Kita selalu diajar naratif yang sangat mudah. Boleh jadi untuk kita senang faham.
Empayar Uthmaniyyah jatuh sebab pengkhianatan pihak dari luar.
Dikatakan ada ejen rahsia yang cucuk jarum nak jatuhkan Khilafah.
Kita selalu bayangkan Sultan sebagai susuk tubuh yang tidak pernah tidur demi menjaga tanah air.
Realitinya, sejarah jauh lebih kejam dan kompleks daripada naratif buku teks.
Bila kita perhati perkembangan empayar Uthmaniyyah pada abad ke-19 betul-betul, kita akan nampak satu masalah besar.
Masalah sebenar yang berpunca dari kegagalan sistem pentadbiran di dalam istana itu sendiri.
Empayar ni sebenarnya dah lama tenat. Nazak. Tercungap-cungap.
Sejarawan Eropah bagi gelaran "Orang Sakit Eropah" kepada Uthmaniyyah seawal tahun 1850-an.
Luas tanah yang dimiliki empayar ni tidak menjamin kekuatan.
Tentera yang ramai pun tak guna kalau poket kosong.
Sebab utama empayar ni runtuh adalah muflis.
Segalanya bermula dengan Perang Krimea pada tahun 1854.
Uthmaniyyah berhutang dengan bank-bank Eropah untuk biayai perang menentang Rusia.
Ini permulaan kepada episod kehancuran kedaulatan yang paling memalukan.
Paling tragis bila kita tengok Sultan Abdul Hamid II.
Ramai puji baginda sebagai Khalifah yang hebat dan cuba elak hutang.
Itu memang fakta sejarah.
Baginda terpaksa hadap kerosakan sistem yang bermula jauh sebelum baginda naik takhta.
Hutang yang membusuk sejak zaman Sultan-Sultan sebelumnya serta tekanan kuasa besar Eropah jadi barah yang sukar dirawat.
Bila hutang semakin menimbun, kerajaan pusat hilang kemampuan untuk bayar balik faedah pinjaman.
Kedaulatan negara jadi taruhan.
Hasil kutipan cukai dari wilayah-wilayah Arab dan Balkan terpaksa diserahkan kepada pihak asing untuk bayar hutang.
Satu empayar besar terpaksa serah hasil bumi sendiri kepada bank luar negara.
Pada tahun 1876 Uthmaniyyah akhirnya diisytiharkan muflis.
Keadaan ini dinamakan "debt moratorium".
Kerajaan pusat kehilangan kuasa mutlak ke atas ekonomi sendiri.
Pihak pemiutang Eropah tubuhkan "Ottoman Public Debt Administration".
Diorang ambil alih kutipan hasil negara termasuk cukai tanah dan hasil pertanian di seluruh wilayah empayar.
Sultan di Istanbul waktu tu jadi pentadbir yang terikat.
Baginda hilang kuasa buat keputusan sendiri pasal masa depan wilayah.
Segala pergerakan wilayah Arab ditentukan oleh jumlah keuntungan yang perlu dihasilkan untuk bayar hutang Eropah.
Jadi bila kita tanya kenapa wilayah Arab terlepas atau "dijual" itu hasil daripada sistem hutang yang dah lama membusuk.
Uthmaniyyah hilang tanah sebab kegagalan mengurus ekonomi dan tentera.
Bila dana tak ada nak bayar gaji tentera dan bina senjata, bagaimana nak lawan kuasa besar Eropah?
Ini realiti realpolitik yang keras.
Pemimpin yang tak ada kekuatan ekonomi berakhir dengan menyerah kalah di meja rundingan.
Kisah kejatuhan Uthmaniyyah ni cerita pasal kegagalan sistem.
Ia kisah sistem yang gagal menyesuaikan diri dengan perubahan zaman.
Dunia Islam waktu tu terlepas revolusi industri.
Diorang selesa dengan sistem lama sedangkan Eropah maju ke depan dengan teknologi ketenteraan moden.
Kejatuhan ni mengajar kita bahawa negara Islam gagal mempertahankan agama bila ekonomi sendiri hancur.
Kedaulatan itu hasil daripada kekuatan penguasaan bumi dan strategi ekonomi yang cerdik.
Kita kena buang sikap menolak realiti sejarah dan berhenti cari watak antagonis semata-mata.




No comments yet