Kadang-kadang kita pelik juga dengan cara negara ini melayan isu nama tempat.
Macam-macam alasan.
Nanti pelancong keliru. Nanti susah peta. Nanti identiti lama hilang. Nanti orang luar tak kenal. Nanti masyarakat majmuk terasa. Nanti tak sesuai masa. Nanti tak praktikal.
Habis, bila masa yang sesuai?
Isu ini timbul semula apabila Kerajaan Negeri Pulau Pinang menamakan semula Persiaran Pantai Sinaran di kawasan The Light City, Gelugor kepada Persiaran Chin Fung Kee. Jalan sepanjang kira-kira 800 meter itu dinamakan semula bagi menghargai jasa mendiang Tan Sri Prof Dr Chin Fung Kee, tokoh kejuruteraan yang terlibat dalam projek besar seperti Jambatan Pulau Pinang, pembaikan asas KOMTAR dan pembangunan Fakulti Kejuruteraan Universiti Malaya.
Kita kena jelas di sini. Artikel ini bukan hendak menafikan jasa Chin Fung Kee. Dalam dunia kejuruteraan Malaysia, nama beliau bukan calang-calang. Beliau dikaitkan dengan “Chin Method” dalam industri cerucuk, peranan dalam Jambatan Pulau Pinang dan sumbangan kepada pendidikan kejuruteraan negara.
Jadi, kalau kerajaan mahu mengabadikan nama tokoh sebegini, itu bukan satu benda pelik.
Yang jadi pelik ialah sikap pilih kasih dalam isu penamaan semula.
Bila nama Persiaran Pantai Sinaran ditukar kepada Persiaran Chin Fung Kee, ia disebut sebagai penghormatan. Tapi bila orang minta George Town dikembalikan kepada Tanjong Penaga, Butterworth kepada Bagan atau Port Dickson kepada nama asal seperti Pantai Dermaga, terus macam-macam bantahan muncul.
Kononnya nama lama sudah terkenal. Kononnya jangan kacau identiti sedia ada. Kononnya biarlah sejarah kekal begitu.
Tapi persoalannya, sejarah yang mana satu kita mahu kekalkan?
Sejarah penjajah sahaja?
George Town misalnya bukan nama yang turun dari langit. Ia nama kolonial yang diberikan selepas kemasukan British di Pulau Pinang. Dalam laporan Bernama pada 2022, kerajaan Pulau Pinang sendiri mengakui bahawa sebelum penjajahan British, George Town dikenali sebagai Tanjong Penaga, manakala Butterworth dikenali sebagai Bagan. Cuma kerajaan negeri ketika itu menyatakan tiada rancangan menukar nama kerana nama George Town dan Butterworth sudah dikenali di dalam dan luar negara.
Di sinilah ironi bermula.
Kalau alasan “sudah terkenal” dipakai, sampai bila-bila pun nama kolonial akan menang. Sebab memang nama kolonial itu sudah lama dipakai akibat pentadbiran penjajah.
Kalau alasan pelancongan dipakai, sampai bila-bila pun nama asal tempatan akan dianggap menyusahkan. Kalau alasan peta dan dokumentasi dipakai, sampai bila-bila pun kita tidak akan ada keberanian membetulkan nama yang memadam sejarah awal masyarakat tempatan.
Sedangkan nama tempat ni menyimpan kisah siapa yang mula-mula membuka kawasan itu, siapa yang pernah tinggal di situ, bahasa apa yang membentuk jiwa tempat itu dan kuasa mana yang pernah menguasainya.
Sebab itu Prof Datuk Dr Ahmad Murad Merican pernah bagi cadangan pada 2016 supaya George Town dan Butterworth dikembalikan kepada nama asal Tanjong dan Bagan. Beliau berhujah bahawa nama asal itu membuktikan komuniti Melayu sudah berada di kawasan itu sebelum ketibaan Francis Light.
Beliau juga menyebut tentang Datuk Nakhoda Intan yang membuka pelabuhan Batu Uban pada 1734 selepas mendapat perkenan Sultan Kedah, sebelum saudara-saudaranya seperti Nakhoda Bayan dan Nakhoda Kecil membuka kawasan penempatan lain seperti Bayan Lepas dan Jelutong.
Tapi entah kenapa, bila nama Melayu atau nama asal mahu dikembalikan, ia sering dianggap “sensitif”. Padahal kalau benar kita menghormati sejarah, sejarah sebelum British pun patut dihormati. Jangan sejarah bermula hanya bila orang putih datang bawa peta, bendera dan pejabat pentadbiran.
Lebih menarik, pada Januari 2026, timbul pula isu cadangan menukar Jalan Pantai Bersih di Butterworth kepada Dragon Temple Lane. Cadangan itu dibantah oleh AMK Pulau Pinang kerana nama Jalan Pantai Bersih dikatakan sudah sebati dengan penduduk setempat dan mencerminkan identiti kawasan, sejarah masyarakat yang lama tinggal di situ.
Nah, hujah ini sebenarnya betul.
Begitu juga dengan isu Port Dickson. Bila beberapa NGO mencadangkan nama Port Dickson ditukar kepada Pantai Dermaga, Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun membidas cadangan itu dengan berkata kalau mahu tukar, jangan Port Dickson sahaja, tukarlah semua sekali seperti Port Klang dan George Town. Beliau juga menyebut bahawa Port Dickson sudah dikenali sebagai pantai peranginan sejak lama.
Sebenarnya, jawapan “kalau nak tukar, tukar semua sekali” itu boleh dibaca dua cara.
Kalau dibaca secara sinis, ia macam menyindir orang yang mahu nyahkolonialkan nama tempat. Tapi kalau dibaca secara serius, memang betul pun. Malaysia patut ada satu dasar nasional yang jelas tentang nama tempat, bukan ikut viral.
Kalau kita boleh tukar Port Swettenham kepada Pelabuhan Klang, kenapa perbincangan tentang Port Dickson dianggap pelik sangat? Kalau kita boleh terima Kuala Lumpur, Putrajaya, Cyberjaya, Shah Alam, Kota Bharu, Alor Setar dan Kota Kinabalu sebagai nama yang membawa identiti tempatan, kenapa nama-nama kolonial lain tidak boleh dinilai semula secara matang?
Ini bukan bermaksud semua nama bukan Melayu wajib dihapuskan. Malaysia memang negara majmuk. Banyak tempat di negara ini mempunyai sejarah Cina, India, Orang Asli, Siam, Arab, Bugis, Jawa, Minang, Aceh, Banjar, Kadazan, Iban, Bidayuh dan macam-macam lagi. Kita tidak boleh padam semua itu hanya kerana mahu nampak satu warna sahaja.
Tapi pada masa yang sama, jangan pula bahasa Melayu dan nama asal Melayu dilayan macam benda asing di tanah sendiri.
Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan meletakkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, sambil tetap melindungi hak penggunaan dan pembelajaran bahasa lain.
Maksudnya, kedudukan bahasa Melayu bukan alasan untuk menindas bahasa lain, tetapi bahasa lain juga tidak boleh dijadikan alasan untuk mengecilkan peranan bahasa kebangsaan dalam ruang rasmi negara.
Sebab itu dalam isu papan tanda, nama jalan dan nama tempat, prinsipnya kena jelas. Bahasa Melayu mesti menjadi wajah utama secara rasmi. Terjemahan atau tulisan tambahan boleh dipertimbangkan mengikut konteks pelancongan dan sejarah setempat, tetapi jangan sampai bahasa kebangsaan kelihatan seperti bahasa kedua di negaranya sendiri.
Kes papan tanda bahasa Cina di Kampung Baru Sungai Nipah, Port Dickson satu contoh menarik. Pihak Majlis Perbandaran Port Dickson dilaporkan menggantikan papan tanda bahasa Cina yang tular dengan papan tanda dwibahasa dengan keutamaan kepada bahasa Melayu. Alasan yang diberi ialah papan tanda asal dipasang untuk memudahkan pelancong dari China, tetapi undang-undang kecil tetap perlu dipatuhi dan bahasa Melayu perlu diberi keutamaan.
Kita bukan anti kepelbagaian. Tapi dalam urusan rasmi, bahasa Melayu mesti duduk di tempatnya. Kalau mahu tambah bahasa lain, biar sebagai tambahan, bukan menggantikan identiti utama negara.
Masalah kita hari ini ialah banyak pihak suka bercakap tentang “inklusif”, tetapi inklusif itu kadang-kadang hanya berjalan satu hala.
Bila nama Melayu ditukar kepada nama tokoh bukan Melayu, orang Melayu diminta faham. Bila nama kolonial mahu dikekalkan, orang Melayu diminta praktikal. Bila nama Inggeris digunakan untuk taman, bandar, pusat komersial dan kawasan baharu, orang Melayu diminta moden.
Tapi bila nama Melayu mahu dikembalikan, orang Melayu pula dituduh sempit, perkauman atau tak faham realiti ekonomi.
Ini yang membuatkan orang marah.
Kalau kita boleh bersungguh-sungguh mengabadikan nama tokoh moden, kita juga patut bersungguh-sungguh mengabadikan nama pengasas awal tempat. Kalau kita boleh bangga dengan jurutera, ahli politik dan tokoh pembangunan, kita juga patut bangga dengan pembuka kampung, nakhoda, ulama, pendekar, pedagang dan masyarakat asal yang membentuk tanah ini sebelum wujudnya bangunan tinggi dan projek mega.
Sebenarnya, penyelesaian isu ini bukan susah sangat. Kerajaan negeri dan PBT boleh wujudkan dasar penamaan tempat yang jelas. Kawasan baharu wajib mengutamakan bahasa Melayu atau nama beridentiti tempatan. Nama kolonial lama boleh dikaji semula secara berperingkat, bukan secara mengejut. Nama tokoh semua kaum boleh dipertimbangkan, tetapi jangan sampai nama asal Melayu yang sudah lama wujud dipadam tanpa sebab kukuh.
Kalau nama lama sangat terkenal, boleh guna pendekatan dua nama untuk tempoh peralihan, misalnya “Tanjong Penaga / George Town” dalam bahan sejarah dan pelancongan sebelum masyarakat dibiasakan semula.
Paling penting, prosesnya mesti melibatkan penduduk setempat. Jangan nama tempat ditukar hanya kerana desakan ahli politik, jawatankuasa tertentu atau simbolisme musim perayaan. Nama tempat bukan hadiah ang pau. Nama tempat bukan bahan kempen. Nama tempat bukan sekadar papan tanda untuk dirasmikan depan kamera.
Nama tempat ialah maruah masyarakat.
Hari ini kita boleh kata, “alah, nama saja pun.” Tapi daripada nama itulah generasi akan datang belajar tentang sejarah. Mereka akan tanya, kenapa tempat ini dipanggil George Town? Siapa George? Kenapa Butterworth? Siapa Butterworth? Kenapa Port Dickson? Siapa Dickson? Kemudian mereka akan jumpa jawapan bahawa banyak nama besar di negara ini masih membawa jejak pentadbiran penjajah.
Lepas itu bila mereka tanya, sebelum penjajah datang tempat ini nama apa, baru kita terhegeh-hegeh cari dalam buku.
Kalau negara ini benar-benar Malaysia, biarlah wajah tempatnya pun memancarkan jiwa Malaysia.
Bukan jiwa yang malu dengan bahasa sendiri. Bukan jiwa yang hanya berani mempertahankan nama kolonial kerana takut pelancong keliru. Bukan jiwa yang menganggap nama Melayu hanya sesuai untuk kampung, tapi nama Inggeris dan nama asing lebih sesuai untuk bandar moden.
Sebab akhirnya, persoalan ini sebenarnya tentang siapa yang berhak menamakan tanah ini.




No comments yet