Sejarah seharusnya bukan sahaja perlu dilihat dari gabungan fakta-fakta yang mungkin bersifat runcitan sahaja. Sejarah sepatutnya dihidangkan sekali dengan pandangan alam atau ‘Worldview’ atau dalam bahasa Jermannya ‘Weltanschauung’.
Manakala, generasi muda yang bersahsiah tinggi bermaksud generasi muda yang berperibadi dan berakhlak tinggi. Dalam erti kata lain, generasi yang teguh bukan sahaja jasmani malah rohani. Disertai pula kekuatan akliahnya dalam mencanai dan menyaring unsur luar serta menyerap unsur itu tanpa menghakis peribadi sendiri malah mengukuhkannya. Ini hanya mampu diperkuatkan jika mempunyai pandangan alam yang jelas dan benar.
Disebabkan insan yang mendiami rantau ini ialah berbangsa Melayu, maka pandangan alam yang harus diterapkan mestilah bersifat alami iaitu bersifat keMelayuan. Namun apakah yang membentuk bangsa Melayu berpandangan alam yang keMelayuan? Apakah yang membentuk rohani dan jasmani keMelayuan? Kekeliruan dalam menentukan hal ini bukan sahaja tidak menghasilkan generasi muda bersahsiah tinggi malah generasi muda yang celaru identiti. Maka yang pertama harus dikaji ialah sama ada keMelayuan itu diacu mengikut acuan Hindu-Buddha ataupun Islam.
Maka apa yang perlu difikirkan secara kritis ialah di antara Hindu-Buddha dan Islam, manakah yang memberi impak malah mengubah sistem pandangan alam bangsa Melayu rantau ini secara menyeluruh? Setakat yang dihidangkan di buku-buku teks ialah pandangan alam orang Melayu dipengaruhi oleh Hindu-Buddha secara hebatnya berbanding Islam. Ini kerana dengan gahnya binaan seperti Borobudur dan Angkor Wat yang mengikut pandangan sejarawan Orientalis merupakan mercu kehebatan Hindu-Buddha mempengaruhi alam Melayu.
Namun mengikut Prof Syed Muhammad Naquib Al-Attas, pengaruh Hindu-Buddha terhadap bangsa rantau ini hanyalah bersifat luaran sahaja, tidak langsung menusuk ke dasar dan mempengaruhi akalnya. Bangsa rantau ini juga tidak menunjukkan nilai saintifik dan metafizik yang tinggi jika diteliti karya-karya yang dihasilkan. Karya yang dihasilkan oleh alam Melayu pada waktu itu terutamanya Empayar Sriwijaya dan Majapahit lebih menitik-beratkan nilai kesenian dan juga sebagai alat pengukuhan kuasa oleh golongan pemerintah. Pengamalannya tidak mendasar dan menjadi sistem pandangan alam secara menyeluruh di rantau ini.
Ini amat berbeza dengan kedatangan Islam di rantau ini. Kedatangannya merubah bukan hanya dari segi sistem kepercayaan sahaja malah merubah kerohanian, keakliahan, metafiziknya, nilai saintifik serta pandangan alam secara menyeluruh. Islamisasi mengikut Syed Naquib Al-Attas di dalam bukunya, Islam dan Sekularisme, adalah pembebasan manusia pertama dari sihir, mitos, animistik, tradisi kebudayaan kebangsaan yang bertentangan dengan Islam, dan kemudian daripada kawalan sekular ke atas akal dan bahasa.
Ini terpancar bukan melalui binaan-binaan gah tetapi melalui bahasa Melayu Baru yang terlahir daripada bahasa Melayu Kuno. Bahasa baru ini jugalah yang telah menyatu-padukan bangsa-bangsa rantau ini menjadi satu bangsa baru yang terjalin atas dasar seakidah dan satu sistem pandangan alam yang sama.
Sejak itu, nilai sahsiah yang sama dianuti dan dibentuk malah dimudahkan lagi pembentukannya melalui perhubungan yang satu menggunakan bahasa Melayu Baru menerusi aksara yang sama iaitu Jawi. Bahasa Melayu Baru yang mendapat suntikan baru daripada bahasa Arab seperti aksaranya, kosa kata, nilai bahasa yang tepat dan jelas, nilai saintifik, nilai metafizik dan juga sistem pandangan alam Islam (ad-din) telah secara tidak langsung menyuntik perkara yang sama ke dalam sahsiah bangsa Melayu.
Dalam pandangan alam Islam, Konsep Ikhtiar akan membawa kepada sahsiah yang tinggi. Ini dijelaskan dalam buku S.M.N Al-Attas, Tinjauan Ringkas Peri Ilmu dan Pandangan Alam, iaitu Konsep ikhtiar yang berasal daripada perkataan ‘khair’ yang bermaksud baik itu menunjukkan bahawa insan perlu memilih yang baik malah yang lebih baik daripada pilihan-pilihan yang tersedia ada bukannya memilih yang yang buruk atau yang lebih buruk daripada pilihan-pilihan yang ada. Jika yang buruk itu dipilih, maka yang itu bermaksud kezaliman pada diri sendiri. Namun begitu semua ini harus dipandu oleh Al-Quran dan As-Sunnah.
Walaubagaimanapun dengan berlakunya pertembungan yang hebat di antara kebudayaan Barat bertunjangkan falsafah Aristotles dengan kebudayaan Melayu bertunjangkan Ad-din sejak 200 tahun dahulu telah menggugah dan menggelirukan pandangan alam Melayu yang dimana penyerapan istilah-istilah baru yang mengakibatkan pensekularan terhadap bahasa Melayu Baru itu dengan terhasilnya bahasa Melayu pasca penjajahan yang berdiri di atas aksara Rumi.
Pensekularan telah membawa kepada satu pandangan alam yang lain iaitui pengosongan alam tabii dari unsur-unsur ruhani. Justeru itu, dengan penafian sedemikian, kebudayaan barat telah menafikan hubungannya dengan Tuhan dan demikian jua sifat ruhaninya sehinggakan insan itu dianggap hanya haiwan berakal jasmani sahaja yang mampu bertindak sewenang-wenang terhadap alam ini.
Ini disebabkan alam itu sendiri tiada beruhani jua. Pandangan alam Barat ini telah meresap masuk dengan pesat ke dalam Alam Melayu ekoran keupayaan untuk melawannya begitu lemah sekali. Kelemahan ini disebabkan oleh perumian Bahasa Melayu yang secara langsung telah memutuskan hubungan bangsa Melayu dengan sejarah lampaunya dan pandangan alam Islamnya yang telah banyak berjasa kepadanya.
Maka untuk melahirkan generasi muda yang bersahsiah tinggi, pandangan alam yang menghilangkan sifat ruhaninya akan menyebabkan tiada kayu pengukur dalam menentukan apa itu sebenarnya sahsiah tinggi. Ini berbeza dengan Islam, alam tabii itu dibuang sebahagian keruhaniannya yang bersifat tahyul namun mengekalkan sifat ruhani yang merujuk kepada Sang Pencipta, malah insan itu diamanahkan untuk menjaga alam ini dengan sebaik-baiknya dan seadil-adilnya.
Dalam erti kata lain alam ini merupakan tanda-tanda kepada Penciptanya. Pada akhirnya, sahsiah tinggi akan terbentuk kuat dalam diri insan jika insan itu sedar akan sifat ruhaninya sendiri dan sifat ruhani alam tabii ini. Ini disebabkan dalam cubaan untuk menjaga alam ini, insan itu perlu memilih yang terbaik dan menjauhi yang buruk (iaitu sifat adil) dalam erti kata lain ialah konsep Ikhtiar itu sendiri.
Berdasarkan perkara-perkara di atas, keperluan kepada penghayatan sejarah yang jelas taakulannya dan benar akan membentuk sahsiah yang tinggi. Sayugia itu, pepatah “Bahasa Jiwa Bangsa” perlu dihayati dan difahami masa kini iaitu dengan memartabatkan kembali bahasa Melayu Baru yang berdiri di atas aksara Jawi untuk mengembalikan semangat atau roh yang telah membentuk sahsiah yang tinggi berdasarkan Al-Quranul Karim dan As-Sunnah Nabinya Muhammad bin Abdullah.
Berdasarkan kebolehan bahasa Melayu dalam memberikan suntikan ke arah sahsiah yang tinggi, maka sejarah kepada peranan Islam dalam pembentukan sistem pandangan alam Melayu amnya dan bahasa Melayu khasnya perlu diketengahkan dan difahami sejelas-jelasnya.
Kesilapan dalam mengiktiraf peranan sebenar dalam pembentukan sahsiah Melayu secara amnya akan menyebabkan kerancuan dalam pemikiran generasi muda sekarang khasnya yang akhirnya membawa kepada ketidaksempurnaaan dalam mencapai sahsiah tinggi mengikut pandangan alam yang benar dan bukannya pandangan alam yang bercampur-aduk malah bakal mengelirukan identiti mereka. Akhirnya jika falsafah dalam sejarah itu bersifat sejagat, alami dan benar, ianya akan melahirkan generasi muda bersahsiah tinggi.
RUJUKAN:
- Al-Attas, Syed Muhammad Naquib, Risalah Untuk Kaum Muslimin. International Instituteof Islamic Thought And Civilisation (ISTAC). 2001
- Al-Attas, Syed Muhammad Naquib, Historical Fact & Fiction. Penerbit UTM. 2011.
- Al-Attas, Syed Muhammad Naquib, Islam & Secularism. International Institute of Islamic Thought And Civilisation (ISTAC). 2001
- Al-Attas, Syed Muhammad Naquib, Islam Dalam Sejarah & Kebudayaan Melayu. Penerbit UKM. 2012.
- Al-Attas, Syed Muhammad Naquib, Tinjauan Ringkas Peri Ilmu dan Pandangan Alam. Universiti Sains Malaysia. 2007
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih