Alhamdulillah, syukur kepada Allah Taala yang bersifat tunggal pada dzat, sifat dan perbuatan-Nya atas nikmat keimanan dan keamanan yang dikurniakan kepada kita khususnya umat Islam di rantau ini. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Rasulullah SAW yang menyambung risalah tauhid dari para rasul terdahulu, kepada ahli keluarga baginda serta para sahabat yang diibaratkan seperti bintang di angkasa. Sollu Alan Nabi.
Allahu Akbar Allahu Akbar Allahu Akbar
Dalam tempoh 24 jam lagi (ketika tulisan ini ditulis) kita akan menyambut perayaan Aidil Adha yang mulia.
Firman Allah Taala dalam surah Al Baqarah ayat 214:
أَم حَسِبتُم أَن تَدخُلُوا الجَنَّةَ وَلَمّا يَأتِكُم مَثَلُ الَّذينَ خَلَوا مِن قَبلِكُم ۖ مَسَّتهُمُ البَأساءُ وَالضَّرّاءُ وَزُلزِلوا حَتّىٰ يَقولَ الرَّسولُ وَالَّذينَ آمَنوا مَعَهُ مَتىٰ نَصرُ اللَّهِ ۗ أَلا إِنَّ نَصرَ اللَّهِ قَريبٌ
“Apakah kamu mengira bahwa kamu akan masuk surga, padahal belum datang kepadamu (cubaan) sebagaimana halnya orang-orang terdahulu sebelum kamu? Mereka ditimpa oleh malapetaka dan kesengsaraan, serta digoncangkan (dengan bermacam-macam cubaan) sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya: “Bilakah datangnya pertolongan Allah?” Ingatlah, sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat”. (Al-Baqarah : 214)
Allah mencipta kehidupan untuk memberi ujian kepada setiap ruh yang telah menyaksikan akan Allah di alam lahut dahulu sepertimana yang tercatat di dalam kitabullah,
أَلَستُ بِرَبِّكُم ۖ قالوا بَلىٰ ۛ شَهِدنا
Bukan kah Aku Tuhan kamu? Sekalian ruh menjawab, bahkan kami menyaksikan”. (Surah Al-A’raf : 172)
Suatu hari seorang sahabat bertanya kepada Rasulullah SAW,
يَا رَسُولَ اللَّهِ ، أَيُّ النَّاسِ أَشَدُّ بَلَاءً ؟ ، قَالَ: ( الأَنْبِيَاءُ ثُمَّ الأَمْثَلُ فَالأَمْثَلُ ، فَيُبْتَلَى الرَّجُلُ عَلَى حَسَبِ دِينِهِ ، فَإِنْ كَانَ دِينُهُ صُلْبًا اشْتَدَّ بَلَاؤُهُ ، وَإِنْ كَانَ فِي دِينِهِ رِقَّةٌ ابْتُلِيَ عَلَى حَسَبِ دِينِهِ ، فَمَا يَبْرَحُ البَلَاءُ بِالعَبْدِ حَتَّى يَتْرُكَهُ يَمْشِي عَلَى الأَرْضِ مَا عَلَيْهِ خَطِيئَةٌ
“Wahai Rasulullah, siapakah orang yang paling berat cubaannya?” Baginda SAW menjawab: “Para nabi, kemudian orang-orang soleh, kemudian yang sesudah mereka secara berurutan berdasarkan tingkat kesolehannya. Seseorang akan diberikan ujian sesuai dengan kadar agamanya. Bila ia kuat, ditambah cubaan baginya. Kalau ia lemah dalam agamanya, akan diringankan cubaan baginya sesuai dengan kadar agamanya. Seorang mukmin akan tetap diberi cubaan, sampai ia berjalan di muka bumi ini tanpa dosa sedikit pun.” (HR Bukhari).
Para nabi sebagai pemimpin dan tauladan kepada umat manusia. Suatu yang jelas adalah ujian yang dilalui mereka sangat berat. Mereka difitnah, dihina, dicerca, dipulau, disakiti, dipukul, digergaji, dibakar, dihalau dan ada yang dibunuh. Tiada kesalahan yang mereka lakukan melainkan menjalankan perintah Allah menyeru manusia kembali beriman kepada Allah yang Esa.
Terdapat juga para Rasul yang dikasihi diuji dengan anak, isteri, ayah saudara, para agamawan (ahlul kitab) dan pemerintah sebagai penentang dakwah mereka seperti Nabi Nuh a.s, Nabi Lut a.s, Nabi ibrahim as dengan bapa saudaranya (atas pendapat bahawa Azar si pembuat berhala itu bukan ayah tetapi bapa saudara Nabi Ibrahim dan ini pendapat yang terpilih), Nabi Isa dengan para ahli kitab dan pemerintah, Rasulullah dengan bapa saudara, pada penduduk Mekah, ahli kitab dan kaumnya.
Ada yang diuji dengan penyakit ganjil seperti Nabi Ayub a.s, ada yang dipisahkan dengan anak kesayangan seperti Nabi Yaakub, dipenjara seperti Nabi Yusuf a.s, ditelan ikan nun seperti Nabi Yunus a.s dan kehilangan isteri tercinta seperti Rasulullah. Sesungguhnya ujian-ujian demikian sedikit tidak mengurangkan martabat mereka disisi Allah bahkan sentiasa termulia dan terpelihara (maksum). Peristiwa-peristiwa yang berlaku ke atas para Rasul dan Nabi menjadi pedoman kepada umat manusia. Skrip – skrip demikian akan terus berputar dan para Rasul telah menunjukkan contoh bagaimana menghadapinya.
Aidil Adha memperingati pengorbanan Nabi Ibrahim as dan ahli keluarga Baginda dalam perjuangannya. Baginda diuji Allah dari sudut perasaan Baginda sebagai seorang bapa agar menyembelih anak kesayangan Ismail a.s. Sebelum itu, telah berlaku fasa ujian kepada Baginda dan ahli keluarganya seperti kisah bonda Hajar yang ditinggalkan bersama anak yang masih kecil di padang pasir yang kering, jerit perit larian antara safa dan marwah oleh bonda Hajar yang menoktahkan kisah keajaiban air zam-zam dari ibu jari kaki Ismail. Ujian ke atas mereka yang cumalah aktor dalam skrip kehidupan demi menzahirkan cinta dan kekuasaan Allah Taala.
Hidup ini adalah sebuah perjuangan untuk iman dan berkorban demi iman, tiadalah nikmat dan harta yang paling mulia dan tinggi dikurniakan Allah Yang Maha Agung kepada para hamba-Nya melainkan iman. Segala kurniaan yang lain adalah amat kecil dibandingkan dengan nikmat iman dan Islam (lalu disempurnakan dengan ihsan), ibarat miliki batu berlian yang besar dan amat mahal harganya, segala batu kecil yang lain tiada lagi bernilai sebagaimana batu berlian tersebut.
Keimanan membawa seseorang insan memburu kejayaan hidup di alam abadi yakni akhirat. Syurga hanya dapat dibeli dengan iman yang benar, segala nikmat syurga berbeza mengikut sejauh mana seseorang itu sanggup meninggalkan kenikmatan nafsunya tika di dunia.
Pesan Guru kami, “selangkah kita mengambil kenikmatan syahwat dunia, maka selangkah kenikmatan syurga meninggalkan kita, semakin banyak meninggalkan kenikmatan nafsu kerana Allah, maka semakin banyak kenikmatan syurga dikurniakan.”
Firman Allah di dalam surah Yasin ayat 56-58
هُم وَأَزواجُهُم في ظِلالٍ عَلَى الأَرائِكِ مُتَّكِئونَ لَهُم فيها فاكِهَةٌ وَلَهُم ما يَدَّعونَ سَلامٌ قَولًا مِن رَبٍّ رَحيمٍ
“Mereka dengan pasangan-pasangan mereka bersukaria di tempat yang teduh, sambil duduk berbaring di atas pelamin; Mereka beroleh dalam Syurga itu pelbagai jenis buah-buahan, dan mereka beroleh apa sahaja yang mereka kehendaki; (Mereka juga beroleh) ucapan salam sejahtera dari Tuhan Yang Maha Mengasihani”
Dari Abi Hurairah r.a : Rasulullah s.a.w bersabda: Allah Taala berfirman (dalam hadis Qudsi):
أعددت لعبادي الصالحين ما لا عين رأت ولا أذن سمعت ولا خطر على قلب بشر
“Aku sediakan kepada hamba-hambaku yang soleh; apa yang tidak pernah dilihat oleh mata, tidak pernah terdengar oleh telinga dan tidak pernah terlintas dalam fikiran serta hati manusia”. (HR Bukhari dan Muslim)
Allahu Akbar Allahu Akbar Allahu Akbar
Hendaklah kita bersyukur kepada Allah atas kurniaan nikmat Iman, Islam, Ihsan dan keamanan Negara. Negara yang kita pijak wajib dicintai. Kitab wajib mencintai watan iaitu tanah air dan salah satu caranya adalah memelihara kedaulatan Watan dengan difahami agama, sejarah, adat, budaya, kaum asal dan orang majoriti.
Negara ini adalah milik bangsa Melayu, Islam agamanya, pemimpin tertinggi para Raja dari keturunan yang mulia bahkan sebahagian besar dari para Raja zuriat keturunan Rasulullah SAW sebagai khalifah yang diamanahkan mendaulatkan Al Quran dan Sunnah, bijak para pemimpinnya, kuat tenteranya, hebat ekonominya, sopan santun akhlaknya serta indah tutur bahasanya.
Walaupun negara tercinta ini terbuka dengan perubahan moden. Sistem pemerintahan di Malaysia tetap unik dan berbeza kerana ia merupakan kesinambungan (continuum) dari tradisi pemerintahan Kesultanan Islam Tanah Melayu dan turut menerima unsur yang baik dari sistem moden. Tafsiran yang lebih tepat secara kesinambungan (continuum) dan kearifan Watan ialah Kedaulatan Watan yang berteras Kedaulatan Raja-Raja dan Keluhuran Perlembagaan (W. Ahmad Fauzi: 2018).
Kedaulatan Watan wajib dipelihara agar amanah kekuasaan dari Allah ini terjaga lalu bangsa ini menjadi mulia. Tambahan pula, kecelaruan politik kepartian semakin parah dan boleh membawa negara ke kancah ketidakstabilan. Ingatlah, pemimpin politik datang dan pergi, kita tidak berjuang pada susuk individu tetapi perjuangan kita lebih besar. Kita terus berjuang mempertahankan ideologi agama, raja, bangsa dan tanah air tanpa bayangan dan kebergantungan utuh kepada mereka. Sesiapa jua yang naik kelak, wajib meneruskan agenda keramat ini.
Sayydiuna Umar pernah berpidato ketika umat Islam berjaya membebaskan Baitul Maqdis,
لقد كنا أذلاء فأعزَّنا الله بالإسلام فمهما ابتغينا العزَّة في غيره أذلَّنا الله
“Kita dahulunya adalah kaum yang hina, Allah Taala memuliakan kita dengan Islam, andainya kita mencari kemuliaan selain daripada apa yang Allah muliakan kita dengannya, maka kita akan dihina Allah” (Riwayat ini sanadnya dikatakan disahihkan oleh Al-Hakim dan disokong oleh Az Zahabi (Al Hakim, Al Mustadrak, 1/237, Beirut, Da Al Makrifah).
Kepada kaum-kaum lain yang mempunyai agama masing-masing (baca :kepercayaan masing-masing), duduklah di negara ini sebagai sebuah keluarga dan saudara, kami memberi hak keadilan dan perlindungan sebaiknya sebagaimana seorang muslim, namun jagalah batas jangan pula sampai mahu menjadi Tuan Negara ini.
Hakikat Kedaulatan negara ini yang telah meletakkan Islam sebagai agama persekutuan adalah milik Allah dan Rasul. Kami bangsa melayu bumiputra beragama Islam menjaga amanah Allah sebagai khalifahnya sejak zaman empayar batu bersurat. Sudah banyak kerosakan yang dilakukan oleh penjajah Inggeris lalu mereka mewariskan kegborokan itu dalam pelbagai sistem negara dan ia hendaklah dibaiki.
Kami akan terus perjuangkan dan pertahankan negara ini agar benar berada dalam Kedaulatan Watan berasaskan agama, sejarah, adat dan budaya.
Allahu Akbar Allahu Akbar Allahu Akbar
Disediakan oleh, dengan bimbingan Ayahanda Guru,
Angah Sunan
Penulis The Patriots & Pengajar bertauliah Majlis Agama Islam Selangor.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih