Kemajuan Teknologi semakin lama semakin terkehadapan dan ia merupakan suatu yang fitrah dalam perkembangan sesebuah kehidupan. Begitu juga teknologi yang sering berjalan seiring dengan kemajuan semasa. Islam merupakan agama yang fitrah dan tidak menghalangi umatnya untuk mendalami dan memanfaatkan teknologi bagi mendapatkan ilmu dan mendekatkan diri mereka kepada Allah SWT.
Pada tahun 2016, pada waktu itu Dr Zulkifli Al-Bakri menjawat sebagai Mufti Wilayah Persekutuan telah melakukan suatu pembaharuan dalam Institusi Kefatwaan di Malaysia. Umum mengetahui bahawa apabila wujudnya sesuatu permasalahan, maka jawapan bagi permasalahan itu perlulah diperoleh dalam jangka masa yang sangat singkat dan tuntas.
Hal ini kerana keperluan fatwa dalam sesuatu isu perlulah dititikberatkan. Lebih lebih lagi fatwa berkaitan isu isu yang mendesak dalam masyarakat misalnya, berkaitan dengan Fiqh Ramadhan, Fiqh Solat dan Fiqh Muamalat. Kesemua ini memerlukan jawapan yang tuntas bagi memandu Umat Islam agar bertindak berdasarkan garis syariat yang ditetapkan dalam Islam.
Melihat kepada keperluan ini, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan telah melancarkan inisiatifnya untuk menangani isu ini. Chatbot merupakan sebuah program Kecerdasan Buatan (AI) yang berperanan untuk berinteraksi dengan manusia. Chatbot AI mampu memahami, merespon pertanyaan dan menjawab soalan berdasarkan corak bahasa dan kata kunci yang ditanyakan oleh pengguna.
Chatbot AI akan berhubung dengan pengkalan data utama dan memberikan jawapan berdasarkan kata kunci yang diberikan oleh pengguna. Chatbot AI juga akan mempelajari Algoritma pengguna bagi meningkatkan kualiti perkhidmatannya berdasarkan tingkah laku pengguna.
Kaedah inilah yang digunakan oleh Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan seawal tahun 2016. Pejabat Mufti Wilayah telah melancarkan inisiatifnya dalam iMursalah. Segala bank soalan dan hukum akan diletakkan dalam pengkalan data dan iMursalah ini tersedia untuk digunakan bila bila masa sahaja oleh pengguna untuk bertanyakan hukum dan mendapatkan jawapan yang pantas dan tuntas.
Dengan kaedah ini, Umat Islam di Malaysia tidak perlu runsing untuk mendapatkan jawapan kefatwaan dalam masa yang panjang dan kesemuanya boleh diperoleh dalam masa yang singkat. Seiring dengan waktu, penggunaan Chatbot AI ini semakin meluas dan sehingga ke hari ini, pelbagai sistem dan kaedah yang menggunakan Chatbot AI ini bagi memudahkan umat Islam.




No comments yet