Selain bangsa Maya yang merupakan orang asal yang majoritinya hidup di Amerika Tengah terutamanya di Semenanjung Yucatan, terdapat satu lagi bangsa yang dahulu kaya dengan harta berupa emas tapi telah dihancurkan oleh ketibaan penjajah Sepanyol!
Pada tahun 2011, pasukan pengkaji dari program ekspedisi penggalian kubur fasa pre-Columbian (fasa sebelum kedatangan Columbus) telah menemui tapak pengebumian purba yang ditemui di negeri Cocle, Panama.
Yang anehnya dalam penemuan tersebut, pasukan saintis ini telah temui rangka yang dipakaikan perisai emas! Adakah terdapat sebuah komuniti yang terdiri dari golongan elit pernah menetap di Panama, kemudian telah lenyap ditelan zaman?
Tapak pengebumian bernama Caño de Nata telah wujud sekitar tahun 400 dan 900 Masihi, seiring dengan fasa kegemilangan tamadun orang Maya. Tapak ini mengandungi banyak rangka para pahlawan yang dipakaian perisai dan artifak emas, menjadikan penemuan ini antara penemuan terkaya yang pernah para arkeologi temui.
Menurut ahli arkeologi yang terlibat bernama Julia Mayo, saat mereka temui tapak pengebumian tersebut, mereka percaya bahawa satu rangka yang dipakaikan perisai emas, gelang, tali pinggang, dan 2,000 biji artifak berbentuk sfera ialah seorang ketua puak.
Manakala 25 rangka yang mengelilingi rangka ketua puak itu ialah para hamba yang dikorbankan. Ada juga rangka ketua puak yang bersebelahan, juga ‘ditemani’ bersama 15 rangka hamba, selain menemui begitu banyak artifak emas.
Yang menariknya, terdapat juga tulang-temulang ikan buntal selain rangka manusia. Berkemungkinan besar racun ikan buntal digunakan sebagai ‘alat’ untuk melaksanakan upacara korban para hamba untuk pergi bersama ketua mereka yang telah meninggal dunia.
Selain artifak berupa perisai emas dan barang kemas, ada juga banyak artifak berupa patung separuh manusia, separuh haiwan mistik seperti serigala jadian dan pontianak, menurut penyelidikan dari Smithsonian Tropical Research Institute.
Selain tapak pengebumian Caño de Nata, terdapat juga sebuah tapak pengebumian bernama Sitio Conte. Tapak tersebur telah ditemui pada tahun 1940, menjadikan sebagai tapak pengebumian purba yang pertama ditemui dalam Panama sebelum Caño de Nata.
Sitio Conte yang juga ditemui di negeri Cocle mempunyai sebanyak 90 buah kuburan yang telah wujud pada sekitar tahun 450 dan 900 Masihi. Terdapat dua persamaan antara tapak pengebumian Caño de Nata dan Sitio Conte ini.
Pertama, setiap rangka mempunyai perisai emas dan banyak barang kemas ditemui. Kedua, setiap kubur ditanda dengan batu monolit bersaiz kecil. Buat masa ini pasukan arkeologi sana belum menemui jawapan, sama ada kedua-dua tapak pengebumian ini berkait ataupun tidak.
Mereka juga tengah mencari bangsa apakah yang pernah menduduki Panama, melakukan ritual, dan membina tapak pengebumian di sana. Berkemungkinan besar bangsa itu ialah mereka yang pertama membina penempatan, iaitu orang Nata.
Tidak banyak kita tahu tentang orang Nata ini kerana bangsa ini telah dihancurkan oleh penjajah Sepanyol apabila mereka membina penempatan koloni di Panama. Mungkin penjajah ini telah hancurkan sekaligus catatan tentang bangsa misteri ini.
Sekarang, para saintis bersungguh-sungguh membongkar kisah sebenar tapak pengebumian yang penuh dengan artifak emas, sekaligus mengetahui siapakah bangsa Nata yang kaya dengan harta emas!




No comments yet