Empayar Rom dan Parsi merupakan empayar terkuat di dunia dan saling bertempur bagi menunjukkan kemegahan masing-masing, mereka berperang sejak abad ke-2 masihi lagi dengan dinasti bersilih ganti.  Sebelum Perang Rom-Parsi, empayar Parsi sejak era Akaemeni (Achaemenid atau Hakshamanis) sering melanggar benua Eropah dengan menyerang negeri-negeri Greek tetapi tidak berjaya, sebaliknya keajaiban berlaku ketika lahirnya penakluk terulung dunia iaitu Alexander the Great apabila menyapu bersih empayar gergasi Parsi hanya dalam masa 4 tahun sahaja.

Selepas kematian Alexander, budaya Hellenistik menyerap ke dalam Parsi ketika pemerintahan Dinasti Salukiyyun (Seleucid), dan Ashkaniyyan (Parthia). Tempat Greek di ganti oleh Rom bagi mengekang segala asakan daripada Parsi. Kedua-dua empayar saling bertempur dan menempuh peperangan yang panjang, dan berakhir dengan Perang Rom-Parsi 602-628 antara Empayar Byzantine (Rom) menentang Empayar Sasaniyyah (Parsi). Untuk pengetahuan, gelaran bagi pemerintah di Rom ialah Maharaja, manakala Parsi menggunakan gelaran Shahanshah yang bermaksud Raja segala Raja atau diringkaskan menjadi Shah.

PENGENALAN KEPADA PERANG ROM-PARSI 602-628

Perang Rom-Parsi 602-628 merupakan perang terakhir dan merupakan perang paling dahsyat antara kedua-dua empayar iaitu Empayar Byzantine (Rom) dan Sasaniyyah (Parsi). Sebelum itu, sudah berlaku perang antara kedua-dua empayar antara tahun 572 hingga 591 dan Perang Saudara Sasaniyyah 589-591. Perjanjian damai antara kedua-dua pihak yang di menangi oleh Rom membawa rasa tidak puas hati dalam kalangan tentera dan kaum kerabat diraja Parsi, ketika itu imej jeneral Parsi iaitu Bahram Chobin lebih berpengaruh berbanding Shahnya sendiri iaitu Hormidz IV hingga berlakunya perang saudara.

Dalam perang saudara Sasaniyyah, Bahram yang lebih berpengaruh berjaya memaksa Shahanshah Parsi ketika itu iaitu Hormidz IV turun takhta dan dibunuh oleh kaum pemberontak, tempatnya di gantikan oleh anak Hormidz iaitu Shahanshah Kisra II (juga lebih dikenali sebagai Khosrow II atau Khusraw Parvez), Bahram berjaya mengalahkan Kisra II dalam pemberontakan menentang kerajaan dan akhirnya beliau berjaya menguasai pentadbiran pusat Parsi dan menjadi Shahanshah baru yang menggantikan Kisra II.

Kisra II terpaksa melarikan diri ke Rom dan mendapatkan bantuan Empayar Rom untuk mengembalikan semula kuasanya selaku Shahanshah Parsi. Maharaja Rom ketika itu iaitu Maharaja Maurice bersetuju mengembalikan semula kuasa Kisra II sebagai Shah Parsi. Kisra II berjaya mendapat sokongan tentera di Nisibis, dan gabungan tentera Rom dan Parsi berjaya mengalahkan angkatan tentera Bahram dan Kisra II berjaya menakluk ibu negaranya iaitu Ctesiphon dan berjaya mengembalikan semula kuasanya sebagai Shah Parsi. Manakala Bahram di bunuh oleh tentera upahan Kisra II, dan menamatkan perang. Genjatan senjata antara kedua-dua pihak berlangsung hingga tahun 602. Untuk pengetahuan, Rasulullah s.a.w pernah menghantar utusan untuk berdakwah kepada kedua-dua mereka iaitu Maharaja Rom, Heraclius dan Shahanshah Parsi, Kisra II.

Gambar 1: Kedudukan Empayar Rom dan Parsi pada tahun 600 sebelum tercetusnya peperangan.
Sumber: https://www.youtube.com/watch?v=L5xfEidlPOc’

Pada peringkat pertama peperangan, kuasa Parsi banyak menguasai wilayah Empayar Rom akibat ketidakstabilan politik dalam negara Rom itu sendiri. Peperangan bermula pada tahun 602 apabila Maharaja Maurice di bunuh oleh musuh politiknya iaitu Pochas yang kemudiannya menjadi maharaja Rom. Pochas merupakan jeneral Rom yang mewakili Rom menentang kaum Avar di Balkan tetapi menemui kekalahan dan ramai tentera Rom di tangkap dan di bunuh oleh kaum Avar menyebabkan Pochas tidak berpuas hati dengan Maharaja Maurice yang tidak mengendahkan mereka malah Pochas sendiri di tampar oleh pegawai Rom. Ketika Maharaja Maurice memerintahkan ramai tentera di hantar ke Balkan untuk berperang menentang Avar, Pochas yang mengetuai angkatan tentera tersebut mara ke arah Kota Konstantinopal dan bertindak menyerang dan menangkap Maharaja Maurice. Pochas yang mendapat sokongan tenteranya yang menguasai Konstantinople di tabalkan sebagai Maharaja Rom yang baru dan di beri gelaran Pochas Augustus. Maurice serta anak-anak dan isterinya dihukum bunuh oleh mahkamah.

Berita pembunuhan Maurice sampai ke pengetahuan Shah Kisra II menyebabkan beliau melancarkan serangan ke atas Maharaja Pochas bagi membalas dendam ke atas pembunuhan yang dilakukan ke atas Maurice, dalam masa yang sama, ramai gabenor Rom yang berada di luar wilayah Anatolia bertindak melancarkan revolusi menentang rejim Pochas, antaranya ialah Narses yang bertindak meminta bantuan daripada Shah Kisra II menentang Pochas di kawasan Mesopotamia. Beliau di bakar hidup-hidup oleh Pochas ketika hendak meredakan keadaan di Mesopotamia selepas ragu-ragu dengan bantuan daripada Parsi. Manakala Parsi dapat menguasai keseluruhan Mesopotamia dan Kaukasus daripada Rom.

1.1 Pemberontakan dua beranak Heraclius (608-610)

Di Afrika Utara, gabenornya iaitu Heraclius the Elder (bapa kepada Heraclius iaitu bakal menjadi Maharaja Rom)  memberontak melawan rejim Pochas pada tahun 608 bagi membalas dendam atas kematian Maharaja Maurice. Bandar Kart Hadas (Carthage) yang berada jauh dengan Konstantinople memudahkan lagi gerakan pemberontakan melawan rejim Pochas. Manakala di sebelah timur, Parsi yang sudah menguasai dari Mesopotamia hingga ke wilayah Anatolia, dan bersiap sedia melancarkan serangan besar-besaran ke atas Empayar Byzantine. Dengan ancaman besar dari kedua-dua belah arah, rejim Pochas terbahagi kepada dua bahagian yang sudah semestinya memberi kelebihan kepada Heraclius the Elder dan Parsi. Heraclius the Elder berjaya menguasai Afrika Utara dan mengisytiharkan dirinya sebagai ketua di Afrika Utara yang bebas dari pengaruh Byzantine.

Situasi tersebut memberi tekanan kepada Pochas apabila banyak wilayah kekuasaan Byzantine sudah hilang. Afrika Utara jatuh ke tangan pemberontak pimpinan Heraclius the Elder, Timur Tengah jatuh ke tangan Parsi, manakala puak Slav mula menduduki Balkan. Pada tahun 610, Heraclius (anak kepada Heraclius the Elder) bersama-sama dengan ramai para pemberontak yang menyertainya belayar menuju ke Kota Konstantinopal. Dengan sokongan penduduk Kota Konstantinopal, dengan mudah Heraclius berjaya menawan kota tersebut dan ditabalkan menjadi Maharaja Rom yang baru menggantikan Pochas. Pochas kemudiannya dijatuhi hukuman bunuh. Heraclius the Elder rasa bersyukur dengan tumbangnya rejim Pochas di tangan anaknya.

Gambar 2: gambaran Maharaja Heraclius
Sumber: http://historyofarmenia.org/2017/05/21/emperor-her/

Selepas Heraclius sah menjadi Maharaja Rom, baginda berusaha untuk berunding dengan Shah Kisra II untuk berdamai kerana bagi Heraclius, yang menjadi punca kepada pergolakan dalam negara ialah Pochas, baginda bertindak menghantar surat melalui utusan ke wilayah Parsi bagi menghentikan peperangan dengan Parsi dan berdamai. Tetapi sebaliknya Shah Kisra II bertindak menolak tawaran Heraclius dan membunuh utusan Rom kerana bagi Shah Kisra II, orang yang layak menggantikan Maharaja Maurice ialah anaknya iaitu Theodosius, bukannya Heraclius, baginya Heraclius hanyalah seorang pemberontak yang menggulingkan kerajaan pimpinan Pochas dan tidak layak untuk menjadi maharaja.

Pada tahun 612, tentera Parsi pimpinan Shahrbaraz dan Shahin mula bertempur dengan tentera Rom pimpinan Heraclius, Nicetas, dan Philippicus di wilayah utara Sham menghala ke arah Antioch, Syria dan berjaya menawannya pada tahun 613. Rom mengalami kekalahan demi kekalahan dan Parsi mara pula untuk menakluk bandar-bandar utama Syria dan berjaya menakluk Palestin pada tahun 614 akibat sokongan orang Yahudi yang bertindak melancarkan pemberontakan melawan Rom. Dengan penaklukan keseluruhan ke atas bandar-bandar dalam wilayah Sham, Parsi berjaya menguasai jalan darat yang menghubungkan Konstantinopal dengan negeri-negeri di Timur Tengah dan Afrika Utara. Pada tahun 615, jeneral Parsi iaitu Shahin melancarkan invasi ke atas wilayah Anatolia dan Asia Minor, dan memenangi banyak pertempuran menentang Rom pimpinan Philippicus.

Tentera Parsi mara hingga menakluk kota Chalcedon pada tahun 617 yang terletak berhadapan Kota Konstantinopal yang hanya di pisahkan oleh Selat Bhosporus. Tentera Parsi dapat dilihat dari Kota Konstantinopal menyebabkan Maharaja Heraclius tiada pilihan lain terpaksa berunding dengan Shahin dan bersetuju menjadikan Rom sebagai negara naungan kepada Parsi. Tetapi Shahin tidak mempunyai kuasa untuk berdamai dengan Rom kerana kuasa sebenar berada di tangan Shah Kisra II. Parsi yang sebenarnya berpeluang menakluk dan meruntuhkan empayar Rom di Konstantinopal bertindak melakukan tindakan pelik yang penulis sendiri tidak faham apabila bertindak mengundurkan tenteranya dari Chalcedon dan menakluk Mesir. Mungkin ada alasan yang tidak diketahui mengapa Shah Kisra II melakukan perkara tersebut. Pada tahun 618, tentera Parsi pimpinan Shahrbaraz menyerang Mesir yang ketika itu diketuai oleh Nicetas, dan Shahrbaraz berjaya menakluk Mesir dan menjadi gabenor Mesir sehingga tahun 621.

Gambar 3: Serangan Parsi ke atas wilayah Anatolia
Sumber: File:Byzantine-persian campaigns 611-624-mohammad adil rais.PNG

Rom yang ketika itu berada dalam situasi yang sangat rumit apabila masalah berlaku dari segenap arah. Masalah ekonomi mula berlaku akibat penguasaan wilayahnya oleh Parsi, manakala tentera Avar dari utara mula menakluk satu persatu wilayah Rom di sebelah utara. Ketika Rom yang bagaikan tiada harapan untuk bangkit menentang empayar Parsi pimpinan Shah Kisra II, keajaiban mula berlaku sejak ramalan al-Quran dalam Surah ar-Rum (Rom) yang meramalkan tentera yang kalah teruk akan bangkit menentang tentera yang menang. Pendapat ulama mengatakan ayat ini di tujukan kepada Rom yang kalah teruk ketika berdepan Parsi.

Gambar 4: Empayar Parsi Dinasti Sasaniyyah ketika kemuncak pada tahun 622
Sumber: https://www.ancient.eu/Sasanian_Empire/

PERINGKAT KEDUA (622-628)

2.1 Serangan balas Rom (622-628)

Bagaikan mendapat satu aura dan kekuatan, Maharaja Heraclius bersama tenteranya merancang melakukan serangan ke atas Parsi yang ketika itu mengusasai wilayah Anatolia yang di ketuai oleh Shahrbaraz, dan di bantu oleh Shahin dan Shahraplakan. Dalam serangan antara tahun 622-623, tentera Heraclius banyak memenangi pertempuran dan memaksa Parsi untuk berundur. Heraclius yang merancang untuk mara lebih jauh tersekat dengan berita kemaraan puak Avar ke arah kota Konstantinopal menyebabkan Heraclius terpaksa berpatah balik ke Konstantinopal dan mula berunding dengan puak Avar. Heraclius menempatkan tenteranya untuk mengawal kawasan Anatolia daripada di takluk semula oleh Parsi. Setelah sampai di Konstantinopal dan meredah masuk ke dalam Empayar Avar Khagan, baginda mengadakan rundingan dengan pemerintah Avar (yang namanya tidak diketahui) dan akhirnya rundingan damai dapat di capai apabila Maharaja Heraclius terpaksa memberikan sejumlah habuan yang besar kepada puak Avar. Dengan itu, baginda lebih fokus berhadapan dengan Parsi.

Pada tahun 624, Maharaja Heraclius sekali lagi menulis surat untuk berdamai dengan Parsi tetapi di tolak oleh Shah Kisra II yang tetap dengan pendiriannya untuk tidak berdamai dengan Rom. Maharaja Heraclius yang tiada pilihan lain bertindak menyerang Tanah Parsi bersama ribuan tenteranya melalui kawasan pergunungan Anatolia dan Kaukasus. Baginda mencapai kemenangan di sepanjang jalan menuju ke arah Kaukasus, dan berjaya menguasai Kaukasus. Seterusnya baginda turun ke selatan menuju ke arah Mesopotamia yang terletaknya ibu negara Empayar Parsi Sasaniyyah iaitu Kota Ctesiphon. Dalam perjalanan menuju ke Mesopotamia, tentera baginda di tentang hebat oleh tentera Parsi pimpinan jeneral berbangsa Arab yang berjumlah kira-kira 40,000 orang, dan baginda berjaya mencapai kemenangan yang menakjubkan, serta menghancurkan kuil api Majusi di Takht Sulaiman. Kehadiran panglima Shahrbaraz, Shahin, dan Shahraplakan akhirnya dapat menghentikan kemaraan Heraclius, dan tentera Heraclius tewas kepada Parsi menyebabkan Heraclius mula berundur jauh ke Trebizond.

2.2 Pengepungan Konstantinopal (626)

Pengunduran tentera Rom memberikan masa kepada pihak Parsi untuk bersiap sedia mengerahkan tentera dalam jumlah yang besar bagi menakluk kota Konstantinopal dari jalan laut dan menghancurkan terus empayar Rom dari muka bumi. Ketika itu, kota Konstantinopal di tadbir oleh seorang Patriark (ketua bagi penganut gereja Ortodoks) iaitu Sergius kerana Maharaja Heraclius berada di Trebizond. Pada tahun 626, Shah Kisra II telah membuat pakatan bersama puak Avar di utara empayar Rom untuk sama-sama melancarkan serangan balas ke atas Rom.

Dengan itu, Shah Kisra II merencana strategi dengan membahagikan tenteranya kepada dua kumpulan iaitu, satu kumpulan besar tentera di bawah pimpinan Shahin berada di Mesopotamia bagi menangkis serangan jika Heraclius bertindak menyerang Parsi dari Trebizond. Manakala tentera elit bersama dengan Shahrbaraz di tugaskan untuk menakluk Kota Konstantinopal yang berganding dengan tentera puak Avar yang berjumlah kira-kira 80,000 orang.

Maharaja Heraclius juga mempunyai strateginya sendiri apabila membahagikan unit tenteranya di Trebizond kepada tiga kumpulan. Kumpulan pertama di hantar ke Konstantinopal sebagai tentera bantuan dan penaik semangat kepada warga Konstantinopal. Kumpulan kedua di bawah pimpinan saudaranya Theodore Heraclius bagi menghadapi pasukan Shahin di Mesopotamia, manakala kumpulan ketiga di bawah baginda sendiri. Heraclius juga membuat pakatan dengan puak Turki dari Empayar Gokturk Khagan dari Asia Tengah untuk bersama-sama menyerang Parsi.

Di Kota Konstantinopal, serangan serentak di lakukan oleh Shahrbaraz mewakili Parsi, dan puak Avar bagi menakluk kota tersebut dengan anggaran tentera seramai kira-kira 100,000 orang. Tentera Parsi mengalami kesukaran mendarat di Kota Konstantinopal kerana berhadapan dengan tentera laut Rom yang jauh lebih mahir berbanding Parsi yang tidak mempunyai tentera laut yang cekap walaupun tentera laut Rom jauh lebih sedikit berbanding Parsi. Akibatnya, ramai tentera elit Parsi tidak dapat menyeberang Selat Bosphorus, dan dalam masa yang sama berlaku salah faham antara tentera Parsi dengan Avar menyebabkan sebahagian daripada mereka bertempur sesama sendiri. Pengepungan kota Konstantinopal menemui kegagalan apabila setiap kali percubaan untuk menakluk tembok berhasil dengan deretan kekalahan daripada Parsi dan Avar yang berpunca daripada sifat warga Konstantinopal yang bersemangat menentang musuh walaupun dalam jumlah yang sedikit. Dalam masa yang sama, warga Konstantinopal juga mendapat satu berita yang menggembirakan dari Mesopotamia apabila tentera Rom pimpinan Theodore berjaya mengalahkan Parsi pimpinan Shahin, yang menyebabkan semangat tentera Parsi dan Avar untuk menakluk Kota Konstantinopal semakin merudum. Menyedari jalan kegagalan semakin menjelma, tentera puak Avar mula mengundurkan diri, manakala Shahrbaraz terpaksa memberhentikan serangan mereka.

Berita kegagalan Parsi menentang Rom di Konstantinopal dan Mesopotamia menyebabkan Shah Kisra II mula mengamuk dan tidak senang duduk. Beliau bertindak menghantar utusan kepada Shahrbaraz yang berada di Chalcedon yang meminta Shahrbaraz pulang ke Ctesiphon untuk di jatuhi hukaman bunuh kerana kegagalan menakluk Konstantinopal. Surat tersebut di pintas oleh tentera Rom sebelum sampai ke tangan Shahrbaraz. Disini bermulanya permainan psikologi oleh Maharaja Rom bagi mempengaruhi Shahrbaraz untuk berpihak baginda menentang Shah Kisra II selepas menunjukkan surat tersebut kepada Shahrbaraz. Shahrbaraz bertindak mengundurkan semua tenteranya ke Syria sebagai persediaan menggulingkan Shah Kisra II dari takhta kerajaan Parsi.

2.3 Perang Turki-Parsi Ketiga dan Pertempuran Nineveh (627-628)

Di Trebizond, Maharaja Heraclius yang sudah membuat pakatan dengan puak Turki dari Empayar Gokturk Khagan mula bertindak menakluk satu persatu wilayah Parsi dari Kaukasus hingga bertemu dengan tentera Rom pimpinan Theodore di Mesopotamia. Ketika itu tentera Turki menarik diri daripada menyerang Parsi kerana cuaca sejuk melampau. Tentera Rom pimpinan Heraclius bertemu dengan tentera Parsi pimpinan Rhahzard di Nineveh dan berlaku pertempuran antara kedua-dua belah pihak yang akhirnya dimenangi oleh Heraclius dan Rhahzard terbunuh dalam pertempuran tersebut. Shah Kisra II melarikan diri ke Ctesiphon untuk mempertahankan kota tersebut daripada tumbang ke tangan Rom. Kekalahan demi kekalahan yang menimpa Shah Kisra II menyebabkan pembesar, rakyat dan tentera hilang kepercayaan kepada beliau dan memberontak menggulingkan beliau daripada takhta kerajaan. Maharaja Heraclius yang berpeluang menghancurkan Parsi sekali lagi memilih untuk berdamai dengan Shah Kisra II. Belum sempat surat tersebut di balas, pembesar Parsi mula memberontak menggulingkan Shah Kisra II, para pemberontak bertindak melepaskan anaknya iaitu Kavadh II dari penjara (yang dipenjara oleh Shah Kisra II sendiri) untuk menaiki takhta kerajaan dan ditabal menjadi Shahanshah baru menggantikan Kisra II pada tahun 628. Kisra II di tangkap dan dibunuh oleh anaknya sendiri yang membalas dendam ke atas bapanya yang pernah memenjarakan beliau. Shah Kavadh II memilih jalan berdamai dengan Maharaja Heraclius, dan di terima oleh Heraclius. Dengan itu, berakhirnya Perang Rom-Parsi 602-628.

Gambar 5: Maharaja Heraclius ketika Pertempuran Nineveh
Sumber: https://imgur.com/gallery/yCl6A

Kematian Shah Kisra II juga sebenarnya menjadi titik permulaan kepada berlakunya Perang Saudara dalam empayar Sasaniyyah antara pihak bani Sasan yang diketuai oleh Shah Kavadh dan anaknya Ardashir III. Pihak yang kedua ialah Shahrbaraz dari bani Mihran, dan yang ketiga ialah dari keluarga Pahlav. Perang sesama sendiri tersebut menyebabkan empayar semakin lemah dan menjadi faktor utama kejatuhan Parsi di tangan Khulafa ar-Rasyidin.

KESIMPULAN

Perang tersebut menyebabkan kedua-dua empayar mengalami kerugian tentera dan ekonomi yang dahsyat. Kerugian yang lebih tinggi di alami oleh Parsi kerana mereka berada di pihak yang kalah dan berlakunya perang saudara selepas itu yang terus melemahkan empayar Parsi dan Rom. Selain itu, mengikut kepercayaan umat Islam, kemenangan ajaib Rom ke atas Parsi juga disebabkan oleh turunnya ayat al-Quran yang meramalkan kemenangan Rom ke atas Parsi walaupun ketika itu Rom bagaikan tiada harapan langsung untuk menang. Begitu juga dengan doa daripada Rasulullah s.a.w agar Allah menghancurkan kerajaan Parsi akibat tindakan jahat Shah Kisra II yang bertindak mengoyak surat seruan dakwah Rasulullah s.a.w melalui Abdullah bin Hudhafa.

Di pihak Empayar Rom, walaupun kehilangan ramai dan tentera dan ekonomi, moral penduduk dan askarnya semakin meningkat akibat kemenangan menakjubkan tersebut hingga menobatkan Maharaja Heraclius antara maharaja Rom terhebat yang pernah wujud tetapi statusnya tercalar selepas lahirnya seorang individu genius yang lebih hebat berbanding Maharaja Heraclius iaitu Pedang Allah, siapa lagi kalau bukan Khalid al-Walid!

Gambar 6: Surat yang dipercayai di hantar oleh Rasulullah s.a.w kepada Shah Kisra II, iaitu Shahanshah Empayar Parsi.
Sumber: https://aburedza.wordpress.com/2010/03/06/surat-nabi-s-a-w-kepada-kisra-parsi/

RUJUKAN

Bury, J.B. (2008), History of the Later Roman Empire from Arcadius to Irene, Volume 2, Cosimo, Inc., ISBN 1-60520-405-6.

Dodgeon, Michael H.; Greatrex, Geoffrey; Lieu, Samuel N. C. (2002), The Roman Eastern Frontier and the Persian Wars (Part II, 363-630 AD), Routledge, ISBN 0-415-00342-3.

Farrokh, Kaveh (2007), Shadows in the desert: ancient Persia at war, Osprey Publishing, ISBN 1-84603-108-7.

Howard-Johnston, James (2006), East Rome, Sasanian Persia And the End of Antiquity: Historiographical And Historical Studies, Ashgate Publishing, ISBN 0-86078-992-6.

Kaegi, Walter Emil (2003), Heraclius: Emperor of Byzantium, Cambridge University Press, ISBN 0-521-81459-6.

Pourshariati, Parvaneh (2008). Decline and Fall of the Sasanian Empire: The Sasanian-Parthian Confederacy and the Arab Conquest of Iran. London and New York: I.B. Tauris. ISBN 978-1-84511-645-3.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Comments are closed.