UiTM atau Universiti Teknologi Mara merupakan antara institusi awam yang terulung di negara ini. Universiti ini telah melahirkan ramai tokoh-tokoh yang banyak memberikan sumbangan dan mengharumkan nama negara. Tan Sri Richard Malanjum, Datuk Seri Musa Aman, Yang Berbahagia Tuan  Muhammad @ Mat Sabu merupakan antara ratusan pelajar yang pernah menuntut di institusi ini .

Ketika artikel ini sedang ditulis, Universiti Teknologi Mara (UiTM) baru sahaja menyambut ulang tahun ke 19 sempena penaiktarafan institusi pengajian awam tersebut dari ITM kepada UiTM yang kita kenali. Bagaimana perkara ini boleh berlaku dan apakah cerita di sebalik penaiktarafan ini.

Kisah ini bermula pasca terjadinya rusuhan 13 Mei 1969. Pada ketika itu, kaum bumiputera jauh ketinggalan sejak merdeka lagi. Pada ketika itu, hanya satu sahaja universiti yang ada di Tanah Melayu pada ketika itu, iaitu Universiti Malaya. Itu pun, ianya dipenuhi pelajar bukan melayu dan hanya segelintir sahaja pelajar bumiputera yang mendapat tempat di beberapa buah fakulti seperti Kedoktoran, Kejuruteraan dan Sains.

Segelintir pelajar ini pula datangnya daripada keluarga yang berada ataupun mereka yang berkelulusan dari sekolah Inggeris. Walaubagaimanapun, telah terdapat usaha untuk membantu kaum bumiputera untuk mendapatkan pendidikan melalui penubuhan Dewan Latehan RIDA oleh Dato Onn Jaafar. Pada 14 Februari 1957, ianya telah dirasmikan oleh Tun Dr Ismail. Pengambilan yang pertama hanyalah seramai 25 orang.

Beberapa tahun kemudian, Dewan Latehan RIDA telah ditukarnama menjadi Maktab Majlis Amanah Rakyat (MARA). Pada tahun 1967, Maktab MARA dinaiktaraf menjadi Institut Teknologi MARA (ITM). Setelah ITM ditubuhkan, mereka yang berkelulusan diploma ITM ini kebanyakannya mendapat gaji yang setaraf dengan para pelajar yang berkelulusan STPM pada ketika itu. Pengarah ITM pada ketika itu, iaitu Tan Sri Arshad Ayub pernah membawa isu ini ke pihak atasan supaya ITM dinaiktaraf menjadi sebuah universiti.

Pada masa yang sama, para pelajar ITM juga berusaha untuk menaiktaraf ITM kepada yang lebih tinggi. Misalnya, kepimpinan tertinggi Kesatuan SIswazah Insititut Teknologi Mara (KSITM) telah menghantar satu memorandum kepada banyak pihak seperti Menteri Pelajaran ketika itu, iaitu Tan Sri Mohammed Yaacob.

Di dalam memorandum tersebut mereka menyatakan bahawa Ijazah ITM bernilai kerana kelulusannya diterima masuk ke program-program sarjana universiti luar negara seperti University Of Ohio, University Michigan dan University of Washington. Mereka turut mendesak agar program diploma iTM diberikan pengiktirafan di peringkat ijazah dan ITM dinaiktraf menjadi sebuah universiti. Malangnya, memorandum tersebut tidak diendahkan oleh pihak berwajib.

Pada malam 22 April 1974, seramai 6000 pelajar ITM telah berarak sejauh 60 kilometer dari Shah Alam ke Bangunan Parlimen untuk berdemonstrasi. Perarakan seumpama ini tidak pernah terjadi selepas perarakan menentang Malayan Union pada 1946. Namun, perarakan ini tidak berjalan dengan lancar. Pihak keselamatan seperti FRU telah menunggu mereka di Batu Tiga. Pihak FRU meminta mereka bersurai namun tidak diendahkan oleh para pelajar. Akibatnya, bom asap terpaksa dilepaskan.

Akhirnya, hanya 300 pelajar sahaja yang berjaya sampai ke Parlimen. 1500 pelajar juga ditangkap. Pada masa yang sama, sejumlah pelajar juga berjaya merampas sebuah kereta api untuk membawa mereka ke Kuala Lumpur. Pelajar dari fakulti kejuruteraan berjaya merampas kereta api dari Shah Alam untuk menuju ke Kuala Lumpur.

Disebabkan perarakan itu tidak menjadi, pimpinan KSITM mengambil langkah lain dengan menguasai kedua-dua buah kampus iaitu di Shah Alam dan Jalan Othman selama 10 hari. Menurut Ibrahim Ali yang merupakan Presiden KSITM ketika itu, tindakan mereka ini mendapat “restu” daripada Tan Sri Arshad Ayub sendiri. Sewaktu kampus-kampus dikuasai, bekalan elektrik dan air dipotong supaya pelajar meninggalkan kampus.

Pada waktu ini, sebuah kerjasama yang takkan pernah ada lagi hingga ke hari ini berlaku. Pelajar jurusan pengurusan hotel ditugaskan untuk menyediakan makanan, pelajar masscom pula ditugaskan untuk melakukan propaganda dan perang saraf manakala pelajar kejuruteraan membuat kerja mereka. Ibu bapa pelajar juga telah dibawa untuk dibawa untuk memujuk para pelajar untuk keluar namun usaha tersebut hanyalah sia-sia hinggalah satu rundingan berlaku.

Sebuah rundingan diadakan di pejabat Perdana Menteri atas permintaan pelajar KSITM sendiri. Melalui rundingan itu, kerajaan bersetuju untuk menaiktraf diploma ITM dengan ijazah am dan diberikan gaji yang setaraf dan graduan yang telah bekerja dahulu, mereka perlu menerima bayaran tunggakan haji yang sepatutnya mereka terima. Namun, keputusan untuk menaiktraf ITM tidak dapat dilaksanakan walaupun diploma mereka telah diiktiraf.

Oleh itu, pada 1978, Pengarah ITM pada ketika itu telah mewujudkan program berkembar antara ITM dan universiti luar negara untuk membolehkan institusi tersebut diiktiraf di luar negara. Datuk Ibrahim Ali pula telah menubuhkan Teknologi Sdn Bhd untuk mengumpulkan para graduan ITM.

Pada tanggal 26 Ogos 1999, Datuk Ibrahim Ali telah mengadakan satu himpunan siswazah ITM dan beliau menjemput Tun Dr Mahathir untuk merasmikan program tersebut. Semasa program tersebut. Datuk Ibrahim Ali meminta agar Tun Dr Mahathir mengumumkan ITM dinaiktaraf menjadi sebuah universiti di dalam ucapan beliau. Di dalam program itu juga, Tun Dr Mahathir bersetuju untuk menaiktraf ITM kepada universiti dan bermula saat itu, lahirlah Universiti Teknologi Mara yang kita kenali pada hari ini. Akhirnya, perjuangan dan penantian para pelajar ITM selama 25 tahun menjadi kenyataan.

Hakikatnya, nama-nama seperti Ibrahim Ali, Anuar Tahir, Abdul Hasan Malek dan beberapa lagi kurang dikenali oleh para graduan yang hidup ketika generasi X dan Y. Malah pihak UiTM sendiri tidak memberikan pendedahan bagaimana UiTM ini dilahirkan di dalam Minggu Destini Siswa dan lain-lain walaupun hakikatnya perjuangan inilah yang menyebabkan UiTM kini setaraf dengan universiti-universiti terhebat di dunia sekarang. Terima kasih wahai pejuang ITM!

RUJUKAN:

Ibrahim Ali : Perjuangan Tanpa Noktah.

Utusan Malaysia.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Titanic - Politik - Filem Klasik

Comments are closed.