Sword, Gold,
Juno, Utah, Omaha. Lima nama ini merupakan kod kepada lima jenis kawasan di sepanjang pantai Normandy, Perancis. Lebih 150,000
tentera Berikat dipimpin oleh Amerika Syarikat, Britain, Perancis, Canada,
Australia, Greece, Czechoslovakia, Poland dan Norway mengambil bahagian dalam
pendaratan pantai terbesar dalam sejarah. Tujuannya hanya satu:
Tendang Nazi Jerman keluar dari benua Eropah.
Sejak 1942 lagi, Presiden Roosevelt dan Perdana
Menteri Churchill didesak oleh Ketua Soviet Union, Joseph Stalin untuk membuka
satu lagi medan tempur di sebelah barat. Roosevelt bersetuju namun Churchill
enggan. Hal ini kerana, tentera Bersekutu tidak mempunyai kekuatan yang cukup
untuk berlaga dengan tentera Nazi yang kini berkuasa sepenuhnya di Eropah.
Churchill berpendapat, lebih elok untuk fokus kepada
perang di Laut Mediterranean dan Itali. Selepas kemenangan tentera British
terhadap tentera Nazi di El Alamein dan Afrika Utara, Churchill mula bersetuju
untuk membuka satu lagi medan tempur di sebelah barat Eropah. Pada bulan
November 1943, Stalin, Roosevelt dan Churchill bertemu untuk kali pertama di
Tehran. Stalin dijanjikan bahawa Tentera Berikat akan mendarat di barat Eropah
sekitar Mei 1944.
Operasi ini diberi nama, “Overlord”.
Operasi
Bodyguard
Kepimpinan tertinggi Tentera Berikat merangka sebuah
operasi besar-besaran untuk menipu dan mengelirukan tentera Nazi mengenai
dimana, bagaimana, dan bila Tentera Berikat akan mendarat. Operasi pengeliruan ini diberi nama “Bodyguard”.
Antara operasi pengeliruan tentera yang paling terkenal ialah Operasi
Fortitude.
Operasi Fortitude merangkumi dua bahagian; Fortitude
Utara dan Fortitude Selatan.
Foritude Utara ditujukan khas untuk tentera Nazi yang berada di Norway.
Pentadbiran tentera Nazi di Norway menjangkakan bahawa Tentera Berikat akan
menyerang mereka di Norway kerana hanya ada lebih kurang 10 divisyen sahaja
yang berada di Norway (Armeeoberkomando Norwegen).
Manakala
Fortitude Selatan ditujukan khas kepada unit-unit di sepanjang pesisir barat
Perancis. Pihak Berikat berjaya menipu tentera Nazi bahawa pendaratan akan
dilakukan di Calais, kawasan paling dekat dengan Tanah Besar Britain. Semua
panglima termasuk, Adolf Hitler dan Field Marshal Gerd von Rundstedt masih
percaya akan ada pendaratan kedua di Calais selepas Normandy.
Fortitude
Selatan sangat berjaya menipu tentera Nazi. Pihak Berikat meletakkan sebuah
kumpulan tentera ‘fiksyen’ di sana (US 1st Army Group) pimpinan
Lieutenant General George S. Patton di sekitar pekan Kent dan Sussex untuk
mengelirukan lagi tentera Nazi di seberang laut sana. Semua peralatan di sana
kebanyakkan diperbuat daripada belon seperti kereta kebal Sherman, bangunan,
lori, kapal dan sebagainya. Sehinggakan bunyi-bunyi tembakan sengaja dibunyikan
supaya tempat itu nampak seperti ‘real’. Radio trafik juga sengaja disebarkan
supaya tentera Nazi di seberang Selat Inggeris dapat mendengar. Seorang anggota
pernah bergurau; “Syukurlah kereta kebal Sherman ini tidak terbang ditiup
angin.”
Peta kedudukan Nazi Jerman ketika Pendaratan di Normandy
Pihak Berikat
juga menggunakan pelbagai orang dalam untuk menipu pihak Nazi Jerman. Sebagai
contohnya, sistem “double-cross” yang digunakan oleh pihak British sangat
berkesan. Tentera Nazi sangat percaya bahawa ‘tikus-tikus’ mereka di Britain
sedang melakukan tugas pengintipan kepada mereka.
Padahal, semua
‘tikus’ tersebut telah ditangkap dan digunakan oleh pihak MI6 untuk memberi
maklumat palsu kepada pihak Nazi. Sebagai contohnya, pihak Nazi masih percaya
pendaratan pasti akan berlaku di Calais.
Pihak Berikat
juga melancarkan Operasi Taxable. Operasi ini mengarahkan Pasukan No. 617
Skuadron Royal Air Force untuk menggugurkan beribu-ribu besi aluminium di
kawasan-kawasan pesisir pantai barat Perancis, terutamanya di Calais. Hal ini
bertujuan untuk menipu radar tentera Nazi bahawa armada laut Tentera Berikat
seperti mahu mendarat di pantai Calais. Pasukan tersebut juga menggugurkan
patung-patung payung terjun di sekitar kawasan barat Perancis supaya dapat
menipu tentera Nazi di sana.
Bab-bab cuaca
juga dititikberatkan oleh Pihak Berikat. Tentera Berikat mahu serangan dibuat
pada waktu dan cuaca yang sesuai agar mereka tidak dibedil ombak kuat di Selat
Inggeris. Panglima Tertinggi Tentera Berikat, General Dwight D. Eisenhower
menetapkan tarikh 5 Jun 1944 sebagai tarikh serangan besar-besaran tersebut.
Namun, Ketua
Cawangan Meteorologi, Captain James Stagg memberi amaran ribut akan melanda di
sepanjang Selat Inggeris pada 5 Jun. Mendengar kata-kata tersebut, Winston
Churchill hampir sahaja mahu menghentikan serangan tersebut tetapi Eisenhower
menukar tarikh kepada 6 Jun selepas mendapat tahu cuaca akan menjadi baik pada
subuh hari berkenaan.
Seramai 350,000
pemberontak Perancis sedang menunggu di beberapa kawasan-kawasan strategik di
sekitar Perancis seperti landasan keretapi, depoh, gudang peluru dan gudang
makanan. Mereka ini menggunakan taktik gerilla terhadap tentera Nazi di
Perancis untuk melumpuhkan lojistik dan mengganggu pergerakkan mereka.
Major General
Percy Horbatt, pelopor terawal kepada taktik peperangan kereta kebal British,
mencipta berbagai-bagai jenis kereta kebal untuk memastikan keberhasilan
pendaratan ini. Beliau berjaya mencipta kereta kebal yang boleh berenang di
lautan dan juga kereta kebal yang boleh membajak periuk api. Pihak Berikat juga
mencipta beberapa benda baharu seperti pelabuhan sementara iaitu “Mulberry
Harbour” dan juga membina paip bawah laut yang menghubungkan England dan
Perancis (diberi nama PLUTO – Pipe Line Under The Ocean)
Persiapan Nazi Jerman: Tembok Atlantik (Atlantic Wall)
Peta menunjukkan lokasi Tembok Atlantik
Pada 23 Mac 1942, selepas beberapa serangan yang dikendalikan oleh Komando British, Adolf Hitler meluluskan pelan pertahanan yang dipanggil “Tembok Atlantik”. Pembinaan dijalankan antara tahun 1942-1944 dan dikendalikan oleh sekumpulan jurutera yang dikenali sebagai “Organisasi Todt”. Pembinaan tembok ini mengandungi kubu-kubu mesingan, artileri pantai, dan beberapa sistem pertahanan dari sempadan Perancis-Sepanyol sehingga ke Norway. Lebih 1 juta orang dikerah untuk pembinaan tembok ini.
Menteri
Propaganda Nazi Jerman, Joseph Goebbels menganggung-agungkan tembok ini dengan
menekankan bahawa tidak akan ada tentera Berikat yang terlalu bodoh untuk
menyerang Eropah selagi tembok ini berdiri.
Namun
hakikatnya lain daripada apa yang diperkatakan. Tembok ini hanya sekadar wayang
sahaja. Apabila Rommel dihantar oleh Hitler pada penghujung 1943, untuk
menambahbaik lagi tembok ini, Rommel tergelak setelah tiba di beberapa buah
pantai di barat Perancis. Tembok ini hanyalah mainan propaganda, tambah beliau.
Hanya
18 peratus sahaja tembok ini boleh dikatakan
“berfungsi”. Rommel mendapati hanya Calais sahaja yang mempunyai sistem pertahanan yang paling masyuk dek kerana
lokasi Calais yang dekat dengan Great Britain. Ketika beliau melawat Normandy.
Rommel
melawat Tembok Atlantik di Normandy, 1944.
Rommel
yang baru sahaja menjalankan tugas sebagai “penyelia” Tembok Atlantik beberapa
bulan yang lalu, mula mengorak langkah. Beliau menaiktarafkan sistem pertahanan
di sepanjang Tembok Atlantik.
Kekurangan
bahan untuk membina sistem pertahanan di Tembok Atlantik tidak menggugat
langsung tanggungjawab beliau. Rommel mengarahkan apa sahaja bahan yang boleh
digunakan untuk membuat pertahanan yang “mudah tapi efektif” dilakukan di
sepanjang pantai barat Perancis. Kayu balak, batu-batu besar, “gigi naga”,
jerangkap samar, pilbox mudah, foxhole, kubu-kubu dan sebagainya dibina dengan
segera merta oleh Rommel.
Rommel dan staf-staf beliau melawat sistem pertahanan di Pantai Normandy.
Organisasi Tentera: Tentera Berikat
(Atas dari kiri): Lt. General Omar Bradley, Admiral Bertram Ramsay, General Trafford Leigh-Mallory dan General Walter B. Smith
(Bawah dari kiri): General Arthur Tedder, General Dwight D. Eisenhower dan General Bernard Montgomery.
Secara keseluruhannya, Tentera Berikat dikelolai oleh panglima 4 bintang, General Dwight D. Eisenhower sebagai Panglima Tertinggi Pasukan Ekspedisi Berikat (Supreme Headquarters Allied Expeditionary Force). Eisenhower merupakan bekas komander tertinggi Pihak Berikat ketika pertempuran di Afrika Utara dan Itali. Beliau dibantu oleh Air Chief Marshal Arthur Tedder yang merupakan komander Royal Air Force yang mengetuai seluruh sayah tentera udara Pihak Berikat di Lautan Mediterranean. Manakala, Lt. General Walter B. Smith dilantik sebagai Ketua Staf Angkatan Tentera bagi membantu Eisenhower dan Tedder dalam mengkoordinasikan serangan di Normandy.
Manakala di daratan pula, pasukan tentera darat
dikelolai oleh panglima 4 bintang, General Bernard Montgomery, hero di El
Alamein dan merupakan panglima yang menundukkan Rommel di Afrika. Dalam operasi
ini, beliau memegang jawatan sebagai Panglima 21st Army Group yang
merangkumi US First Army yang dipimpin Lt. General Omar Bradley dan British
Second Army yang dipimpin oleh Lt. General Sir Miles Dempsey. Jumlah
keseluruhan 21st Army Group lebih kurang 156,115 anggota tentera
yang akan mendarat di Normandy.
Bagi angkatan udara pula, tanggungjawab ini
diberikan kepada Air Chief Marshal Trafford Leigh-Mallory. Beliau akan memimpin
sayap udara yang merangkumi Tentera Udara Amerika dan British untuk menyerang
kawasan-kawasan di sekitar Normandy. Objektif beliau termasuklah mendaratkan
tentera airborne paratroopers, intercept pesawat Luftwaffe, mengebom seluruh
pesisir pantai Normandy dan memberi perlindungan udara kepada pasukan di
pantai. Jumlah keseluruhan pesawat yang digunakan dalam operasi ini ialah
sebanyak 4,101.
Di laut pula, Laksamana laut yang bertanggungjawab
ialah Admiral Sir Bertram Ramsay. Beliau merupakan seorang flag officer yang
berjaya menyelamatkan 300,000 tentera British ketika pengepungan di Dunkirk
pada 1940. Empat tahun kemudian, beliau memimpin armada laut sebanyak 6,939
jenis kapal: 1,213 kapal perang, 4,126 kapal pengangkut anggota, 736 kapal
bantuan dan 836 kapal dagang. Ramsay akan bertanggungjawab membantu mendaratkan
lebih 100,000 anggota tentera di pantai Normandy serta memberi bantuan tembakan
dari arah laut menerusi kapal Royal Navy dan US Navy.
Organisasi
Tentera: Nazi Jerman
Secara kasarnya, kualiti tentera Jerman yang
mempertahankan pantai-pantai di Normandy sangat lemah. Hanya 4 divisyen sahaja
yang mempertahankan 5 pantai mendarat di Normandy. Divisyen-divisyen ini
terdiri daripada tentera-tentera “bukan-Jerman” dan direkrut dari Soviet Union.
Oleh itu, tidak hairanlah pada hari pertama sahaja serangan, ramai tentera
dalam divisyen ini meletak senjata senjata sejurus sahaja Pihak Berikat
menyerang kedudukan mereka di Normandy.
Tentera Nazi Jerman di barat Eropah berada dibawah
tanggungjawab Komander Keseluruhan Tentera Jerman di Barat (German Army
Command in the West atau Oberbefehlshaber West, OB West),
iaitu Field Marshal Gerd von Rundstedt. Beliau merupakan bekas panglima Army
Group South ketika Jerman menyerang Soviet Union pada 1941. Selepas dipecat,
beliau diamanahkan untuk menjawat jawatan baru ini oleh Hitler sebagai Panglima
OB West pada 1942.
Panglima OB West, Field Marshal Gerd von Rundstedt (kiri) dan Panglima Army Group B, Field Marshal Erwin Rommel
Dibawah OB West pimpinan Rundstedt, terdapat
tiga jenis kumpulan tentera. Pertama ialah Army Group B pimpinan Field Marshal
Erwin Rommel merangkumi 2 tentera medan iaitu 7th Army dan Panzer
Group West. Army Group B inilah yang akan berlaga dengan tentera Bradley dan
Montgomery di Normandy.
Kedua ialah Army Group G pimpinan Colonel-General
Johannes Blaskowitz yang merangkumi 2 lagi tentera medan iaitu 1st
Army dan 19th Army. Army Group G ini ditempatkan di selatan Perancis
dimana mereka akan berlaga dengan satu lagi serangan amfibia pihak Berikat pada
bulan Ogos 1944 di selatan Perancis.
Ketiga ialah Army Group H yang baru sahaja separa
aktif pimpinan panglima payung terjun, Colonel-General Kurt Student. Kumpulan
tentera ini merangkumi 1st Parachute Army dan 15th Army
yang diarahkan untuk menjaga kawasan di Belanda dan Belgium.
Rundstedt sedar bahawa beliau mempunyai dua
kelemahan untuk menjaga kawasan barat Eropah ini. Pertama, kekurangan Tentera
Udara Jerman (Luftwaffe) dan kedua, kelemahan Tentera Laut Jerman
(Kriegsmarine).
Aset-aset Luftwaffe ketika ini tengah sibuk berlaga
dengan tentera Soviet di timur. Panglima Luftwaffe di Barat, Field Marshal Hugo
Sperrle hanya mempunyai 319 pesawat sahaja yang berfungsi untuk mempertahankan
Normandy ketika D-Day.
Aset-aset Kriegsmarine pula terhad kepada kapal
selam U-Boat dan beberapa kapal-kapal cruiser yang lain. Semua kapal-kapal
besar telah berpindah ke Jerman supaya lebih selamat daripada armada Tentera
Laut Berikat yang jauh lebih kuat. Komander Kriegsmarine di Barat ialah Admiral
Theodor Krancke.
Apa yang membezakan organisasi tentera Pihak Berikat
dan Nazi Jerman ialah tiada struktur “angkatan bersama”. Pihak Berikat
mempunyai struktur angkatan bersama yang dipanggil Supreme Headquarters
Allied Expeditionary Force (SHAEF) yang diketuai oleh General Eisenhower.
Dengan adanya SHAEF, semua servis angkatan tentera darat, laut dan udara dapat
mengkoordinasikan operasi dengan lebih pantas dan efektif.
Manakala bagi Nazi Jerman, mereka tidak ada struktur
angkatan bersama. Contohnya, Field Marshal Rundstedt, panglima OB West
hanya mempunyai kuasa untuk mengatur-gerakkan tentera darat sahaja. Beliau
tidak boleh sesuka hati untuk mengarahkan unit-unit Luftwaffe dan Kriegsmarine.
Tidak hairanlah pada hari serangan, tiada kelibat langsung pesawat atau kapal
Jerman di Normandy.
Lebih parah, Hitler sebagai Panglima Tertinggi
Angkatan Tentera Nazi Jerman, selalu sahaja menukar-nukar pelan yang dirangka
oleh panglima-panglima Jerman yang lebih berkaliber.
Sebagai contohnya, perbalahan antara Rundstedt dan
Rommel mengenai pergerakkan tentera kereta kebal Panzer Group West yang
dipimpin oleh General Leo von Schweppenburg. Rundstedt dan Schweppenburg mahu
tentera kereta kebal ini diletakkan di sekitar Paris, jauh dari pantai agar
dapat menyerang balas tentera Berikat apabila mereka mendarat.
Rommel pula berpendapat bahawa Panzer Group West
sepatutnya diletakkan di pesisir pantai barat Perancis seperti Calais dan
Normandy supaya mudah untuk menangkis pendaratan Tentera Berikat di
pantai-pantai berkenaan. Rommel yakin bahawa Tentera Berikat sepatutnya
dikalahkan ketika berada di pantai, bukannya ketika mereka sudah bertapak.
Jika Panzer Group West diletakkan jauh dari pantai,
ia akan menyukarkan pergerakkan mereka ke pantai kerana mereka akan menjadi
‘lauk’ kepada serangan udara yang maha hebat oleh Pihak Berikat. Kemungkinan
hampir separuh sahaja daripada mereka yang akan selamat tiba di pantai untuk
bertempur.
Rundstedt dan Schweppenburg pula mengganggap jika
Panzer Group West diletakkan di pesisir pantai, ia akan menjadi ‘lauk’ pula
kepada serangan laut Royal Navy dan US Navy di sana. Akhirnya, mereka membawa
permasalahan ini kepada Adolf Hitler.
Hitler memberikan solusi yang kurang bijak. Tiga
Divisyen Panzer dalam Panzer Group West ini diberikan kepada Rommel untuk
diletakkan di sepanjang pantai antara Calais dan Normandy iaitu 21st
Panzer Division (di Normandy), 2nd Panzer Division dan 116th
Panzer Division (di Calais).
Divisyen dalam Panzer Group West yang selebihnya
ialah Panzer Lehr Division (di barat daya Perancis), 1st SSLeibstandarte
Division (di Belgium), 12th SS Hitlerjugend Division (di
tenggara Perancis), 17th SS Panzergrenadier Division (di
tengah Perancis), 2nd SS Das Reich Division (di selatan
Perancis), 9th Panzer Division (di Paris), 9th SS Panzer
dan 10th SS Panzer Divisions (dalam perjalan ke Perancis).
Kesemua divisyen yang selebihnya ini dijadikan sebagai “Hitler Reserve”. Tidak ada seorang pun yang boleh menggerakkan divisyen-divisyen ini melainkan Adolf Hitler. Keputusan yang langsung tidak memuaskan Rommel dan Rundstedt.
D-Day
Pelan pendaratan Tentera Berikat di Normandy
Pada pukul 0015, 6 Jun 1944, tentera payung terjun Amerika 82nd Airborne dan 101st Airborne Division, berjumlah 13,000 anggota mula mendarat di beberapa kawasan strategik jauh di Normandy. Tentera payung terjun ini ditugaskan untuk merosakkan beberapa laluan-laluan strategik tentera Nazi untuk ke pantai barat di Normandy.
Tetapi
pendaratan mereka tidaklah semudah yang disangka. Ada di antara mereka yang
silap mendarat. Ada juga yang ditangkap dan ditembak jatuh oleh tentera Nazi
dibawah. Pada hari pertama sahaja, hanya 4,500 tentera payung terjun sahaja
yang selamat mendarat dan meneruskan operasi mereka.
Tentera payung
terjun British dan Kanada juga mengambil peluang untuk beraksi. Anggota
daripada 5th Parachute Brigade, 3rd Parachute Brigade dan
7th Parachute Batalion berjumlah 8500 orang mendarat di beberapa
kawasan di timur Normandy. Mereka ditugaskan untuk meletupkan jambatan-jambatan
dan merosakkan radar-radar di sana.
Walaupun begitu,
kegelapan malam menyebabkan kesukaran mereka untuk menyelesaikan tugasan
mereka. Mereka dikejutkan oleh serangan balas oleh tentera Jerman sejurus
mereka mendarat. Sungguhpun begitu, mereka perlu juga melaksanakan objektif ini
kerana pasukan tentera darat akan mendarat di pantai Normandy seawal jam 0600.
Seramai 800 orang terkorban dan cedera dalam misi ini.
Ilustrasi menunjukkan Tentera Payung Terjun daripada US 82nd dan 101st Airborne Division mendarat di sekitar barat Normandy.
Pada ketika ini, hampir kesemua panglima-panglima Nazi Jerman pulang ke Jerman untuk bercuti seperti Rommel dan Schweppenburg. Mereka berpendapat cuaca buruk pada 5 Jun membuatkan amat mustahil bagi tentera Berikat untuk melakukan serangan. Hanya ada seorang sahaja panglima, akibat sukar tidur kerana faktor usia, yang masih berjaga sehingga jam 0300 untuk menerima laporan pendaratan tentera Berikat di sekitar Normandy:
Panglima
tersebut ialah Field Marshal Gerd von Rundstedt.
Beliau dengan
tepat meneka bahawa serangan payung terjun besar-besaran ini adalah suatu
petanda bahawa akan ada serangan di pantai. Tetapi beliau tidak pasti pantai
yang mana: Calais atau Normandy. Beliau menghubungi HQ Hitler di Jerman untuk
meminta izin agar beliau diberikan kuasa penuh untuk mengerahkan Panzer Group
West dengan segera.
Permintaan
beliau ditolak kerana Hitler masih lagi tidur dan tiada siapa yang berani
mengejutkannya. Tambahan pula, Runstedt masih lagi tidak pasti sama ada
serangan ini adalah serangan yang sebenar ataupun hanya auta sahaja. Beliau
masih yakin bahawa serangan di Normandy hanyalah helah daripada serangan
sebenar di Calais.
Bermula jam
0545, 6 Jun 1944, Armada Tentera Laut Pihak Berikat pimpinan Admiral Bertram
Ramsay berjumpah 5 battleship, 20 kapal cruiser, 60 kapal destroyer dan 2 kapal
pemerhati membedil 5 kawasan pantai Utah, Omaha, Gold, Juno dan Sword dengan
harapan dapan melumpuhkan sistem pertahanan di sana.
Pada jam 0630,
tentera infantri mula mendarat di pantai-pantai yang ditetapkan. US 4th
Infantry Division mendarat di Utah. US 1st dan 29th
Infantry Division mendarat di Omaha. 3rd Canadian Infantry Division
dan 2nd Canadian Armoured Brigade di Juno. Manakala Pantai Sword
dibawah tanggungjawab 3rd British Infantry Division.
Dalam banyak-banyak
pantai ini, Pantai Omaha adalah pantai yang memberi tentangan yang sangat
sengit kepada tentera Berikat. Pantai-pantai lain tidak memberi tentangan
sengit kerana setiap pantai dipertahankan oleh tentera bersaiz regiment atau
brigade sahaja.
Tetapi di Omaha,
Pihak Berikat tidak menyangka seluruh divisyen Jerman iaitu 352nd
Infantry Division mempertahankan satu sektion di pantai Omaha tersebut. Situasi
ini direkodkan dalam babak pertama filem Saving Private Ryan arahan
Steven Spielberg.
General Bradley
terpaksa menghantar sehingga 2 jenis serangan untuk memaksa pantai tersebut
‘dijinakkan’. Serangan pertama dikatakan begitu gagal. Tentera infantri Amerika
di sana tidak mendapat sebarang cover yang baik. Tiada kereta kebal mendarat
pada serangan pertama sehingga mereka menjadi ‘makanan’ kepada tentera Nazi
yang menembak dari arah bukit dengan senjata Mesingan MG42.
Dalam
banyak-banyak pantai, Omaha dikatakan sebagai pantai paling berdarah dalam
Operasi ini. Hampir 5,000 orang maut untuk mendapatkan pantai ini sahaja. Pada
tengah hari, selepas 2 kumpulan kapal destroyer tiba berdekatan pantai Omaha
dan membedil pantai tersebut, barulah tentera Berikat berjaya menawan pantai
tersebut.
Pada ketika ini,
pemerintahan tertinggi tentera Nazi masih lagi percaya bahawa pantai Calais
masih menjadi pilihan untuk Pihak Berikat untuk menyerang. Pada pukul 10 pagi,
Rundstedt menyuruh Panglima Angkatan Tentera (Chief of OKW), Field
Marshal Wilhelm Keitel untuk pergi terus ke bilik Hitler supaya bangun dari
tidur dan membuat laporan mengenai Normandy.
Rundstedt yang
sejak subuh tadi menyuruh Hitler mengeluarkan arahan supaya mengatur-gerakkan
Panzer Group West ke Normandy akhirnya mendapat maklum balas.
“Tidak.” teriak
Hitler. Beliau menyuruh Runstedt supaya membuat serangan balas tanpa pasukan
Panzer. Rundstedt berang.
Walaupun kesemua
pantai telah berjaya di tawan, namun pantai-pantai tersebut tidak bersambung
(connection/linked) sehinggalah pada 12 Jun 1944.
Pihak Berikat bertapak di Normandy.
Pada pukul 2.30pm
6 Jun 1944, Hitler menelefon Rundstedt bahawa beliau memberi kebenaran untuk
menggerakkan kereta kebal Panzer Group West terus ke Normandy untuk counter
attack. Namun, segala-galanya sudah terlambat.
Panglima Keseluruhan Pihak Berikat, General Eisenhower melawat pasukan payung terjun sehari sebelum operasi.
Langit menjadi ceras selepas ditutupi awan mendung sejak subuh. Apabila General Schweppenburg menggerakkan Panzer Group West ke pantai, mereka diserang bertubi-tubi oleh armada Royal Air Force pimpinan Air Chief Marshal Leigh-Mallory. Tidak ada apa yang boleh dilakukan oleh Luftwaffe pada ketika ini.
Mujurlah General
Schweppenburg masih mempunyai satu divisyen iaitu 21st Panzer
Division yang berkhemah di bandar Caen, dalam 10 batu daripada pantai Juno dan
Sword. Beliau mengarahkan divisyen tersebut membuat counter attack pada 4pm.
Mereka hampir sahaja menolak tentera Berikat keluar dari pantai Juno dan Sword
tetapi ditentang hebat oleh tentera British di sana pimpinan General
Montgomery.
Pada 8 Jun,
Tentera British berjaya mengesan lokasi General Schweppenburg di Caen. Pada 10
Jun, ketika beliau sibuk mengendali serangan balas tentera Berikat di bandar
berkenaan, HQ beliau dibedil teruk oleh RAF Second Tactical Air Force pimpinan
Arthur Coningham.
Seramai 18
pegawai kanan Panzer Group West terbunuh dan Schweppenburg cedera parah.
Serangan ini berjaya melumpuhkan satu-satunya formasi tentera Nazi di sebelah
Barat yang mampu menggerakkan divisyen Panzer yang besar. Serangan ini
menyelamatkan tentera Berikat daripada diserang balas oleh Panzer Group West
yang sudahpun berkumpul tepi Caen pada 10 Jun. Dengan musnahnya HQ ini,
lumpuhlah seluruh organisasi kereta kebal Panzer tersebut. HQ ini beroperasi
semula pada 28 Jun.
Dengan
pendaratan tentera Berikat di Normandy, Eisenhower mengorganisasikan semula
tenteranya. Lebih 155,000 tentera berjaya mendarat di Normandy. Tentera Nazi di
sana mula kucar-kacir. Pada 17 Jun, Rommel dan Rundstedt bertemu dengan Hitler
untuk membincangkan mengenai situasi di Normandy. Mereka meminta segala tentera
bantuan dan simpanan untuk dikerahkan ke Normandy tetapi Hitler enggan
memberinya.
“Kita sudah
kalah. Kita tidak boleh menang, mein Fuhrer.” kata Rommel.
Field Marshal Rommel (kanan) dan General Leo von Schweppenburg (kiri) di Normandy, 1944.
Terkejut semua
orang di dalam bilik persidangan mendengar kata-kata Rommel. Namun Hitler
menyuruh beliau untuk memberikan tentangan yang tidak berbelah bahagi kepada
tentera Berikat.
Pada 29 Jun,
Rommel dan Rundstedt berjumpa dengan Hitler di selatan Jerman. Mereka berdua
tidak berhenti-henti menyuruh Hitler memberikan segala tentera simpanan yang
ada. Hitler masih lagi menolak. Rommel sekali lagi menyatakan bahawa Hitler
perlu mencara jalan lain untuk “berdamai”. Hitler menolak cadangan tersebut.
Pada 30 Jun,
Rundstedt menerima panggilan telefon daripada Schweppenburg yang baru pulih
daripada kecederaan. Beliau merayu agar Panzer Group West berundur dari Caen
kerana sudah berhari-hari mereka dibedil oleh Tentera Laut British. Rundstedt
bersetuju dan menghantar telegram ke OKW (Oberkomando Wehrmacht / German
High Command).
Pada 1 Julai,
Rundstedt menerima maklum balas; mengharamkan segala pengunduran. Berang dengan
keputusan tersebut, beliau menelefon terus Field Marshal Keitel untuk pergi
“ketuk kepala” Hitler untuk meluluskan arahan tersebut. Keitel merayu kepadanya
bahawa semua ini adalah mustahil.
“Macam mana ni?
Apa yang patut kita lakukan?” tanya Keitel dengan gelabah.
“Buat perjanjian
damailah, bodoh!” balas Rundstedt sebelum menghempas ganggang telefon.
Panglima OB West, Field Marshal Gerd von Rundstedt.
Pada petang 1 Julai 1944, Hitler memecat Rundstedt dan melantik Field Marshal Gunther von Kluge sebagai Panglima OB West.
Pada 17 Julai
1944, malang menimpa tentera Nazi apabila kereta Rommel ditembak oleh Royal
Canadian Air Force ketika membuat lawatan ke HQ 1st SS-Panzer Corps.
Pemandu beliau terbunuh dan beliau terpelanting keluar dari keretanya dengan
kecederaan di muka dan kepala. Beliau cedera parah namun mujur sempat
dikejarkan ke hospital berdekatan. Tempat beliau digantikan oleh Kluge sebagai
panglima Army Group B (dan juga panglima OB West).
Pada 18 Julai
1944, Tentera British pimpinan General Bernard Montgomery melancarkan Operasi
Goodwood. Montgomery memecah masuk bandar Caen dari arah utara bersama-sama
tentera British dan Kanada. Beliau mahu menawan Caen dari arah timur dan utara.
Pada 25 Julai,
Tentera Amerika pimpinan Lt. General Omar Bradley melancarkan Operasi Cobra.
Beliau mengambil peluang huru-hara tentera Montgomery untuk masuk ke Caen dari
arah utara dengan menusuk Caen dari arah selatan
Caen berjaya
ditawan pada penghujung bulan Julai. Eisenhower mengaktifkan satu lagi tentera
medan iaitu 3rd US Army pimpinan Lt. Gen. George S. Patton. Bradley
dinaikkan pangkat sebagai Panglima US 12th Army Group. Tempat lama
beliau digantikan oleh Lt. Gen. Courtney Hodges sebagai panglima US 1st
Army.
Eisenhower juga
menghidup satu lagi kumpulan tentera iaitu 21st Army Group pimpinan
General Bernard Montgomery yang merangkumi British 2nd Army dan Canadian
1st Army. Perjalanan seterusnya ialah ibu kota Perancis, Paris.
Plot 20 Julai
Peta menunjukkan situasi genting Nazi Jerman di Eropah pada 15 Julai 1944
Dengan
mendaratnya tentera Berikat di Eropah dan tumbangnya Rom ditangan tentera
Berikat serta kebangkitan tentera Soviet dalam Operation Bagration di timur,
maka sesuatu harus dilakukan untuk menghentikan mimpi ngeri ini.
Sudah lama
sebenarnya orang atasan Nazi Jerman, lebih-lebih lagi dalam kalangan panglima
tentera mahu menjatuhkan Hitler. Tetapi mereka tidak pasti dan tidak yakin.
Banyak kali juga Hitler cuba dibunuh tetapi beliau sentiasa sahaja ‘meloloskan’
diri.
Selepas
pendaratan tentera Berikat di Normandy, pelopor-pelopor konspirasi ini yang
terdiri daripada Lt. Colonel Claus von Stauffenberg, General Ludwig Beck,
General Friedrich Olbricht dan Field Marshal Erwin von Witzleben mengorak
langkah mereka.
Pelan ini diberi
nama Operation Valkyrie. Secara kasarnya, pelan ini memerlukan Hitler
untuk mati. Kemudian, Stauffenber akan mengumumkan kematian Hitler dan
menggerakkan Tentera Simpanan Nazi Jerman (Replacement Army) untuk
menawan semua bangunan-bangunan penting kerajaan di Berlin. Dengan ini,
kerajaan baharu dapat dilantik.
Namun, pelan ini
gagal disempurnakan Stauffenberg yang juga Ketua Staf Replacement Army
menyangka yang bom telah diletupkannya pada jam 1240 di HQ Hitler di East
Prussia berjaya membunuh Hitler. Sangkaan beliau meleset apabila pada pukul
7pm, 20 Julai 1944, Hitler berjaya menghubungi Menteri Propaganda, Joseph
Goebbels menerusi panggilan telefon dan mengarahkan komander berdekatan untuk
menahan Stauffenberg dan rakan-rakan kongsinya hidup-hidup.
Pada jam 0010, 7
Julai 1944, Stauffenberg, Olbricht serta yang lain dihukum tembak oleh Panglima
Replacement Army, General Friedrich Fromm di depan perkarangan
pejabatnya walaupun cuba dihentikan oleh beberapa pegawai tempatan.
Kegagalan
operasi membunuh Hitler ini bukan sahaja menjahanamkan pelan untuk keluarkan Jerman
dari kancah perang malahan juga membuatkan Hitler sudah tidak percaya lagi
dengan semua panglima-panglima Jerman yang bukan fanatik Nazi.
Selepas itu
beberapa jenis perubahan dilakukan oleh Hitler. Sistem keselamatan menjadi
ketat. Hitler mengubah tabik hormat tradisional kepada tabik Nazi. Beliau juga
melantik komander tentera yang tidak mempunyai ilmu medan perang menjadi ketua
tentera seperti Reichsfuhrer-SS Heinrich Himmler.
Operasi Luttich: Counter Attack Tentera Nazi
Dalam pada itu,
serangan 20 Julai untuk membunuh Hitler tidak menghalang beliau untuk fokus
kepada perang yang berlaku di sekelilingnya. Ketika ini, tentera Soviet melancarkan
Operasi Bagration dimana mereka hampir-hampir sahaja memusnahkan seluruh Army
Group Center di timur. Di sebelah barat pula, tentera Amerika dan British mula
mendapat rentak apabila mereka menawan bandar Caen di selatan dan pelabuhan
Cherbourg di barat.
Hitler mahu
counter attack dilakukan dengan segera. Panglima OB West, Field Marshal
Gunther von Kluge memberi amaran keras pada 22 Julai bahawa barisan pertahanan
di sebelah barat hampir roboh dan memerlukan pengunduran dengan segera. Hitler
masih berkeras tiada satu tentera Jerman yang boleh berundur pada saat ini.
Pada 2 Ogos,
Hitler menghantar Timbalan Staf Angkatan Tentera, General Walter Warlimont ke
barat untuk memastikan Kluge melaksanakan serangan balas. Kluge memberitahu
bahawa serangan balas adalah mustahil dan tentera Jerman sepatutnya berundur di
barisan pertahanan yang baru di Paris.
Pada 4 Ogos,
Pihak Berikat berjaya memecahkan kod arahan pelaksanaan Operasi Luttich.
General Bradley kemudian menggunakan maklumat ini untuk mengerahkan seluruh RAF
dan 9th US Air Force untuk menghalang kemaraan tentera Panzer Nazi
di sekitar Caen.
Tentera Jerman hanya mampu menolak tentera Berikat sehingga ke pekan Mortain sahaja sebelum dihentikan oleh Patton. Sementara itu, Tentera British cuba mengepung tentera Jerman dari arah atas.
Pada 6 Ogos, Kluge melancarkan Operasi Luttich, serangan balas tentera Nazi terhadap tentera Berikat. Walaupun serangan ini memerlukan 8 divisyen Panzer untuk berjaya, Kluge hanya dapat mengerahkan 4 sahaja divisyen Panzer dalam operasi ini, itupun satu daripadanya tak cukup strength.
Dengan kekuatan
yang tidak seberapa ini, operasi tetap berjalan. Objektifnya, menolak tentera
Berikat sehingga ke pekan Avranches dan kemudian “cut-off” 3rd US
Army pimpinan Patton sebelum menolak tentera Berikat yang lain ke utara.
Patton berjaya
memimpin tenteranya untuk bertahan di sekitar pekan Mortain. Bradley
menjanjikan bahawa armada tentera udara akan menyerang posisi tentera Jerman
dan membantutkan serangan Kluge.
Field Marshal
Hugo Sperrle, Panglima Luftwaffe di Barat menjanjikan 1,000 pesawat pejuang
akan membantu Kluge dalam operasinya. Namun, baru sahaja pesawat Luftwaffe mahu
naik ke langit, mereka dihentam bertubi-tubi oleh RAF 2nd Tactical
Air Force dan 9th US Air Force yang sudah lama mengawal keseluruhan
ruang udara Perancis.
Tentera Udara
Berikat ini juga menyerang beberapa laluan dan formasi tentera Panzer Kluge
yang sedang menghala ke arah tentera Patton.
Pada 8 Ogos,
seluruh formasi tentera Kluge terhenti. Patton mengambil peluang ini dengan
senyap membawa tentera kereta kebalnya ke selatan seterusnya ke arah belakang
seluruh formasi Panzer Kluge.
Peta menunjukkan formasi tentera Berikat dan tentera Nazi, Ogos 1944.
Pertempuran Falaise: Perangkap Besar.
Pada 16 Ogos,
Hitler mengarahkan Kluge melancarkan satu lagi serangan balas. Kluge merayu
kepada Hitler agar tidak melakukannya kerana situasi sudah semakin teruk.
Kekurangan tentera, kekurangan bantuan udara menjadi alasan Kluge. Hitler
bersetuju dan mula sangsi dengan panglima tersebut. Beliau fikir Kluge cuba
untuk belot.
Pada 17 Ogos,
Hitler memecat Kluge dan menggantikan tempatnya dengan Field Marshal Walter
Model sebagai Panglima OB West dan juga Panglima Army Group B.
Pada 18 Ogos,
Kluge dipanggil oleh Hitler ke Berlin untuk menjawab persoalan-persoalan yang
menyelubungi dirinya seperti kejadian “Plot 20 Julai” dan juga cuba untuk
menyerah kepada Pihak Berikat.
Keesokkan
harinya, Kluge membunuh diri.
Model mengambil
alih tugas Kluge. Beliau yang terkenal sebagai Singa Pertahanan (Lion of
Defense) mengarahkan pengunduran serta merta Army Group B yang terdiri
daripada 7th Army dan Panzer Group West (atau 5th Panzer
Army).
Pada ketika ini,
pertelingkahan berlaku di kem Pihak Berikat mengenai siapa yang layak
memerangkap Army Group B ini. Patton dengan segera mengarahkan tenteranya untuk
menolak tentera Nazi dari arah selatan supaya bertemu dengan tentera Montgomery
di utara.
Tetapi,
Montgomery mengadu bahawa tentera British beliau boleh menutup dan memerangkap
tentera Nazi sendirian. Patton berang segera berjumpa pegawai atasan beliau,
General Omar Bradley panglima 12th US Army Group.
Hubungan antara Montgomery (kiri) dan Patton (kanan) tidak sebaik yang disangka.
Selepas dipujuk
Bradley, Patton akhirnya patuh untuk berhenti di sebelah selatan dan membiarkan
Montgomery menutup ruang keluar tentera Nazi. Namun, begitu ramai tenteranya
terkorban akibat ego tersebut. Sejumlah 36,976 tentera mati akibat daripada
pertempuran ini.
Army Group B
pula kehilangan hampir kesemua kekuatan serangan mereka di Barat, sejumlah 15
divisyen musnah dan 100,000 mati, cedera dan ditangkap. Lebih kurang 500 kereta
kebal pelbagai jenis musnah ketika Pertempuran Falaise.
“Pertempuran di
Falaise ini merupakan penyembelihan paling hebat dalam perang ini. Selepas 48
jam, saya melawat ke tempat ini dan hanya Tuhan sahaja lah yang tahu betapa
busuknya tempat ini dengan mayat membusuk” kata General Dwight D. Eisenhower.
Eisenhower
kemudiannya mengisytiharkan Falaise sebagai “zone tidak sihat” sehingga kerja
pembersihan mayat selesai.
Keberkesanan 3rd US Army pimpinan Patton disebabkan oleh kombinasi kereta kebal dan bantuan udara yang sangat mantap.
Paris ditawan semula.
Berita gembira
tiba buat warga Perancis di selatan. Pada 15 Ogos 1944, Tentera Berikat
pimpinan General Jacob L. Devers, panglima 6th US Army Group
mendarat di selatan Perancis.
Kawasan
pertahanan di selatan Perancis dibawah tanggungjawab Colonel General Johannes
Blaskowitz, panglima Army Group G yang pada ketika ini hanyalah “tentera pada
kertas” sahaja.
Dalam masa 4
minggu, General Devers bersama-sama 7th US Army (Lt. Gen Alexander
Patch) dan French Army B (General Jean de Tassigny) menolak tentera Nazi keluar
dari selatan Perancis terus ke sempadan Switzerland.
Tentera Amerika dan Perancis memasuki Paris.
Tentera
Amerika dan Perancis memasuki Paris.
Pada 25 Ogos
1944, untuk mengelakkan bandar Paris musnah akibat perang sia-sia antara
tentera Nazi dan Pejuang Perancis, General Dietrich von Choltitz, Gabenor
Tentera Paris menyerahkan bandar tersebut secara aman kepada Panglima 2nd
French Armoured Division, General Philippe Leclerc.
Arahan asal
kepada Gabenor berkenaan daripada Hitler adalah “memusnahkan bandar tesebut
sehingga menjadi cebisan”. Apabila ditanya mengapa Choltitz mengingkari arahan
tersebut, beliau menjawab:
“Orang itu sudah
gila. Saya sayangkan bandar ini.”
Dengan penawanan
bandar Paris ini, maka berakhirlah sudah Operasi Overlord. Tentera Berikat
sudah menawan seluruh Perancis pada penghujung bulan Ogos. Tentera Nazi pula
berundur jauh ke sehingga ke sempadan Belgium-Belanda.
Mimpi ngeri
Hitler menjadi kenyataan. Disebabkan kecuaian dan keegoan beliau, kini beliau
terpaksa berhadapan dengan tentera Amerika-British di Barat dan armada tentera
Soviet di timur.
Dalam episod ini
juga, Hitler selamat dari percubaan bunuh pada 20 Julai. Sejak itu, beliau
menjadi seorang paranoia.
Rujukan
Beevor, Antony (2009). D-Day: The Battle for Normandy. New York; Toronto: Viking. ISBN 978-0-670-02119-2.
Beevor, Antony (2012). The Second World War. New York: Little, Brown and Company. ISBN 978-0-316-02374-0.
Boeselager, von, P. (2009). Valkyrie: The Plot To Kill Hitler. New York City: Hachette. ISBN 9780297857549.
D-Day (1944), Simple History https://www.youtube.com/watch?v=4cGuB-OWR0g
History Documentary – World War 2 Normandy Invasion In Colour Best Documentary HD, Full Documentary https://www.youtube.com/watch?v=N-P4GoG69Xw




No comments yet