Seperti apa yang kita tahu, banyak haiwan pemangsa bertebaran dalam lautan, menjadikan salah satu spesis haiwan ini sebagai pemangsa teratas atau apex predator dalam rantaian makanan. Salah satunya ialah jerung putih (Carcharodon carcharias) .
Walaupun jerung putih menguasai dunia lautan, baru-baru ini saintis temui pasangan paus orca yang sedang bermaharajalela di pinggir pantai kota Gansbaai, Afrika Selatan dengan memburu jerung putih, memakan organ hati yang kaya dengan nutrien, kemudian biarkan bangkai jerung hanyut!
Sebelum kejadian paus orca di Afrika Selatan, pinggir pantai tenggara Australia telah digemparkan dengan berita penemuan bangkai jerung putih pada tahun 2023. Bahagian abdomen jerung itu telah koyak dan organ hati telah hilang, tinggalkan gigitan yang menusuk begitu dalam.
Setelah kajian dilakukan, ternyata suspek kejadian itu tak lain dan tak bukan ialah paus orca. Kenapa paus yang dilihat sebagai comel dengan tompokan putih dan berbadan hitam mula memburu raja lautan?
Sebenarnya kelakuan paus orca memburu spesis ikan besar termasuklah jerung putih bukanlah kelakuan yang baru. Haiwan ini telah biasa memburu ikan bersaiz besar. Ia sangat pintar dalam membuat strategi pemburuan dan begitu beradaptasi dengan keadaan sekeliling.
Selain peristiwa pemburuan paus orca di Australia dan Afrika Selatan, saintis juga telah merakam peristiwa pemburuan ini di Teluk Mexico. Paus orca di Australia telah direkodkan pernah memburu pelbagai spesis ikan jerung seperti jerung mako, jerung biru, dan jerung harimau.
Tapi, penemuan bangkai jerung putih akibat cengkaman paus orca adalah bangkai pertama saintis sana temui. Menurut ahli biologi bernama Isabella Reeves dari Flinders University, tidak mustahil kelakuan pemburuan paus orca ini tersebar di lautan lain.
Mereka mengesyaki bahawa pasangan paus orca yang menyerang jerung putih di Australia ialah paus bernama Bent Tip dan Ripple kerana pasangan ini sejak dua hari lepas rajin memburu mangsa di sekitar persisiran pantai.
Walaupun pemburuan paus orca ini adalah perkara biasa, tapi kekerapan memburu jerung putih begitu membimbangkan saintis sendiri, terutamanya pasukan Reeves kerana pengurangan populasi jerung putih akan mempengaruhi rantaian makanan lautan.
Jika populasi jerung putih berkurang, populasi mangsa seperti gajah laut akan meningkat dan kemudian tidak terkawal, bakal ada perebutan habitat dan makanan dalam kalangan gajah laut!
Jadi, jerung putih sangat penting untuk seimbangkan jumlah populasi mangsa seperti gajah laut. Jika paus orca menggantikan jerung putih, bagaimana nasib ekosistem lautan nanti?




No comments yet