Dalam filem Skyfall, Q (Ben Whishaw) mendakwa boleh melakukan lebih banyak kerosakan dengan menggodam komputer dari bilik tidurnya daripada apa yang dilakukan oleh James Bond (Daniel Craig) dalam setahun. Mungkin ia sekadar jenaka bagi memperkenalkan Q baru. Tetapi bagi perkhidmatan keselamatan Korea Utara, ia ibarat hakikat pahit yang perlu ditelan selepas menjolok sarang tebuan.
Sarang tebuan yang dimaksudkan ialah cuba menggodam seorang penggodam dari Amerika Syarikat dengan tujuan mendapatkan teknologi godaman yang dimilikinya. Penggodam-penggodam Korea Utara menyangka cubaan mereka tidak diketahui si penggodam yang hanya dikenali sebagai P4x. Tetapi dia berjaya mengesan dari mana penggodaman dilancarkan dan mengkaji teknik godaman yang digunakan.
Sebagai seorang warga bertanggungjawab, P4x cuba melaporkan hal ini kepada pihak berkuasa termasuk Biro Siasatan Persekutuan (FBI). Namun begitu, dia merasa kecewa kerana aduan yang difailkan tidak dilayan. Mentanglah yang kena ikan bilis, ia dipandang sepi oleh mereka.
Lantas, P4x melancarkan aktiviti penggodaman yang menjejaskan infrastruktur internet Pyongyang menerusi serangan DDoS untuk membalas serangan penggodam negara itu. Serangan tersebut melumpuhkan semua laman sesawang awam kerajaan dan memperlahankan penghantaran e-mel.
DDoS ialah satu serangan di mana ia memalsukan trafik internet untuk memenuhi sistem, menguasai semua jalur lebar yang ada dan mengehadkan kapasiti pemprosesan server sistem. Serangan ini menyebabkan sesebuah laman sesawang tidak boleh diakses oleh pengguna.
Di Korea Utara, hanya pegawai tertentu dan ahli akademik terpilih sahaja yang menggunakan internet. Pada masa sama, sesetengah laman sesawang kerajaan yang disambungkan dengan internet seperti syarikat penerbangan Air Koryo dan portal berita dan propaganda Pyongyang, Naenara. Dalam tempoh dua minggu, laman-laman sesawang ini menjadi mangsa amukan DDoS yang dihantar P4x.
Pada awalnya, ramai menyangka aktiviti penggodaman ini dibuat oleh negara-negara Barat termasuk dari AS sebagai tindak balas kepada ujian peluru berpandu Korea Utara yang dibuat sejak awal tahun ini. Tetapi majalah Wired mendedahkan ia dilakukan oleh P4x yang mengeksploitasi kelemahan infrastruktur internet kuno Pyongyang. Tambahnya lagi semasa ditemubual majalah berkenaan, ia merupakan satu amaran kepada penggodam Korea Utara bahawa padah menanti sekiranya mereka cuba mensasarkannya selepas ini.
Penggodam Korea Utara sememangnya diketahui aktif dalam dunia jenayah siber. Pada 2014, bank pusat Bangladesh menjadi sasaran mereka dengan lebih AS$100 juta dilarikan. Dua tahun selepas itu, mereka mendedahkan pelan rahsia Korea Selatan sekiranya diancam prospek baru perang di Semenanjung Korea. Ini termasuk rancangan membunuh Presiden Kim Jong-un.
Tetapi yang paling terkenal ialah pada 2017. Pada tahun tersebut, mereka melancarkan virus perisian tebusan (ransomware) yang dipanggil WannaCry. Ia mengenai lebih 150 buah negara dengan lebih 200,000 sasaran dari stesen keretapi Australia hinggalah Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan Britain (NHS). Apabila sesebuah komputer dijangkiti virus ini, pengguna perlu membayar sejumlah wang tebusan menerusi Bitcoin.
Menariknya, ancaman WannaCry ditamatkan oleh seorang lagi penggodam bernama Marcus Hutchins. Hutchins, 22 tahun, bukan saja seorang penggodam tetapi penyelidik keselamatan siber dari Devon, England berjaya mengaktifkan suis kemusnahan (kill switch) sekaligus menghalang lebih banyak komputer daripada terus dijangkiti.
RUJUKAN
Jewers, C. (2022, 3 Februari). US hacker ‘in his pyjamas’ takes down North Korea’s internet
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih