Selasa, 20 Oktober 202620 Okt 2026
Mutiara Islam

Perayaan Apa Yang Orang Arab Sambut Sebelum Raya Aidilfitri?

Hari yang dinanti-nantikan sudah tiba! Inilah hari di mana umat Islam seluruh dunia bergembira setelah sebulan berpuasa meraih rahmat dari-Nya.

Hari di mana kita saling bertegur sapa, bergembira selepas kembali mengenang kemenangan bagi orang yang berpuasa.

Tapi, korang tahu tak, apa sebenarnya perayaan orang Arab sebelum pensyariatan Hari Raya Aidilfitri, serta Aidiladha?

Sebelum adanya kemeriahan Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha, masyarakat Arab di Madinah sebenarnya sudah ada “hari raya” mereka sendiri.

Dalam satu hadis sahih, apabila Nabi Muhammad tiba di Madinah, Baginda mendapati penduduk di situ mempunyai dua hari yang mereka raikan setiap tahun.

Hari itu dipenuhi dengan hiburan, permainan dan suasana santai.

Lalu, Nabi bertanya tentang dua hari tersebut. Jawapan penduduk Madinah cukup ringkas, ianya merupakan hari yang mereka warisi sejak zaman Jahiliyyah.

Dua hari ini dikenali sebagai perayaan Nairuz (Nowruz) dan Mahrajan (Mihrjan). Tradisi ini berakar daripada ajaran Parsi kuno, khususnya dari kaum Majusi.

Perayaan ini biasanya diisi dengan permainan fizikal, nyanyian dan mungkin juga bentuk hiburan lain yang tidak terikat dengan nilai keagamaan yang jelas.

Bahkan, perayaan ini juga melibatkan tarian-tarian melalaikan serta jamuan makanan dan minuman yang memabukkan.

Ia lebih kepada budaya sosial daripada ibadah.

Apabila Nabi Muhammad mendengar perkara ini, Baginda tidak sekadar melarang tanpa mengganti.

Sebaliknya, Baginda memberikan alternatif yang lebih bermakna.

Apa kata Nabi?

إِنَّ اللَّهَ قَدْ أَبْدَلَكُمْ بِهِمَا خَيْرًا مِنْهُمَا يَوْمَ الْأَضْحَى وَيَوْمَ الْفِطْرِ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah telah mengantikan dua hari tersebut dengan yang lebih baik iaitu hari raya Aidilfitri dan Aidiladha.” (HR Abu Dawud)

Kita sedia maklum bahawa Hari Raya Aidilfitri dikaitkan dengan berakhirnya Ramadan, bulan ibadah dan latihan spiritual.

Manakala, Aidiladha pula berkait dengan ibadah korban dan kisah pengorbanan agung dalam tradisi Islam.

Apa yang menarik, penggantian ini memberi satu makna yang lebih daripada hanya menukar tarikh perayaan.

Islam hendak menunjukkan suatu transformasi makna, daripada hiburan kosong kepada perayaan yang sarat dengan nilai ibadah, kesyukuran dan hubungan dengan Tuhan.

Dalam konteks masyarakat Arab sebelum Islam, banyak amalan budaya tidak mempunyai asas tauhid yang kukuh.

Perayaan juga sering menjadi ruang untuk bersuka ria tanpa batasan moral yang jelas.

Bahkan, ada juga athar dari Abdullah ibn ‘Amr ibn al-’As yang melarang umat Islam untuk menyambut dua perayaan ini.

"Barangsiapa yang membangun negeri-negeri kaum 'ajam (negeri kafir), meramaikan hari raya Nairuz dan Mihrajan (perayaan tahun baru mereka), serta meniru-niru mereka hingga ia mati dalam keadaan seperti itu, ia akan dibangkitkan bersama mereka di hari kiamat."

Hal ini bertepatan dengan hadis Nabi yang melarang untuk kita menyambut hari perayaan umat bukan Islam.

مَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ

“Barangsiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia adalah daripada kalangan mereka.” (HR Abu Dawud dan Ahmad)

Lalu, Islam datang sebagai rahmat buat semesta alam. Ianya tidak bertujuan untuk menghapuskan fitrah manusia yang suka bergembira.

Sebaliknya, ia membentuk semula kegembiraan itu supaya selari dengan nilai kerohanian dan etika yang sesuai dengan fitrah.

Sebab itulah, Aidilfitri dan Aidiladha tetap ada elemen kegembiraan, ziarah, makan dan pakaian cantik.

Tetapi, semuanya dibingkai dengan ibadah seperti solat sunat, zakat dan korban.

Perubahan ini juga menunjukkan pendekatan Islam yang realistik terhadap budaya.

Islam tidak mengajar kita untuk menolak semua tradisi, tetapi sebaliknya adalah menapis dan menggantikannya dengan sesuatu yang lebih baik.

Inilah keindahan Islam, sebagai agama yang menyesuaikan kehendak dan fitrah manusia.

Selamat Hari Raya Aidilfitri semua!

Perhatian sebentar.

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami. Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM5.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM5 / RM10 / RM50

Kongsi

No comments yet