Mesti anda mendengar ketiga-tiga nama tersebutkan. Kalau tinggal dan bekerja di Kuala Lumpur mestilah pernah mendengarnya. Lagipun pula Jalan Raja Bot dan Jalan Raja Laut menjadi tumpuan pusat perniagaan dan komersil. Tapi siapakah mereka bertiga? Kenapa nama mereka diabdikan di jalan utama Kuala Lumpur. Malah siap ada nama Kampung Abdullah Hukum. Tidak lain tidak bukan kerana merekalah antara tokoh penting awal Kuala Lumpur.
Abdullah Hukum
Arwah penghijrah terawal ke Kuala Lumpur. Pada mulanya arwah yang berasal dari Kerinchi Sumatera telah dibawa bapanya ke Melaka. Apabila dewasa, arwah telah berhijrah ke Sungai Ujong tetapi gagal mendapat pekerjaan lalu ke Kuala Lumpur. Arwah tinggal di perkampungan Kerinchi yang terletak di kaki Bukit Nanas.
Pada mulanya arwah mengambil upah membina tali air dari Sutan Puasa. Kemudian arwah semakin rapat dengan pembesar seperti Raja Laut. Arwah telah diberi kurnia tanah di Pudu lalu dia telah menjalankan kegiatan pertanian seperti menanam padi. Setelah perusahaan pertaniannya berjaya, arwah mendapat kurnia tanah yang luas berdekatan Angkasapuri dan Jalan Bangsar yang kini dikenali sebagai Kampung Abdullah Hukum.
Kini Kampung Datuk Abdullah Hukum telah dibangunkan untuk menjadi pusat komersil. Almarhum Sultan Abdul Samad berkenan melantik arwah menjadi penghulu dagang. Sebagai Dato Dagang, arwah bertanggungjawab menyelesaikan masalah. Pada tahun 1929, arwah pulang terus ke kampung asalnya dan menghembuskan nafasnya yang terakhir pada usia 129 tahun.
Raja Bot
Raja Bot adalah pewaris pemerintahan Kota Lukut dari bapanya Raja Jumaat. Mula memerintah Lukut pada tahun 1864 setelah kematian bapanya. Tetapi di saat arwah memerintah Lukut sudah mula merosot dari segi penghasilan bijih timah dan tuntutan Sungai Ujong terhadap Lukut. Maka, akibat persempadanan semula Negeri Sembilan dan Selangor Lukut telah menjadi hak milik Negeri Sembilan. Raja Bot mengambil keputusan untuk berhijrah ke Kuala Lumpur yang pada masa itu mula naik dengan perusahaan bijih timah. Arwah berhijrah pada tahun 1882 dan menjalankan perusahaan berkaitan bijih.
Di Kuala Lumpur beliau telah dilantik penghulu Sungai Buloh dan menjadi antara pemimpin Melayu Di Kuala Lumpur bersama Raja Laut. Pada tahun 1890, baginda telah menjadi ahli lembaga pengarah kebersihan bandar Kuala Lumpur.
Raja Laut
Lahir pada tahun 1850 dan merupakan kerabat kesultanan Selangor. Pada tahun 1880 menjadi ketua masyarakat Melayu di Kuala Lumpur dan bertanggungjawab menyelesaikan masalah yang timbul pada ketika itu. Almarhum turut dilantik sebagai Ahli Majlis Negeri Selangor yang bertindak sebagai Hakim serta penghulu di kawasan Kuala Lumpur. Almarhum tinggal di Kampung Rawa yang terletak di utara Kuala Lumpur pada masa tersebut. Almarhum juga bertanggungjawab bagi membina sekolah Melayu pertama di Kuala Lumpur.
Pada tahun 1898, Almarhum dimashyurkan sebagai Raja Muda Selangor dan berpindah menetap di Batu Road. Almarhum meninggal dunia pada tahun 1915.
Community Leaders in Early Kuala Lumpur. (1972). Malaysia in History, XIV(2), 9-14.
( 121 – Koleksi Khas Shaharom Husain, PTSL UKM )
SEJARAH SISTEM PENDIDIKAN ISLAM DI KUALA LUMPUR. Mohd Nizam Sahad dan Che Zarrina binti Sa’a. Universiti Malaya.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih