Khamis, 22 Oktober 202622 Okt 2026
Sukan

Tahun Lepas Girona di UCL, Tahun Depan Dah Jatuh Liga Kedua

Bola sepak ini kadang-kadang memang kejam.

Dua musim lepas, Girona benar-benar menggoncang La Liga. Kelab dari Catalonia ini habis musim 2023/24 di tangga ketiga La Liga, kedudukan tertinggi dalam sejarah kelab mereka. Lebih gila lagi, mereka layak ke UEFA Champions League, satu pentas dengan kelab-kelab besar Eropah.

Untuk Girona, itu macam mimpi.

Sebab sebelum ini Girona bukan kelab yang ada sejarah panjang penuh trofi. Tapi tiba-tiba, di bawah Míchel Sánchez, Girona bermain bola sepak yang berani, tersusun dan menyeronokkan. Mereka pernah berada dalam perebutan kejuaraan La Liga, pernah menewaskan Barcelona dan pernah membuat orang tertanya-tanya bolehkah mereka menang liga?”

Tapi dalam bola sepak, naik terlalu cepat pun ada risikonya.

Musim 2024/25, mereka masuk Champions League. Itu satu dunia lain. Jadual makin padat. Lawan makin berat. Tekanan makin besar. Pemain-pemain utama pula mula menjadi buruan kelab besar. Bila kelab kecil naik terlalu laju, masalah paling besar bukan cuma bagaimana hendak sampai ke atas, tapi bagaimana hendak kekal di atas.

Dan akhirnya, musim 2025/26 menjadi musim runtuhnya mimpi Girona.

Pada hari terakhir La Liga, Girona masuk padang dengan misi perlu menang menentang Elche untuk kekal dalam liga utama. Seri tidak cukup. Kalah apatah lagi. Di Estadi Montilivi, penyokong Girona datang dengan harapan terakhir soal hidup atau mati.

Tapi Elche juga perlu elak kalah untuk selamat. Jadi perlawanan itu menjadi tegang dari awal. Girona banyak pegang bola, tetapi pada separuh masa pertama, permainan lebih banyak dipenuhi rasa takut daripada keberanian. Kedua-dua pasukan seolah-olah tidak mahu menjadi pihak pertama yang buat silap.

Kemudian pada minit ke-39, Elche menghukum Girona.

Álvaro Rodríguez menerima bola dalam kotak penalti, mengawal dengan tenang walaupun ditekan pertahanan Girona, sebelum melepaskan rembatan yang masuk ke gawang. Montilivi terdiam. Untuk pasukan yang perlu menang, ketinggalan 0-1 pada hari terakhir liga adalah mimpi buruk.

Selepas rehat, Girona cuba bangkit. Belum sempat penyokong duduk elok-elok lepas beli burger, mereka menyamakan kedudukan. Sepakan percuma Azzedine Ounahi ditepis penjaga gol Elche, tetapi bola jatuh kepada Arnau Martínez yang terus menyudahkan peluang. 1-1. Harapan hidup semula.

Tapi masalahnya, Girona perlukan satu lagi gol.

Mereka menekan. Mereka cuba. Mereka campak segala tenaga yang tinggal. Thomas Lemar hampir menjadi penyelamat apabila rembatan cantiknya terkena palang. Bayangkan perasaan penyokong masa itu. Satu palang sahaja yang membezakan antara terus hidup di La Liga atau jatuh ke divisyen kedua.

Akhirnya wisel penamat berbunyi. Girona 1, Elche 1.

Elche selamat. Girona jatuh.

Mereka bukan jatuh selepas bertahun-tahun merosot. Baru sangat penyokong mereka merasa malam Champions League. Tiba-tiba, tahun depan mereka akan bermain di Segunda División.

Kalau tengok skuad Girona pun, mereka ada Daley Blind, Donny van de Beek, Paulo Gazzaniga, Bryan Gil, Thomas Lemar, malah ada juga pemain pinjaman besar seperti Marc-André ter Stegen yang cedera pada separuh kedua musim tetapi tetap gagal menyelamatkan kelab itu daripada penyingkiran.

Masalah Girona bermula dari awal musim. Mereka terlalu lama berada dalam zon penyingkiran. Memang ada kebangkitan di pertengahan musim. Girona sempat nampak macam boleh hidup. Tapi masalahnya di penghujung musim, Girona kehabisan minyak. Lapan perlawanan tanpa kemenangan menjadi paku terakhir pada keranda mereka.

Satu lagi masalah besar Girona ialah mereka kehilangan ketajaman di depan gol. Sejak Artem Dovbyk pergi ke Roma, Girona gagal mencari pengganti yang benar-benar tajam.

Di belakang pula, Girona terlalu rapuh. Penjaga gol bertukar-tukar cerita. Paulo Gazzaniga bergelut mencari konsistensi pada awal musim. Livaković pula dikatakan mahu minit permainan lebih banyak menjelang Piala Dunia. Kemudian datang pula Ter Stegen, nama besar yang sepatutnya menjadi penyelamat, tetapi kecederaan serius memotong pengaruhnya ketika Girona paling memerlukan pemimpin di belakang.

Jadi Girona terperangkap dalam pelbagai masalah. Di depan tidak cukup tajam. Di belakang tidak cukup kukuh. Di tengah padang ada bakat, tetapi tiada kestabilan.

Dan yang lebih pedih, semua ini berlaku kepada kelab yang berkait dengan Manchester City melalui City Football Group. Mereka ada hubungan dengan ekosistem bola sepak moden yang besar dengan akses kepada pemain pinjaman, bakat muda dan kepakaran rangkaian kelab. Girona turut menyenaraikan beberapa pemain pinjaman Manchester City seperti Vitor Reis dan Claudio Echeverri dalam skuad yang akhirnya tersingkir.

Perhatian sebentar.

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami. Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM5.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM5 / RM10 / RM50

Kongsi

No comments yet