Isnin, 26 Oktober 202626 Okt 2026
Ikon Negara

Pegawai Haji Melayu Pertama Sebenarnya Spy British Di Mekah?

Alang-alang kita menyambut Raya Haji ni, izinkan aku bawa kau menyelusuri satu kisah tentang seorang lelaki Melayu yang pertama sekali dilantik secara rasmi untuk menjaga jemaah kita di Mekah iaitu Haji Abdul Majid bin Zainuddin.

Tapi, persoalannya, betul ke dia ni sebenarnya spy British?

Kalau sebut pegawai haji hari ni, kita mungkin terbayang mutawif Tabung Haji yang bimbing jemaah buat tawaf, uruskan visa dan beg.

Tapi dalam tahun 1924, maksud "pegawai haji" tu lain sangat. Zaman tu, ia bukan sekadar urus ibadah. Ia juga tentang risikan, politik dan kadang-kadang... pengkhianatan?

Jadi, macam mana pelantikan Abdul Majid Zainuddin berlaku?

Tahun 1924, selepas kejatuhan Daulah Uthmaniyyah, Tanah Suci Hejaz (Mekah dan Madinah) dah tak lagi berada dalam naungan khalifah Islam. Kuasa baru, keluarga Al-Saud baru nak naik dan masih bergelut dengan pemberontakan dan konflik.

Dalam suasana tak menentu itu, Mekah jadi tempat paling strategik. Bukan hanya untuk ibadah, tapi juga sebagai tempat pertemuan idea politik Islam. Dari pan-Islamisme, gerakan Khilafah, sampai propaganda komunis dari Rusia pun ada.

British yang masa tu menjajah Tanah Melayu mula risau. Mereka takut jemaah haji Melayu balik dengan semangat jihad, anti-kolonial dan mula sebarkan ideologi reformis kat kampung halaman.

Jadi untuk "pantau" semua ni, mereka lantik seorang pegawai khas dari kalangan orang Melayu sendiri.

Pada Januari 1924, Haji Abdul Majid bin Zainuddin dilantik secara rasmi sebagai Pegawai Haji Melayu yang pertama.

Dalam dokumen rasmi, dia ditugaskan untuk jaga kebajikan jemaah, urus tiket, bantu yang meninggal dunia dan laporkan keadaan di Hejaz ke pejabat kolonial. Tapi... ada yang lebih dalam dari tu.

Siapa sebenarnya Abdul Majid Zainuddin ni?

Dilahirkan di Kuala Lumpur pada tahun 1887, berasal dari keluarga Minangkabau dari Bonjol.

Pendidikan awalnya di Sekolah Melayu Pudu, kemudian ke Victoria Institution (1895) dan antara pelajar terawal di Maktab Melayu Kuala Kangsar (MCKK).

Beliau kemudiannya menjadi guru besar di Maktab Perguruan Matang, guru pelawat seluruh Perak dan kembali ke MCKK sebagai pendidik.

Tapi yang lebih luar biasa, beliau juga seorang penulis. Karya-karyanya banyak diterbitkan dalam Bahasa Inggeris dan Melayu seperti Ilmu Tanam-Menanam (1924), A Malay’s Pilgrimage to Mecca (1926), Random Notes on Current Malay Beliefs (1927) dan The Malayan Kaleidoscope (1935).

Beliau juga seorang pemerhati masyarakat yang kritis, analitik dan sayang akan bangsanya.

Tapi, balik kepada persoalan kita. Betul ke dia spy British?

Itulah tuduhan yang dilemparkan terhadap beliau terutamanya oleh tokoh seperti Za’ba dan Prof. Diraja Ungku Abdul Aziz. Mereka labelkan Abdul Majid sebagai British political spy kerana tugas beliau bukan sahaja jaga jemaah, tapi juga laporkan sebarang gerakan politik dalam kalangan umat Islam di Mekah.

British pada waktu tu memang obses dengan risikan. Mereka pernah hantar Dr. Abdur Razzack dari India untuk pantau pergerakan politik di Hejaz pada 1882.

Tapi laporan Dr. Razzack tak memuaskan. Maka, bila Abdul Majid dipilih, ia bukan sebab dia cuma layak tapi sebab dia lebih Melayu dan lebih dipercayai dalam kalangan jemaah kita.

Sejarawan William R. Roff membela beliau. Katanya, walaupun Abdul Majid "tak cukup syarat sebagai spy", tapi dia cemerlang sebagai pegawai haji.

Beliau bantu jemaah guna duit poket sendiri, bagi makan pada yang lapar dan selesaikan masalah orang yang terkandas. Surat daripada Dato’ Menteri Kelantan, Haji Nik Mahmud sendiri mengiktiraf sumbangan beliau dan menyatakan ramai jemaah dapat pulang ke tanah air dengan selamat kerana bantuannya.

Sebenarnya, besar sumbangan Abdul Majid ni terhadap pengurusan haji. Antara sumbangan terbesarnya ialah cadangan agar kapal haji wajib sediakan makanan. Sebelum itu, jemaah perlu bawa dapur sendiri, masak atas dek kapal dan ada yang terbakar.

Cadangan ini akhirnya diluluskan dalam Merchant Ships Ordinance 1929 hasil lobi keras Abdul Majid kepada pihak British dan syarikat perkapalan.

Bukan itu sahaja, beliau turut mencadangkan agar hanya jemaah yang benar-benar berkemampuan dibenarkan naik kapal supaya tak ada lagi yang terkandas di Mekah seperti yang berlaku tahun 1916.

Sekarang, kita masuk bab paling menyentuh hati, suasana jemaah naik haji masa tu. Catatan Abdul Majid pada tahun 1924 membongkar segalanya.

Kos pergi haji antara 500-600 Ringgit Malaya. Mereka mula belayar dari Singapura atau Pulau Pinang seawal bulan Rejab, 5 bulan sebelum Zulhijjah.

Sebelum berangkat, mereka adakan kenduri doa selamat dan selalunya dianggap seperti ‘perjalanan tanpa pulang’.

Perjalanan ke Mekah ambil masa 13-17 hari. Kapal berhenti di Pulau Kamaran (Yaman) untuk kuarantin supaya mereka tidak bawa penyakit ke pelabuhan.

Jemaah disuruh mandi air garam, cuci pakaian dengan wap pembasmi kuman. Sakit, lemas, pening itu biasa. Ramai juga yang jatuh kapal ketika tidur di dek terbuka kerana terlalu sesak dan ada yang meninggal dunia dalam pelayaran.

Sampai di Jeddah, kapal tak boleh berlabuh terus. Ia berhenti 5 batu dari pelabuhan sebab batu karang. Jemaah naik perahu Arab (dhow), angkut barang, kemudian naik kereta keldai ke rumah tumpangan.

Jeddah masa tu sangat kotor. Berdebu, sempit, penuh nyamuk dan lalat. Air telaga pun tak bersih. Dua hari je dibenarkan tinggal di Jeddah.

Kemudian, mereka pakai ihram dan naik unta ke Mekah. Perjalanan ambil masa dua hari. Setiap unta dinaiki dua orang. Bermalam di Bahra. Malangnya, banyak bekalan air mereka dicuri puak Badwi. Ramai yang kehausan.

Di Mekah, mereka terus tunaikan umrah yang dipanggil sebagai “haji kecil”. Air di sana lebih bersih sebab datang dari pergunungan Taif melalui Terusan Zubaidah.

Sekitar Kaabah ada empat pondok mazhab iaitu Hanafi, Maliki, Syafie dan Hanbali.

Apabila Ramadan, mereka ke Madinah dengan menaiki unta selama 13 malam.

Bahaya? Sangat bahaya. Puak Badwi sering rompak, peras ugut. Jemaah Abdul Majid sendiri ditahan di Bir Abbas selama 9 hari.

Ada yang dibunuh. Zaman Uthmaniyah dulu, semua ini tak berlaku sebab tentera Uthmaniyah iringi jemaah. Tapi selepas jatuhnya khalifah, segalanya berubah.

Haji Abdul Majid bin Zainuddin ialah cermin kepada zaman yang berkonflik. Beliau berdiri di antara dua dunia iaitu dunia penjajahan dan dunia umat Islam yang sedang bangkit.

Dituduh sebagai spy, tapi tak dapat dinafikan beliaulah tokoh yang reformkan pengurusan haji Melayu.

Tanpa dia, ramai yang mungkin tak pulang dari Mekah. Ramai yang mungkin mati di atas kapal, atau dirampas oleh padang pasir Badwi.

Persoalannya, sejauh mana pelantikan Abdul Majid ini benar-benar memberi kesan kepada jemaah haji Melayu?

Adakah beliau sekadar jadi “mata-mata” British atau adakah jemaah kita sendiri terpengaruh dengan idea-idea politik yang British takutkan sangat?

Jawapan yang paling jujur dan berdasarkan laporan Abdul Majid sendiri, tidak.

Dalam catatan dan laporan rasminya kepada pejabat kolonial, Abdul Majid menyatakan bahawa jemaah Melayu ketika itu lebih tertumpu kepada ibadah berbanding isu-isu politik atau revolusi antarabangsa.

Mereka datang untuk tunaikan haji, bukan untuk menyertai gerakan Pan-Islamisme atau Khilafah. Rata-ratanya buta huruf, penat akibat perjalanan dan hanya fokus untuk selesai ibadah dengan selamat.

Malah, tiada bukti menunjukkan wujudnya unsur radikalisasi atau kebangkitan anti-penjajah yang berpunca dari Mekah dalam kalangan jemaah Melayu selepas pulang ke tanah air.

Maksudnya, paranoia British itu lebih kepada takutkan bayang-bayang sendiri. Tapi itu tak bermakna Abdul Majid gagal dalam tugasnya.

Sebaliknya, beliau berjaya menstabilkan perjalanan haji Melayu bukan saja dari segi logistik dan kebajikan, tetapi juga memastikan perjalanan haji tidak dijadikan saluran untuk musuh politik penjajah menyusup masuk.

Satu lagi dapatan penting ialah bagaimana pelantikan Abdul Majid membuka mata penjajah bahawa orang Melayu juga boleh diangkat ke jawatan diplomatik tinggi. Sebelum ni, semua urusan haji dikuasai India British atau Arab.

Tapi selepas 1924, suara Melayu mula diiktiraf dalam pentadbiran jemaah haji secara rasmi. Ini ialah satu pengiktirafan keupayaan orang Melayu dalam sistem kolonial itu sendiri.

Perhatian sebentar.

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami. Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM5.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM5 / RM10 / RM50

Kongsi

No comments yet