Jumaat, 23 Oktober 202623 Okt 2026
Perang Dunia Kedua – Serangan Payung Terjun Terbesar Dalam Sejarah
Kronikel Dunia

Perang Dunia Kedua – Serangan Payung Terjun Terbesar Dalam Sejarah

Kisah Operasi Market Garden ini diabadikan di dalam
sebuah filem British terkenal iaitu A Bridge Too Far lakonan Anthony
Hopkins dan Sean Connery. Ia memberi gambaran penuh pahit getir tentera payung
terjun British di Arnhem.

Pengenalan
sebelum Market Garden

Kekalahan tentera Jerman di Normandy dan kemusnahan tentera Jerman di “Falaise Pocket” serta kejatuhan bandar Paris membuatkan tentera Jerman meyakini bahawa cara terbaik untuk mengelakkan sistem pertahanan mereka terus runtuh adalah dengan berundur.

Tentera Jerman kini sedikit-demi sedikit berundur keluar dari Perancis. Tidak lama kemudian, seluruh Belgium berjaya ditawan semula oleh pihak Berikat. Tentera Jerman akhirnya berjaya mendapat kawasan pertahanan yang selesa di sekitar Belanda dan sempadan Perancis-Jerman.

Tentera Berikat
kini
disusun dengan lebih teratur.
General Dwight D. Eisenhower menggalas tugas sebagai komander keseluruhan tentera Berikat di Eropah.
Dibawah beliau terdapat 3 jenis “army group”,

– 21st
Army Group, pimpinan Field Marshal Bernard Montgomery.

–
2nd British Army, pimpinan Lt General Sir Miles Dempsey.

–
1st Canadian Army, pimpinan Lt General Harry Crerar.

– 12th
Army Group, pimpinan Lt General Omar Bradley.

–
1st US Army, Lt. General Courtney Hodges.

–
3rd US Army, Lt. General George S. Patton.

– 6th
Army Group, pimpinan Lt. General Jacob L. Devers.

–
7th US Army, Lt. General Alexander Patch.

–
1st French Army, General Jean de Tassigny.

Dalam pada itu, Adolf Hitler mengambil peluang
diatas beberapa kesilapan tentera Berikat seperti kelewatan tentera Berikat
menawan Pelabuhan Antwerp serta masalah logistik mereka dengan merangka
strategi pertahanan yang baru.

Field Marshal Bernard Montgomery, komander 21st Army Group merupakan pelopor kepada Operasi Market Garden, serangan payung terjun terbesar dalam sejarah.

Organisasi tentera Jerman mula kembali tersusun
selepas ‘bencana’ yang menimpa mereka di Normandy. Pada 9 September 1944,
Hitler memanggil semula komander veteran, Generalfeldmarschall Gerd von
Rundstedt untuk menggalas semula tugas sebagai komander keseluruhan medan Barat
(Oberbefehlshaber West, OB West) selepas dipecat Hitler pada 2 Julai
lalu. Keadaan tentera Jerman di barat sangat kucar kacir. Mereka kehilangan
hampir semua kekuatan organisasi tentera seperti 7th Army, Panzer
Group West, dan 15th Army.

Rundstedt menggalas tugas utama untuk menghalang
kemaraan tentera Berikat di barat Eropah. Walaupun usia sudah lanjut, Rundstedt
mempunyai kepakaran dalam menyusun pegawai staff dan anggota tentera
dibawahnya. Beliau menyusun OB West kepada 3 jenis “army group”:

– Army Group B, pimpinan Field Marshal Walter Model.
(mengawal Belgium-Belanda)

– 15th Army, pimpinan
General Gustav-Adolf von Zangen.

– 1st SS Panzer Corps,
pimpinan SS-Colonel-General Sepp Dietrich. (dalam latihan)

– 2nd SS Panzer Corps,
pimpinan SS-General Wilhelm Bittrich.

– Army Group H, pimpinan Colonel-General Kurt
Student. (mengawal utara Belanda)

– 1st Parachute Army,
Colonel-General Kurt Student.

– 25th Army, (dalam
perancangan)

– Army Group G, pimpinan Colonel-General Johannes
Blaskowitz. (France-Germany)

– 1st Army, General Otto
von Knobelsdorff.

– 19th Army, General
Friedrich Wiese.

Secara kasarnya, tentera Jerman di Barat kekurangan tentera dan senjata untuk mengekang kemaraan tentera Berikat. Mujur, sistem pertahanan di sempadan Perancis-Jerman serta kepintaran panglima Jerman dan masalah logistik tentera Berikat menyelamatkan tentera Jerman daripada berkubur.

Masalah
Logistik

Eisenhower kini resah dengan kepantasan tentera
Jerman berundur. Walaupun tenteranya berjaya memerangkap beribu-beribu tentera
Jerman ketika “Falaise Pocket”, tetapi tentera Jerman berjaya berundur dengan
tersusun kerana mereka dipimpin oleh “Master of Defence” Walter Model.

Generalfeldmarschall Walter Model, komander Jerman Army Group B ketika serangan Market Garden berlangsung.


Masalah logistik tentera Berikat berpunca daripada
kegagalan mereka untuk menawan Pelabuhan Antwerp dengan cepat dan juga strategi
Eisenhower yang menggunakan “broad-front strategy”. Strategi ini digunakan
dengan menempatkan tentera yang banyak di sepanjang garisan panjang
bertentangan dengan musuh.

Hal ini menyebabkan Eisenhower terpaksa
membahagi-bahagikan supply dan bekalan kepada ketiga-tiga “army group” yang
kini kekurangan sumber untuk mara ke hadapan.

Pelan
Montgomery

21st Army Group pimpinan Field Marshal
Bernard Montgomery diletakkan di bahagian sempadan Belanda dan Belgium. Ini
menjadikan kedudukan mereka sangat sesuai untuk menyerang Jerman dari utara
seterusnya membelok ke timur menuju ke Ruhr (kawasan industri Jerman) dan terus
ke Berlin.

Masalahnya sekarang, Montgomery terpaksa berkongsi
supply dan bekalan dengan 12th Army Group (Bradley) dan 6th
Army Group (Denvers). Montgomery mempunyai pelan yang cukup “berseni” untuk
menamatkan perang dengan lebih awal. Nama pelan ini ialah “Operasi Market
Garden”.

Pada awal September, Montgomery menulis surat kepada Eisenhower dan memberitahu mengenai rancangan beliau untuk menggunakan serangan payung terjun besar-besaran ke atas beberapa kawasan penting di sekitar Belgium dan Belanda seterusnya, membuka jalan terus ke Berlin.

Eisenhower enggan memberikan lampu hijau untuk
serangan ini. Montgomery yang berang, terus terbang ke pejabat Eisenhower pada
10 September supaya beliau menarik balik keputusan tersebut. Dikoyaknya surat
yang dibalas Eisenhower kepada Montgomery dan menegaskan bahawa tenteranya
memerlukan supply yang lebih daripada Bradley dan Denvers.

Mengamuk Montgomery di dalam pejabat Eisenhower.
Eisenhower tenang menjawab:

“Kamu mahu saya beri semua bekalan kepada kamu untuk mara terus ke Berlin yang jauhnya 500 batu dari sini? Monty, kau gila!”

Sungguhpun begitu, Eisenhower bersetuju untuk
melebihkan supply kepada Montgomery berbanding Bradley dan Denvers. Sebanyak
1,000 tan bekalan sehari akan diberikan kepada beliau.

Dengan bekalan yang diberikan, Montgomery tetap
merangka pelan untuk “Operasi Market Garden”. Operasi ini terbahagi kepada dua:

Operasi Market: Serangan payung terjun besar-besaran ke atas beberapa target di sekitar Belanda seperti Eindhoven, Best, Son, Nijmegen, Oosterbeek dan Arnhem. Tentera payung terjun ini ditugaskan untuk menawan semua jambatan di sekitar bandar ini.

Operasi Garden:
Serangan kereta kebal British keatas kesemua bandar yang ditawan oleh tentera
payung terjun dalam Operasi Market.

Lt. General Fredrick Browning, komander payung terjun Operasi Market Garden.

Montgomery diberikan sebuah kor payung terjun dan sebuah kor kereta kebal untuk melaksanakan Operasi ini:

– 1st British Airborne
Corps, pimpinan Lt. General Fredrick Browning.

– 1st Airborne Division,
Maj. Gen. Roy Urquhart. (Arnhem)

– 82nd Airborne
Division, Brig. Gen James Gavin. (Nijmegen)

– 101st Airborne
Division, Maj. Gen. Maxwell Taylor. (Eindhoven)

– Polish Parachute Brigade, Brig.
Gen. Stanislaw Sosabowski. (simpanan)

– 30th Corps, Lt.
General Sir Brian Horrocks.

– Guards Armoured Division, Maj.
Gen. Alan Adair.

Hari
Pertama: British 1st Airborne Division

Pada 1.30 pm 17 September 1944, lebih 1500 pesawat
pihak Berikat dan 400 pesawat peluncur glider memulakan serangan payung terjun
di beberapa buah kawasan yang telah ditetapkan.

Pasukan daripada 1st Airborne Division
pimpinan Maj. Gen. Roy Urquhart mendarat di bahagian utara iaitu di sekitar
Arnhem. Mereka ditugaskan untuk menawan jambatan keretapi di Oosterbeek dan
jambatan di Arnhem. Pendaratan tersebut berjaya pada mulanya apabila pasukan
pertama mendarat dengan selamat. Masalah terjadi selepas mereka mendarat.

Armada Udara Tentera British di Arnhem sebelum pendaratan.

Pasukan ini ditentang hebat oleh beberapa tentera Jerman yang menyedari beribu-ribu tentera payung terjun yang turun dari langit. Disebabkan mereka mendarat terlalu dekat antara satu sama lain, ini memudahkan tentera Jerman untuk memberi fokus yang lebih kepada pasukan payung terjun ini dan menyerang mereka.

Masalah lain apabila, hanya anggota 1st
Parachute Brigade daripada 1st Airborne Division mengambil bahagian
dalam serangan ini kerana kapal terbang tidak mencukupi untuk menerbangkan
seluruh divisyen. Oleh itu, 2nd Parachute Brigade terpaksa menunggu
untuk membuat penerjunan yang seterusnya.

Masalah yang paling ketara apabila radio-set
division ini gagal berfungsi. Hal ini menyebabkan Urquhart tidak dapat
berkomunikasi dengan Markas Montgomery dan mengkoordinasi tenteranya di sana.
Maka, Urquhart tidak mampu untuk memberi bantuan tembakan artileri atau
serangan udara yang diperlukan.

Kereta Kebal Sherman dari 30th Corps melalui jambatan di Nijmegen.

Selepas pendaratan, Urquhart mengarahkan komander Batalion Kedua, Lt. Colonel John Frost dan anak buah seramai 750 anggota untuk terus menuju ke Arnhem dan menawan jambatan tersebut. Manakala beliau bersama-sama Batalion Pertama dan Ketiga akan menawan pekan Oosterbeek.

Dalam pada itu, komander Army Group B, Field Marshal
Walter Model berada di Oosterbeek, sebuah pekan di barat Arnhem. Tentera
British mendarat hanya beberapa kilometer sahaja dari tempat Model berada.
Beliau segera mengarahkan semua stafnya untuk beredar keluar daripada
Oosterbeek kerana menyangka tentera payung terjun British mahu menangkapnya.

Malang bagi tentera payung terjun British kerana
mereka sebenarnya mendarat di kawasan dimana pasukan kereta kebal Panzer sedang
“rehat dan rawat”. Pasukan 2nd SS-Panzer Corps pimpinan SS-General
Wilhelm Bittrich sedang berada di utara Arnhem. Model segera mengarahkan
Bittrich untuk menghantar pasukannya untuk bertempur dengan pasukan payung
terjun British ini.

Hari
Pertama: US 82nd Airborne Division dan 101st Airborne
Division

Di bahagian selatan Arnhem, pasukan payung terjun
Amerika 82nd Airborne Division pimpinan Brigadier Jim Gavin, berjaya
mendarat bersama-sama 7500 anggota di sekitar Nijmegen.

Gavin menghantar satu detasmen seramai 400 anggota
ke Nijmegen untuk menawan jambatan di sana. Tetapi malangnya, bandar tersebut
sudahpun di pertahankan oleh 3000 tentera dari 10th SS-Panzer
Division dari 2nd SS-Panzer Corps.

Pasukan Payung Terjun Amerika 82nd Airborne Division mendarat di sekitar Nijmegen, Belanda.

Di bahagian selatan Nijmegen, terletaknya pekan Eindhoven dimana pasukan payung terjun 101st Airborne Division pimpinan Maj. General Maxwell Taylor ditugaskan untuk menawan jambatan dan jalan penting disekitar sana.

Pasukan payung terjun Maxwell gagal untuk menawan
jambatan dan jalan di Son dan Best selepas tentera Jerman berjaya meletupkannya
sebelum mereka tiba. Hal ini akan melambatkan perjalanan pasukan kereta kebal
British 30th Corps kerana mereka perlu membaiki jambatan tersebut
terlebih dahulu.

Keadaan lebih parah apabila sebuah glider terhempas
dikawasan musuh dan berjaya ditawan oleh tentera Jerman. Kini, seluruh Operasi
Market Garden berjaya dibaca oleh musuh.

Hari
Kedua: Cuaca Buruk.

Pada 18 September 1944, cuaca buruk memburukkan lagi
keadaan. Komander 1st Airborne Corps iaitu Lt. General Fredrick
Browning menjanjikan serangan payung terjun kedua akan dilakukan pada jam 0600.
Tetapi disebabkan oleh angin kuat, serangan tidak dapat dilakukan.. Maka, semua
tentera payung terjun mula kehilangan bekalan yang dijanjikan.

Manakala di Arnhem, Lt. Colonel John Frost dari
Batalion Kedua yang kini ditambahi hampir 5,000 anggota berjaya menawan Arnhem.
Tetapi mereka kini berseorangan dan dikepung. Mereka berjaya membina sistem
pertahanan di pekeliling Arnhem dan menewaskan beberapa percubaan pasukan 2nd
SS-Panzer Corps untuk menawan semula bandar berkenaan.

Pasukan Payung Terjun British di Oosterbeek.

Batalion Pertama dan Batalion Ketiga yang kini
berada di Oosterbeek cuba untuk menuju ke Arnhem tetapi berjaya dikekang oleh
tentera Jerman. Akhirnya, pada petang tersebut Batalion Keempat dari 1st
Parachute Brigade mendarat di barat Oosterbeek untuk memberi bantuan tambahan
kepada tentera payung terjun British yang sedang bertempur di Oosterbeek dan
Arnhem.

Di sekitar Nijmegen, 82nd Airborne Division
juga terpaksa berhempas pulas untuk mengekang serangan tentera Jerman. Pada jam
3.30pm, barulah beberapa pasukan tambahan di terbangkan bersama-sama artileri
kecil, jeep dan bahan bekalan.

Field Marshal Model mengarahkan pekan Nijmegen
dipertahankan kerana, daripada maklumat yang diterima, pekan ini merupakan
titik paling penting jika mahu menggagalkan seluruh Operasi Market Garden.

Dalam pada itu, Lt. General Horrocks dan kereta
kebal 30th Corps tiba di bandar Eindhoven dan bersatu dengan anggota-anggota
dari 101st Airborne Division yang menunggu kedatangan beliau.

Hari Ketiga: “Saya rasa kita dah terlajak satu jambatan”. 

Pada 19 September 1944, pasukan payung terjun 1st Airborne Division yang ditugaskan untuk menawan jambatan di sekitar Oosterbeek dan Arnhem kini semakin tertekan. Pasukan 2nd SS-Panzer Corps pimpinan Bittrich kini membanjiri seluruh bandar Arnhem termasuklah sebuah kereta kebal Jerman, Panzerkampfwagen Tiger (B) atau King Tiger

Lt. Colonel Frost dan Batalion Keduanya kini menawan
10 buah rumah yang menghadap jambatan di Arnhem. Mereka dengan sabar mengekang
serangan Panzer Jerman sambil menunggu ketibaan kereta kebal British 30th
Corps.

Maj. General Urquhart serta Batalion Pertama dan
Ketiga di Oosterbeek membuat serangan terakhir untuk tiba di Arnhem untuk
bergabung dan menyelamatkan Frost dan anggotanya tetapi dihalang oleh elemen
kereta kebal dari 9th SS-Panzer Division.

Dalam ketika ini, Polish Parachute Brigade pimpinan
Maj. General Sosabowski yang sepatutnya tiba pada hari tersebut untuk
memberikan reinforcement masih lagi tidak sampai-sampai kerana cuaca
yang sangat buruk di England.

Sementara itu, kereta kebal 30th Corps berjaya membina jambatan di Eindhoven dan terus berkejar ke arah pekan Nijmegen. Di sana, mereka bergabung dengan tentera payung terjun dari 82nd Airborne Division pimpinan Gavin. Mereka segera melakukan serangan bertali-arus ke arah Nijmegen yang teguh dipertahankan oleh elemen dari 2nd SS-Panzer Corps.

Hari
Keempat: Pengharapan.

Pada 20 September 1944, Frost ditawan selepas
pertempuran sengit antara pasukan Panzer Jerman dan pasukan payung terjun
British di Arnhem. Batalion Kedua kini terpaksa berundur perlahan-lahan keluar
dari Arnhem dengan harapan dapat bersatu dengan Urquhart yang sedang bertahan
di Oosterbeek. Pasukan Polish Parachute Brigade masih lagi tidak kelihatan.

Lt. Colonel John Frost. Kisahnya diabadikan dalam filem A Bridge Too Far, lakonan Anthony Hopkins.

Di Nijmegen, Hirrocks dan kereta kebal 30th
Corps berjaya menawan sepenuhnya pekan tersebut. Hal ini memberi nafas baru
kepada Urquhart yang sedang tersepit di bahagian utara, bahawa mereka akan
diselamatkan tidak lama lagi. Tentera Jerman cuba untuk meletupkan jambatan di
Nijmegen tetapi gagal.

Namun, Hirrocks membuat satu kesilapan. Beliau tidak
menghantar terus elemen kereta kebalnya terus ke Arnhem untuk menyelamatkan
Urquhart. Sebaliknya, beliau mengambil perhatian terhadap pembersihan saki baki
tentera Jerman yang masih lagi berdegil tidak mahu menyerah kalah di Nijmegen.

Hari
Kelima: “God Save The King!”

Pada 21 September 1944, seluruh Arnhem kini berada
di tangan tentera Jerman. Batalion Kedua membuat transmisi terakhir mereka:

“Peluru sudah habis. Semoga Tuhan Peliharakan Raja!”

Seramai 1,984 anggota tentera British terbunuh di
Arnherm, 6,845 ditawan oleh tentera Jerman.

Pada ketika ini, Batalion Pertama, Kedua dan Ketiga
bertahan di tebing sungai antara Oosterbeek dan Arnhem. Kekuatan mereka pada
ketika ini hanya tinggal 3,500 orang daripada 10,000 anggota tentera.

Pada tengah hari, barulah kelibat Polish Parachute
Brigade pimpinan Sosabowski seramai 750 orang mendarat di seberang sungai
tempat Urquhart sedang bertahan.

Pada petang itu, selepas dihujani oleh tembakan
meriam dan artileri, pasukan kereta kebal 30th Corps pimpinan
Horrocks akhirnya tiba untuk memberi bantuan tembakan kepada Sasobowski dan
Urquhart berdekatan sungai.

Model (kiri) dan Bittrich (dua dari kiri) merangka serangan balas, 1944.

Hari
Keenam & Ketujuh: Model menyerang balas.

Pada 22 September 1944, Field Marshal Model
mengarahkan beberapa elemen Panzer Jerman di sekitar Eindhoven untuk menyerang
kedudukan 101st Airborne Division di bandar Eindhoven. Dengan
harapan, serangan ini dapat memotong laluan supply pihak Berikat dari arah
belakang. Tentera payung terjun Amerika bertungkus lumus untuk menahan serangan
tentera Jerman tersebut.

Maj. General Roy Urqurhart, komander payung terjun di Arnhem.

Manakala di utara, pasukan payung terjun Urquhart
kini semakin tersepit kerana bekalan semakin habis. Bittrich dan 2nd
SS-Panzer Corps menyerang kedudukan tentera Berikat di sana dengan
dahsyat sekali. Urquhart kini hanya memiliki tidak lebih dari 2,000 orang
anggota yang tinggal.

Hari
Kelapan dan Kesembilan: Market Garden gagal.

Dalam pada itu, Montgomery mendapat gambaran penuh
situasi tentera beliau dalam Operasi Market Garden ini. Beliau mengakui bahawa
tidak ada cara lain selain daripada berundur.

Beberapa elemen kereta kebal 30th Corps
berjaya tiba di seberang sungai tempat dimana Urquhart dan Sosabowski sedang
perit menunggu bila mereka akan diselamatkan. Dalam kegelapan malam, Horrocks
mengarahkan seluruh tentera payung terjun yang tinggal untuk menyeberang sungai
tersebut, dimana beliau akan dinantikan oleh pasukan 30th Corps.

Selepas memastikan seluruh tentera payung terjun
menyeberangi sungai, Montgomery mengarahkan Operasi Market Garden dihentikan.

Pengajaran

Terdapat beberapa ralat dapat
dikenalpasti dalam operasi ini. Pertama sekali, tentera payung terjun merupakan
satu organisasi tentera ringan (light infantry). Mereka diterjunkan di
beberapa kawasan yang dikelilingi tentera kereta perisai seperti 2nd
SS-Panzer Corps. Tentera payung terjun TIDAK BOLEH digunakan untuk bertempur
dengan pasukan kereta perisai. Mereka sepatutnya digunakan untuk
mengucar-kacirkan pihak lawan. Montgomery memberikan keutamaan penuh kepada
pasukan payung terjun yang sepatutnya diberikan kepada pasukan kereta kebal 30th
Corps.

Kedua, pihak Berikat tidak mempunyai
kapal terbang yang cukup untuk menerbangkan kesemua 10,000 tentera payung
terjun mereka. Mereka terpaksa menerjunkan sedikit demi sedikit tentera payung
terjun mereka dan membuat beberapa kali pusingan sebelum dapat menerjunkan
semua sekali tentera para mereka. Bayangkan jika tentera payung terjun ini
mendarat di tempat yang sama berkali-kali, sudah tentu musuh sudah tahu
serangan mereka. Maka elemen kejutan sudah hilang.

Ketiga, pihak Berikat melakukan serangan
Operasi Market Garden ini dalam keadaan cuaca yang sangat buruk. Hujan lebat,
kabus dan angin kencang merosakkan konsistensi pasukan payung terjun ini untuk
mendarat. Hal ini akan mengakibatkan kematian mereka sebelum mereka sempat lagi
bertempur.

Keempat, pihak Berikat tidak mengendahkan
maklumat daripada bahagian perisikan di Belanda bahawa terdapat sebuah
organisasi besar di sekitar Arnhem tempat mereka mendarat. Hal ini terbukti
apabila seluruh markas Army Group B ditempatkan di sekitar bandar tersebut.

Kelima, tentera Jerman disitu dipimpin
oleh seorang panglima strategi pertahanan yang berkaliber iaitu Field Marshal
Walter Model. Digelar “Lion of Defence”, markas Model hanya terletak beberapa
kilometer sahaja daripada tempat tentera Berikat menyerang. Hal ini menyebabkan
Model mengkoordinasi strategi dengan mudah.

Kereta Kebal King Tiger yang musnah di Oosterbeek ketika bertempur berdekatan sungai dengan 30th Corps.

Banyak lagi kesalahan dan ralat pihak Berikat
seperti tentera payung terjun mendarat jauh dari Arnhem, masalah teknikal radio
gagal berfungsi, kelewatan pasukan 30th Corps dan juga keputusan
membersihkan saki-baki tentera Jerman di Nijmegen.

Operasi Market Garden merupakan suatu kegagalan bagi
pihak Berikat. Banyak supply dan logistik dihabiskan untuk operasi ini. Oleh
sebab itu, serangan keatas tanah Jerman terpaksa ditangguhkan sehingga 4 bulan.
Jika Eisenhower tidak memberikan Montgomery bekalan tersebut, mungkin Pihak
Berikat sudahpun tiba di Berlin.

Operasi Market Garden merupakan serangan payung
terjun paling besar dalam sejarah. Operasi ini dikatakan merupakan kekalahan
sulung buat Field Marshal Bernard Montgomery, panglima tentera British.
Kegagalan ini membolehkan Adolf Hitler melancarkan satu serangan kejutan
terakhir di medan barat yang dikenali sebagai Battle of the Bulge di
penghujung 1944.

Rujukan

  1. Operation Market Garden | Animated Mini Documentary
  • Operation Market Garden by Maps of History
  • Burgett, D. (2001). The Road to Arnhem: A Screaming
    Eagle in Holland. Dell Publishing. ISBN 9780440236337.
  • van Lunteren, F. (2014). The Battle of the Bridges.
    Casemate Publishing. ISBN 9781612002323.

Perhatian sebentar.

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami. Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM5.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM5 / RM10 / RM50

Kongsi

No comments yet