Bulan Ramadan sudah hampir ke penghujungnya. Rata-rata masjid dipenuhi dengan manusia berpusu-pusu berlumba mengejar fadhilat malam-malam akhir Ramadan. Jalan-jalan di kota pula sesak dengan mereka yang mencari kelengkapan untuk persiapan menyambut hari raya. Selain baju raya, ketupat dan juga rendang, salah satu simbolik bagi perayaan hari raya aidilfitri di Malaysia, Singapura dan Selatan Thailand khususnya adalah Pelita Raya. Namun tahukah kita falsafah di sebalik pemasangan pelita?
Di semenanjung Malaysia ia dikenali sebagai pelita, panjut atau dikenali juga sebagai lampu colok. Manakala di Sarawak ia dipanggil tuntung. Lazimnya pelita raya mula dipasang seminggu sebelum Aidilfitri atau lebih dikenali sebagai malam tujuh likur. Pada asalnya budaya memasang pelita dilakukan oleh ketua-ketua kampung, penghulu atau orang-orang kanan penghulu sebagai isyarat menjelang Syawal atau menjelang Ramadan. Penduduk Tanah Melayu pada ketika itu bergantung kepada penghulu kampung untuk mendapatkan informasi dari istana termasuk juga tarikh bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri.
Manakala di Timur Tengah, budaya memasang pelita berwarna-warni atau dikenali sebagai “fanous” ketika menjelang Ramadan dikaitkan dengan sejarah Mesir Purba iaitu pada 358 M semasa era pemerintahan Dinasti Fatimah apabila Khalifah Al-Mu’izz li-Dinallah tiba di kota Mesir pada malam 15 Ramadan dan penduduk Mesir pada ketika itu meyambutnya dengan menyalakan lampu pelita.
Di sebalik cahaya pelita raya yang menjadi penyeri malam-malam menjelang raya, tersingkap sebuah falsafah tentang pelita yang menjadikan simbol hari raya dan Ramadan ini lebih ikonik melambangkan keindahan jiwa Islam itu sendiri.
Firman Allah di dalam Surah An-Nur ayat 35:
الله نور السماوات والأرض مثل نوره كمشكاة فيها مصباح المصباح في زجاجة الزجاجة كأنها كوكب دري يوقد من شجرة مباركة زيتونة لا شرقية ولا غربية يكاد زيتها يضيء ولو لم تمسسه نار نور على نور يهدي الله لنوره من يشاء ويضرب الله الأمثال للناس والله بكل شيء عليم
“Allah adalah cahaya langit dan bumi. Perumpamaan cahaya Allah adalah ibarat misykat yang di dalamnya terdapat pelita besar. Pelita itu di dalam kaca, dan kaca misykat itu bagaikan bintang yang bercahaya, seperti mutiara, yang dinyalakan dengan minyak dari pohon yang banyak berkahnya, (yaitu) pohon zaitun yang tumbuh tidak di sebelah timur sesuatu, juga tidak di sebelah barat (nya). Yang minyaknya (saja) nyaris menerangi, walaupun tidak disentuh oleh api. Cahaya itu di atas segala cahaya. Allah membimbing kepada cahaya-Nya bagi siapa saja yang Dia kehendaki, dan membuat perumpamaan kepada manusia, dan Allah Maha Mengetahui segala sesuatu.”
Di dalam kitab Misykat al-Anwar, tokoh falsafah islam al-Imam al-Ghazali menjelaskan cahaya yang dimaksudkan dalam ayat tersebut adalah cahaya yang hakiki, iaitu Allah SWT. Imam Al-Ghazali menegaskan untuk memperoleh kedekatan dengan Allah seseorang haruslah mempunyai hati yang bening.
“Sesungguhnya dalam diri manusia itu terdapat segumpal daging, jika ia baik maka baiklah seluruh jasad, jika ia buruk maka buruklah seluruh jasad, dan segumpal daging tersebut ialah hati. (HR,Bukhari)
Imam Ghazali di dalam Ihya Ulumuddin mengumpamakan hati manusia ibarat cermin. Cermin yang bersih, selalu digilap dan dibersihkan akan dapat memantulkan cahaya tetapi tidak cermin yang dibiarkan usang dan berdebu. Manusia yang berhati bening akan dianugerahi pandangan bashirah (pandangan hati) yang selalu menuntunnya berbuat kebaikan.
Lampu pelita menyala kerana sumbunya yang menyala, sumbu pula menyala kerana minyak yang membasahi sumbu. Pelita yang berisi minyak tanpa sumbu tidak akan menyala manakala pelita bersumbu tanpa minyak adalah sia-sia.
Ini adalah simbolik jalan menuju Allah melalui Syariat, Tariqat, Hakikat dan Makrifat. Suatu disiplin ilmu yang ditetapkan para ulama terdahulu untuk perjalanan memerangi hawa nafsu dan mencapai kedekatan dengan Sang Pencipta. Syariat tanpa Hakikat adalah fasik dan Hakikat tanpa Syariat adalah zindiq. Jasad Pelita itu syariatnya, minyak itu hakikatnya, sumbu itu Tariqat (jalan), manakala nyalaan cahaya itu Makrifatnya.
Hati manusia adalah seperti sebuah lampu minyak tanah, dimana di dalam lampu tersebut terdapat cahaya yang kudus lagi mulia, tetapi semakin lama dimakan usia lampu tersebut semakin malap kerana debu-debu asap yang menebal di dinding-dinding kaca lampu tersebut.
Maka kedatangan Ramadan adalah untuk menyucikan “debu-debu” yang mengotori dinding-dinding di cermin hati. Sifat-sifat mazmumah, nafsu kebinatangan yang bermaharajalela di hati ditundukkan di bulan Ramadhan dengan ibadah-ibadah puasa, solat-solat sunat, tadarus, zikir serta adab sepanjang menjalani ibadah puasa.
Sesudah puas digilap dan disental segala debu-debu dosa, maka kini bercahayalah semula pelita yang dimaksudkan. Maka tiba Syawal bagi meraikan jiwa-jiwa yang bercahaya dan terang bak nirmala selayak fitrah penciptaannya, maka disambut Hari Raya Idul “Fitr” yang bermaksud Hari Raya Fitrah. Selesai sudah proses penyucian jiwa (tazkiyah al-nafs).
Jika kamu berasa jengkel dengan setiap gesekan,
Bagaimana cerminmu akan berkilauan?
-Mevlana Rumi
Di pengakhiran tulisan ini ayuh kami dendangkan buat pembaca lagu raya yang terkenal dari penyanyi berjiwa sufi tanahair, Dato’ M.Nasir.
Suara tangis yang kau dengar
Memecah hari kudus ini
Adalah aku
Mengenang Pemilikku
Kita pohon kemenangan
Meroboh kota keakuan
Ini saatnya
Yang kunanti-nanti
Mereka yang dilanda derita
Redhalah harimu kan tiba
Cahaya kekasih yang benar
Menghapus segala api kemarahan
Salam dunia
Salam semua
Salam Hari Raya
Bersinar akhirnya
Salam dunia
Salam semua
Salam Hari Raya
Bersinar akhirnya
Inilah hari kita
Tiada lagi rasa ketakutan
Rujukan:
- Al-Quran Nul Karim
- Ihya Ulumuddin
- Misykat al-Anwar
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih