Khamis, 22 Oktober 202622 Okt 2026
Lembaran Malaysia

Tol Pertama Yang Guna Touch N’ Go. Siapa Ingat Lagi Tol di Jalan Pahang?

Baru-baru ini, ramai orang mula bercakap tentang tol di Genting Highlands. Mulai 28 Mei 2026, kenderaan yang masuk ke Jalan Genting Highlands dikenakan caj jalan.

Kereta dan van kena RM5 setiap kemasukan, lori sederhana RM15, lori berat RM25, teksi RM3.30 dan bas RM5.

Bagi sesetengah orang, ini mungkin terasa pelik. Jalan nak naik Genting pun dah kena tol?

Tapi sebenarnya, kalau kita selak balik sejarah jalan raya di Malaysia, cerita tol yang pelik-pelik ini bukan benda baru. Kuala Lumpur sendiri pernah ada satu tol yang hari ini mungkin ramai anak muda langsung tak tahu kewujudannya.

Namanya Plaza Tol Jalan Pahang.

Ya, Jalan Pahang yang orang lalu hari-hari itu. Jalan yang dekat dengan Hospital Kuala Lumpur, Bulatan Pahang, Setapak, Gombak dan laluan menghala ke Genting Klang.

Hari ini kita tengok jalan itu macam jalan bandar biasa. Sesak, kiri kanan ada kedai, kawasan perumahan dan macam-macam lagi. Tapi suatu ketika dahulu, untuk lalu di situ masuk ke arah pusat bandar, pemandu pernah kena bayar tol.

Bunyinya macam tak masuk akal hari ini. Jalan bandar, jarak pendek, tiba-tiba ada tol. Tapi itulah realiti Kuala Lumpur pada tahun 1990-an.

Plaza Tol Jalan Pahang mula beroperasi pada 1 Ogos 1995. Bayarannya cuma 50 sen. Kalau ikut nilai hari ini, nampak kecil. Tapi pada zaman itu, 50 sen tetap ada nilai.

Lagi pula, orang bukan marah semata-mata sebab jumlahnya. Orang marah sebab prinsipnya. Kenapa jalan bandar yang digunakan penduduk setiap hari pun perlu dikenakan tol?

Lebih menarik, penyelenggaraan yang dikaitkan dengan tol ini hanya melibatkan laluan sekitar 3 kilometer dari kawasan Bulatan Jalan Pahang berhampiran Hospital Tawakal hingga ke simpang keluar ke Gombak berhampiran Balai Polis Setapak. Sebab itu tol ini banyak ditentang oleh penduduk setempat, NGO dan ahli politik.

Bagi mereka, tol ini tidak relevan kerana ia bukan lebuh raya besar seperti PLUS atau lebuh raya antara negeri. Ia hanyalah laluan bandar yang menjadi nadi harian warga Kuala Lumpur.

Jalan Pahang sendiri sebenarnya sebahagian daripada Federal Route 2, laluan penting yang menghubungkan Kuala Lumpur dengan arah Pahang dan Pantai Timur. Sebab itulah namanya Jalan Pahang. Ia menjadi pintu keluar dari pusat bandar menuju Setapak, Gombak, Hulu Kelang dan seterusnya ke laluan timur.

Kawasan di sepanjang jalan ini pula berkembang menjadi kawasan bandar yang padat, terutama dengan kewujudan hospital, institusi pendidikan, kawasan perumahan dan premis perniagaan.

Pada tahun 1980-an, laluan ini dinaik taraf daripada jalan satu laluan kepada jalan berkembar.

Kemudian pada tahun 1995, laluan ini berada di bawah pengurusan Metramac Corporation Sdn Bhd, syarikat yang turut menguruskan beberapa laluan bertol lain di Kuala Lumpur seperti Jalan Cheras, East–West Link dan sebahagian Lebuhraya Kuala Lumpur–Seremban.

Namun, Tol Jalan Pahang juga ada satu sejarah penting yang ramai orang tak tahu. Plaza tol inilah antara lokasi awal penggunaan kad Touch ’n Go di Malaysia.

Pada 18 Mac 1997, sistem Touch ’n Go mula diperkenalkan di Plaza Tol Jalan Pahang dan Plaza Tol Jalan Cheras. Jadi sebelum hari ini kita biasa sentuh kad TNG, debit, guna SmartTAG, RFID, semuanya bermula daripada zaman orang masih belajar untuk “tap” kad di tol bandar macam Jalan Pahang.

Akhirnya, selepas hampir sembilan tahun beroperasi, kutipan tol Jalan Pahang dimansuhkan pada 13 Ogos 2004. Ramai menarik nafas lega. Sebuah tol yang pernah mencetuskan rasa tidak puas hati warga kota akhirnya tinggal sebagai memori.

Plaza tol itu perlahan-lahan hilang daripada ingatan terutama selepas Kuala Lumpur semakin berubah dengan laluan baharu, jejambat, lebuh raya bertingkat dan sistem trafik yang makin kompleks.

Siapa masih ingat lagi Plaza Tol Jalan Pahang?

Perhatian sebentar.

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami. Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM5.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM5 / RM10 / RM50

Kongsi

No comments yet