Sebut saja orang Viking, kita membayangkan serangan dan penjarahan mereka di Eropah seperti digambarkan dalam siri televisyen terbitan History, Vikings. Benar, dalam setiap penjarahan, mereka membawa pulang harta berharga berupa emas dan perak ke Scandinavia. Tetapi ada juga yang memilih menganut agama baru iaitu Kristian berbanding ajaran pagan – perbezaan yang membawa pertelagahan di kemudian hari.

Semasa Era Viking, agama pagan Norse menjadi anutan utama orang Viking di Scandinavia atau mana-mana lokasi petempatan mereka. Tetapi semua itu berubah apabila mereka menganut agama Kristian sekitar akhir abad ke-10 atau abad ke-11 Masihi.

Tidak banyak perkara yang diketahui tentang ajaran pagan Norse. Tetapi secara umumnya, golongan elit termasuk pahlawan menyembah Odin yang dianggap dewa tertinggi dalam kalangan dewa-dewi Norse. Sesetengah pula memilih menyembah Dewi Freyja yang dipercayai menyambut mereka yang terbuηuh di medan perαng di alam yang dikuasainya.

Sebahagian yang lain akan pergi ke dewan kebesaran Odin yang dikenali sebagai Valhalla. Di Valhalla, pahlawan-pahlawan atau Einherjar ini akan berpesta dan menikmati hidangan besar berupa seekor babi gergasi yang disembelih bernama Sæhrímnir.

Gambaran Valhalla oleh Emil Doepler

Sæhrímnir akan menjalani kitaran dihidupkan semula, disembelih dan dijadikan sebagai jamuan makanan kepada penghuni Valhalla. Selain itu, mereka juga menikmati arak manis yang keluar dari puting seekor kambing bernama Heidrun.

Di Valhalla juga, keperluan nafsu mereka diisi dengan kehadiran Valkyrie. Valkyrie ialah pahlawan wanita yang mempunyai kuasa luar biasa berstatus makhluk halus. Dan dalam cerita mitologi Norse, mereka inilah yang menjadi isteri pahlawan-pahlawan yang gugur semasa berada di alam berkenaan.

Kisah-kisah ini yang berkisar tentang ganjaran di medan perαng dilihat cukup untuk menjustifikasikan aktiviti serangan dan penjelajahan orang Viking. Tetapi aktiviti ini juga yang mendedahkan mereka tentang kewujudan agama baru bernama Kristian. Maklumat diraih sama ada melalui tawanan perαng atau hamba yang ditawan, pertemuan dengan pengembara atau pedagang atau melalui ekspedisi mereka.

Bagi sesetengah orang Viking, wujud rasa ingin tahu dalam kalangan mereka berkenaan agama Kristian. Tetapi ada juga yang bersikap keras hati dan menolak ajaran ini seperti dipaparkan dalam musim-musim awal Vikings. Pada mereka, ia sama sekali tidak akan mengatasi ajaran dewa-dewi Norse mereka.

Tentangan keras ini tidak menghalang sesetengah figura Viking daripada menganut agama Kristian. Antara yang melakukannya ialah Raja Hakon ‘Yang Baik’ Haraldsson (sekitar 920 hingga 961 Masihi). Hakon berbuat demikian semasa berada di istana ayahanda angkatnya, Raja Aethelstan (cucu kepada Raja Alfred the Great).

Sebaik pulang ke Norway, Hakon cuba memujuk rakyatnya agar menerima agama baru yang dibawanya tetapi gagal. Orang Viking yang tidak berpuas hati kemudiannya membakar gereja, membuηuh ramai paderi dan memaksa baginda menjalani ritual pagan. Pendek kata, usaha kristianisasi di Norway merupakan satu kegagalan.

Bertahun-tahun selepas itu, Hakon mangkat di medan perαng selepas pemerintahan baginda cuba dicabar oleh anak saudaranya. Sebagai seorang Kristian, baginda berharap agar dapat masuk syurga. Tetapi Hakonarmal (Kata-kata Tentang Hakon) iaitu koleksi sajak yang berkisar berkenaan baginda langsung tidak menyebut anekdot tersebut.

Berbeza pula dengan Raja Olaf Tryggvason dan Olaf ‘Si Kuat’ Haraldsson yang dikenali kerana suka berperαng. Tidak seperti Hakon yang cuba menggunakan jalan lembut, kedua-duanya memilih pendekatan keras. Bukan sedikit orang Viking yang diseksa dan dibuηuh kerana enggan mengikut apa yang diperintahkan.

Tetapi tidak mengejutkan pembuηuhan atas nama agama dibuat untuk menghapuskan mana-mana individu yang boleh menentang mereka. Ada juga yang sengaja membesarkan nama kedua-dua raja ini atas nama politik.

Begitupun, tidak semua pertelagahan orang Viking berkisar tentang agama. Walaupun menganut agama berbeza, ada yang dapat hidup harmoni bersama menerusi keterangan seorang mubaligh bernama Angsvar pada awal abad kesembilan.

Angsvar mengembara dari Jerman ke Sweden sebelum tiba di satu bandar Viking bernama Birka. Di situ, dia bertemu dengan seorang janda kaya bernama Frideberg dan berjaya menyakinkannya memeluk agama Kristian. Apabila wanita tersebut meninggal dunia, dia mewasiatkan semua hartanya didermakan kepada golongan miskin – sesuatu yang dilaksanakan oleh penduduk tempatan walaupun berlainan agama.

Ada juga yang memeluk agama Kristian tetapi mencampurkannya dengan tradisi Norse. Ini dibuktikan menerusi penemuan acuan untuk menghasilkan rantai leher berbentuk salib atau tukul (simbol biasa untuk Dewa Thor) di Denmark.

Di Gosforth Cross di Cumbria pula, wujud ukiran yang menggambarkan Loki dan isterinya Sigyn. Seperti digambarkan dalam Marvel Comics dan Marvel Cinematic Universe (MCU) menerusi Tom Hiddleston, Loki ialah dewa penipu yang sentiasa menyusahkan dewa-dewi Norse lain termasuk Thor.

Salib Gosforth di Cumbria. Sumber: Werner Forman/Universal Images Group/Getty Images

Ukiran yang dimaksudkan merujuk kepada kisah Loki yang terkenal. Sebagai balasan kepada tindakannya yang sentiasa berlaku khianat, Loki diikat dan diletakkan di bawah seekor ular berbisa di mana bisanya menitik dari mulutnya. Di sini, Sigyn dilihat setia dengan menyediakan mangkuk bagi menadah bisa ular yang menitik pada suaminya.

Ini menunjukkan di sebalik usaha kristianisasi di Scandinavia, itu tidak bermakna sistem Norse dilupakan begitu saja. Ia sebaliknya diadaptasi dan diubahsuai mengikut nilai agama baru mereka itu.

Jadi, apa sebab yang mendorong mereka menganut agama Kristian? Ada yang didorong oleh pengalaman spiritual. Tetapi dalam kebanyakan kes, ia didorong oleh keperluan membina hubungan dengan dunia luar terutama dalam aspek perdagangan. Lebih baik orang mengenali mereka bukan sebagai orang Viking yang ganas tetapi sebagai Kristian seperti mereka.

RUJUKAN

Katrín Friðriksdóttir, J. (2022, 25 Februari). Christians and pagans in Norse society: the real religious rifts between Vikings. History Extra.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Leave A Reply