Jumaat, 23 Oktober 202623 Okt 2026
Mutiara Islam

Perihal Matahari Terbit Dari Barat

Sejak
akhir-akhir ini, saya mendapati ada banyak khabar-khabar angin yang berlegar di
media sosial berkaitan dengan tanda-tanda kiamat besar. Seingat saya pada tahun
lepas, negara kita pernah dilanda musim kemarau sehingga menyebabkan penurunan
paras air yang mendadak di beberapa sungai dan tasik. Dalam kekalutan itu,
tiba-tiba tampil pula beberapa individu yang mendakwa kononnya musim kemarau
tersebut menandakan Dajjal akan muncul tidak lama lagi.

Tidak
kurang juga ada sesetengah individu mendakwa kononnya kejadian matahari terbit
daripada barat boleh berlaku pada bila-bila masa sahaja dalam masa terdekat.
Lagi parah, ada yang cuba untuk menguatkan dakwaan mereka dengan firasat atau
mimpi yang mereka yang pernah alami. Oleh itu, saya ingin menjelaskan serba
sedikit tentang perihal matahari terbit daripada barat.

Walaupun
tiada dalil-dalil sahih yang menerangkan tentang susunan atau kronologi
tanda-tanda kiamat besar, namun tidak salah untuk kita membincangkan hal ini
asalkan tidak menyalahi akidah kita sebagai orang Muslim. Lagipun, ada beberapa
hadis sahih yang menerangkan bahawa tanda-tanda kiamat tidak akan berlaku
secara mengejut atau sekaligus. Tanda-tanda kiamat berlaku secara satu demi
satu seperti dalam hadis berikut:

Daripada Abu Hurairah RA bahawa Nabi SAW bersabda:

خُرُوجُ الْآيَاتِ بَعْضِهَا عَلَى إِثْرِ بَعْضٍ، يَتَتَابَعْنَ
كَمَا تَتَتَابَعُ الْخَرَزُ فِي النِّظَامِ

Maksudnya: “Munculnya tanda-tanda (Kiamat) sebahagian mengikuti
bahagian yang lain, saling mengikuti bagaikan mutiara pada sebuah ikatan”.
[Lihat: Mu’jam al-Awsath (4271)]

Selain itu juga, daripada Abdullah bin ‘Amr RA bahawa Rasulullah
SAW bersabda:

الآيَاتُ خَرَزَاتٌ مَنْظُوْمَاتٌ فِيْ سِلْكٍ، فَإِنْ يُقْطَعِ
السِّلْكُ؛ يَتْبَعْ بَعْضُهَا بَعْضًا

Maksudnya: “Tanda-tanda (Kiamat) seperti mutiara yang tersusun
pada seutas benang, jika benang itu dipotong maka sebahagiannya akan mengikuti
sebagian yang lain (jatuh)”. [Riwayat Ahmad (7040)]

Tambah
lagi, terdapat juga beberapa ijtihad para ulama tentang susunan atau kronologi
tanda-tanda kiamat besar. Antaranya mengikut Syeikh al-Mubarakfuri:

اعْلَمْ أَنَّ الرِّوَايَاتِ قَدِ اختلفت في ترتيب الايات العشر
ولذ اخْتَلَفَ أَهْلُ الْعِلْمِ فِي تَرْتِيبِهَا فَقَدْ قِيلَ إِنَّ أَوَّلَ
الْآيَاتِ الدُّخَانُ ثُمَّ خُرُوجُ الدَّجَّالِ ثُمَّ نُزُولُ عِيسَى عَلَيْهِ
السَّلَامُ ثُمَّ خُرُوجُ يَأْجُوجَ وَمَأْجُوجَ ثُمَّ خُرُوجُ الدَّابَّةِ ثُمَّ
طُلُوعُ الشَّمْسِ مِنْ مَغْرِبِهَا فَإِنَّ الْكُفَّارَ يُسْلِمُونَ فِي زَمَنِ
عِيسَى عَلَيْهِ السَّلَامُ حَتَّى تَكُونَ الدَّعْوَةُ وَاحِدَةً

Maksudnya:
“Ketahuilah bahawa riwayat-riwayat ini (berkaitan tanda-tanda besar Kiamat)
telah menjadi perselisihan pada susunan tanda-tanda yang sepuluh (tanda besar
Kiamat). Untuk itu, telah berselisih para ahli ilmu dalam menentukan susunannya.
Telah dikatakan bahawasanya tanda besar Kiamat yang pertama adalah Asap,
kemudian keluarnya Dajjal, kemudian turunnya Isa AS, kemudian keluarnya Ya’juj
dan Ma’juj, kemudia keluarnya al-Dabah, kemudian terbit matahari dari Barat
kerana orang kafir memasuki Islam pada zaman Nabi Isa AS sehingga dakwah ini
menjadi satu”. [Lihat: Tuhfah al-Ahwazi, 346/6]

Menurut
Amin Muhammad Jamaluddin, penulis buku “Perang Armageddon dan Kedatangan
Imam Mahdi A.S.”, dalil-dalil sahih mengenai matahari terbit dari barat
membuktikan bahawa adalah mustahil untuk petanda ini bermula terlebih dahulu:

1. Rasulullah bersabda,

“Tidak akan terjadi kiamat sehingga matahari terbit dari tempat
terbenamnya, apabila ia telah terbit dari barat dan semua manusia melihat hal
itu maka semua mereka akan beriman, dan itulah waktu yang tidak ada gunanya
iman seseorang yang belum pernah beriman sebelum itu.”

(Riwayat
Bukhari dan Muslim dari Abu Hurairah. Dan riwayat Ahmad, Abu Dawud dan Ibn
Majah)

2.
Diriwayatkan oleh al-Bukhari rahimahullah dari Abu Hurairah Radhiyallahu anhu,
bahwa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:

لاَ
تَقُوْمُ السَّاعَةُ حَتَّى تَقْتَتِلَ فِئَتَانِ… (فَذَكَرَ الْحَدِيْثَ،
وَفِيْهِ:) وَحَتَّى تَطْلُعَ الشَّمْسُ مِنْ مَغْرِبِهَا، فَإِذَا طَلَعَتْ؛ آمَنُوا
أَجْمَعُوْنَ، فَذَلِكَ حِيْنَ لاَ يَنْفَعُ نَفْسًا إِيْمَانُهَا لَمْ تَكُنْ
آمَنَتْ مِنْ قَبْلُ أَوْ كَسَبَتْ فِيْ إِيْمَانِهَا خَيْرًا.

“Tidak
akan terjadi Kiamat hingga ada dua kelompok yang saling berperang… (lalu beliau
menuturkan hadits, dan di dalamnya:) hingga matahari terbit dari barat, lalu
jika ia telah terbit, maka semua orang akan beriman, ketika itu tidaklah
bermanfaat lagi iman seseorang yang belum beriman sebelum itu, atau dia (belum)
mengusahakan kebaikan dalam masa imannya.”

3. Pada hadis yang diriwayatkan oleh Al Hafizh Abu Bakar bin
Mardawiyah dari ‘Abdullah bin Abu Aufa, berkata ia:

“Aku mendengar Rasulullah bersabda: “Sesungguhnya akan datang
kepada manusia suatu malam yang sama lamanya dengan tiga malam kamu ini,
apabila peristiwa itu terjadi maka ia akan diketahui oleh orang-orang yang
sedang berbuat amal sunnat, dimana apabila salah seorang mereka membaca satu
hizib (dari Al Qur’an) kemudian dia tidur, setelah bangun iapun membaca satu
hizib lagi, kemudian ia tidur, dan ketika mereka melakukan itu, maka
orang-orang saling berteriak: “Ada apakah ini?”, maka mereka pun lari
berlindung ke masjid-masjid dan tiba-tiba mereka melihat matahari sudah terbit
dari tempat terbenamnya, sehingga apabila ia telah sampai di tengah langit,
iapun kembali.”

Al Hafizh Al Baihaqi dalam kitab “Al Ba’tsu Wa Annusyur”
meriwayatkan suatu hadis dari Ibn Mas’ud tentang hal ini:

“Pada malam itu seorang laki-laki akan memanggil tetangganya:
“Wahai saudara apakah yang telah terjadi terhadap kita pada malam ini? Aku
telah tidur sampai puas dan akupun telah shalat sampai penat”, kemudian
dikatakanlah kepadanya (matahari): “Terbitlah kamu dari tempat terbenammu” dan
itulah hari yang tidak berguna iman seseorang yang tidak pernah beriman
sebelumnya atau berbuat baik dalam imannya.”

(Fathul
Baari, Kitaburriqaq, Juz 11, Bab Thulu’issyamsi Min Maghribiha. Dan lihat
kitabul-Fitan Wal-Malahim, Zikru Thulu’issyamsi Min Maghribiha)

Ketiga-tiga
hadis ini menunjukkan bahawa iman dan amal kebaikan manusia tidak lagi diterima
selepas terbitnya matahari daripada barat. Hal ini kerana pintu taubat telah
tertutup selepas berlakunya peristiwa tersebut.

Maka,
di sini kita perlu berfikir sejenak. Jikalau benar petanda tersebut yang
bermula terlebih dahulu, jadi untuk apa Allah menetapkan kemunculan Imam Mahdi,
Dajjal, Nabi Isa AS dan Yakjuj Makjuj?

Bukankah
kesemua kejadian ini adalah bertujuan untuk menguji keimanan orang-orang Muslim
ketika itu? Untuk apa pula Imam Mahdi dan Nabi Isa AS menaikkan syiar Islam
ketika itu sedangkan iman dan amalan kebaikan sudah tidak berguna lagi?

Nasihat saya, kefahaman kita terhadap tanda-tanda kiamat perlulah didasari oleh rujukan-rujukan yang sahih, bukannya dengan tafsiran sendiri dengan semberono. Saya menyeru saudara-saudara seagama sekalian supaya jauhilah sebarang unsur syirik dan khurafat dalam membincangkan perihal tanda-tanda kiamat.

Dalil-dalil mengenai tanda-tanda kiamat sepatutnya menguatkan keimanan kita terhadap Allah SWT serta kerasulan junjungan Nabi Muhammad SAW, bukannya merosakkan keimanan kita. Sekian.

Sumber: 

  1. Amin Mohd Jamaluddin. (n.d.). Perang Armageddon & Kedatangan Imam Mahdi A.S. Pustaka Syuhada
  2. Irsyad Al-Hadith Siri Ke-138: Tanda-Tanda Besar Kiamat. http://muftiwp.gov.my/ms/artikel/irsyad-al-hadith/1443-irsyad-al-hadith-siri-ke-138-tanda-tanda-besar-kiamat
  3. Pasal Ketujuh : Terbitnya Matahari Dari Barat. https://almanhaj.or.id/798-pasal-ketujuh-terbitnya-matahari-dari-barat.html

Perhatian sebentar.

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami. Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM5.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM5 / RM10 / RM50

Kongsi

No comments yet