Tuan-puan, nampaknya hamparan padang pasir Sinai sekali lagi menyimpan rahsia arkeologi yang bakal mengubah buku teks sejarah dunia secara total.
Pasukan rasmi dari Majlis Tertinggi Antikuiti Mesir telah mendedahkan kewujudan sebuah galeri seni purba di satu kawasan bernama Dataran Tinggi Umm Arak, yang terletak di selatan Semenanjung Sinai.
Pakar arkeologi sangat terkejut kerana lukisan dan ukiran batu yang ada di situ merekodkan aktiviti manusia selama 10,000 tahun secara berterusan.
Cuba Tuan-puan congak garis masanya. Kalau umur ukiran ini mencecah 10,000 tahun, ini bermaksud ia mula dilukis ribuan tahun sebelum tamadun Mesir kuno itu sendiri wujud. Waktu itu, piramid agung Giza pun belum ada dalam draf pelan arkitek lagi.
Tapak bersejarah ini adalah sebuah gua pelindung batu pasir bersaiz luar biasa dengan kepanjangan melebihi 100 meter. Ia terletak lebih kurang lima kilometer dari kawasan perlombongan tembaga dan batu pirus purba di Serabit el-Khadim.
Kedudukan Dataran Tinggi Umm Arak ini sebenarnya sangat strategik. Ia terletak di kawasan tanah tinggi yang menyajikan pemandangan terbuka luas ke arah Dataran Tih (Jebel el-Tih).
Kedudukan yang tinggi sebegini menjadikan gua batu pasir itu sebagai satu titik tinjau yang amat sempurna untuk kumpulan pemburu memantau pergerakan haiwan liar dan musuh dari jauh.
Apa sebenarnya yang dilukis pada dinding batu sepanjang 100 meter itu?
Di bahagian siling gua yang agak rendah, terdapat lukisan haiwan yang diwarnakan dengan pigmen merah. Pakar menganggarkan lukisan terawal ini dibuat antara tahun 10,000 hingga 5,500 Sebelum Masihi, merangkumi era Epipaleolitik sehinggalah ke awal zaman Holosen.
Terdapat lukisan haiwan bertanduk seperti kambing gurun (ibex), dubuk, burung unta, dan keldai liar.
Paling mencuri tumpuan adalah satu teknik ukiran purba yang dipanggil 'sunken relief' atau ukiran tenggelam. Tuan-puan mungkin tertanya-tanya, apakah maksud 'sunken relief' ini?
Secara asasnya, berbeza dengan ukiran biasa yang imejnya timbul di luar, teknik ini menuntut si pengukir untuk menebuk dan memahat imej tersebut terus ke dalam permukaan batu. Imej itu akan 'tenggelam' di bawah paras permukaan asal. Teknik pintar ini sebenarnya membantu reka bentuk ukiran tersebut bertahan lebih lama daripada dihakis oleh tiupan angin padang pasir yang tajam.
Melalui ukiran tenggelam yang sangat terperinci ini, jelas kelihatan sosok tubuh seorang pemburu sedang menarik busur panah ke arah mangsa. Menariknya, dia tidak keseorangan, sebaliknya ditemani oleh anjing-anjing buruannya.
Visual ini membuktikan satu fakta sosio-ekonomi yang sangat epik. Ia mengesahkan bahawa anjing telah lama dijinakkan dan diangkat menjadi sahabat karib manusia untuk mencari sumber rezeki sejak zaman batu lagi.
Seni purba ini bertambah misteri apabila pakar arkeologi turut menjumpai pelbagai bentuk geometri yang diukir di merata-rata tempat pada dinding gua tersebut.
Terdapat ukiran yang menyerupai bentuk pangkah (X), bentuk empat segi, bentuk bujur, dan bentuk bulan sabit. Apakah agaknya mesej rahsia, amaran, atau kod yang cuba disampaikan oleh komuniti purba ini melalui bentuk geometri tersebut? Perkara ini masih menjadi tanda tanya besar dan sedang giat dikaji.
Akan tetapi, keajaiban gua Umm Arak ini tidak terhenti pada zaman prasejarah semata-mata.
Formasi batu pasir yang panjang ini seolah-olah menjadi sebuah 'buku tetamu' semula jadi untuk ribuan tahun. Generasi demi generasi yang singgah berteduh di situ akan meninggalkan kesan seni dan tulisan mereka sendiri.
Ala, macam zaman kita sekarang la "Amir Was Here", ukir kat pokok pakai pisau lipat.
Di bahagian dinding yang lain, terdapat ukiran dari zaman yang lebih lewat. Terdapat imej pahlawan bersenjata yang sedang menunggang kuda dan unta. Lebih mengejutkan, wujud juga tulisan purba peninggalan puak Nabatean (puak yang membina kota berbatu Petra di Jordan), sehinggalah kepada inskripsi tulisan Arab pada zaman awal peradaban Islam.
Bagi mengukuhkan lagi fakta, saintis turut menemui sisa unggun api berupa lapisan abu yang tebal, pagar pemisah batu, dan serpihan tembikar berselerakan di dalam gua tersebut.
Analisis ke atas artifak ini membuktikan bahawa ia ditinggalkan dari pelbagai era, bermula dari zaman empayar Mesir Purba, melepasi zaman kegemilangan empayar Rom, sehinggalah ke Zaman Pertengahan Eropah (Medieval).
Ini membuktikan secara saintifik bahawa gua Umm Arak adalah sebuah kawasan rehat (R&R) semula jadi yang sangat popular untuk pengembara, askar, pelombong, dan pedagang yang merentas laluan padang pasir yang keras tersebut.
Tuan-puan, kajian demi kajian di bumi Sinai ini sebenarnya memberi satu tamparan kesedaran yang besar kepada kita semua.
Padang pasir yang pada luarnya nampak kosong, gersang, dan tidak bernyawa ini rupa-rupanya adalah sebuah muzium terbuka gergasi yang merakamkan dengan teliti proses jatuh bangun tamadun manusia.
Setiap garisan yang dipahat pada batu itu adalah bukti bahawa fitrah manusia sejak 10,000 tahun lepas memang sentiasa mahu meninggalkan jejak, dan sangat dahagakan peluang untuk menceritakan kisah hidup mereka kepada generasi hari ini.




No comments yet