Sabtu, 10 Oktober 202610 Okt 2026
Pawang Nong: “Bomoh” Hebat Bangsa Melayu
Alam MelayuFeatured

Pawang Nong: “Bomoh” Hebat Bangsa Melayu

Negeri
Pahang kaya dengan pelbagai kisah sejarah dari era pra-sejarah hinggalah era
moden hari ini. Dan seperti negeri-negeri lain, Pahang turut menyaksikan
kebangkitan tokoh-tokoh tempatan melawan pendudukan British. Hari ini, ramai
sudah biasa dengan nama Dato Bahaman, Mat Kilau dan Tok Gajah. Tetapi di
Jerantut, ada satu kelibat figura yang menjadi kebanggaan penduduk di situ
iaitu Pawang Nong atau Haji Nong Taib Santan.

Pawang Nong atau nama sebenar Haji Nong Taib bin Santan. Kredit: Portal Pejabat Pendidikan Negeri Pahang. http://jpnpahang.moe.gov.my/ppdjerantut/v1/index.php/ms/13-berita/97-pawang-nong

Lahir di Kampung Sempiat, Tanjung Besar, Benta, Kuala Lipis pada tahun 1874, beliau bersama tujuh orang rakannya merupakan pengasas Kampung Ulu Cheka yang dibuka pada tahun 1907 selepas mendapat perkenan Sultan Pahang setelah menyusuri sungai dari Kuala Lipis hingga Lata Lang. Tetapi Pawang Nong hanya dilantik sebagai ketua kampung dari tahun 1926 hingga tahun 1966.

Beliau juga bertanggungjawab sebagai pengasas Masjid Kampung Ulu Cheka, pawang dan guru silat cekak yang hebat sehingga menarik ramai orang datang ke kampung berkenaan untuk berguru dengannya. Misalnya, pembinaan Masjid Kampung Ulu Cheka berjaya direalisasikan selepas Pawang Nong mengajukan permintaan itu kepada Tun Abdul Razak Hussein. Menurutnya, kewujudan sebuah masjid baru yang selesa memudahkan penduduk beribadat.

Kehebatan Pawang Nong sebagai pawang bukan sekadar pada kemahirannya mengubati pesakit melalui kaedah tradisional tetapi juga melalui kisah lisan penduduk tempatan. Pada satu ketika, Kampung Ulu Cheka dan Kampung Damak gempar dengan insiden orang minyak yang mengganggu keamanan penduduk.

Namun dengan izin Allah s.w.t, gangguan ini berjaya ditumpaskan oleh Pawang Nong. Semasa era pendudukan Jepun di Tanah Melayu, dua kampung berkenaan tidak dimasuki oleh tentera Jepun hasil usaha beliau yang memagar kedua-dua kampung berkenaan agar ia tidak diceroboh atau dilihat oleh tentera Jepun.

Dalam memastikan keselamatan penduduk kampung, Pawang Nong juga tidak ketinggalan menyumbang tenaga menentang pendudukan Jepun di negeri Pahang. Misalnya, beliau menasihatkan para penduduk hanya menyerahkan 15 hingga 20 gantang padi kepada pihak Jepun dan menyembunyikan lebihannya di dalam hutan.

Selain bertujuan melemahkan kekuatan tentera Jepun di situ, ia juga memastikan penduduk mempunyai bekalan makanan mencukupi pada masa penjajahan. Malah, beliau juga bertanggungjawab membantu pasukan Force 136 berlindung di sebuah sekolah di Ulu Cheka.

Semasa era darurat pula, Pawang Nong sedar jika orang kampung mahu mempertahankan diri mereka dari ancaman pengganas komunis, mereka perlu mempunyai senjata api. Justeru, beliau kemudiannya bertemu dengan Pesuruhjaya British ketika itu dan mengadakan rundingan dengan mereka bagi mendapatkan akses kepada senjata api.

Selepas mendengar hujah beliau, hajatnya ditunaikan dan ini membolehkan beliau membentuk pasukan Home Guard sebagai pasukan pertahanan kampung. Selain bertanggungjawab menjaga keselamatan kampung, pasukan ini juga bertanggungjawab mengiringi penduduk yang mahu mendapatkan bekalan makanan di Kampung Damak dan Kuala Kubu di Selangor.

Namun, sisi keberanian Pawang Nong terserlah apabila terlibat dalam tiga pertempuran menentang pihak komunis di Terbol, Bukit Batu dan Perlok. Tetapi Pertempuran Perlok merupakan pertempuran yang paling sengit dan kisah pertempuran ini diabadikan dalam buku Askar Melayu 50 Tahun hasil karangan Tan Sri Abdul Samad Idris. Tiga pertempuran ini berlaku antara tahun 1948 hingga 1952.

Sebelumnya pada tahun 1945, beliau juga bertanggungjawab menyelamatkan seorang pembesar Pahang yang menjadi tebusan pihak komunis di Tong Kiat (kini dikenali sebagai Sungai Jerik), Maran. Bagi menghargai jasanya itu, Sultan Pahang iaitu Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin al-Muazzam Shah memberi gelaran Pawang Diraja kepada Pawang Nong. Ini menjadikan Pawang Nong bukan saja sebagai sumber rujukan baginda tetapi juga menjadi sumber rujukan pemimpin lain termasuk Perdana Menteri negara yang pertama, Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj.

Sebagai
menghargai jasa dan keberanian Pawang Nong membantu memerangi ancaman komunis,
kerajaan Britain melalui Sir Gerald Templer mengurniakan pingat British Empire
Medal/Pingat Empayar British (BEM) kepada beliau. Selain itu, kerajaan
Persekutuan turut mengurniakan gelaran Ahli Mangku Negara (AMN) dan Pingat Jasa
Kebaktian (PJK) atas sumbangannya kepada keselamatan negara. Sementara kerajaan
negeri pula mengurniakan Pingat Kelakuan Terpuji (PKT) kepada beliau atas sebab
sama.

Pawang Nong
kembali ke hadrat Ilahi pada tahun 1977 semasa berusia 103 tahun dan makamnya
berada di sebelah Masjid Kampung Ulu Cheka. Beliau mempunyai dua orang isteri
iaitu Patam binti Mat Sama dan Hajah Halimah binti Mat Long. Hasil
perkahwinannya dengan Patam dikurniakan lapan cahaya mata terdiri daripada
empat orang lelaki dan empat orang wanita. Sementara perkahwinannya dengan
Hajah Halimah pula dikurniakan tiga cahaya mata (seorang lelaki dan dua orang
wanita). Hari ini, terdapat 600 waris keluarga Pawang Nong dengan 450
daripadanya berjaya dikumpulkan dalam satu majlis silaturahim keluarga
berkenaan pada April tahun ini.

Dan
legasinya sebagai pawang turut diteruskan oleh beberapa orang cucunya di mana
salah seorang daripadanya, Salleh Nawi merupakan seorang tok mudim dan mewarisi
beberapa ilmu kebatinannya. Dia dan beberapa orang rakannya juga
bertanggungjawab mengesan dan menyelamatkan tiga kanak-kanak yang hilang dalam
hutan di Paloh Hinai pada tahun 2005. Sementara sepupunya, Abdul Razak Arif
pula mewarisi kebolehan merawat penyakit khusus termasuk kes rasukan. Ilmu ini
diperolehnya daripada bapanya, Arif yang juga putera kepada Pawang Nong.

Hari ini,
terdapat beberapa lokasi yang mengabadikan namanya iaitu Sekolah Kebangsaan
Pawang Nong (dahulunya dikenali sebagai Sekolah Kebangsaan Ulu Cheka), Bulatan
Pawang Nong dan Persimpangan Pawang Nong. Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan
Kampung (JKKK) Kampung Ulu Cheka turut membuka sebuah galeri bagi membolehkan
orang ramai terutama pengunjung luar mengenali Ulu Cheka dan sejarah perjuangan
Pawang Nong. Galeri ini dirasmikan oleh Ahli Parlimen Jerantut, YB Datuk Haji
Ahmad Nazlan bin Idris pada tahun 2016. Semua artifak yang dipamerkan di galeri
berkenaan mendapat pengesahan daripada Muzium Pahang.

RUJUKAN:

1. Mamat,
Mohd Rafi. (2019). 450 waris pahlawan Pawang Nong berkumpul. https://www.bharian.com.my/berita/wilayah/2019/04/558294/450-waris-pahlawan-pawang-nong-berkumpul

2. Pejabat
Pendidikan Daerah Jerantut. (2018). Pawang Nong. http://jpnpahang.moe.gov.my/ppdjerantut/v1/index.php/ms/13-berita/97-pawang-nong

3. Utusan
Malaysia. (2015). Cucu warisi ilmu Pawang Nong. http://www.utusan.com.my/rencana/utama/cucu-warisi-ilmu-pawang-nong-1.54538

4. Utusan
Malaysia. (2015). Pawang Nong pemimpin disegani. http://www.utusan.com.my/rencana/utama/pawang-nong-pemimpin-disegani-1.54535

5. Wartawan
Sinar Harian. Rahsia Kehebatan Pawang Nong. https://www.karangkraf.com/mobile/berita/rahsia-kehebatan-pawang-nong-1.603552

Perhatian sebentar.

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami. Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM5.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM5 / RM10 / RM50

Kongsi

No comments yet