjata
“Perlu diketahui bahawa Kementerian, yang bermaksud Anda-Tahu-Siapa- telah menggunakan Dementors untuk melakukan kerja kotor mereka. Setakat ini, Dementors telah dilihat membawa kesengsaraan kepada Kementerian sendiri, Kesedihan kepada Godric’s Hollow – Dan seram kepada Hogsmeade!”
Dalam marcapada yang penuh dengan tipu daya kini, media massa arus perdana telah menjadi satu senjata yang sangat berkuasa. Kita tidak boleh menafikan peranan dan kesan media massa terhadap proses sosialisasi politik di sesebuah negara. Media massa telah menjadi agen kepada prosessosialisasi politik.
Sejarah telah membuktikan bagaimana media mempunyai kuasa menaikkan dan menjatuhkan sesebuah kepimpinan yang ada, sebagai contoh pada tahun 1924 di United Kingdom, empat hari sebelum pilihan raya umum, akhbar tempatan Daily Mail telah menerbitkan surat Zinoviev yang telah dipalsukan, suatu arahan yang sepatutnya dari Moscow kepada komunis British untuk menggerakkan “sympathetic forces” dalam parti Buruh; akibatnya Parti Buruh tewas teruk dalam pilihan raya.
Di dalam keadaan yang terdesak dan memaksa, peranan media diperlukan untuk menyampaikan maklumat dan memberikan penjelasan tentang keaadan sebenar sesuatu perkara. Filem ini telah menitik-beratkan bagaimana para cendekiawan dan celik pandai telah jatuh di bawah pengaruh politik yang dikawal oleh pihak-pihak tertentu, termasuk kuasa untuk mengawal media-media dalam dunia ahli sihir. Dan bagaimana anak-anak muda, berbekalkan ilmu, kepakaran dan kemudahan yang terhad menggunakannya sebaik mungkin untuk berjuang di atas nama kebenaran.
Pepatah Melayu ada mengatakan bahawa “mata pena lebih tajam daripada mata pedang”.
Perjuangan membebaskan minda masyarakat daripada fitnah dan propaganda bukanlah sesuatu perkara yang mudah. Kerana hati di dada-dada manusia kini bagaikan telah dilanda suatu penyakit, mencintai satu keburukan walau dihidang seribu kebaikan. Namun di setiap zaman, perlunya ada para pejuang yang berjuang menegakkan kebenaran melalui media-media yang ada.
Pada zaman sebelum merdeka, kelompok wartawan telah memainkan peranan yang penting dalam usaha membebaskan tanah air daripada penjajah, mereka mendukung dan menyebar luas aspirasi nasionalisme kepada seluruh masyarakat menerusi penulisan, bukan sahaja melalui laporan berita malah karya-karya fiksyen seperti novel, cerpen dan puisi.
Justeru, tidak hairanlah, apabila ramai tokoh wartawan pada zaman itu turut menempa nama dalam bidang kesusasteraan negara. Pada masa inilah lahir tokoh-tokoh wartawan seperti Abdul Rahim Kajai, Melan Abdullah (Pak Melan), Ishak Muhammad (Pak Sako) dan A. Samad Ismail (Pak Samad) juga pendita Za’ba yang merupakan seorang pejuang tanah air yang berani mengetengahkan aspek kemunduran masyarakat Melayu pada zaman pemerintahan British melalui hasil karyanya.
Tindakannya itu pernah mengundang kesangsian pihak British yang pernah mengehadkan hasil karyanya. Pelita Bahasa Melayu, Ilmu Mengarang Melayu dan Daftar Ejaan Melayu Jawi atau Rumi yang menjadi rujukan dalam penggunaan tatabahasa Bahasa Melayu merupakan antara karya yang pernah dihasilkan oleh beliau.
RUJUKAN:
- J.K. Rowling (2007) Harry Potter and the Deathly Hallows, London, England: Bloomsbury,
– Chapter 22: (The Deathly Hallows)
- J.K. Rowling (2007) Harry Potter and the Deathly Hallows, London, England: Bloomsbury,
– Chapter 20 (Xenophilius Lovegood)
- Harry Potter and the Deathly Hallows – The Harry Potter Lexicon: Communication Potterwatch by Lee Jordan. – https://www.hp-lexicon.org/thing/potterwatch/
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih