Sekali pandang, bulan di langit malam nampak sangat tenang seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku di sana. Akan tetapi, di sebalik keindahan itu, satu pertembungan geopolitik paling agresif sedang berlaku secara senyap antara Amerika Syarikat dan China.
Tuan-puan, lupakan sekejap sengketa sempadan di bumi. Sekarang kuasa gergasi dunia sedang berlumba untuk menjadi 'tuan tanah' rasmi yang pertama di angkasa lepas.
Jika kita imbau sejarah, misi Apollo pada tahun 1969 hanyalah langkah taktikal Amerika Syarikat untuk menundukkan ego Kesatuan Soviet ketika era Perang Dingin. Masa itu, mereka sekadar pacak bendera, kutip batuan, dan terus pulang.
Perlumbaan moden pada dekad ini berbeza sama sekali permainannya. Objektif Washington dan Beijing sekarang bukannya nak singgah ambil gambar dan terus balik.
Sebaliknya, mereka merangka pelan agresif untuk membina pangkalan kekal, meletakkan manusia bekerja di sana, dan mengaut segala hasil mahsul yang ada.
Persoalannya, kenapa mereka bersungguh sangat nak buka 'kampung' baru di permukaan bulan? Jawapannya terletak pada dua sumber paling berharga yang bakal menentukan masa depan manusia: ais dan Helium 3.
Ramai mungkin pelik kenapa perlu pergi sejauh itu semata-mata untuk berebut ais. Kita perlu tahu bahawa di kutub selatan bulan, terdapat kawah purba yang menyimpan takungan ais yang sangat besar dan luas.
Ais ini bukan setakat untuk minuman angkasawan. Secara kimia, ia boleh dipecahkan menjadi elemen hidrogen dan oksigen tulen sebagai ramuan wajib bahan api roket kelas tinggi.
Sesiapa yang menguasai kutub berais ini secara automatik mengawal 'stesen minyak' kosmik pertama dalam sistem suria kita.
Seterusnya adalah pemburuan Helium 3, sejenis isotop gas nadir yang amat sukar dicari di bumi kerana halangan medan magnetik kita. Di bulan, tiada atmosfera pelindung lalu membolehkan angin suria melonggokkan bertan-tan deposit Helium 3 selama berbilion tahun.
Bahan ini dicari kerana ia merupakan kunci utama kepada teknologi pelakuran nuklear (nuclear fusion) yang bersih. Secara teorinya, sistem pelakuran yang menggunakan Helium 3 tidak akan menghasilkan sisa radioaktif berbahaya.
Bayangkan, dengan hanya 25 tan Helium 3, ia sudah cukup membekalkan tenaga elektrik bersih kepada seluruh negara Amerika Syarikat selama setahun penuh. Nilai komersial setan bahan ini dianggarkan mencecah 3 bilion Dolar.
Sebab itulah Amerika Syarikat kini sedang memerah keringat menggerakkan misi Artemis. Di blok lawan pula, China sedang rancak membangunkan Stesen Penyelidikan Bulan Antarabangsa (ILRS) hasil kerjasama dengan Rusia.
Beijing sudah membuktikan ketangkasan teknologi mereka menerusi misi Chang'e 6 yang berjaya membawa balik sampel batuan dari sisi jauh bulan (far side of the moon) pada tahun 2024.
Walaupun terdapat Perjanjian Angkasa Lepas 1967 yang melarang dakwaan hak milik negara, realiti politik antarabangsa selalunya adalah 'siapa cepat dia dapat'.
Pihak yang membina struktur kekal di tapak kawah strategik pastinya akan menggunakan alasan 'zon keselamatan operasi' untuk menghalang negara lain daripada mendarat di kawasan yang sama.
Tetapi, amat menyedihkan apabila kita melihat reaksi sebahagian masyarakat kita. Di saat pakar aeroangkasa sedang mengkaji debu bulan di makmal, masih ada pihak di sini yang menjerit "semua ini tipu" dan sibuk berdebat kononnya roket hanyalah imej janaan komputer (CGI).
Sikap menafikan sains ini adalah satu penyakit mentaliti yang amat berbahaya. Jika pemikiran mundur ini terus dibiarkan membarah, anak bangsa kita pasti akan terus ketinggalan dan sekadar menjadi pemerhati kaku kepada kejayaan ketamadunan luar.
Kita tidak ada masa lagi untuk melayan minda netizen 'palatao' yang asyik mencari kecacatan piksel dalam gambar arkib NASA.
Dalam abad ke 21 ini, kuasa tidak lagi ditentukan semata-mata di darat, laut dan udara.
Sebagaimana yang dibincangkan dalam konsep astropolitik, masa depan persaingan global sedang ditentukan di orbit. Sesiapa yang menguasai angkasa berpotensi menentukan arah dunia.
Malaysia perlu segera bangkit dan membuang budaya menidakkan fakta sains. Empayar moden di luar sana sedang sibuk membahagikan peta kekayaan cakerawala mengikut bahagian masing-masing.
Kesan daripada gelombang perebutan gergasi dunia ini pasti akan merombak cara manusia di bumi hidup suatu hari nanti. Jangan sampai kita sekali lagi menjadi mangsa penjajahan alaf baru hanya kerana kita terlalu leka dibuai mimpi teori konspirasi.




No comments yet