Physiocracy adalah sebuah mazhab ekonomi yang wujud di Perancis pada abad ke-18 di mana mazhab ini mementingkan sektor pertanian dan pembangunan tanah, berlainan dengan mazhab yang sebelumnya iaitu Merkantalisme. Pengikut kepada mazhab ini menganggap hanya industri pertanian sahaja yang boleh dianggap sebagai sektor yang produktif dan sektor-sektor yang lain adalah sebaliknya.
Francois Quesnay merupakan pengasas bagi mazhab ini. Dilahirkan pada tahun 1694, beliau merupakan seorang pakar bedah Perancis dalam bidang perubatan namun beliau telah menukar bidangnya kepada ahli ekonomi pada tahun 1750-an kerana minat terhadap bidang tersebut. Quesnay mengiaskan aliran duit dan barangan di dalam ekonomi adalah seperti pengaliran darah. Ini telah diperencikan oleh beliau melalui karyanya iaitu Tableau économique. Anne-Robert-Jacques Turgot juga turut menjadi pelopor bagi mazhab ini.
Tableau économique diwujudkan untuk memberi justifikasi terhadap dakwaannya bahawa hanya sektor pertanian sahaja yang produktif manakala sektor-sektor selainnya hanya bergantung dengan sektor pertanian untuk bergerak. Karya ini telah digunakan sebagai inspirasi terhadap mazhab-mazhab ekonomi selepasnya kerana karya ini berjaya mengaitkan fungsi dan impak pemain ekonomi terhadap pemain ekonomi yang lain.
Antara ciri-ciri yang lain yang diterapkan di dalam Mazhab Physiocracy ini adalah mengagungkan konsep Droit Naturel atau lebih dikenali sebagai Natural Law. Konsep ini menekankan bahawasanya kewujudan dan kejadian alam telah dibina untuk kegembiraan kepada majoriti makhluk di dunia.
Quesnay memberi contoh gambaran hujan yang lebat akan menyukarkan perjalanan si pengembara namun ia juga akan membasahi tanaman kebun. Ini memberi indikasi bahawa sesuatu peristiwa yang negatif pada sekelompok manusia akan memberi manfaat terhadap kehidupan manusia yang lain.
Konsep ini juga perlu diterapkan di dalam kehidupan sosial di mana beliau menganggap undang-undang rasional perlu diterapkan terhadap masyarakat manusia yang bakal membawa manfaat pada jangka masa yang panjang. Mazhab ini juga menekankan sistem perundangan mesti diterapkan kepada semua lapisan masyarakat, tanpa mengira status, agar keadilan dapat dilaksanakan. Bila kedua-dua kriteria ini berjaya dilaksanakan, barulah masyarakat mencapai tahap ekonomi sosial yang ideal.
Selain itu, mazhab ini menekankan kepentingan peranan Individualisme dan laissez-faire. Bagi penganut mazhab ini, setiap individu adalah penentu terbaik bagi apa yang diperlukan olehnya dan juga apa individu tersebut perlu buat untuk meneruskan kehidupan. Walaupun seseorang individu yang bekerja untuk seseorang individu yang lain, si fulan akan bekerja kuat untuk kebaikan dirinya sendiri. Konsep ini boleh berjalan dengan lancar bilamana adanya persamaan serentak di antara individu.
Berlainan dengan Mazhab Merkantalisme, Mazhab Physiocracy memperjuangkan dasar kebebasan untuk berniaga, kebebasan untuk memiliki tanah persendirian serta kebebasan untuk bersaing di dalam alam perniagaan. Ini memberi tamparan hebat kepada penganut Mazhab Merkantalisme di mana mereka mengamalkan dasar monopoli untuk mengekalkan kekuasaan perniagaan mereka. Ini selari dengan perjuangan Mazhab Physiocracy untuk menaikkan dasar laissez-faire malah merekalah yang mencipta dasar tersebut.
Di samping itu, Anne-Robert-Jacques Turgot salah satu tokoh ekonomi Physiocracy, telah memperkenalkan konsep “diminishing returns”, di mana setiap pertambahan input akan menyebabkan pertambahan output dalam kadar yang meningkat sehingga sampai satu tahap penambahan input akan tetap menambahkan output namun pada kadar yang lebih perlahan sampailah satu tahap yang maksimum. Pada tahap maksimum ini, sebarang penambahan input yang sama akan menyebabkan output tidak berubah atau mengalami pengurangan. Konsep ini telah diterap pakai sehinggalah hari ini.
Namun malangnya, mazhab ini tidak mempunyai jangka hayat yang lama iaitu tidak lebih daripada 15 tahun kerana kekurangan sokongan daripada pihak pemerintah yang masih ingin mengamalkan sistem feudalisme. Terdapat juga kekurangan terhadap konsep yang diamalkan oleh Mazhab Physiocrats terutamanya dakwaan mereka terhadap sektor-sektor selain pertanian tidak produktif. Insya-Allah, penulis akan menyambung tentang perkara ini di artikel yang seterusnya.
Walaubagaimanapun, Mazhab Ekonomi Physiocracy telah memberi inspirasi terhadap tokoh ekonomi moden, Adam Smith dan juga Karl Marx, dua tokoh ekonomi yang sangat berbeza pendapat. Adam Smith juga pernah berjumpa dengan Quesnay di France, dan hasil karya Quesnay mempengaruhi penulisan beliau di dalam buku Wealth of Nation. Mazhab ini berjaya menjadi satu platform anjakan paradigma terhadap sistem ekonomi yang kita amalkan sekarang.
Sekian.
RUJUKAN:
L. Muller (1978) Quesnay’s Theory of Growth: A Comment, Oxford Economic Papers, New Series, Vol. 30, No. 1., pp. 150–56
Brue, Stanley L. and Grant, Randy R., “The Evolution of Economic Thought, 8th Edition” (2013). Linfield Authors Book Gallery. 59.
Charbit Yves. The Political Failure of an Economic Theory: Physiocracy. In: Population (English edition), 57ᵉ année, n°6, 2002. pp. 855-883.
Cutler J. Cleveland, “Biophysical economics”, Encyclopedia of Earth,
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih